Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

26 February 2010

Maulidur Rasul - Menghampiri Orang Yang Kita Cinta

  Ano Nyme       26 February 2010
Sekali lagi kita menyambut serta memperingati kelahiran Nabi kita yang tercinta Muhammad Bin Abdullah moga Allah menambahkan kemuliaan serta meninggikan lagi mertabatnya selayaknya sebagai penutup segala Nabi dan manusia yang paling tinggi akhlaknya sebagai ikutan serta contoh seluruh umat manusia sehingga akhir masa.

Kenapa kita perlu sentiasa mengingati Rasul kita bukan sahaja pada hari-hari kelahirannya bahkan pada segenap waktu?, kerana dialah manusia rujukan kita sebagai cermin untuk kita jadikan teladan serta pedoman agar kita selamat dunia dan akhirat. Dalam bahasa inggerisnya kita panggil "reference", kita perlu menjadikan Rasulullah sebagai reference kita.


Kita sering menipu diri kita dalam memilih manusia untuk kita jadikan rujukan. Sedar atau tidak, manusia yang kita rujuk sebagai contoh untuk di ikuti sentiasa berubah-ubah.

Apabila kita rasa rendah dan inginkan semangat atau motivasi untuk maju lagi, dari segi harta kita akan memandang orang yang lebih kaya daripada kita, Syed Mokhtar, Ananda Krishnan, Robert Kwok atau di kalangan kawan kita yang lebih kaya.

Dari segi ilmu kita akan memandang ilmuan lain yang lebih hebat dari kita, dari segi akhlak, kita memandang orang lain yang kita kira lebih berakhlak dari kita, dan begitulah seterusnya silih berganti.

Apabila kita rasa hebat, kita memandang orang yang lebih lemah dari kita, dari segi harta kita melihat orang miskin, dari segi ilmu kita melihat orang yang lebih rendah akedemiknya, dari segi akhlak kita lihat orang yang lebih jahat dari kita dan begitulah seterusnya silih berganti.

Orang yang menjadi rujukan kita sentiasa berubah-ubah, dari hari ke hari, minggu ke minggu bulan ke bulan tahun ke tahun, segalanya bergantung kepada mood kita pada waktu itu.

Hasilnya kita tak pernah konsisten, beriringan dengan perasaan atau hati kita yang sentiasa berbolak balik, ada masa kita kecewa ada masa kita gembira bertukar bergantung kepada siapa yang kita jadikan reference atau rujukan pada waktu itu.

Sempena dengan Maulidur Rasul hari ini marilah kita menetapkan reference atau rujukan kita sebagai satu rujukan yang tetap tidak berubah, marilah kita jadikan satu-satunya manusia rujukan kita hanyalah Rasul yang kita cinta.

Orang yang kita cintai adalah orang yang kita mahu berada sehampir mungkin dengannya dan dalam perjalanan menghampirinya titik permulaan adalah diri kita.

Kita jadikan saat demi saat kehidupan yang kita lalui adalah untuk menghampirinya dengan kaedah saat ini adalah lebih baik dari saat yang baru berlalu, hari ini adalah lebih baik dari  semalam, minggu ini lebih baik dari minggu lepas, bulan ini lebih baik dari bulan lepas dan tahun ini adalah lebih baik dari tahun lepas.

Rasul adalah contoh kita, dia juga manusia yang berusaha melepaskan segala keperluannya, yang bergaul dengan sanak saudara anak-anak serta isterinya, yang bergaul dengan para sahabatnya, dengan masyarakatnya, yang memimpin, yang mendidik yang menyelesaikan segala masalah.

Hayatilah sirah nabi kita, rujukan kita, kita sedang dalam perjalanan menghampirinya.
logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Maulidur Rasul - Menghampiri Orang Yang Kita Cinta

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !