Sebelum ini saya ada menulis tentang strategi membina syarikat yang berjaya melalui teknik seolah-olah mahu menjual syarikat. Tidak ada pelabur atau pembeli syarikat yang bijak akan membeli sebuah syarikat yang bergantung atas kekuatan tuan punya syarikat semata-mata. Jika tuan punya syarikat mati, maka matilah syarikat atau perniagaannya.
Usaha membina syarikat yang menjadi idaman pembeli atau pelabur adalah usaha membina reputasi nama syarikat. Syarikat dikenali dengan namanya dan bukan dengan tuannya. Banyak usahawan yang terperangkap dengan fenomena menjadi pekerja di syarikat sendiri apabila mereka tidak sedar perbezaan antara menjadi usahawan dengan mencari duit.
Beza utamanya ialah usahawan kerjanya kembina syarikat manakala mencari duit adalah dengan buat kerja, kalau kita mahu cari duit sahaja lebih baik berkerja makan gaji. Jika makan gaji, sekurang-kurangnya jika sakit boleh MC, kalau kerja sendiri siapa nak cari duit kalau cuti?
Mengenal Pasti Sama Ada Anda Berada Dilandasan Yang Betul Dalam Membina Syarikat
Cuba anda ingat semula setiap kali anda bertemu dengan bakal pelanggan anda ketika melakukan jualan atau pemasaran, bagaimana anda berkomunikasi.
Kebiasaannya orang yang tidak membina syarikat sering menyebut tentang dirinya dan bukanlah syarikatnya. Sebagai contohnya bagi industri kawalan serangga yang saya ceburi saya akan berkata kepada pelanggan seperti ini.
"saya boleh merawat masalah anai-anai encik dengan teknik yang baru, saya memang pakar dalam bidang ini setelah sekian lama melibatkan diri dengan industri ini".
Cuba perhatikan bagaimana saya berkomunikasi dengan bakal pelanggan saya. Sepatutnya saya menggantikan setiap perkataan "saya" dengan "PestSciences", iaitu syarikat yang saya sedang bina.
Dengan berbuat begitu saya akan memastikan saya sedang mempromosikan syarikat PestSciences dan bukanlah diri saya walaupun pada mulanya memang saya sendiri yang akan melakukan segala kerja dari jualan sehingga ke operasi serta mengejar bayaran.
Akan tiba satu masa nanti saya akan merekrut seorang jurujual dan dia akan menggunakan istilah yang sama kerana dia mewakili syarikat yang boleh dipercayai yang berfungsi diatas satu sistem yang baik. Kita harus mampu menggambarkan pada pelanggan bahawa semua pekerja kita mewakili syarikat kita yang hebat dan bersistem.
Cuba bayangkan jika saya asyik menggunakan "saya", maka selama-lamanya pelanggan akan lebih selesa berurusan dengan kita sahaja, jika kita menghantar wakil, pelanggan akan mempunyai persepsi bahawa wakil kita itu tidak sehebat kita, walaupun kadangkala penyelia atau pengurus itu lebih mahir dari kita sendiri.
Pengalaman ini pernah diceritakan pada saya oleh seorang kawan yang membuat perkhidmatan rawatan air yang mempunyai masalah pelanggan tidak mempercayai pada siapa sahaja pekerjanya selain dari dirinya sendiri. Apabila saya menyelidiki bagaimana dia berkomunikasi dengan pelanggannya ternyata bahawa selama ini dia asyik mempromosikan dirinya sendiri dan tidak menekankan syarikatnya sebagai sebuah entiti yang boleh dipercayai.
Kesimpulannya ialah pembinaan syarikat yang berjaya bermula sejak dari hari pertama kita berniaga dan bercakap kepada bakal pelanggan. Gantikan semua perkataan "saya" kepada "nama syarikat" yang sedang anda bina. Dari situ anda akan dapat merasakan bahawa anda mempunyai satu tanggungjawab yang berat bagi memastikan bahawa semua anggota pekerja syarikat membawa satu bendera dan berkomunikasi dalam bahasa yang sama.
Jika salah seorang anggota syarikat membuat kesalahan, yang salah adalah syarikat keseluruhannya dan anda perlu sanggup menerima aduan dan mengambil tanggungjawab penuh atas aduan itu seterusnya merangka satu prosedur menerima dan menangani aduan ketidak puasan sehingga pelanggan anda berpuas hati.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !