Bagi mereka yang dah menjangkau umur melebihi 40 tahun pasti akan dapat merasakan daya kecergasan diri akan terasa mula menurun. Bagi yang biasa bermain bola dan masih bermain lagi walaupun telah melewati 40 tahun sudah tentu dapat merasakan fenomena kaki cuba mahu meninggalkan badan sedangkan keupayaan mengejar bola sudah berkurangan, kalau diturutkan juga rasa hati alamat terjerumus makan rumput akibat tersembam ke depan atau ke belakang.
Kalau pada masa muda-muda dahulu terasa sengal sedikit akan segera hilang, tapi bila umur dah meningkat, ia terasa macam melekat dan terasa lega apabila dipicit atau diurut dengan minyak panas. Diketika itu kita mula teringinkan perkhidmatan urut yang mampu melegakan segala sengal yang melekat diurat daging sekitar badan.
Begitulah yang terjadi pada saya yang menyebabkan saya mula tercari-cari di mana boleh mendapatkan seseorang yang boleh mengurut seluruh badan. Setelah bertanya pada seorang kawan saya ditemukan dengan Haji Ibrahim.
Menurut kawan saya itu, nasib saya baik kerana kebetulan ada seorang pelanggan Haji Ibrahim yang telah membatalkan tempahannya pada hari sabtu lalu. Kebiasannya agak sukar untuk mendapatkan tempat untuk diurut oleh Haji Ibrahim ini. Semua pelanggan biasanya sudah siap menetapkan waktu masing-masing.
Ada pelanggan yang pergi mengurut dengan Haji Ibrahim setiap minggu dan ramai yang mengurut dengannya sebulan sekali. Haji Ibrahim setiap hari kerjanya hanya mengurut dari pagi sampai kepetang. Pelanggannya mula datang seawal 6 pagi dan dia akan mula mengurut selama 55 minit bermula pukul 6 dan tamat pukul 6.55 pagi. Dia akan berehat sebentar untuk 5 minit dan mula mengurut lagi dari pukul 7 pagi dan berakhir pada pukul 7.55 dan begitulah seterusnya tidak berhenti sehingga pukul 1 patang dimana dia akan berehat untuk makan dan solat.
Dia mula mengurut semula bermula pukul dua dan berlarutan sehingga waktu asar di mana dia akan berehat sekali lagi dan mula mengurut semula dan berehat pada waktu magrib dan mengurut lagi kemudian berehat pada waktu insya dan sambung menguru lagi sehingga pukul 12 malam. Begitulah rutin hariannya setiap hari.
Setiap pelanggan di kenakan bayaran sebanyak RM50 tidak kira siapa yang datang mengurut. Ada beberapa orang bergelar datuk yang menjadi pelanggan tetapnya dikenakan dengan harga yang sama juga tidak ada perbezaan.
Kenapa dia begitu digemari adalah kerana memang urutannya amat berbaloi. Dia menyediakan katil khas untuk mengurut. Dia akan mengurut bermula dari ibu jari kaki sehingga ke hujung rambut satu persatu dengan lengkap dan tidak ada bahagian yang akan ditinggalkannya.
Selepas mengurut, biasanya kita akan merasakan teramat letih seperti baru lepas bermain tenis selama berjam-jam tidak berhenti. Elok jika selepas mengurut kita merehatkan diri sebentar dengan tidur bagi mengembalikan kekuatan diri.
Jika dikirakan pendapatan Haji Ibrahim sekarang dia mendapat hasil tidak kurang daripada RM10,000 sebulan hasil daripada kerja mengurutnya. Jauh berbeza dengan apa yang didapatinya ketika dia bekerja sebagai seorang posmen sebelum ini.
Itulah rezki kurniaan Tuhan diberikan kepada orang yang tahu memanfaatkan kurniaan tersebut...kalau nak rasa urutan Haji Ibrahim anda cubalah dail nombor telefonnya 019-3859893 untuk booking waktu mengurut.
Alhamdulillah...kerana jaga solat. Ws
ReplyDelete