Semalam tamatlah sudah kembara pelayaran saya selama 6 hari. Bermula daripada sabtu lepas 5hb Mac 2011 sehingga Khamis semalam 10hb Mac 2011. 2 hari sebelum tamat pelayaran memang tak dapat saya kemaskinikan perkembangan aktiviti pelayaran saya akibat dari perhubungan yang terbatas dan juga keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Pelayaran bermula dari Port Klang menuju ke Bandar Hilir, Melaka (sabtu) sambung ke Tanjung Piai, Johor (ahad), kemudian ke Pulau Sibu (isnin) menuju ke Kuantan (selasa) dan terus ke Pulau Kapas (rabu) dan berakhir di Chendering (khamis), Terengganu.
Enam hari pelayaran sudah cukup untuk saya merasai betapa jerih payah, suka duka pengalaman duduk di atas kapal di tengah lautan. Walaupun dalam pelayaran darat masih sentiasa nampak pada pandangan mata, namun ia tetap hebat sebagai salah satu pengalaman yang bermakna dalam hidup saya.
Dua hari terakhir menempuh laut bergelora amat menyakitkan. Rasa macam nak terjun berenang ke darat dan tidak mahu meneruskan lagi perjalanan. Kapal terhoyong-hayang, barang bersepah bertaburan, sentiasa saja ada kedengaran bunyi barang jatuh berdetum dari pagi sampai malam. Saya tak mampu bertahan berdiri dan berjalan lebih dari 10 minit.
Hidup udara segar di pagi hari
|
Setiap kali bangun rasa segala isi perut termasuk dengan perut skali mau keluar melalui mulut. Cuma nasib baik pening serta sakit kepala tidak ada, jadi oklah juga. Kalau tidak sudah tentu saya tak mampu bangun sedikitpun. Dalam keadaan ini solat atas kapal memang amat mencabar, elok solat berhampiran dinding agar tidak jatuh tersungkur.
Akal Manusia Kurniaan Allah Memang Hebat
Sejak hari pertama saya berada di atas kapal benda yang paling mula menarik perhatian saya adalah persoalan bagaimana seketul besi mampu timbul di atas air, sesuatu yang amat bertentangan dengan hukum adat. Campak saja seketul besi dalam air sudah tentu ia tenggelam. Begitupun, dengan adaptasi rupabentuk besi, akhirnya ia timbul juga di atas air.
Tenang dipukul angin
|
Seperkara lagi ialah betapa manusia bersusah payah merekabentuk bahan besi menjadi sebentuk kapal. Daripada bentuk sebesar-besar badan kapal itu sehinggalah ke rekabentuk aksesori dan peralatan yang kecil-kecil seperti cangkut, skru, rangka tingkap, tudung tingkap...semuanya diperbuat daripada besi. Allahuakbar, bukan sesuatu yang mudah kerjanya.
Masa, kesabaran, perancangan, kerjasama berkumpulan, kemahiran, tenaga, bahan besi, wang dan berbagai-bagai lagi dikerah dengan harmoni bagi membentuk sebuah kapal yang mampu bertahan dipermukaan laut merempuh badai.
Saya dapat tahu kapal yang saya naik itu adalah dari Jepun. Sebaik sahaja ia ditempa, keseluruhan kapal itu siap dalam tempoh 3 bulan. Bayangkan otak jepun itu buat kerja. Semuanya dikira dengan tepat sekali bagi menjamin keboleh gunaannya. Kosnya adalah melebihi RM40 juta. Tapi memang berbaloi melihat dari keupayaannya.
Saya ada dengar sebuah kapal yang kerajaan tempa kepada syarikat tempatan. Harganya sama lebih kurang sebagaimana yang ditawarkan Jepun. Memang siap juga kapal tersebut walaupun agak lewat tapi tidak seorang kapten kapalpun yang berani mengetuai pelayaran dengan kapal itu. Pelayaran percubaan saja sudah cukup mengerikan para kelasinya walaupun dalam lautan tenang.
Ternyata sehebat manapun pengendali sesuatu barangan itu, jika dari mula barang yang disediakan cacat, tak ada gunanya kemahiran pengendalian. Infra mesti sempurna sejak awal walau apapun yang terjadi, maka cerita selanjutnya boleh dirundingkan.
Bukan Semua Orang Kapal Hancur
Kebiasaannya jika disebut orang kerja kapal, perkara pertama yang dikaitkan dengan mereka ialah kecelaruan hidup. Mereka selalu dikaitkan dengan kaki minum, tak solat, kaki b*rit, kaki judi, dan berbagai lagi benda tak elok.
Candak sotong di Kuantan
|
Tapi ternyata saya bertemu orang kapal yang tak ada semua yang saya sebutkan di atas. malah mereka siap solat berjemaah di atas kapal. Tak ada minuman keras. Tak ada perempuan dan tak sibuk cari perempuan bila berlabuh di pelabuhan.
Solat Berjemaah
Saya bayangkan jika dalam keadaan terhoyong hayang orang boleh solat berjemaah, jika berada dipermukaan bumi yang rata, dengan masjid dan surau yang indah dan serba lengkap kenapa kita tidak dapat lakukannya?.
Saya tidak pasti bagaimana semua kelasi yang bersama dengan saya dalam pelayaran tersebut, adakah mereka merupakan ahli masjid serta surau ketika berehat di darat. Jika mereka memang kaki berjemaah, memang patut dan normal. Jika di darat mereka kaki solat sendirian, atau tak solat lansung, barangkali mereka ada masalah urat saraf pada otak mereka.
Kerjasama Berkumpulan
Kapal yang elok, ditambah dengan ahli kapal yang mahir mengendalikannya belum tentu dapat berlayar menuju destinasi jika tidak ada kerjasama yang baik. Tak ada orang yang boleh mengendalikan kapal yang besar seorang diri.
Saya lihat ada keupayaan kerjasama yang amat baik dalam kapal yang saya naiki. Yang membanggakan saya ialah mereka semuanya anak bangsa saya. Bangsa Melayu terbukti mampu bekerjasama dengan baik. Masing-masing tahu tugasan masing-masing dan yakin dengan keupayaan rakan-rakan mereka walaupun ada sedikit sebanyak komen atau rungutan, itu perkara biasa.
Saya terfikir jika kerja kumpulan yang tersusun dan sistematik tersebut diterjemahkan di dalam masyarakat kita di setiap daerah, sudah tentu kita dapat melahirkan bangsa yang hebat. Tunjuk saja mana destinasinya, sepantas kilat kita semua dapat membawa bangsa kita ke sana.
Singgah di Pulau Kapas pada hari terakhir
|
Ibu Mengandung
Jika anda seorang ayah, anda tentu berpengalaman melihat isteri anda mabuk ketika mengandung. Kadang-kadang rasa rimas dengan ibu mengandung ni yang tak boleh makan apa-apa. Semuanya dia tak berselera. Asyik-asyik muntah dan sentiasa terkulai tidak bermaya. Kebiasaannya mereka banyak berbaring tidak bermaya.
Terdetik juga rasa ingin tahu apa yang mereka rasakan, betul atau terikut-ikut dengan rasa lemah dan meloya sehingga rasa menyusahkan diri sendiri.
Semua itu terjawab apabila saya alami mabuk laut. Tak makan rasa lapar, nak makan nanti terhambur keluar semua isi perut. Serba salah dibuatnya. Badan rasa lemah, meloya. Bantal jadi teman karib, asyik nak melentang baringkan badan dan kepala yang berpusing.
Baru saya rasa apa yang mereka rasa, memang tak boleh nak kawal perasaan tersebut, macam-macam dicuba, hidu kulit limau, sapu balm, minyak kapak, semuanya tak dapat melegakan apa yang dialami. Terseksa sekali, kalau boleh nak terjun laut berenang ke darat.
Jadi kalau nak rasa macam mana perasaan mabuk mengandung, cubalah ikut kapal atau bot belayar 2 atau 3 hari, tentu kita akan insaf.
Manusia Terpengaruh Dengan kesibukan
Ketika di laut saya sering cuba memerah otak untuk fokus pada sesuatu masalah di darat yang perlu diselesaikan. Cuba ingat masalah keluarga, masalah perniagaan, masalah kewangan, masalah masyarakat, masalah kehidupan dan lain-lain yang sentiasa menghantui kita di darat.
Malangnya segala ingatan tersebut sirna setelah hanya beberapa saat. Tak mampu nak fokus. Otak tak dapat bertahan malayan semua masalah yang cuba diketengahkan itu. Pengaruh suasana laut, rasa angin sejuk menghempas ke muka, segar dibuai bayu, syahdu suasana kebiruan langit, kehijauan laut. Semua itu membuatkan otak melenyapkan segala keregangan fikiran.
Saya cuba mencari jawapan kenapa berlaku begitu?. Sebaik saja saya naik ke darat, mulakan kehidupan di darat semua masalah menerkam menikam fikiran, dada mula sempit, kaki mula melangkah laju, tindakan mula tergesa-gesa. Entah apa yang dikejarkan saya sendiri tidak pasti.
Saya berkeyakinan ini semua ada kena mengena dengan suasana sekeliling kita. Di darat kehidupan kita penuh bercelaru, arang ramai mundar mandir, kenderaan pantas berdesup, bunyi motor, kereta lori, laungan serta keritan manusia, suara tegang bertengkar, berdiskusi, amat mempengaruhi otak kita.
Akhirnya kita terikut-ikut dengan suasana sekeliling kita. Kita mula tidak membenarkan diri kita bertenang, kita mesti berfikir, kita mesti keluar dari semua keserabutan itu. Kita mesti lari, tangkas, selesaikan...selesaikan..selesaikan...entah apa yang nak diselesaikan...tak tahu hujung pangkal tak tahu bila akhirnya.
Begitulah serba sedikit apa yang saya dapat pelajari sepanjang 6 hari belayar di atas kapal. Moga ada manafaatnya buat renungan mereka yang mambacanya. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !