Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

05 September 2021

Senarai 100 idea perniagaan kecil yang boleh anda cuba untuk mula berniaga

  Ano Nyme       05 September 2021

Nota:

Artikel ini disiarkan di blog khas www.hidupringkas.com. Blog khas untuk mereka yang berniaga dan mahu menjalani kehidupan yang ringkas. Anda boleh ikuti tips perniagaan dan kehidupan ringkas di blog itu.

Bagi yang berniaga, jemput sertai Grup Bisnes Kecil yang admin tubuhkan dalam Facebook. Klik Sini untuk jadi ahli.


Sekarang kita pergi ke tajuk utama artikel ini tentang 100 idea perniagaan kecil yang anda boleh pertimbangkan untuk buat.

Salah satu fakta yang anda tentu tahu tentang perniagaan besar adalah, kebanyakan darinya hanya bermula dari satu perniagaan yang kecil sahaja.

Tetapi malangnya, barangkali sebab teruja dengan impian besar, ramai yang terlupa akan realiti di atas. Terlupa bahawa hasil dari idea perniagaan kecil inilah yang akan berkembang jadi perniagaan besar.

Mereka leka memikirkan idea perniagaan besar. Tunggu dan tunggu sampai kesempurnaan dan tak mula mula.Puncanya, sebab nak terus lompat hasilkan perniagaan besar sekali gus.

Jangan kejar yang besar dulu. Mula kecil-kecil sekarang. Perniagaan kecil itu boleh berkembang menjadi sebuah perniagaan yang besar dan hebat satu masa nanti, insyaallah.

Oleh itu, buat sementara waktu ini, lupakan dulu perniagaan besar. Mari berikan tumpuan pada senarai idea perniagaan kecil di bawah yang anda boleh jalankan segera.

100 idea perniagaan kecil

Berikut adalah senarai idea perniagaan kecil yang boleh dipertimbangkan:

  1. Perniagaan kopi – banyak jenis atau model perniagaan kopi ni. Boleh buat kedai kopi, boleh buat serbuk kopi tradisi goreng kat rumah dan lain-lain. Pencinta kopi memang ramai, ada yang suka kopi original dan ada yang suka kopi ala-ala Malaysia. Ada satu kedai di Taman Tun Dr Ismail yang saya minum dengan kawan menjual semua jenis minuman kopi… hanya kopi. Mereka siap anjurkan kelas mengajar ilmu berkenaan kopi dan bagaimana merasa kopi. Menarik perniagaan kopi ini.
  2. Perniagaan teh – Sebut teh, semua akan terbayangkan Teh BOH atau Teh Lipton. Mereka dah besar sangat dan ada ladang sendiri. Tapi jika kita kreatif, boleh cari Teh menarik buatan luar atau tempatan dan jadi ajen. Kalau kena strategi tentu boleh dijual. Saya pernah pertimbangkan nak jadi pengedar Teh Mekah satu masa dulu. Kalau yang pernah ke Mekah tentu kenal Teh Rabia, memang terkenal kat sana. Tapi projek tu terhenti sekerat jalan. Tak tau pulak siapa yang jadi ajen Teh Rabia kat Malaysia sekarang.
  3. Perniagaan milo – Minum milo anda jadi sihat dan kuat!, semua pernah dengar moto tersebut. Sebenarnya Milo adalah jenama dan perniagaan sebenarnya adalah minuman koko. Ada orang yang tahu teknik bancuhan koko ini sampai sedap diminum macam air milo. Kalau kita ada ilmu bancuhan tersendiri, kita boleh buat jenama sendiri dan pasarkan kecil-kecilan minuman koko. Kenalah cari nama yang sesuai. Tapi susah rasanya nak buang perkataan Milo dari minda rakyat kita.
  4. Perniagaan susu kambing – Ini perniagaan yang dah mula popular sekarang. Ia lebih dikaitkan dengan kesihatan. Ada saudagar susu kambing besar di Indonesia yang tawarkan pada saya untuk jadi ajen susu kambing keluaran mereka untuk dipasarkan di Malaysia. Tapi rasanya kat Malaysia juga ada jenama susu kambing yang berjaya dan besar perniagaan mereka, Higoat. Cari pengeluar susu kambing dan cipta jenama sendiri dan pasarkan secara kecil-kecilan di sekitar kawasan penempatan. Kalau kena tekniknya tentu boleh membesar dan berjaya. Tak payah bela kambing pun untuk itu.
  5. Perniagaan minuman botol berperisa – Perniagaan kecil minuman botol memang ada potensi untuk menjadi perniagaan besar. Lihat saja Coca-Cola, Pepsi, F&N, Red Bull dan banyak lagi. Mereka berjaya ke tahap dunia. Ramai usahawan kecil di kampung berjaya naik dengan mula membotolkan minuman berperisa. Ini industri mudah untuk dipasarkan jika kita rajin. Ada banyak kilang yang boleh kita outsource untuk membotolkan jenama minuman kita sendiri. Mulakan dengan menghantar ke kedai-kedai makan berhampiran dan seterusnya mengorak langkah lebih jauh.
  6. Perniagaan air mineral – Ini perniagaan yang kadangkala pelik. Bayangkan jika diceritakan pada tok nenek kita ada orang jual air kosong untuk diminum, tentu mereka hairan. Tapi minuman mineral atau air minuman biasa yang kosong ini menjadi perkara biasa di seluruh dunia. Masih ada banyak ruang untuk sesiapa saja masuk dalam industri ini. Tak perlu keluarkan duit untuk sedut air dari bumi, cukup sekadar outsource pada kilang pengeluar air minuman dan bina jenama kita sendiri. Mulakan dengan hantar ke kedai-kedai runcit berhampiran sebelum negorak langkah lebih jauh.
  7. Perniagaan air buah-buahan – Di bulan ramadan, perniagaan air buah-buahan ini amat laris. Orang yang sedang puasa akan terliur melihat bagaimana proses air buah dilakukan di bazar ramadan. Industri ini juga amat besar. Siapa tak kenal Marigold, sedap air buah limaunya yang berpulpa. Anda juga boleh mula buat jenama sendiri samada proses sendiri secara kecil-kecilan di rumah atau outsource pada kilang yang sedia ada.
  8. Perniagaan air bertenaga – Ada seorang kawan yang buat sendiri formula air bertenaga dengan jenamanya sendiri. Takmsilap saya dia namakan sebagai “Charge”. Dia berjaya edarkannya ke rata tempat, tapi dek kesilapan pengurusan perniagaan, dia tewas. Tapi dia masih belum tamat, dia turun dan mulakan semula dan kali ini dengan outsource pada kilang lain. Anda juga boleh buat perkara sama. Bukan formula yang utama, tapi ilmu niaga dan ilmu pengurusan perniagaan yang lebih penting. Mula kecil-kecilan untuk belajar sebelum pergi jauh.
  9. Perniagaan kek – Dulu jarang kita lihat orang jual kek di pasar malam. Malah tak terfikirpun orang nak beli kek dan makan hari-hari macam sekarang. Sekarang kek ada dijual melaui internet, di pasar malam dan juga di kedai-kedai. Ada yang buat kek sendiri dan pasarkan sendiri. Ada juga yang ambil kek orang buat dan pasarkan dengan jenama sendiri. Yang pentingnya ilmu perniagaan, dan bukannya ilmu buat kek. Jika ditambah dengan minat dalam bab kek ini, perniagaan ini ada potensi tinggi untuk pergi jauh.
    • Nak tahu pasal ilmu bisnes kek ni boleh cuba dapatkan e-book tentang bisnes tersebut pada pautan ini >> BisnesBakeri.com
  10. Perniagaan biskut homemade – Ini juga sama macam perniagaan buat kek di atas. Ada yang punya formula turun temurun buat biskut. Ada yang mampu buat biskut kalah Chipsmore, tapi tak reti pasarkannya. Ada juga yang tak reti uruskan pengeluaran secara besar-besaran. Kalau anda ada ilmu dan kesungguhan untuk berniaga, cari saja orang yang ada resepi rahsia sebegini dan suruh dia buat pengeluaran dan anda buat pemasaran.
  11. Perniagaan roti bun homemade – Semua orang dah boleh buat roti bun sendiri sekarang. Kena ada modal sikit untuk sediakan peralatan dan alat pembakar roti. Saya kenal kawan yang laburkan sedikit wang untuk belajar dan beli peralatan untuk buat roti bun, kemudiannya mula jual secara kecil-kecilan sampai mampu menjana wang yang agak baik. Ada banyak cara untuk pasarkan roti bun ini, termasuklah dengan meletakkan di kantin sekolah, restoran berhampiran dan seumpamanya. Bila pasaran dah besar, boleh tempah di kilang buat roti bun yang besar untuk dipasarkan dengan jenama sendiri pula.
  12. Perniagaan coklat homemade – Ini satu lagi perniagaan yang menarik. Ramai dah pandai buat coklat sendiri dan kalau tak pandai boleh beli vcd ebook yang menurunkan ilmu buat coklat. Pasarkan di FB atau bawa ke pejabat untuk dijual secara kecil-kecilan. Ramai orang suka coklat ini. Di Langkawi, pasarayanya banyak menjual berbagai jenis coklat dan jika anda kreatif boleh tiru mana yang sedap dan buat jenama anda sendiri.
  13. Perniagaan kuih frozen – Satu lagi perniagaan yang boleh dimulakan secara kecil-kecilan. Samada dengan suruh orang lain buat dan anda pasarkan atau buat sendiri dan pasarkan sendiri juga. Ada emak seorang kawan saya yang mula buat sendiri kuih frozen dan pasarkan pada kawan-kawan. Kemudian anak-anaknya pula pasarkan pada kawan-kawan mereka dan seterusnya perniagaan itu membesar. Jika anda ada minat, ada idea besar untuk majukan perniagaan ini, boleh mulakan sekarang secara kecil terlebih dahulu
  14. Perniagaan roti canai frozen – Di kampung saya roti canai frozen sering dijual di tempat pengajian di mana ramai orang tua-tua yang pergi belajar agama di sana. Antara tawaran unik yang penjual itu tawarkan adalah roti canai buatan Melayu Muslim dan dijamin suci bersih. Orang tua di situ tak suka makan roti canai di kedai mamak, oleh itu roti canai frozen yang bersih itu mendapat sambutan hangat. Orang beli bawa balik rumah dan panaskannya kalau nak makan. Simpan dalam peti sejuk kalau tak naka makan lagi. Ini juga satu perniagaan yang boleh bermula secara kecil.
  15. Perniagaan pizza frozen – Ramai juga orang yang dah mula jual pizza di pasar malam. Pizza dan jadi makanan biasa bagi masyarakat kita. Biasanya pizza yang ditawarkan adalah jenis pizza Amerika yang tebal rotinya. Jarang saya lihat pizza Itali yang nipis dan lazat. Tak kisah samada pizza ala Amerika atau ala Itali, anda boleh buat pizza frozen dan boleh edarkan di pasar malam atau pasarkan sendiri pada kenalan atau di internet.
  16. Perniagaan murtabak frozen – Murtabak ada berbagai jenis, ada jenis mamak, ada jenis Melayu dan lain-lain lagi. Kalau di pasar malam, orang cuba perkenalkan jenama murtabak mereka dengan berbagai jenama. Ada satu murtabak frozen yang saya lihat agak popular satu masa dulu. Mereka namakan sebagai murtabak Singapura. Tapi proses buat murtabak ini agak mencabar kerana anda tak ada pilihan selain daripada perlu memasaknya terlebih dahulu. Kalau ramuan urtabak anda sedap dan tahan lama, insyaallah boleh mendapat sambutan.
  17. Perniagaan burger – Ini perniagaan yang senag sangat untuk diceburi oleh sesiap saja di negara kita. Dari Johor sampai ke Perlis, kita boleh lihat ada ratusan ribu peniaga burger yang menggunakan konsep stall burger. Mereka mula berniaga di tepi jalan, tepi restauran tepi taman bila menjelang waktu petang. Industri ini anyak membantu perkembangan daging burger Ramly satu masa dulu. Anda juga boleh mulakan perniagaan burger dengan mudah. Malah jauh lebih mudah daripada perniagaan roti canai.
    • Ada e-book tentang bisnes burger jika anda berminat nak belajar. Klik pada pautan ini >> BisnesBurger.com
  18. Perniagaan popia – Ini bukan satu industri kecil. Popia amat terkenal di negara kita dan kalau kena gayanya popia anda boleh menjadi pilihan ramai. Kalau di Giant Shah Alam, saya lihat satu kiosk popia yang dijual oleh orang muda. popia mereka mendapat sambutan menggalakkan walaupun dijual dengan harga RM1 satu. Kalau anda lewat, semua popia akan habis terjual.
  19. Perniagaan putu piring – Peniaga putu piring di pasar malam Puchong tak pernah berhenti buat kerja sejak gerainya dibuka sampailah habis kesemua putu piringnya. Begitulah larisnya perniagaan putu piring di pasar malam Puchong. Peniaga putu piring di kampung saya di Pekan Penanti Bukit Mertajam dah dua keturunan meneruskan perniagaan yang sama sampai sekarang. Ertinya pasaran putu piring sentiasa ada kalau anda ada kemahiran buat putu piring. Mulakan dengan kecil-kecilan dan fikirkan bagaimana nak besarkan perniagaan putu pirng tersebut.
  20. Perniagaan putu buluh – Dulu putu buluh agak jarang berbanding dengan putu piring dijual di tepi jalan dan pasar malam. Tapi sekarang nampaknya ada bermacam jenama putu buluh samada di Port Dickson, Melaka, Gombak, Ulu Langat dan banyak tempat lagi. Ini juga satu perniagaan unik menarik yang boleh dimulakan secara kecil-kecilan. Jangan lupa bagaimana perniagaan boleh dikembangkan sampai ianya membesar.
  21. Perniagaan putu mayam – Biasanya putu mayam hanya dijual oleh orang India samada dengan naik motosikal ataupun naik basikal. Sekarang ramai sudah orang Melayu yang jalankan perniagaan putu mayam di pasar-pasar malam. Cuma saya jarang lihat orang Melayu naik motosikal atau van pick-up pasarkan putu mayam mereka secara mobile. Ini satu perniagaan menarik yang memang ada pasaran dan boleh dimulakan secara kecil-kecilan dan boleh difikirkan bagaimana nak dibesarkan.
  22. Perniagaan tauhu – Seingat saya tauhu halal yang dibuat oleh orang Melayu hanya popular apabila pertubuhan Al-Arqam berusaha melakukannya dan memasarkannya. Kini dah ramai orang Melayu pandai buat tauhu. Ada banyak penjaja sayur-sayuran menjual tauhu di pasar-pasar malam. Kalau anda boleh buat tauhu, ada potensi yang mudah untuk menjualnya secara borong pada para penjaja dan juga kedai-kedai runcit di kawasan berhampiran tempat anda tinggal.
  23. Perniagaan tau fu fa – Dulu Tau Fu Fa ni orang Melayu tak berapa kenal. Tapi sekarang ramai yang menjualnya di pasar-pasar malam. Ada yang buat sendiri dan menjualnya menggunakan lori pick-up, ada juga yang hanya ambil daripada orang lain dan memasarkannya secara kecil-kecilan. Makanan ini tak menjemukan malah kanak-kanak amat menggemarinya. Jika anda mulakan perniagaan ini, insyaallah tak ada masalah terhadap pasarannya. Boleh cuba selalu.
  24. Perniagaan buah-buahan – Dari zaman saya kanak-kanak sampai sekarang ada berbagai model perniagaan buah ini telah saya lihat. Ada yang jual buah secara longgok dan ada pula yang jual buah secara dikupas dan dimasukkan dalam plastik. Malah sekarang ada yang jual kedua-dua konsep di atas. Pasarannya tetap ada samada di tepi jalan atau tumpang disebelah kedai makan orang. Pastikan buahnya segar dan dapat menghilangkan dahaga. Mungkin boleh gabungkan sekali buah kupas, buah longgok dan air buah, tentu manarik. Atau paling mudah tanam pokok buah dan jual pada pemborong. banyak konsep dalam penjualan bah ini. Be creative dong!
  25. Perniagaan makanan pasar malam – Antara perkara paling laris tak menang tangan di pasar malam ada perniagaan makanan. Lihat gerai jual mee, mihun, nasi goreng dan seumpamanya, mesti ada lebih dari satu taukeh. Siapa buat sedap dan pantas servisnya dia akan dikerumuni orang ramai. Fikirkan apa saja makanan rutin, jual di pasar malam insyaallah ada jalan.
  26. Perniagaan jual air minuman pasar malam – Ini satu lagi gerai yang sentiasa laris. Kecuali di hari hujan, gerai jual air ini sering sibik. Cara persembahan airnya amat menarik sekarang berbanding cara dulu. Orang suka kalau ada berbagai jenis air pilihan. Lagi banyak lagi meriah. Saya kenal ramai usahawan berjaya dengan menjadi taukeh besar restoran sekarang ini bermula dengan hanya menjual air di pasar malam atau tapak keramaian.
  27. Perniagaan baju kurung – Orang perempuan ramai yang boleh buat baju kurung. Tapi tak ramai yang ada ilmu pemasaran dan tak ada strategi untuk kembangkan kemahiran itu jadi satu perniagaan. Biasanya mereka hanya sibuk pada musim raya sampai tak menang tangan dan banyak potensi jualan terbuang begitu saja. Jika anda kreatif, cuba mula tempa baju kurung sedikit demi sedikit dan cuba fikirkan design yang bakal mendapat sambutan dengan buat sample dan pasarkan dalam internet. Mana yang laku itu bakal jadi top produk anda.
  28. Perniagaan pakaian kanak-kanak – Tak payah pandai buat pakaian kanak-kanak sendiri, cari saja dari negara China. Utamakan keselesaan dan kemudiannya baru gaya. Ada banyak design pakaian kanak-kanak hanya canggih dari segi penampilan gaya sedangkan kanak-kanak terseksa memakainya sebab gatal atau menyukarkan pergerakan. Ibu bapa perlu beli pakaian kanak-kanak ini lebih kerap  kerana proses pembesaran mereka yang cepat. Pakaian kanak-kanak bukanlah satu perniagaan bermusim.
  29. Perniagaan pakaian perempuan – Pakaian perempuan lebih umum berbanding pakaian baju kurung. Ada banyak rekaan pakaian sekarang dan antara yang tegah hot adalah jubah dan pakaian muslimah berkain cotton. Orang perempuan lebih kerap membeli berbanding orang lelaki, jadi berniaga saja barangan untuk orang perempuan memang ada potensi besar.
  30. Perniagaan pakaian dalam perempuan – Ini satu lagi perniagaan ang cukup besar pasarannya. Ada berbagai jenis pakaian dalam perempuan jika kita selidiki. Ada berbagai pasaran untuk berbagai kumpulan sasaran ang berbeza. Jual online pakaian dalam seksi untuk para isteri melelehkan airliur suami tentu salah satu idea yang menarik untuk dicuba.
  31. Perniagaan tudung – Siapa sangka perniagaan tudung wanita muslimah boleh cecah jutaan ringgit sebulan. Tapi tudung Fareeda telah buktikannya. Mereka ada strategi tersendiri untuk modelkan semula perniagaan tudung dengan suntikan idea dunia fesyen ke dalamnya. Perniagaan tudung ini amat menarik dan boleh dimulakan dengan segera secara kecil-kecilan dan boleh dijual secara online. Selami dunia model dan fikirkan semua model perniagaan tudung yang ada dan bina satu model yang anda rasa sesuai dan menarik.
  32. Perniagaan pakaian muslimah – Pakaian Muslimah ada pasarannya yang tersendiri. Dalam bahasa business kita panggil Niche market, sebab hanya khas untuk para muslimah yang bertudung. Untuk pastikan perniagaan niche membuatkan anda jadi kaya raya, pastikan perniagaan anda menjadi leader dalam niche tersebut. Boleh dimulakan dengan kecil-kecilan secara trading dan tetapkan satu konsep yang anda rasa ada permintaan yang mencukupi. Perniagaan ini juga boleh dimulakan secara online yang membuatkan kos permulaan tidak berapa tinggi.
  33. Perniagaan pakaian sekolah – Ini satu perniagaan bermusim. Biasanya bila tiba musim nak masuk sekolah, perniagaan ini akan meletup dan mereka yang bijak dapat buat duit dengan banyak. Tapi perlukan modal yang tinggi untuk buat banyak duit. Kalau tak ada modal, boleh mulakan secara kecil-kecilan dan separuh masa bila tiba musimnya.
  34. Perniagaan kasut sekolah – Sama seperti perniagaan di atas, ia merupakan satu perniagaan bermusim. Tetapi kasut sekolah biasanya akan dibeli tidak kira musim sangat. Anak-anak kecil sekolah rendah biasanya amat lasak penggunaan kasut mereka. Jadi jika anda boleh sediakan satu tawaran kasut murah dan dijual secara online terutamanya untuk para ibubapa yang ramai anak lelaki, ada potensi untuk pergi jauh.
  35. Perniagaan kasut selipar – Lihat Asadi, jenama kasut yang semua orang kenal sekarang di negara kita. Dia mulakan secara low profile dan buat kasut-kasut yang murah untuk kegunaan orang ramai. Jika anda ada modal sedikit dan ada idea untuk penjenamaan kasut selipar anda sendiri, boleh mulakan perniagaan ini secara online dan kemudiannya mula edarkan pada kedai-kedai kasut di kawasan luar bandar terlebih dahulu. lama-lama ia akan jadi lebih besar jika idea kasut anda mendapat sambutan.
  36. Perniagaan pakaian sukan – Kedai sukan ada di mana-mana pekan atau bandar di negara kita. Pakaian sukan juga merupakan salah satu perniagaan kegemaran para usahawan kecil yang mulakan perniagaan dengan sistem pembekalan. Mereka bekalkan pada organisasi seperti sekolah, persatuan atau kelab sukan. Jika anda ada kekuatan untuk bina jaringan dan ada lubang tempahan pakaian sukan yang kompetitif, anda juga boleh mulakan perniagaan ini. Boleh juga pasarkan mengikut musim sukan di negara kita dengan kenal pasti pasukan bola atau lain-lain yang mendapat sambutan.
  37. Perniagaan cadar dan selimut – Perniagaan cadar dan selimut mudah dan ada pasaran tinggi sebab ia merupakan salah satu barang yang orang perempuan suka beli. Walaupun cadar yang ada masih elok, orang perempuan akan beli juga satu yang baru dan menarik hatinya. Ia bukan perniagaan bermusim. Asalkan anda ada idea bagaimana menawarkan pilihan yang unik, anda boleh tempah design tersebut dan mula pasarkan. Juga boleh dimulakan secara online. Ada kawan saya yang pasarkan cadar menarik dan sekali buat tawarn mendapat permintaan ratusan ribu.
  38. Perniagaan tudung meja – satu lagi perniagaan yang mensasarkan orang perempuan sebagai pembeli. Tudung meja mudah dibuat samada daripada bahan plastik maupun daripada kain. Jika anda tahu menjahit, boleh design tudung meja yang menarik dan datangkan sekali dengan pakej plastik putsinar. Pemasaran boleh dilakukan melalui FB atau media sosial lain. Jika ada tempahan banyak, boleh mula outsource ke kilang yang mampu keuarkan secara besar-besar. Anda perlu ada idea hebat dan tahu kehendak pasaran.
  39. Perniagaan kain tuala – Ramai orang Pakistan mula berniaga kain tuala di negara kita. Mereka bawa banyak kain tuala dan menjajanya di pusat membeli belah. Mereka sewa sedikit ruang untuk perniagaan mereka. Sekarang saya lihat orang Melayu dah mula jual kain tuala, mungkin mereka ambil dari Pakistan, atau dari Kilang tempatan. Ada juga yang ambil daripada lelongan kain tuala hotel.
  40. Perniagaan ambil upah menjahit – Saya kenal seorang kawan berbangsa Palistan yang berhijrah ke London. Mulanya dia kerja di kilang buat pakaian ambil upah tetap menjahit. Kemudiannya dia minta upah berdasarkan jumlah jahitan. Kemudiannya dia jahit kat rumah dan akhirnya dia buka kilang sehinggalah perniagaan membesar sampai dia jadi multi millionaire. Sekarang anak-anaknya berhijrah ke Malaysia dan punyai tinggalan harta pusaka berjuta-juta dolar.
  41. Perniagaan ambil upah memasak – Cuba tanya jiran-jiran yang anda yang mahu tawaran anda untuk tolong masak. Tentu ada ramai yang mahu tawaran itu dengan harga berpatutan. Bermula daripada satu keluarga akan menjadi dua dan akhirnya akan jadi besar.
  42. Perniagaan khidmat penghantaran – Ini satu lagi perniagaan yang cukup berpotensi tinggi. Perniagaan online tumbuh macam cendawan sekarang. Mereka tentu mahukan khidmat penghantaran. Syarikat penghantaran besar juga perlukan syarikat kecil dan perseorangan untuk support aktiviti mereka. Anda boleh mulakan dengan ambil sub dari syarikat besar tersebut secara persendirian. Lama-lama akan jadi besar ler!
  43. Perniagaan khidmat mengurut – Kalau anda pandai mengurut, ini satu kemahiran yang ada permintaan tinggi. Kalau tak tahu boleh pergi belajar secara formal sampai pandai. Buat marketing melalui internet pasti akan ada saja pelanggan yang mahu datang. Saya kenal seorang tukang urut dari Jelebu yang punyai teknik tersendiri. Dia mula secara parttime sampailah dah jadi fulltime.
  44. Perniagaan khidmat baiki peralatan eletrik – Kalau kita perasan kerja perkhidmatan baiki peralatan letrik ini dikuasai oleh pendatang Bangladesh dan Pakistan sekarang. Kerja ini bukannya sukar sangat tapi memang agak renyah. Jika ada kemahiran anda boleh jimatkan orang ramai untuk baiki peralatan daripada terpaksa beli peralatan baru. Lama-lama perniagaan itu akan membesar.
  45. Perniagaan khidmat pest control – Sebenarnya ini satu perniagaan yang besar. Memerlukan banyak lesen sebelum anda layak menawarkan perkhidmatan pest control pada orang ramai. Untuk dapatka lesen sebenarnya mudah saja. Ambil peperiksaan Pesticide Applicator Licensed dan anda sudah sah menjadi pengamal makhluk perosak dengan menggunakan racun. Mulakan dengan ambil pelanggan persendirian di rumah-rumah sekitar tempat anda tinggal.
  46. Perniagaan khidmat potong rumput – Perniagaan ini juga sudah diambil alih oleh pendatang asing yang cari makan di negara kita terutamanya daripada Bangladesh. Mereka rajin dan jadikan perniagaan ini sebagai sumber pendapatan tambahan mereka. Anda boleh mulakan dengan hanya membeli mesin potong rumput. Tawarkan perkhidmatan ini pada jiran-jiran anda. Lama-lama anda boleh rekrut pekerja bila pelanggan bertambah.
  47. Perniagaan khidmat menjaga tanaman perhiasan – Ini juga satu perniagaan besar sebenarnya. Syarikat seperti Rent a Pot adalah syarikat antarabangsa yang menawarkan khidmat selenggara tanaman hiasan pejabat. Anda boleh mula tawarkan khidmat memelihara tanaman hisan pada para jiran anda. Anda boleh juga sewa pokok pada mereka dan kerja selanggara anda yang lakukan setiap minggu. Ini boleh menjadi besar bila pelanggan anda bertambah. Asalkan anda minta bercucuk tanam pokok perhiasan.
  48. Perniagaan baiki paip dan kebocoran rumah – Perniagaan ini sedikit demi sedikit telah diambil alih oleh para pendatang terutamanya dari Indonesia. Orang kita malas atau mungkin tak ada masa. Ramai usahawanbberbangsa Cina yang dah buat duit dengan perniagaan ini sejak lama dulu. Dengan jumlah perumahan yang sentiasa bertambah, ia meningkatkan permintaan. Anda boleh tawarkan pada jiran-jiran di sekeliling anda untuk selesaikan sebarang masalah paip dan kebocoran.
  49. Perniagaan ubah suai rumah atau bangunan – Ini juga perniagaan yang telah diserang ole para pendatang samada dari Indonesia mahupun dari Bangladesh. Mereka tawarkan harga yang murah. Tapi anda boleh dapatkan kerja ubahsuai rumah dengan kualiti dan jaminan yang bermutu tinggi. Pergi ke arah pasaran mewah supaya anda tidak perlu bersaing dengan pendatang dalam industri ini.
  50. Perniagaan hiasan dalaman – Ini satu perniagaan yang dah lama bertapak. Permintaannya semakin tinggi apabila jumlah penduduk berpendapatan pertengahan semkain meningkat di negara kita. Jika anda minat kerja hiasan dalaman, anda ada kelebihan untuk tawarkan pada pelanggan atau kenalan anda. Sasarkan pelanggan mewah dan jangan fokus pada pasaran yang ekonomi.
  51. Perniagaan khidmat cuci rumah dan pejabat – Saya pernah bertemu dengan sekumpulan warga Arab yang berhijrah ke Sweden. Mereka mulakan perniagaan kecil dengan menawarkan khidmat cuci rumah dan pejabat di Sweden. Kini mereka semua jadi jutawan dengan kerja-kerja selenggaraan pejabat dan perumahan.
  52. Perniagaan khidmat kemas rumah dan memasak – Ada lambakan pendatang asing dari Indonesia yang cekap dalam kerja-kerja kemas rumah dan memasak. Gunakan pembantu rumah yang anda ada untuk kembangkan tawaran kerja pada semua jiran anda. Bila pelanggan bertambah, tambah pembantu rumah anda.
  53. Perniagaan khidmat hantar makanan – Pernahkah anda dengar satu syarikat Dawabbala dari India. Kerja mereka hanya hantar makanan yang diambil dari isteri di rumah pelanggan untuk dihantar pada suami mereka yang bertugas di pejabat. Perniagaan ini dikagumi oleh dunia antarabangsa kerana ketepatan dan kecekapan mereka melaksanakan tugas. Kalau anda seorang penghantar surat, anda boleh lakukan tugasan ini dengan bermula dari kecil.
  54. Perniagaan khidmat hantar budak sekolah – Ini perniagaan yang sangat mudah dan semua orang yang ada anak tahu kepentingannya. Jika anda ada anak yang gunakan perkhidmatan bas sekolah tentu anda tahu di mana kelemahan yang boleh diperbaiki. Kelemahan itu adalah peluang dan sudah tentu orang lain juga mengharapkan ada pengusaha bas sekolah yang mampu selesaikan amsalah tersebut. Beli satu van atau bas sekolah dan cari pemandu yang pencen yang mahu tambah pendapatan. Anda dah mulakan perniagaan ini…
  55. Perniagaan khidmat hantar pekerja kilang – Kalau di negeri yang industri perkilangannya hebat, ada anyak peluang untuk perniagaan ini. Kawan saya di Pulau Pinang bermula dengan menggunakan sebuah van hantar pekerja kilang. Sekarang dia ada 30 buah bas dan 70 buah van kilang… semuanya dimulakan dari kecilan-kecilan dan akhirnya dia kaya raya walaupun kelulusannya hanya setakat tingkatan 3.
  56. Perniagaan khidmat jaga kanak-kanak – Banyak kekecewaan di kalangan ibu bapa yang terpaksa hantar anak kecil mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak. Macam-macam kes ada berlaku sekarang, ada yang anak mereka diberikan pil pelali, anak mereka diikat dan didera dan macam-macam lagi. Jika anda minat jaga anak kecil, anda lemah lembut penyabar, tawarkan perkhidmatan ini pada ibu bapa yang sedang risau di luar sana.
  57. Perniagaan khidmat menjaga binatang peliharaan – Perniagaan ini mungkin sesuai hanya di pusat bandar. Bila orang bandar kesunyian, mereka bela binatang. Bila mereka kerja, binatang mereka perlu diawasi. Begitu juga bila mereka outstation perlu ada orang yang jaga binatang mereka. Permintaan terhadap perkhidmatan ini secara profesional mula bertambah. Ia amat niche dan bukan semua orang mampu lakukannya. Jika anda ada kemahiran, suka binatang dan tahu macam mana nak bela binatang dengan baik, boleh mulakan perniagaan ini.
  58. Perniagaan khidmat potong atau trim pokok – Pokok magga depan rumah saya sentiasa besar dan rendang semula setiap kali dipotong. Bila jadi begitu, jiran-jiran tak suka sebab pokok terlalu besar dan rendang banyak keluarkan daun dan kotorkan rumah mereka. Saya terpaksa umah pekerja Bangladesh untuk potong dan trim pokok mangga tersebut. Banyak lagi orang macam saya yang perlukan khidmat ini. Ini satu peluang perniagaan parttime yang boleh dilakukan hanya pada waktu cuti. Mula secara kecil-kecilan dulu…
  59. Perniagaan kumpul barang buangan kitar semula – Rasanya ramai dah mulakan perniagaan ini. Ramai warga India yang buat kerja ini dan ramai juga warga Bangladesh yang kaut melebihi seribu sebulan hanya dengan aktiviti kumpul barang terbuang. Mungkin anda akan terkejut jika saya katakan bahawa industri kumpul barang kitaran semula ini lahirkan ramai jutawan…!
  60. Perniagaan baik pulih barang lama – Kalau anda ada Astro, anda tentu suka tengok bagaimana kumpulan pulihkan barang lama ini berikan perkhidmatan mereka pada pelanggan. Memang hebat dan pasarannya ada terutamanya dari mereka yang ada duit. Negara kita ada ramai peminat barang antik dan lama, maknanya perniagaan ini boleh saja dimulakan jika anda ada minat dan kemahiran.
  61. Perniagaan baik pulih barang antik – Ini macam kerja d atas juga, tapi lebih menjurus pada hasil koleksi yang mahal. Kalau barang lama pasarannya lebih luas, barang antik pasarannya lebih fokus. Bukan semua orang suka barang antik untuk dibuat koleksi tapi pasaran itu tetap ada dan mewah sebenarnya. Kawan saya beli barang antik, pulihkannya dan jula semula dengan harga berpuluh kali ganda dari asal.
  62. Perniagaan khidmat guaman – Kalau anda lawyer, anda boleh buka perniagaan ini. Kalau anda ada pengalaman kerja di firma peguan, anda juga boleh mulakan perniagaan ini dengan gunakan lesen peguan yang bertauliah. Tak perlu masuk mahkamah, anda hanya buat kerja beli rumah dan urusan berkenaan peguam sahaja.., hasilnya agak mewah seenarnya.
  63. Perniagaan sewa rumah atau sublet – Ramai jadi usahawan hartanah dengan mulakan bisnes ini secara kecil-kecilan. Terutamanya yang tak ada kerna seperti suri rumah, anda boleh jadi ajen pada tuan rumah kosong yang tinggal berjauhan dari rumahnya. Ada ramai orang yang beli rumah tapi tak duduk sebab berpindah tempat kerja di luar kawasan. Hubungi mereka dan sewa rumah mereka. Sewakan balik pada orang lain dan anda uruskan penyelenggaraan rumah tersebut. Bila ada modal beli dan sewakan…
  64. Perniagaan jual barang lama – Kalau di atas tadi lebih kepada perkhidmatan baik pulih, kali ini lebih kepada trading. Anda beli dan hantar pada kewan yang tahu baik pulih barang lama. Bila dah ok, pasarkan pada siapa yang sudi membelinya. Buat blog atau gunakan FB. Antara barang lama menarik untuk dijual adalah seperti perabut rumah atau pejabat. Ramai yang lebih suka berjimat terutamanya orang bujang atau keluarga yang susah.
  65. Perniagaan jual barang antik – Sama juga dengan barang lama, tapi kali ini adalah barang antik. Barang lama murah, sebaliknya barang antik amat mahal. Jadi sasarannya adalah mereka yang kaya dan ada minta buat koleksi barang antik. Pastikan anda tahu di mana boleh baiki barang antik. Hantar baiki dan pulihkan semula dan dalam pada itu cari pembeli. Sama juga, gunakan blog atau FB.
  66. Perniagaan tuisyen budak sekolah – Ada ramai cikgu yang mula buat kelas tambahan atau tuisyen secara kecil-kecilan akhirnya berhenti kerja cikgu dan buat tuisyen sepenuh masa. pendapatan jauh lebih tinggi daripada kerjaya cikgu. Bukan cikgu juga boleh buat perniagaan ini. Asalkan anda belajar tinggi, boleh saja. Atau sediakan tempat dan cari cikgu untuk kerja dengan pusat tuisyen anda.
  67. Perniagaan urus akaun syarikat – Ini kerja berkemahiran. jika anda ada kelulusan akaun, pernah kerja atau sedang kerja dengan syarikat audit, anda boleh mulakan buat secara separuh masa jaga akaun syarikat kecil. Mulakan dengan satu syarikat dan tambah dan akhirnya boleh buat fulltime.
  68. Perniagaan ajar orang masak – Jika anda suka masak, pandai masak dan ada kemahiran ajar orang masak. Buat kelas ajar memasak. Ramai orang kaya dengan ajar orang masak dan dia tak buka restoranpun. Chef Li yang popular dengan buku jutawan senyap itupun kerjanya ajar orang masak. Cari dapur, sewa dan pasarkan tawaran anda di FB… perniagaan anda dah bermula. Boleh buat secara parttime.
  69. Perniagaan ajar orang menjahit – Sama seperti ajar orang masak, kalau anda ada kemahiran menjahit, ada kemahiran mengajar, maka boleh mulakan perniagaan ajar orang menjahit. Tak perlu ajar semua kemahiran menjahit dengan berbagai jenis pakaian. Cari jenis pakaian apa yang anda paling mahir dan tawarkan mengajar bab itu saja. Lebih fokus dan mudah. Pasarkan di FB dan blog, sewa psat menjahit pada hujung minggu dan perniagaan anda sudah bermula.
  70. Perniagaan ajar orang berniaga – Ini juga satu jenis perniagaan yang besar pasarannya. Seeloknya anda ada kemahiran mengajar dan ada perniagaan yang terbukti mampu sara kehidupan anda. Ajar orang apa yang perlu dilakukan dan tidak boleh dilakukan kalau nak berniaga. Saya buat testing dengan tawaran ajar orang berniaga ini, dan sambutannya amat menggalakkan.
  71. Perniagaan baik pulih perniagaan – Jika anda ada kerajinan dan daya analitikal yang tinggi. Dan ada juga ada ramai kenalan dari berbagai kemahiran dalam berbagai industri. Anda boleh buat tawaran untuk pulihkan perniagaan orang. Biasanya taukeh akan sesat dan hilang arah di dalam perniagaannya sendiri. Bila ada orang luar membantu pulihkan perniagaannya, adalah lebih mudah kerana idea segar dan baru akan disuntik.
  72. Perniagaan ajar orang bertani – Ramai juga yang dah lemas hidup di bandar. Mereka ada tanah dan nak bertani, tapi tak ada ilmu. Jika anda ada kemahiran dan pengalaman bertani, ramai yang mahu belajar. Pastikan ada sekali latihan praktikal dan pilih tanaman yang terbukti berjaya mampu jana wang. Ada seorang kawan yang tanam nangka madu dan pendapatan yang dijana sebulan tak kurang dari RM25 ribu !.
  73. Perniagaan ajar orang memimpin – Negara kita kekurangan mereka yang mampu memimpin dengan baik. Ramai yang teringin nak jadi pemimpin tapi tak tahu mana nak mula. Di luar negara, ilmu kepimpinan mendapat permintaan tinggi dari mereka yang mahu melonjakkan kerjaya. Jika anda ada kemahiran memberikan ceramah, memberi motivasi dan berpengalaman memimpin, boleh anjurkan tawaran kelas latihan samada secara berterusan atau sekali sekala.
  74. Perniagaan ajar orang jaga kesihatan – Ini dah jadi satu perniagaan yang semakin popular. Ada ramai pembimbing kesihatan peribadi muncul untuk membimbing mereka yang mahu jaga dan kekalkan kesihatan. Pastikan anda sendiri seorang yang sihat dan amalkan gaya hidup yang sihat. Diri anda sendiri boleh dijadikan sebagai testimoni kejayaan teknik jaga kesihatan yang anda amalkan.
  75. Perniagaan ajar seni pertahanan diri – Saya suka tonton cerita Ip Man, bekas guru Bruce Lee yang mahir dalam seni Win Chun. Jika anda pandai seni silat atau mana-mana seni pertahankan diri lain, anda ada kelebihan untuk buka kelas secara kecil-kecialan.
  76. Perniagaan ajar orang beli saham atau melabur – Ini dah ramai yang anjurkan. Ada banyak kelas yang mengajar orang ramai macam mana nak main saham dan jadi kaya. Jika anda jadikan kaya sebagai daya tarikan, pastikan anda sendiri kaya dengan main saham. Jika tidak, cukup sekadar berikan ilmu penting asas bagaimana nak mula dan main saham. Tentu ramai yang mahu belajar.
  77. Perniagaan ajar orang ilmu hartanah – Ini pun dah ramai yang anjurkan. Biasanya mereka yang dah buktikan diri mereka berjaya dengan ilmu hartanah dan jadi kaya akan mula anjurkan kelas hartanah. Mereka mahu ajar teknik yang dah mereka amalkan dan terbukti berkesan. Dalam masa yang sama mereka mahu kembangkan lagi jaringan kenalan pemain hartanah. Jika anda ada ilmu tersebut, bolah buat kelas sambilan untuk mereka yang baru nak mula.
  78. Perniagaan ajar orang menulis – Sejak dunia internet berkembang maju, semakin ramai orang yang ingin mengasah bakat menulis mereka. Banyak kegunaannya, terutamanya untuk kembangkan perniagaan menggunakan teknologi internet. Ada juga yang teringin nak tulis buku, ada yang nak luahkan pemikiran agar dapat dikongsikan oleh orang lain dengan lebih ramai. Jika anda cikgu atau ada pengalaman dalam dunia penulisan, boleh mula buat bisnes ajar orang menulis secara sambilan dan kecil-kecilan. Insyaallah ada sambutan.
  79. Perniagaan ajar orang berkomunikasi – Tak guna otak bijak, tapi tak mampu sampaikan pada orang lain walaupun perkara yang asas. Ramai orang yang berjaya walaupun tak berapa hebat pencapaian akademiknya adalah kerana kebolehan berkomunikasi dengan baik. Ramai pemimpin yang ada di atas juga banyak dibantu oleh kebolehan berkomunikasi. Ramai yang dah sedar kepentingannya dan jika anda ada kemahiran dalam bab ini, buka kelas dan ajarlah orang ramai. Tentu ramai yang mahu.
  80. Perniagaan ajar orang berenang – Masa kecil dulu, hanya kanak-kanak nakal saja yang akan tahu berenang. Sebab mereka curi-curi mandi sungai. Sekarang, tak ada sungai dalam bandar. kalau adapun kotor. Ramai yang tak ada kemahiran untuk berenang sedangkan ianya adalah senaman yang amat baik. Jika anda ada kemahiran ajar berenang, tawarkan saja pada jiran dan rakan. Ajar mereka dan anak-anak mereka secara peribadi setiap minggu. Ramai yang berminat nak belajar berenang.
  81. Perniagaan ajar orang hias rumah – dah ramai yang jual barang perhiasan rumah. Ramai juga yang usahakan bisnes khidmat hias rumah. Jika anda ada kemahiran dalam industri hiasan dalaman, buka saja kelas untuk ajar mereka samada surirumah atau individu pain yang nak ceburkan diri dalam dunia perhiasan dalaman. Sambil ajar hias rumah anda juga boleh jual produk yang berkaitan.
  82. Perniagaan jual buku online – Anda tentu tahu tentang Amazon.com yang bermula hanya dengan idea untuk menjadikan internet sebagai platform menjual buku. Memang susah kalau nak lawan amazon yang dah bertukar menjadi raksaksa besar dalam dunia jualan berbagai produk. Tapi masih ada ruang sebenarnya jika anda minat pada buku. Apatah lagi jika anda mampu menulis buku atau ada keupayaan kumpulkan buku lama dan pasarkannya di internet.
  83. Perniagaan jual ebook online – Ini satu lagi peluang perniagaan yang masuk dalam kategori buku juga, tapi bukan secara cetakan. Ada usahawan yang jadikan perniagaan e-book ini sebagai perniagaan dengan memasarkan tajuk-tajuk penulisan menarik dalam bahasa melayu. Saya dengar pendapatannya mencecah RM20 ribu sebulan hasil daripada jualan ebook sahaja. Jika anda ada masa belajarlah buat ebook dan jual sendiri secara online.
  84. Perniagaan ajar orang baik pulih kenderaan – Perniagaan yang berhubung kait dengan ilmu selenggara peralatan ini memang ada potensi. Bukan saja untuk mereka yang minat nak baiki kenderaan mereka sendiri, malah juga untuk mereka yang nak dapatkan kerja dalam bidang baiki kenderaan ataupun nak buka bengkel kenderaan.
  85. Perniagaan jual basikal – Sekarang amat mudah untuk anda beli basikal daripada negara China atau negara lain. Boleh order secara online, buat bayaran dan basikal akan dihantar pada anda. Anda boleh cuba buat yang sama dengan gabungkan parts basikal berkualiti dari berbagai sumber, pasang sendiri sebagai prototype dan pasarkan melalui internet. Semua ini boleh berlaku dengan kemudahan teknologi dan rangkaian logistik yang hebat.
  86. Perniagaan kedai runcit – Tak perlu nak cerita panjang tentang perniagaan ini. Ramai orang melayu dah pandai buka dan uruskan kedai runcit. Kalau ada modal RM100 ribu, anda boleh dapatkan barangan bernilai sekurang-kurangnya RM200 ribu sebagai permulaa untuk isi para di kedai runcit anda.
  87. Perniagaan khidmat jaga orang tua – Ini satu masalah besar yang dihadapi oleh orang ramai dalam zaman ini. Kedua-dua tunggak utama keluarga iaitu suami isteri bekerja dan hampir semua orang sibuk dengan urusan dunia masing-masing. Bila ibu tua di kampung semakin lemah, tak ada orang nak jaga dengan baik segala kebajikan makan dan minum ibu tua tersebut. Jika anda jenis suka bela orang tua, ada kenal kawan-kawan yang begitu dan ada masa, tawarkan khidmat jaga orang tua macam sistem nursery kanak-kanak. Tapi bukan untuk kanak-kanak sebaliknya untuk orang tua.. ada faham? buatlah!
  88. Perniagaan beli dan jual barang (Trading) – Jika anda ada kenalan ramai dari kalangan pembuatan barangan, anda ada kelebihan untuk bincang kredit dan harga yang baik. Gunakan peluang itu untuk buat trading samada dengan kerajaan atau dengan pihak swasta. Atau beli saja barang dari negeri China.
  89. Perniagaan jual produk herba – Anda mungkin jenis awet muda sebab kuat makan herba atau makan ulam. Anda pula asal dari kampung dan banyak mendapat ilmu daripada orang tua kampung berkenaan keajaiban herba dan kegunaannya untuk kesihatan. Jika ada semua itu, jangan pendamkan saja ilmu bermanfaat itu, kembangkannya jadi perniagaan secara kecil-kecialan terlebih dahulu. Lama-lama akan membesar dan maju sampai anak cucu.
  90. Perniagaan jual minyak wangi – Ini perniagaan yang dah terlalu biasa. Ramai yang dah tahu dan ramai yang dah berjaya. Minyak wangi ada berbagai jenis sekarang ini. Ada yang sasarkan pengguna berorientasikan keagamaan dan ada juga yang sasarkan pengguna biasa untuk ketrampilan. Walau apapun sasaran anda, perniagaan ini masih tetap relevan. Mulakan secara kecil-kecilan tapi jangan lupa untuk pergi ke pasaran mewah atau separa mewah dengan dapatkan hak pemasaran dan pengedaran perfume baru jenama luar negara atau dalam negara.
  91. Perniagaan jual ikan kering – Kalau tak salah saya, Pekan Bukit Mertajam punyai bekalan ikan kering yang amat murah berbanding negeri lain di semenanjung. Kalau ada akses di Sabah, mungkin boleh dapat bekalan murah dan banyak juga. Kalau ada kemahiran buat ikan kering sendiri lagi bagus dan ketengahkan ikan kering buatan orang Islam yang halal serta toiyiba.
  92. Perniagaan jual kerepek – Ini salah satu perniagaan yang paling awal saya libatkan diri ketika belajar. Matapelajaran keusahawanan yang saya ambil menjadikan bisnes krepek sebagai latihan praktikal yang perlu saya buat. Ianya banyak memberikan saya pengalaman menghindari perasaan malu. Jika anda pandai menjual dan pandai membina penjenamaan, bisnes kerepek ini boleh dimulakan secara kecil-kecilan dan ada potensi untuk tambah pendapatan dan pendedahan awal dalam dunia keusahawanan.
  93. Perniagaan jual keropok leko mentah – Siapa tak kenal keropok leko. Saya tak pasti hasil usaha siapa yang membuatkan keropok leko menjadi amat terkenal di seluruh Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Tapi di negeri lain saya lihat masih ada banyak ruang untuk dipopularkan. Tak payah nak buat sendiri, ambil saja dari Pantai Timur dan pasarkan ke negeri selain dari Selangor atau Lembah Kelang.
  94. Perniagaan jual ikan bilis – Ada cerita seorang pemuda yang jadi kaya raya apabila memasarkan perniagaan ikan bilisnya melalui internet. Ia mendapat tempahan besar dari negara Jepun dan membuatkan perniagaannya jadi besar. Orang Sabah ada kelebihan untuk jalankan perniagaan ini. Mulakan dengan mencari pasaran di Semenanjung dan kemudiannya ke luar negara. Jangan lupa gunakan internet, mana tahu anda juga boleh jadi Jutawan Ikan Bilis.
  95. Perniagaan jual mee mentah – Ada kawan saya yang hantar isterinya belajar buat mee kuning. Bila dah pandai dia balik Terengganu dan mula usahakan perniagaan membekalkan mee mentah ini di Kualau Terengganu. Permintaan amat tinggi dan masalah nak cari pekerja pulak datang. Akhirnya dia tutup kedai sebab tak ada daya tahan selesaikan masalah untuk besarkan dan mudahkan perniagaannya. Ertinya perniagaan ini sentiasa ada pasaran, jika anda jenis nekad untuk selesaikan masalah sampai berjaya, buat mee dan jual secara kecil-kecialan terlebih dahulu.
  96. Perniagaan cuci kenderaan – Rasanya perniagaan ini telah menjadi satu perniagaan segera yang tumbuh macam cendawan lepas hujan. Ramai yang menjalankannya dan kebanyakan pekerja adalah dari kalangan warga bangladesh. Ada juga kedai basuh kereta yang taukehnya sendiri adalah warga bangladesh. Kalau anda ada kawasan strategik, ada citarasa tinggi untuk basuh kereta, apa lagi? mulakan saja…
  97. Perniagaan jual theme wordpress – Ada seorang pemuda dari India yang pandai buat template untuk website dan blog dengan menggunakan wordpress. Dia reka dengan baik dan menjualnya secara online. Hasil dari satu theme saja dia terus jadi jutawan. Anda ada kepakaran? ada citarasa baik dalam rekabentuk template? boleh cuba-cuba reka atau biarkan orang reka dan anda menjualnya.
  98. Perniagaan barang kosmetik wanita – Industri perniagaan barang kosmetik kaum wanita ini melahirkan ramai jutawan di negara kita dan juga di seluruh dunia. Barang kosmetik berasaskan herba mendapat tempat yang baik di seluruh dunia sekarang. Jika anda ada ilmu berkenaan industri ini dan ada kenal pengeluar barangan kosmetik yang berkualiti, boleh mulakan segera untuk pasarkannya pada orang ramai. Lama-lama boleh buat jenama anda sendiri, insyaallah.
  99. Perniagaan menguruskan wanita bersalin – Di bandar agak sukar untuk cari bidan yang datang kerumah untuk jaga wanita yang baru lepas bersalin. Dulu kat kampung agak mudah, tapi sekarang kalau adapun, ramai yang tak ada ilmu bagaimana nak jaga wanita lepas bersalin agar kembali mantap seperti sediakala bila sihat nanti. Anda yang ada kemahiran, boleh tawarkan pada yang berminat, buka tempahan dan gunakan konsep tempahan online.
  100. Perniagaan bawa orang mengembara – Ini satu perniagaan khas untuk mereka yang memang kaki mengembara dan dah banyak pengalaman mengembara. Elok tawarkan saja pada yang berminat untuk turut serta trip pengembaraan anda selepas ini. Uruskan semua keperluan untuk pelanggan yang berminat dan rangka pengembaraan berdasarkan minat pelanggan samada santai, lasak, bajet, sederhana mewah dan sebagainya.

Akhirnya dapat juga saya senaraikan 100 idea perniagaan kecil berdasarkan apa yang sering saya lihat di sekeliling kita. Sudah tentu semua pembaca dapat menambah 100 lagi idea perniagaan kecil yang tidak saya senaraikan di atas.

Peringatan untuk mereka yang nak memulakan idea perniagaan kecil!

Untuk memulakan perniagaan, jangan tunggu sempurna. Jangan tunggu produk anda sempurna. Sebaik sahaja produk atau khidmat dapat dilaksanakan dan boleh diterima, anda boleh terus memulakan idea perniagaan kecil anda tersebut.

Urusan membaiki idea perniagaan atau produk anda hanya perlu dilakukan sepanjang mengharungi perjalanan perniagaan anda selepas itu.

Senaraikan pula idea perniagaan kecil anda di ruang komen di bawah agar kita dapat berkongsi!!!

Jika anda memang dah berniaga atau minat nak jadi usahawan, anda dijemput untuk menjadi ahli Kelab Usahawan Hidupringkas di Facebook. Klik di sini untuk turut tindakan lanjut.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Senarai 100 idea perniagaan kecil yang boleh anda cuba untuk mula berniaga

Previous
« Prev Post

1 comment:

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !