Adi berdiri tegak untuk mulakan solat asar. Setelah beberapa saat berdiri kaku sambil meletakkan tangan sedikit ke belakang seolah-olah mahu mengambil lajak mengangkat takbirratul ihram, dia mula menggerak-gerakkan kakinya seolah mahu membetulkan kedudukannya agar tegak mengadap kiblat, dipusingkankan kepalanya kebelakang melihat ke bawah di mana kedudukan tumitnya berada seolah-olah dia mahu membetulkan saf, sedangkan dia bersolat sendirian. Selepas puas melihat tumitnya dibelakang dia membetul-betulkan kain pelikatnya dengan menekan-nekan kain diantara dua pahanya.
Saya berada di belakangnya dari jauh melihat kelakunya yang amat menarik tanpa disedarinya. Setelah itu dia mula menegak kaku semula sambil melajakkan sedikit tangannya ke belakang mahu memulakan takbir ratul ihram. Setelah tidak berapa lama kaku di situ dia mula menggerak-gerakkan kakinya semula membetulkan kedudukan berdirinya, kemudian memalingkan sekali lagi kebawah arah arah belakangnya melihat kedudukan tumitnya. Selepas itu membetulkan sekali lagi kain pelikatnya dengan menekan-nekan kainnya di antara dua pahanya.
Aksinya semakin menarik perhatian saya mambuatkan saya mahu menunggu berapa lama ia mangambil masa sehingga dapat melaksanakan takbirratul ihramnya. Selepas ulangan aksinya yang terakhir iaitu membetulkan kain pelikatnya, dia mula menegak kaku semula mahu mengambil takbirratul ihram. Tak berapa lama kemudian, seperti yang saya dah agak dia mengulang lagi rentak diatas.
Saya menunggu penuh minat segala kelakunya sehingga saya sendiri menjadi rimas tertanya-tanya bila dia akan mula bersolat. Setelah menunggu dan menunggu akhirnya Adi berjaya bertakbirratul ihram. Saya melihat jam dia mengambil lebih kurang setengah jam. Selepas itu saya pun bangun berjalan keluar dari masjid.
Begitulah satu contoh yang sering saya lihat terhadap mereka yang ditimpa penyakit was-was. Ada berbagai-bagai jenis was-was yang saya dapati ada pada segolongan kawan-kawan kita yang beragama Islam. Jika kita perhatikan ketika bersolat, pasti kita akan dapati ada segelintir saudara kita yang punyai aksi-aksi pelik ketika mahu beribadah.
Ada seorang lagi kawan saya, namanya Salleh, dia punyai penyakit mengulang-ulang bacaan "Bis...", dia amat tidak yakin dengan bacaan Bismillahnya, entah guru mana yang dia belajar sehingga menjadikan bacaan tersebut amat sukar. Ketika dia mahu makan, dia akan mengulang menyebut "Bis...Bis...Bism..." sehingga orang dah makan separuh pinggan barulah dia berjaya menyuap suapan pertamanya setelah berjaya menyebut Bismillahirrahmanirrahim dengan lancar. Keadaan yang sama berlaku ketika dia mahu mengambil wuduk, ketika mahu membaca Al- Fatihah semasa solat dan ketika waktu lain yang mahu dimulakannya dengan Bismillah.
Seorang lagi kawan saya Awi punyai was-was yang amat menakutkan, dia mula menjadi begitu setelah belajar ilmu tauhid. Pelajaran yang menghuraikan sebab-sebab seorang muslim boleh jatuh murtad menerangkan bahawa kita dapat tergelincir dari pegangan kita di sebabkan 3 perkara iaitu, disebabkan perbuatan, perkataan dan iktikad.
Setelah itu dia sering kali menelefon saya bertanya berbagai soalan yang terlintas di kepalanya, adakah dia telah tergelincir. Hampir setiap hari dia akan menelefon dan soalannya akan berulang-ulang. Dia sering kelihatan terkial-kial seperti berfikirkan sesuatu ketika berbuat kerja. Sehinggakan di satu peringkat saya takut bertemu dengannya.
Satu lagi kawan saya Pian, dia was-was terhadap najis. Dia mengalamimya sejak dia mula mahu mengamalkan ajaran agama dengan tidak meninggalkan solat. Setelah mendapat hidayat dia mula mempelajari kitab-kitab fikah yang di mulakan dengan bab taharah atau bersuci.
Sepatutnya dengan ilmu tersebut dia menjadikan kita mudah namun sebaliknya terjadi pada dia di mana dia asyik terfikirkan tentang najis-najis yang berada sekelilingnya. Kalau berada di rumah, kerjanya adalah menyiramkan air di depan rumahnya apabila melihat benda kotor seperti najis. Dia amat fobia melihat taik cicak, habis basah rumah di basuhnya taik cicak tersebut di mana saja dia melihat ada taik cicak. Habis siak-siak masjid di komennya kerana tak jaga masjid dari kebersihan taik cicak. Kalau berjalan masuk ke masjid dia kelihatan terinjak-injak berhati-hati terhadap kebersihan karpet.
Kalau mahu bersolat ke masjid dia akan menaiki kereta kerana tidak mahu berjalan kaki takut-takut kalau ada najis melekat pada kaki atau pakaiannya. Dia akan pastikan keretanya sampai hampir dengan masjid yang tidak memerlukannya berjalan jauh masuk ke dalam masjid. Kasutnya akan sentiasa basah kerana sering basuh bagi menghilangkan was-wasnya terhadap najis. Kalau dia memandu kereta di belakang lori ayam dia akan menghalang semua orang dari menyentuh keretanya sebelum dia menyiramkannya dengan air.
Kalau saya berada dengannya dia akan mengulang-ulang soalan yang sama tentang najis, bagi meyakinkan kefahamannya terhadap jenis-jenis najis. Yang saya pasti dia masih kuat was-was terhadap najis walaupun berbagai hujah dan kaedah yang disampaikan sehinggakan isterinya sendiri menjadi risau melihat keadaan suaminya.
Itulah sebahagian dari kisah penyakit was-was yang melanda sebahagian dari kita yang sebenarnya amat membebankan. Kadang kala ia mengganggu orang sekeliling yang tidak faham apa yang berlaku sebenarnya.
Saya teringat satu kuliah yang pernah disampaikan oleh arwah imam kampung saya. Dia mengatakan bahawa yakin dengan apa yang kita pelajari dan amalkan juga adalah satu pahala yang besar. Maka benarlah katanya jika dilihat fenomena orang yang dikenakan penyakit was-was ini. Beruntunglah mereka yang mempelajari ilmu dan mengamalkannya dengan yakin, was-was tiada, boleh pahala pula.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !