Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

14 November 2015

Kena penampar sebab perkataan 'Hindu'

  Ano Nyme       14 November 2015
Walaupun ada perbezaan besar antara perkataan Hindu dengan perkataan India atau Tamil, sejak kecil saya dah terbiasa sangat hanya menggunakan perkataan Hindu secara meluas dalam banyak keadaan.

Kesilapan besar ini tidak ketara jika berbual sesama rakan sebangsa dari kalangan orang Melayu di kampung. Setiap kali berceritakan tentang orang India, akan disebut orang Hindu. Sepatutnya perkataan yang betul adalah orang India.

Perkataan India itu melambangkan bangsa India atau Negeri India, manakala perkataan Hindu itu pula merujuk kepada agama yang dianuti oleh sebahagian besar orang India terutamanya di negara India.

Begitu juga orang India di Malaysia, ramai yang menganuti agama Hindu. Ada juga orang India di Malaysia yang menganuti agama Islam dan golongan India yang beragama Islam ini biasanya kita selesa panggil dengan panggilan Mamak.

Satu lagi perkataan yang orang utara biasa sebut pada golongan India Muslim ini adalah perkataan Keling. Ada orang kampung saya yang dipanggil sebagai Din Keling, kerana rupa parasnya macam orang India. Tapi jika di sebelah negeri lain seperti di KL atau Selangor, perkataan Keling adalah sensitif untuk disebut.

Secara ringkasnya, untuk membezakan antara orang India muslim dengan orang India bukan Muslim, maka yang muslim akan disebut sebagai mamak. Manakala orng India yang bukan muslim akan disebut saja sebagai Hindu. Itulah yang sudah menjadi kebiasaan di Kampung dahulu.

Pengalaman bersekolah multi-racial

Macam yang saya dah kongsikan sebelum ini berkenaan zaman persekolahan rendah dahulu, saya bersekolah di Sekolah Rendah Stowell. Letaknya di Bukit Mertajam dan sekolah tersebut menghimpunkan semua bangsa terutamanya Melayu, Cina dan India dan Serani.

Tidak pula dapat dipastikan komposisi peratusan antara bangsa-bangsa atau etnik yang bersekolah Stowell ketika itu. Namun dari pemerhatian saya, bilangannya sama ramai sahaja. Saya masih ingat rupa masing-masing samada dari Melayu, Cina ataupun India.

Apa yang paling ketara yang masih diingati terhadap bangsa-bangsa berbeza ketika itu adalah orang Cina kelihatan 'berada' dari segi ekonomi mereka. Orang Melayu pula ketara dalam aktiviti kesukanan mereka dan orang India pula sering menerima 'public canning' setiap kali ada perhimpunan.

Paling saya ingat adalah sekumpulan anak-anak India telah dirotan atas pentas di depan khalayak ramai pelajar kerana kesalahan mencuri buah durian yang banyak. Mereka dirotan seorang demi seorang dan bukti buah durian yang telah mereka curi ada atas pentas.

Lucu, hairan, takjub, semua ada ketika saya melihat peristiwa tersebut. Betapa akalnya para pelajar India tersebut sehingga sanggul mencuri buah durian yang agak banyak. Kalau tak silap mereka mencurinya daripada penjual buah durian di pekan BM.

Pelajar India baru masuk

Ada sekali peristiwa, seorang pelajar berbangsa india baru saja mendaftarkan diri masuk ke kelas yang sama dengan saya. Tak ingat pula ketika itu darjah berapa, mungkin darjah 4 atau 5 saya tak pasti.

Pelajar India itu nampaknya punya keyakinan diri yang tinggi. Dia mungkin dari golongan anak orang berada memandangkan sikapnya yang tidak takut-takut sebegitu. Saya melihatnya seperti seorang yang agak berlagak, maka timbullah rasa tak puas hati melihat kelakunya.

Satu pagi ketika cikgu masih belum masuk ke dalam kelas, seperti biasa pelajar akan riuh rendah buat bising. Pelajar India yang baru masuk itu duduk di hadapan baris tempat saya duduk. Dia kelihatan bersahaja riang ria menyanyikan sebuah lagu Tamil yang rancak.

Bila kita dah tak suka pada orang lain, apa saja yang dilakukannya kita akan benci. Maka saya menyergah pada pelajar India itu supaya diam dan jangan teruskan nyanyian lagu Indianya yang rancak itu. Kalau nak nyanyipun, tak payah kuat-kuat.

Pelajar India itu kuatkan lagi nyanyiannya, sengaja nak sakitkan hati saya. Maka berlakukan kekasaran antara saya dengan dia dan tiba-tiba cikgu kelas pula masuk. Kami berdua tertangkap ketika aksi perkelahian yang baru nak mula.

Kena tampar sebab perkataan Hindu

Cikgu kelas ketika itu adalah seorang Guru Berbangsa India. Saya masih ingat lagi namanya KM Malaka. Dia juga seorang guru disiplin yang amat garang ditakuti oleh semua pelajar ketika itu. Saya dan pelajar India itu dipanggil ke depan mengadap ke meja Cikgu KM Malaka.

"Kenapa bergaduh ?" tanya cikgu.

Saya terus saja menjawab dengan cepat, " dia menyanyi lagi hindu kuat-kuat...".

'PANG !'.

Satu penampar hinggap terus ke pipi saya. Cikgu menampar muka saya dengan kuat sambil matanya terbeliak merenung muka saya. Saya lawan tenung matanya yang merah itu menantikan alasan kenapa dia menampar saya sedangkan belum sempat saya habiskan ayat.

"Hindu adalah satu agama" terang cikgu KM Malaka dengan tegas. "Hormat sikit dan tahu bezakan antara agama, bahasa dan bangsa", tegasnya lagi.

" Dia menyanyi lagi Tamil dengan kuat..", jawab saya perlahan setelah menyedari kesalahan saya menyebut perkataan Hindu bukan pada tempatnya.

"Hindu atau Islam adalah agama, perlu fahami itu. Jangan hina mana-mana agama. Agama Hindu itu lebih awal dan lama daripada agama Islam" sambung KM Malaka lagi.

Saya hanya mendiamkan diri mendengar syarahan KM Malaka. Dalam hati kecil saya tidak dapat menerima fakta darinya bahawa agama Hindu itu jauh lebih awal daripada agama Islam.

Yang saya faham ketika itu, Nabi Adam, manusia pertama di muka bumi ini adalah Islam, oleh itu sudah tentu Islam jauh lebih awal dari agama Hindu. Namun saya diamkan saja kerana sedar mungkin dia marah sikap saya yang tidak suka pada pelajar India tadi menyanyikan lagi Tamil, yang saya panggil lagu Hindu.

Sambung bertumbuk selepas sekolah

Sampai situ sahaja kami mengadap KM Malaka. Saya rasa pedih kena penampar sedangkan pelajar India itu hanya menerima amaran supaya jangan buat bising dan menyanyi lagi Tamil kuat-kuat. Kami diarahkan duduk semula di tempat masing-masing.

Oleh kerana saya tak puas hati lagi dan menyimpan rasa dendam, maka saya berikan isyarat pada pelajar India itu untuk tunggu selepas habis persekolahan di waktu nak balik nanti. Saya mahu selesaikan isu itu kerana ianya belum habis. Pelajar India itu setuju dengan angkuhnya.

Satu hari saya duduk tak senang teringatkan semua yang berlaku. Rasa marah dan meluat pada pelajar India tu yang menjadi penyebab utama saya kena penampar. Baru masuk sekolah dan nak berlagak. Nanti saya akan ajar kamu... itu semua bermain dalam kepala saya sehinggalah loceng balik dibunyikan.

Teruk kena belasah dengan pelajar India

Saya terus berkemas dan pergi ke tempat tunggu bas di luar sekolah di bahagian atas sekolah Stowell. Di situ tempat berkumpulnya para pelajar menunggu bas sekolah masing-masing. Ada sebuah hutan belukar di situ yang kosong ditengahnya seperti sebuah Gua. Di dalamnya lapang dan disitulah saya akan bertumbuk dengan peajar India tersebut.

Pelajar India itu masuk ke dalam bersama saya diiringi oleh beberapa orang kawan lain yang mahu saksikan kami bertumbuk.

Oleh kerana saya tak mahu pakaian sekolah yang putih itu kotor, saya lalu meletakkan beg sekolah dan mula mahu membuka butang baju satu demi satu untuk membuka pakaian. Belum sempat saya nak buka pelajar India itu menerpa ke arah saya dan memukul saya sampai tergolek.

Bia saya jatuh tergolek, dia berundur ke belakang dan bersedia degan tenang dan yakin. Tindakan itu menambahkan lagi kemarahan saya padanya, saya rasa itulah yang dia cuba lakukan.

Lalu saya menerpa ke arahnya mahu membalas tapi dengan selamba dia mengelanya dan memukul saya lagi, tergolek sekali lagi. Saya makin marah, bangun dan menerpa ke arahnya lagi dan begitulah seterusnya saya dipukul dan tergolek.

Saya mula tenangkan diri tersedar akan kebodohan saya mengikut perasaan. Otak mula berfikir ligat. Hanya satu yang saya pasti, pelajar India itu pandai bertumbuk. Dia bukan bergaduh secara koboi macam saya. Saya dapat rasakan jika berterusan begitu, saya akan jadi sayur untuk dibahamnya dengan mudah.

Dalam dok fikir itu terdengar jeritan kawan-kawan, Bas datang !, bas datang !.

Itulah peluang saya untuk cabut. Saya kata nasib baik bas datang, kalau tidak saya tentu akan bertumbuk lagi sampai puas.. itu hanya kata-kata orang yang tak mahu mengaku kalah, sedangkan dalam hati saya sedar saya bermusuh dan bergaduh dengan orang yang lebih terlatih.

Lebih baik jangan teruskan hasrat saya nak balas dendam itu. Tidak ada gunanya bertanding pada tempat yang kemungkinan untuk menang adalah nipis.

Itulah kenangan pahit dan manis ketika bersekolah di Sekolah Rendah Stowell dahulu. Saya dah tak ingat nama pelajar India itu. Yang pastinya saya mengaku kalah dan rasa malu dibuli oleh pelajar itu dan nasib baik ada yang lihat dan dia pula tidak menceritakannya pada orang lain... baik juga dia rupanya.
logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kena penampar sebab perkataan 'Hindu'

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. malaka ini ada lah 'coach' bola utk team kami sekitar tahun 78-79

    ReplyDelete
  2. aku pun tak setuju agama Hindu lebih awal dari Agama Islam, pernah aku "bertegang urat" masa form four dengan guru sejarah hal ni. Lastly dia minta hal tu tak diperkatakan lagi.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !