Bulan lepas Perlis mrupakan salah satu negeri yang saya telah bermusafir selama hampir seminggu. Rasanya ini kali pertama saya berada di negeri Perlis Indera Kayangan dan tinggal di situ hampir satu minggu. Sebelum ini biasa lalu macam tu saja untuk ke Kuala Perlis sebelum terus ke Pulau Langkawi.
Perlis ini bagi saya adalah sebuah negeri yang panas dan kering. Begitulah persepsi yang ada selama ini dalam kepala sejak dari kecil dahulu. Mungkin sebab itu Perlis amat sesuai untuk tanaman pokok mangga yang menghasilkan buah mangga manis seperti Buah Mangga Harum Manis.
Askar berlatih buat terjunan payung terjun ketika melintasi Cuping nak ke Padang Besar |
Sedikit maklumat berkenaan Perlis
Untuk maklumat, Perlis ini sebuah negeri yang paling kecil dari segi saiz di negara kita. Keluasannya hanya 821 kilometer persegi sahaja. Jika dibandingkan dengan Malaysia keseluruhannya, Negeri Perlis Indera Kayangan hanyalah 0.25% sahaja daripada Malaysia keseluruhannya.
Sejarah Perlis asalnya adalah sebahagian daripada jajahan Kedah. Ada masanya pernah dibawah pemerintahan Siam ketika Siam menjajah Kedah. Dalam bahasa Siam Perlis di panggil Palit. Bila Siam bagi semula Kedah pada Sultan Ahmad Tajuddin pada tahun 1842, Perlis tidak dilepaskan dan kekal di bawah penguasaan Bangkok.
Masa itu Siam hantar Raja Long Krok untuk jadi Gabenor di Perlis dan Syed Hussain Jamalullail dilantik menjadi Timbalan Gabenor Perlis. Tak lama selepas itu, pada 20 May 1843, Siam memberikan Perlis kepada Syed Jamalullail dengan melantiknya menjadi Raja Perlis.
Dia pakai title Raja dan bukannya Sultan. Sejak itu, keturunan Syed kekal memerintah Perlis sebagai Raja sampailah sekarang. Begitulah serba sedikit tentang negeri Perlis yang saya dapat dari google.
Maklumat Perlis dari Google
Itulah kelebihan internet sekarang, maklumat dihujung jari anda. Pandai-pandailah nak bezakan mana yang betul mana yang salah. Kita semua dikurniakan akal, mulut dan telinga. Baca, dengar dan bertanya disamping buka fikiran dengan luas, banyak yang boleh dipelajari.
Sebab itu kadangkala saya hairan kenapa orang Islam yang mendapatkan maklumat berkenaan agama Islam dengan menggunakan Google sebagai salah satu dari sumber maklumat dipandang hina dan diperlekehkan.
Apa bezanya internet dengan buku atau kitab. Ia adalah sumber maklumat. Begitu juga para ustaz, mereka merupakan sumber maklumat. Belajar daripada ustaz juga tidak dapat melepaskan diri kita daripada sesat. Jika ustaz itu sesat fahamannya, diajarnya kita perkara sesatlah. Jika ustaz itu lurus ajarannya, diajar kita perkara luruslah.
Oleh itu, tidak dapat tidak akal kitalah yang perlu digunakan sebaik-baiknya. Untuk menilai mana yang baik mana yang buruk. Hanya orang yang jenis tak guna akal, dengar dan ikut membuta tuli tanpa terus mencari, membuat perbandingan akan terus dalam kesesatan tak kira bersumberkan apapun pencarian maklumatnya.
Jika kita belajar daripada orang yang sesat, tidak menggunakan akal, berhenti mencari kebenaran, ikut membabi buta, menghafal seperti burung kakak tua, lalu mati dalam keadaan itu, maka tidak ada lagi alasan.
Tidak ada sesiapa yang boleh dipersalahkan di Padang Mahsyar nanti selain daripada diri sendiri. Jangan pula nak salahkan si ustaz anu atau Google, atau kitab yang membuatkan kesesatan. Tak boleh pakai semua alasan itu. Malah Syaitan sendiri ketika itu melepaskan diri daripada di persalahkan.
Terus ke Padang Besar Perlis hari pertama
Saya dan dua orang lagi kawan pergi ke Perlis pada hari Isnin. Kami sampai dalam pukul 4 dan masih awal untuk terus ke Hotel. Jadi terus pergi ke Padang Besar, Perlis pada petang hari Isnin itu. Kebetulan pula kawan nak beli coklat kat pusat bebas cukai di sempadan Siam Malaysia.
Saya tumpang sekaki untuk borong coklat yang ada. Nak kata murah, tak lah murah sangat berbanding di Langkawi. Tapi masih tetap murah sedikit dan ada berbagai pilihan berbanding di Kuala Lumpur. Ada promosi pula dan hari Isnin orang tak ada, jadi senang untuk membeli belah di situ.
Selain dari pusat beli belah bebas cukai di dalam pagar melepasi Kastam itu, ada pekan kecil yang menyediakan kompleks membeli belah tak jauh daripada sekatan Kastam. Tak ada apa-apa yang menarik di situ. Hampir kesemua kedai jual pakaian sukan ciplak. Tak menarik sebab kat pasar malampun ada banyak di KL ini.
Rumusannya, tak ada apa-apa yang menarik di Padang Besar itu. Saya tak pasti untuk orang lain. Bagi saya apa yang ada kat situ ada belaka di tempat lain. Tak ada apa-apa istimewanya yang membezakan antara Padang Besar dengan Pasar Malam di seluruh Malaysia.
Menginap di Hotel Putra Palace Perlis
Selesai di Padang Besar, kami terus patah balik ke Kangar. Kami dah tempah bilik di Hotel Putra Palace Perlis. Dengar kata hotel ini berhantu. Entahlah samada betul aau tidak betul, hanya dengar orang kata. Kalau nak tahu pergi sendiri dan cuba alaminya sendiri.
Sepanjang duduk di Hotel Putra Palace ini, tak sekalipun terserempak dengan hantu atau mendengar benda pelik-pelik. Yang paling banyak kena kacau dengan makhluk halus, hanyalah ketika buat kerja di Cafeteria hotel kawasan lobby sampai lewat malam.
Kedai bebas cukai di Padang Besar |
Memang tak tahan duduk kat situ di luar cafe seorang diri. Kaki asyik kena gigit dengan makhluk halus iaitu nyamuk yang datang bertalu-talu. Terlalu banyak nyamuk kat kawasan lobby hotel. Nasib baik dalam bilik tak banyak nyamuk sebegitu.
Hotel ini umumnya ok. Tapi satu-satunya hotel yang tak ada akses internet kat dalam bilik. Kalau nak akses internet terpaksalah turun ke Lobby. Sebab itu saya duduk kat lobby buat kerja sampai lewat malam. Entah apa punya hotel yang ketinggalan zaman dalam dunia wifi yang meluas ini.
Salah sebuah gerai di kawasan komplek beli belah |
Makan di negeri Perlis
Ini satu masalah besar ketika berada di negeri Perlis. Tak tahu mana nak makan dan kat mana makanan yang sedap. Setelah tanya orang, mereka ada berikan petua untuk makan nasi ganja. Kami pergi cari tak jauh daripada jalan hotel menuju ke Arau. Dalam 15 minit ada sebuah gerai sebelah kiri jalan.
Kat situlah nasi ganja yang kawan berikan petua. Malangnya dia tak ada sediakan tempat makan. Hanya bungkus sahaja kalau nak kakan nasi ganja kat situ. Lauknya pula hanyalah ayam goreng dipadankan dengan nasi berwarna kuning.
Nasi ganja Perlis |
Saya ambil sebungkus untuk cuba makan di hotel. Taukeh kedai yang merupakan seorang perempuan melayu yang manis mukanya memasukkan nasi berwarna kuning ke dalam bungkusan. Kita pilih ayam goreng yang ada dalam talam dia akan masukkan ke dalam bungkusan bersama nasi. Setelah itu dia akan cedok kuah gulai campur dengan nasi dan terus dibungkus.
Saya bawa balik ke hotel. Masuk dalam bilik, buka pedingin hawa, dan terus buka bungkusan. Baunya amat enak sekali. Saya ngap segumpal nasi sahaja tanpa kuah dan lauk. Perghh! sedapnya boleh tahan.
Saya gumpal pula nasi bersama kuah gulai yang basah dan cair itu, cubit sedikit ayam, ngap masuk ke dalam mulut. Kunyah perlahan-lahan dan mula terasa nikmat secuku rasa hasil dari kesemua gabungan rempah dan nasi ganja itu. Saya terus hayun tanpa henti dan akhirnya kenyang.
Mata mula rasa kuyu, masih belum solat pula. Lalu saya gagahkan diri untuk solat terlebih dahulu dan selesai solat, baring sekejap atas katil. Sedar-sedar dah pukul 5.30 petang. Memang betul nasi ganja itu diberikan nama. Macam ada ganja saja rasanya.
Koleksi gambar Perlis dari telefon pintar
Sejak ada telefon pintar, saya jarang bawa kamera lagi kalau pergi ke mana-mana tempat. Kononnya cukup sekadar dengan kamera di phone itu saja untuk dirakamkan segala gambar yang menarik.Tapi nampaknya tak boleh lagi buat begitu. Gambar yang saya rakamkan sentiasa tak menarik dan secantik dengan menggunakan kamera DSLR. Lepas ini, nak kena bawa semula kamera kalau pergi berjalan-jalan ke tempat baru.
Gambar yang dipamerkan di sini semuanya hasil dari kamera pintar. Nampak kembang semangkuk dan tidak setajam dan serapuh gambar dengan menggunakan kamera DSLR. Tapi cukuplah sekadar untuk mendapatkan gambaran.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !