Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

30 December 2009

Kecoh Di Subuh Pagi, Masjid As-Salam Puchong Perdana

  Ano Nyme       30 December 2009
Baru-baru ini selepas solat berjemaah di surau tempat saya tinggal di Puchong Intan saya berbual sebentar dengan teman-teman sejemaah sebelum pulang ke rumah masing-masing.

"Kecoh semalam lepas subuh kat Masjid" kata kawan saya A. Pandangan kami semua bertumpu padanya serentak bertanya, "kenapa?".

Selepas solat subuh hari itu, ada seorang ahli jemaah ke depan tempat imam lalu mengambil mikrofon dari imam dan mula bersyarah meluahkan rasa tak puas hatinya terhadap pihak pengurusan masjid. Dia menuduh pengurusan masjid telah menganjurkan kerja maksiat di kawasan masjid.

Sehari sebelum itu Masjid As-Salam telah menganjurkan satu program untuk remaja dan dalam salah satu acara, remaja membuat satu persembahan dengan menggunakan alat musik Gitar. Rupa-rupanya hamba Allah yang dengan garang ke depan jemaah selapas subuh itu mengecam perbuatan persembahan hiburan dengan menggunakan alat musik gitar itu.

Persembahan yang ditunjukkan oleh para remaja pada hari itu bukanlah persembahan lalai yang sampai melupakan dunia seperti pesta sure heboh atau pesta rock, ianya sekadar hiburan bagi memupuk dan menyuntik sedikit semangat menghiburkan diri yang memang lumrah ada pada semua insan yang dinamakan remaja.

Dari gambaran yang diberikan oleh kawan saya A tersebut, hamba Allah itu merupakan seorang ahli dakwah dari Jemaah Tabligh. Beliau marah dengan tindakan pengurusan masjid dan mencadangkan agar AJK Masjid sepatutnya meletakkan jawatan jika tidak dapat membezakan yang mana halal yang mana haram, sambil memberikan hujah bahawa hukum peralatan musik yang bertali adalah terang-terang haram dalam hukum syarak.

Saya rasa tentu tuan yang marah tersebut masih lagi membawa ilmu yang dipelajarinya ketika kecil waktu sekolah di kampung dulu tanpa ada apa-apa penambahan yang sepatutnya sebagaimana saranan junjungan mulia nabi kita Muhammad Sallahu'alaihiwasalam.

Saya syorkan beliau luangkan sedikit masanya menyelidiki pendapat-pendapat dari berbagai ulama terhadap hiburan dan peralatan musik ini yang sebenarnya amat luas perbahasannya. Cuma selama ini masyarakat kita terutamanya masyarakat kampung yang berorientasikan sistem pondok lebih condong kepada Mazhab Shafi'e yang melarang peralatan musik yang bertali dan serunai.


Sebenarnya dalam hal ini, ulama’ berselisih pendapat antara yang membenarkan dan mengharuskannya. Bagi yang mengharuskannya seumpama Ibnu Hazm, Asy-Syeikh Abdul Ghani An-Nabulsi, Asy-Syazili At-Tunisi dan lain-lain meletakkan syarat mestilah mempunyai niat yang betul dan tidak bertentangan dengan syara’. Di samping itu, mestilah tujuannya yang tidak melanggar batas-batas syara’.

Isu nyanyian dan muzik dalam Islam juga merupakan perkara yang diperselisihkan oleh ulama’. Semenjak sekian lama para ulama’ berselisih pendapat dalam masalah ini antara menghukumkannya sebagai haram dan harus.

Masing-masing mempunyai hujah-hujah yang tersendiri dalam memahami nas-nas yang berkaitan dengan perkara ini. Walaupun di sana terdapat perselisihan pendapat, ulama’ bersepakat dalam menghukumkan haram bagi setiap jenis nyanyian yang mengandungi unsur kekejian, unsur kefasikan atau unsur penggalakkan ke arah melakukan maksiat. 


Perselisihan pula berlaku dalam seumpama golongan yang mengharuskan sebarang bentuk nyanyian samada menggunakan alat muzik ataupun tidak, ada pula golongan yang mengharuskan jika sekiranya tanpa alat muzik dan ada juga yang mengharamkan secara mutlak samada menggunakan alat muzik ataupun tidak. Berkait dengan hukum nyanyian bersama wanita, Islam telah meletakkan disiplin yang jelas tanpa wujudnya sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap kaum wanita. (petikan dari blog ibnuhasyim.com)


Kita sebenarnya perlu akui bahawa dunia sedang bertukar menjadi mendatar sebagaimana tulisan Thomas Freidman, The World Is Flat. Kita tidak dapat menangkis serangan media komunikasi yang mampu dicapai oleh segenap lapisan masyarakat samada bandar atau kampung. Ini membuatkan masyarakat kita amat terdedah dengan segala perkembangan hiburan atau apa sahaja di seluruh pelusuk dunia.

Kita cuma ada pilihan samada untuk menaikkan tembok dari pendedahan luar terhadap masyarakat kita ataupun kita perlu menyesuaikan diri kita berlandaskan pemahaman Islam yang luas dan syumul.Sudah tentu menaikkan tembok bukanlah satu pilihan yang bijak.

Untuk penerangan lebih lanjut sila rujuk fatwa dan garis panduan tentang hiburan daripada Jakim di sini .
logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kecoh Di Subuh Pagi, Masjid As-Salam Puchong Perdana

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !