Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

24 November 2011

Pasti An-Nur Perlu Dicontohi

  Ano Nyme       24 November 2011
Majlis perasmian
Ahad baru-baru ini telah berlansung majlis konvokesyen Pasti An-Nur cawangan Taman Puchong Intan dengan dihadiri oleh ramai ibubapa serta beberapa jemputan kehormat. Majlis sederhana tetapi penuh gemilang tersebut dirasmikan oleh calon DUN Pas di kawasan tersebut pada PRU-12 lalu, iaitu Cikgu Idzam.

Pasti An-Nur merupakan Pasti yang menjadi mangsa pergeseran politik dalaman antara pemuda kawasan dan juga cawangan. Saya ada melaporkannya sebelum ini di sini. Walaupun tidak mendapat bantuan serta sokongan akibat pergeseran dalaman tersebut nampaknya pengurusan Pasti An-Nur tetap kukuh dengan matlamat pendidikan mereka bagi melahirkan warga yang didedahkan dengan roh Islami sejak dari kecil.

Pengurus Pasti An-Nur
Ketika mendedahkan tindakan tidak matang pemuda kawasan dalam memboikot pengurusan Pasti An-Nur sebelum ini ada ramai yang mengutuk tulisan saya dengan berbagai tuduhan. Mereka menuduh saya khianat pada parti dengan membuat pendedahan masalah dalaman. Ada juga yang mempersoalkan samada saya adalah ahli Pas dan sentiasa mengikuti usrah parti yang dijalankan dan berbagai kritikan lagi seumpama dengannya.

Apa yang jelas mereka yang megutuk itu cuba mengaitkan hal ehwal pendidikan dengan hal ehwal parti. Pendidikan bukanlah sesuatu yang perlu dicampur adukkan dengan perselisihan politik. Sebagaimana ucapan yang dibuat oleh Cikgu Idzam ketika merasmikan majlis konvokesyen, beliau tidak ada menyebut Pas atau Umno, sebaliknya beliau menekankan betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak disirami dengan roh Islami.

Beliau menggambarkan betapa lapangnya dada ibubapa yang melihat anak-anak mereka pulang ke rumah dengan mengamalkan segala doa-doa yang diajar dalam kehidupan seharian. Alangkah bahagianya kita bila mendengar anak kecil kita yang secara spontan dan jujur mendoakan kesejahteraan diri kita. Alangkah damainya mendengar anaknya mengingati Allah setiap kali mahu makan atau mahu tidur.

Semua ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke Pasti tentu tidak pernah mendengar anak-anak kecil mereka pulang ke rumah dan menggesa ibubapanya setia kepada parti Pas, malah mereka lansung tidak dapat membezakan antara Pas dengan Umno.

Apa yang mereka bawa pulang adalah ucapan-ucapan doa serta pengetahuan tentang yang mana baik yang mana buruk, yang mana dosa yang mana pahala. Malah yang palng utama sekali mereka menamatkan umur persekolahan 6 tahun mereka dengan keupayaan mengenal huruf dan kebolehan membaca serta mengira. Apa lagi yang kita harapkan selain daripada itu.

Atas dasar tersebut mengapa pula kita orang tua-tua yang sepatutnya menjadi contoh teladan kepada mereka menjadi buta antara pendidikan anak-anak dengan nafsu kuasa politik. Tidak bolehkan kita meletakkan ketepi sebentar perkara tersebut dan bersama-sama memberikan tumpuan terhadap pendidikan mereka.

Sebab itu saya katakan apa yang dilakukan oleh pemuda Pas kawasan Puchong tidak kena apabila sanggup memejam mata terhadap nasib masa depan anak-anak kecil dengan memboikot segala kemudahan pembelajaran mereka.

Kekeliruan pemuda terserlah apabila Pas negeri memberikan laluan terus kepada Pasti An-Nur untuk berurusan terus dengan negeri bagi memenuhi segala keperluan pembelajaran anak-anak didik mereka. Ini membuktikan bahawa Pas Negeri dan parti Pas umumnya memahami aspirasi pendidikan kanak-kanak dan tidak mahu melihat sebarang masalah yang boleh membantutkan proses pendidikan anak-anak kecil.

Walau apapun sebenarnya pihak pengurusan Pasti An-Nur perlu dipuji kerana tidak lemah semangat dan melompat melulu walaupun diboikot oleh pemuda kawasan. Mereka komited dengan matlamat mendidik anak-anak yang dipertanggung jawabkan kepada mereka. Dengan kesungguhan dan komitmen yang tinggi begitu maka tidak hairanlah Pasti An-Nur menjadi Pasti terbaik di negeri Selangor.

Kedudukan sebagai Pasti terbaik Selangor itu terserlah sekali lagi apabila melihatkan bagaimana mereka bersungguh-sungguh menganjurkan Majlis Konvokesyen pada hari ahad baru-baru ini sehinggakan Cikgu Idzam sendiri terkejut dan tidak menyangka ianya adalah sebuah majlis yang besar dan terancang siap dengan upacara perasmian dan pertunjukan pentas serta pemberian hadiah-hadiah yang istimewa.

Saya mendapat tahu kawasan sendiri hanya menganjurkan majlis anugerah cemerlang secara ala kadar saja dengan menyampaikan hadiah yang hanya berupa medal berharga 3 ringgit seperti anugerah pertandingan sukaneka. Sedangkan Pasti An-Nur menghadiahkan beg sekolah pada semua para pelajarnya ketika majlis konvokesyen tersebut di samping hadiah-hadiah lain yang lebih berharga berupa kelengkapan bersekolah.

Sebenarnya Pasti mampu pergi lebih jauh lagi jika semua pihak bekerjasama atas nama Islam, ilmu dan pendidikan dan bekerja secara profesional bagi memperkasakan sistem pembelajaran Pasti. Segala sumbangan tetap setiap bulan dari setiap Pasti cawangan kepada pemuda kawasan perlulah digunakan secara maksimum ke arah itu termasuklah menggunakan sumber kewangan yang ada dalam kerja-kerja pemasaran bagi menambah lebih ramai lagi pelajar yang mendaftar ke setiap Pasti cawangan.

Usaha pemasaran yang dilakukan secara berpusat dan tersusun adalah lebih menjimatkan dan berkesan daripada dibiarkan setiap cawangan menjalankan promosi pasti cawangan mereka bersendirian dengan terkial-kial dan tidak berkesan.

Pasti tidak boleh dan tidak patut hanya mengharapkan hanya orang-orang Pas sahaja yang akan menghantar anak-anak mereka ke situ, ia tidak mencukupi. Pasaran sebenarnya lebih besar daripada itu asalkan kita menonjolkan pendidikan Islam sebagai satu-satunya matlamat Pasti tanpa mencampur adukkan dengan politik kepartian.

Akhir kata sekali lagi syabas diucapkan kepada pihak pengurusan Pasti An-Nur dan didoakan agar mereka dinobatkan sebagai Pasti terbaik diperingkat kebangsaan pula. Pasti An-Nur merupakan salah satu Pasti yang disenarai pendekkan dalam pencarian Pasti Terbaik Peringkat Kebangsaan.

Bagi warga muslim di seluruh kawasan Puchong Intan dan mereka yang berhampiran dengannya jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan pendidikan istimewa daripada Pasti An-Nur dengan menghantar anak-anak anda ke sana bagi sesi tahun depan.

Lihat koleksi photo majlis konvo di sini.
logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Pasti An-Nur Perlu Dicontohi

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !