Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

21 February 2015

Masak kari kepala ikan guna Santan King

  Ano Nyme       21 February 2015
Masak kari kepala ikan guna Santan King
Bila sebut kari kepala ikan ni, saya teringat zaman duduk kat Montpellier, France ketika zaman muda-muda dulu. Masa itulah baru teringat nak belajar memasak sebab rindukan segala masakan ibu kat kampung yang tak dapat dicari di negara orang. (sumber imej)

Sebelum pergi ke France, memang langsung tak teringat nak belajar memasak sebab semuanya tersedia bila balik ke rumah. Paling terukpun usaha yang perlu dilakukan adalah terpaksa pergi ke kedai beli barang dapur yang mak suruh. Itupun masih nak merungut sedangkan itu bukanlah sesuatu yang sukar sangat.

Bila dah berada jauh di negara orang, bahan masakan serta masakan kegemaran terlalu sukar nak ditemui, barulah padan dengan muka. Bukan saja kena pergi ke kedai atau pasaraya untuk beli bahan dapur untuk dimasak, malah terpaksa masak sendiri kalau teringin nak makan masakan kampung. Baru sedar betapa besarnya pengorbanan ibu di kampung. Baru ada perasaan insaf nak hargai segala kebaikan ibu kat kampung.

Membeli di pasaraya untuk masak kari kepala ikan

Kebiasaannya, kalau nak dapatkan bahan dapur untuk memasak, saya akan ke Pasaraya Carrefour yang banyak terdapat di negara France. Masa itu baru terdedah dengan konsep pasaraya besar yang menjual segala macam tok nenek bahan dan barangan kegunaan harian samada besar atau kecil.

Masa kat kumpung dulu hanya main kedai runcit di pekan sahaja dan tak pernah beli barang dapur kat pasaraya walaupun memang konsep pasaraya dah ada di Bukit Mertajam dengan majoritinya kepunyaan taukeh berbangsa Cina. Kalau naik ke Pasaraya besar di Bukit Mertajam dulu hanya sekadar nak dapat merasa pendingin hawa yang nyaman yang tak pernah wujud di rumah kampung ketika itu.

Kali pertama saya ke Pasaraya untuk beli ikan, terlihat pekerja bahagian ikan sedang potong ikan yang besar untuk dibuat kepingan kecil macam biasa kita lihat di sini. Kemudiannya mereka akan asingkan bahagian kepala macam nak buang. Lalu saya bertanya padanya samada boleh kalau nak beli kepala ikan tu.

Dia rasa sedikit pelik bila saya kata nak masak dan nak makan kepala ikan tersebut. Oleh kerana biasanya mereka akan jual borong sahaja kepala ikan itu, dia lalu bungkuskan dan timbang kepala ikan tersebut dan menjual pada saya dengan harga yang sangat murah berbanding jika beli isi ikan.

Sejak itu, saya dapat ilmu baru kat France berkenaan cara nak makan ikan dengan harga yang murah. Beli sahaja kepala ikan kerana bahagian kepala itu sendiri masih ada banyak lagi isi yang boleh dijadikan lauk. Tambahan pula masak kari kepala ikan lalu diratah keseluruhan kepala ikan itu memang terlalu sedap rasanya.

Bahan masak kari kepala ikan di kedai Vietnam

Untuk dapatkan dapatkan segala bahan eksotik dari Asia pula kena pergi ke kedai Vietnam yang biasanya ada banyak dibuka di France bagi menampung permintaan penduduk Asia terutamanya Vietnam yang ramai di sana.

Di kedai Vietnam ada bermacam-macam barangan bahan dapur yang di bawa daripada negara seperti Indonesia, Vietnam, Malaysia dan juga Thailand. Barangan dari negara kita yang saya jumpa di kedai Vietnam adalah Ikan Kering Kurau. Selain daripada itu tak ada.

Barangan yang paling banyak adalah daripada negara Thailand. Banyak barangan dapur yang ditinkan diekspot ke negara Eropah. Belacan, paste tomyam, sum bunjut, asam jawa, rebung masam dan macam-macam lagi. Tanya saja dan kita boleh dapatkannya di kedai Vietnam.

Tapi untuk dapatkan serbuk kari ikan yang terbaik, masih tetap gunakan serbuk kari ikan yang dibawa daripada negara kita sendiri. Tak kisah samada serbuk kari ikan Adabi, Baba's atau apa saja asalkan daripada Malaysia, tetap jauh lebih sedap berbanding daripada mana-mana negara.

Masak kari kepala ikan guna santan king

Berikut saya kongsikan resepi masakan kari kepala ikan dengan menggunakan Santan King. Anda boleh dapatkan Santan King di mana-mana pasaraya Giant atau pasaraya Mydin di Sekitar Lembah Klang.

Kenapa disyorkan menggunakan Santan King adalah disebabkan penggunaannya adalah hanya separuh saja daripada Santan Biasa dengan rasa yang lebih sedap dan berkhasiat. Santan King juga bebas kolestrol jika anda rasa risau takut untuk makan masakan bersantan. Gunakan saja santan king untuk masak kari kepala ikan dan anda dapat menikmati kelazatan yang tak terhingga.
Halba campur


Bahan-bahan Resepi Kari Kepala Ikan


  • Seketul kepala ikan
  • Beberapa tangkai daun kari
  • 1 sudu besar halba campur
  • 7 ketul Bawang kecil - dihiris halus
  • 3 ketul Bawang putih - dihiris halus
  • Seketul bawang besar - potong kasar
  • 2 biji buah tomato masak - dikisar halus campur sedikit air
  • 2 paket Serbuk kari ikan – tak kisah samada Baba's atau Alagappa atau Adabi – bancuh dengan air dan campurkan sedikit garam halus.
  • Santan king - Beli di Pasaraya Giant atau Rangkaian Cold storage Giant
  • 2 tomato segar yang tak ranum dan beberapa biji kacang bendi 
  • 2 cawan air

Cara-cara masak kari kelapa ikan



  • Panaskan minyak masak
  • Masukkan halba campur dan daun kari, tumis sampai naik bau 
  • Lepas tu masukkankan bawang kecil dan bawang putih, tumis lagi sampai layu
  • Bila dah layu masukkan serbuk kari yang dibancuh dengan air dan sedikit garan tadi, tumis sampai pecah minyak
  • Bila dah pecah minyak, masukkan buah tomato masak yang dikisar halus tadi dicampur sedikit air. Kacau supaya rata.
  • Bila dah mendidih, masukkan kepala ikan, masak lebih kurang 10 minit dengan api yang pelahan supaya kari sebati dengan kepala ikan 
  • Masukkan pula Santan king (kurang dari separuh paket) 
  • Masukkan buah tomato segar dibelah empat tadi, masukkan sekali Kacang bendi dan bawang besar dipotong kasar.
  • Bila dah mendidih, tutup api dan tudung periuk untuk biarkan tomato, kacang bendi dan bawang besar masak dengan panas yang ada

Dah siap kari kepala ikan dengan menggunakan Santan King. Anda boleh makan dengan nasi yang sedikit lembut, sediakan juga sedikit sambal belacan yang ditumbuk menggunakan lesung batu. Sediakan sedikit ulam pucuk pokok Janggus, atau ulan petai atau ulam raja atau lain-lain ulam kegemaran anda.

Jangan buang segala kuah dan pecahan isi kari kepala ikan yang ada kalau dah habis pekena semua kepala ikan tersebut. Simpan untuk dipanaskan semula esok pagi. Gunakan kuah yang pekat itu untuk dicicah dengan roti benggali atau boleh saja guna roti gardenier atau lain-lainnya. Itu akan jadi sarapan yang paling anda kenang untuk tahun ini.

Selamat mencuba! Dan jangan lupa dapatkan Santan King untuk masak kari kepala ikan anda. Gunakan juga santan king untuk masak apa-apa saja masakan yang menggunakan santan. Santan King, produk premium berkualiti bebas kolestrol. 
logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Masak kari kepala ikan guna Santan King

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. cuba gunakan barangan yang dikeluarkan olih orang Islam pulak kecuali tidak ada

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !