Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

13 April 2014

Suasana pagi di Pasar Kota Kinabalu

  Ano Nyme       13 April 2014
pagi di KK
Sampai ke Sabah pada hari selasa malam itu kami terus ke Hotel Best Western yang terletak berdepan dengan Wisma Merdeka di Kota Kinabalu. Dari internet saya lihat Hotel itu dikatakan bertaraf 4 bintang.

Tetapi saya tak rasa ianya bertaraf seperti yang dinyatakan berdasarkan perbandingan dengan hotel yang ada di Kuala Lumpur. Tak pasti pulak macam mana mereka meletakkan taraf sebegitu untuk hotel tersebut. Mungkin kriteria antara Kuala Lumpur ada sedikit perbezaan, saya kurang pasti.

Bergegas ke pasar Kota Kinabalu

Saya terjaga awal pada pagi hari Rabu untuk menunaikan solat subuh. Waktu solat lebih awal sebanyak satu jam berbanding waktu solat di Semenanjung. Subuh habis lebih kurang pukul 6.11 pagi ketika itu. Selesai solat saya terbaring sambil melihat tingkap.
waktu pagi di KK
Cahaya matahari cepat menerangi angkasa di Kota Kinabalu. Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi sedangkan langit sudahpun mulai cerah. Oleh kerana mata dah terbiasa berjaga jika cerah dan terlelap jika gelap, mata tak dapat dipejam. Nak bersiap ke pejabat masih terlalu awal.

Tanpa membuang masa saya melompat dari katil, tukar pakaian, ambil kamera dan terus turun dari tingkat 8 hotel menuju ke Pasar Kota Kinabalu. Tentu best suasana waktu pagi di situ. Saya ada masa satu jam untuk bersiap-siar sambil meninjau bagaimana rupa pasar dan bagaimana kesibukan orang ramai berurusan di pasar Kota Kinabalu.
Jalan raya masih kosong di awal pagi sebegitu. Mungkin semua orang masih tidur atau sedang bersiap-siap untuk ke pejabat. Saya berjalan pantas dari Wisma Merdeka menuju ke kawasan laut di seberang sana. Kelihatan beberapa orang tua dan muda sedang bersenam dengan berjalan kaki berulang alik di sepanjang kawasan berlatar belakangkan laut.

Memang kawasan itu dibina sebagai kawasan beriadah rasanya. Kelihatan bulatan jalan yang dihiasi dengan replika ikan todak besar di situ. Saya dengar orang bercakap tempat itu sebagai bulatan ikan todak. Mungkin disebabkan replika besar tersebut agaknya.

Sempat juga saya rakamkan beberapa keping gambar bot, pemandangan laut di pagi hari di situ. Tapi tak saya paparkan disini. Mungkin saya akan paparkan selepas ini kalau ada idea nak tulis apa nanti. Kali ini kita hanya fokuskan beberapa keping gambar menunjukkan suasana pasar di Kota Kinabalu sahaja.

Kanak-kanak bekerja di pasar Kota kinabalu

Apa yang menarik di pasar Kota Kinabalu adalah terdapatnya agak ramai kanak-kanak yang bekerja sebagai buruh mengangkat dan menolak ikan-iakan dan barangan lain pergi dan balik dilorong-lorong pasar. Mungkin mereka terdiri daripada warga Filipina, saya tak pasti. Tapi mereka nampaknya cekap berurusan dan berniaga di sekitar pasar tersebut.
Juga kelihatan kaum wanita yang menjaja sayuran rumpai laut yang dihamparkan pada lantai jalan raya. Mereka kelhatan seperti orang Melayu sahaja. Mungkin bangsa Filipina, saya juga tak pasti. Ada yang tua dan ada juga yang muda. Ada yang comel dan ada juga yang biasa-biasa saja. Dari segi rupa paras wanita di sana, memang ramai yang cantik jelita. Jika disolek dan disarungkan pakaian yang sesuai, tentu ramai lelaki yang akan tergoda.

Ikan murah di pasar Kota Kinabalu

Satu lagi perkara menarik di pasar kota kinabalu adalah berkenaan harga ikan dan lain-lain hasil laut yang dijual di situ. Semuanya murah-murah belaka. Jauh lebih murah berbanding dengan harga ikan segar di Tanah Semenanjung, negara kita.

Tapi jika ikan-ikan itu dipilih untuk dimasak pada waktu malamnya, juga di sekitar gerai-gerai makanan yang tak juah dari pasar segar kota Kinabalu, harganya akan melambung naik lebih tinggi. Ikan siakap besar seekor jika diambil untuk dilaukkan, harganya adalah RM40 sekilo. Biasanya seekor ikan siakap punyai berat hampir sekilo, jadi kalau nak makan nasi ikan bakar siakap, bersedialah untuk membayar dengan harga yang agak tinggi.

 Ada beberapa jenis ikan-ikan atau lauk yang saya tak pernah tengok sebelum ini dijual di situ. Tak sempat pula nak bertanya kerana mengejar masa untuk kerja selepas itu. Saya cuma sempat rakamkan gambar sahaja yang insyaallah akan dipamerkan nanti.

Buat kali ini, boleh layan dulu beberapa keling gambar pilihan yang saya pamerkan di sini sebagai gambaran yang saya cuba sampaikan pada artikel ini. Saya baru perasan pada gambar no4 di atas, ada seseorang terkenal yang saya rakamkan secara tak sengaja. Saya memang tak perdulikan sangat orang lain selain daripada peandangan yang saya nak lihat. Mungkin pembaca boleh teka siapa dia dalam gambar tersebut.

Sekianlah serba sedikit cerita dan gambaran suasana di pagi hari di Pasar Kota Kinabalu untuk tatapan dan bacaan semua. Nanti saya buat cerita lain dan paparkan gambar lain pula. Insyaallah!


logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Suasana pagi di Pasar Kota Kinabalu

Previous
« Prev Post

6 comments:

  1. baru pulang dari KK bulan lepas. seronok dengan waktunya yang sejam lebih awal berbanding semenanjung. suasana di gerai makan sebelah pasar philippine pun dah makin meriah, tak macam dulu.

    cuma yang tak seronoknya di bandar KK ni, banyak construction untuk shopping complex, hotel atau entah apartment agaknya sepanjang tepi laut. memandu kat sini pun susah nak tengok laut!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, ada beberapa projek pembinaan sedang rancak berjalan...makin maju nampaknya KK. Pergi sana bulan lepas berjalan atau bekerja...?

      Delete
  2. Ikan murah di pasar Kota Kinabalu
    Satu lagi perkara menarik di pasar kota kinabalu adalah berkenaan harga ikan dan lain-lain hasil laut yang dijual di situ. Semuanya murah-murah belaka. Jauh lebih murah berbanding dengan harga ikan segar di negara kita.

    Kota Kinabalu, Sabah bukan sebahagian dari negara kita ke? hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe...tersasul le pulak. Rasa macam pergi ke luar negara ler pulak...terima kasih beritahu, marah orang KK...dah dibetulkan. Mohon maaf pada semua orang KK

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !