Kebanyakan orang yang minat untuk beli, simpan dan jadikan jam tangan sebagai koleksi sudah tentu ialah orang lelaki. Orang perempuan jarang nak jadi mengumpul jam tangan koleksi sebegitu. Entahlah samada ada atau tidak orang perempuan yang himpun jam tangan koleksi, saya masih tak pernah dengar dan jumpa lagi wanita sedemikian.
Setakat ini, terutamanya di Pulau Pinang tempat asal saya, geng yang suka buat jam tangan sebagai barang koleksi adalah dari kalangan mereka yang dah agak berumur. Bagi yang muda, ramai yang minat tengok jam saja macam saya, tapi sampai nak keluarkan duit beli dan simpan jam angan sebagai koleksi belum sampai masanya lagi.
Saya baru sangat berkecimpung untuk mengenali dunia jam tangan koleksi ini, jadi terlalu sedikit maklumat dan pengetahuan yang ada untuk dikongsikan pada mereka yang punya minat yang sama. Kemungkinan besar pembaca yang dah lama minat buat koleksi jam tangan ini jauh lebih mendalam ilmunya. Walau macam manapun, perjalanan sejauh manapun tetap bermula dengan satu langkah. adi saya sekarang baru nak buat langkahan yang pertama. Jika salah tolong tunjukkan.
10 jam tangan sebagai koleksi pilihan
Apa yang seronok dalam zaman internet sekarang ini adalah kemudahan untuk mendapatkan apa saja maklumat dari dunia cyber. Apa saja persoalan, apa saja masalah, anda boleh cari maklumat atau bahan bacaannya dari internet. Dan sudah tentu yang paling popular adalah dengan membuat carian di Google.
Berikut saya senaraikan 10 jam tangan pilihan yang boleh dijadikan koleksi jika anda ada minat untuk membeli dan menyimpan jam tangan. Saya dapat semua maklumat ini daripada internet sahaja, namun ianya tetap menjadi satu garis panduan untuk permulaan.
1. Jam tangan Rolex Submariner
Jam tangan jenama Rolex merupakan jenama jam yang paling dipercayai dan diminati di seluruh dunia. Ada orang percaya hanya jam rolex saja yang ada nilai second hand lebih baik berbanding jam yang lain. Jam tangan Rolex Submariner ini dikeluarkan bermula pada tahun 1954. Tapi bukan sebagai barangan mewah. Sebaliknya untuk kegunaan para penyelam profesional dan juga orang kebanyakan yang lain. Sejak itu ia menjadi kegilaan ramai sampai ke tahap fanatik. Jam tangan ini tahan lama dan amat ringkas rekaannya serta mudah dibaca. Sampai sekarang ia masih menjadi kegilaan.
2. Jam tangan Omega Speedmaster
Jam tangan ini boleh dianggap sebagai jam klasik untuk para ahli sukan. Rekaannya amat cantik, ringkas dan tidak berlebihan. Ia merupakan jam yang dipakai oleh Buzz Aldrin ketika berjalan atas bulan pada tahun 1969 dahulu. Jam tangan ini ada banyak terdapat dalam pasaran jam terpakai. Ada berbagai model yang menarik samada Manual yang perlu dikunci atau dipusing, atau automatik. Jika anda jumpa satu dan pastinya ianya original, boleh beli dan pakai serta simpan.
3. Jam tangan Audemars Piguet Royal Oak
Jam tangan ini adalah penyelamat syarikat Audemars Piguet daripada menghadapi bankrup. Bila dunia jam dilanda dengan kahadiran teknologi quartz, syarikat terpaksa melakukan sesuatu untuk kekal dalam pasaran. Dari situlah jurureka yang bernama Gerald Genta di bawa masuk untuk mereka sebuah jam yang hebat. Hasilnya adalah sebuah jam yang amat mahal diperbuat daripada besi. Jam itu lebih mahal daripada jam lain walaupun yang dibuat daripada emas. Ia menjadi sebuah jam mewah sport yang mendapat sambutan ramai sehingga sekarang.
4. Jam tangan Jaeger-LeCoultre Reverso
Jam tangan ini adalah gabungan daripada dua jenama pembuatan jam yang berbeza iaitu, Jaeger-LeCoultre dan juga Reverso. Reverso bergabung dengan Jaeger-LeCoultre pada tahun 1931 dan terciptalah sebuah jam di bawah satu jenama iaitu Jaeger-LeCoultre Reverso. Jenama Reverso asalnya adalah jenama jam yang amat terkenal di kalangan orang kenamaan British yang bermain sukan Polo/ Dengan keluarnya jam ini, yang berbentuk empat segi dan amat bergaya bentuknya, ia cepat merebak menjadi jam pilihan terutamanya di Eropah. Hanya dalam era 1980 sahaja Reverso ini dibuat semula setelah dihentikan selama 20 tahun sebelum itu. Ia tetap menjadi pilihan yang mewah dan bergaya untuk dijadikan koleksi.
5. Jam tangan Rolex Datejust
Ini merupakan jam tangan asas yang dikeluarkan oleh Rolex. Ia dikeluarkan bermula pada tahun 1945 dengan tambahan haribulan di dalam jam tersebut yang menggantikan rekaan sebelum itu tanpa haribulan. Jam tangan ini amat terkenal dan dipakai oleh ramai orang terkenal antaranya ialah Presiden Dwight Eisenhower, Tony Soprano dan terlalu ramai pelakon terkenal. Ini merupakan sebuah jam tangan yang amat versatil sesuai dipakai dalam apa saja situasi. Sebelum ini saiznya adalah sederhana, cuma pada tahun 2009 Rolex melancarkan versi 41mm yang lebih besar berbanding versi 36mm sebelum itu.
6. Jam tangan Tag Heuer Monaco
Jam tangan ini dilancarkan pada tahun 1969. Merupakan salah satu daripada jam tangan automatik chronographs yang ada di pasaran. Ia dinamakan sebegitu bersempena dengan GP Formula One Monaco yang terkenal itu. Jam ini dipakai oleh Steve McQueen dalam fillemnya Le Mans tahun 1971. Jam tangan ini dihentikan pengeluarannya selepas beberapa tahun dan kemudian dikeluarkan semula pada tahun 1998. Kemudian di keluarkan lagi semual yang terbaru pada tahun 2003. Ia merupakan antara jam yang mendapat sambutan para kolektor jam tangan. Kalau ada kat pasaran jam terpakai dan ianya adalah ori, jangan lupa terus sambar satu.
7. Jam tangan Glashutte Original Senator Navigator
Biasanya ada dua jenis jam yang diketengahkan. Pertamanya adalah jam untuk penyelam dan keduanya adalah jam untuk juruterbang. Bagi jam juruterbang, biasanya saiz adalah amat besar. Mungkin untuk kemudahan melihat jam. Sapakah yang memulakan pembuatan jam tangan jenis besar gabai itu ada berbagai pendapat. Tapi pendapat yang agak terkenal ianya dimulakan oleh pereka dari Jerman dan Swiss pada awal 1920 an. Ada banyak jam besar gabai yang menepati ciri-ciri juruterbang yang menarik. Tapi jam ini merupakan antara pilihan yang baik. Walaupun begitu, ianya adalah agak sukar untuk didapati di pasaran sekalipun jika anda pergi ke kedai jam Glashutte Original.
8 Jam tangan Breitling Navitimer
Jam tangan ini diperkenalkan pada era tahun 1950 an. Ia menjadi jam tangan pilihan juruterbang dan tentera udara yang selain daripada perlu tahu masa, mereka juga perlu membuat perkiraan yang berkaitan dengan penerbangan. Ini dapat dilakukan dari bezel yang boleh dipusingkan bersama keupayaan chronograph yang ada pada jam tersebut. Walaupun sekarang semua peralatan penerangan adalah digital dan elektronik dan tiada lagi keperluan untuk kira secara manual, namun begitu, semua pilot dilatih untuk buat kiraan secara manual sebagai langkah alternatif jika peralatan elektronik gagal berfungsi. Jam tangan ini merupakan antara yang amat laris dan menjadi pilihan lelaki yang aktif sehingga sekarang.
9. Jam tangan Cartier Santos
Jam tangan ini ada sejarahnya tersendiri. Pada tahun sekitar 1906 dahulu, Alberto Santos-Dumont merupakan seorang pilot pertama yang berjaya kekal di udara dengan kapal terbang bersayap. Beliau merupakan rakan kepada Louis Cartier, seorang tukang emas dan barang perhiasan dari Perancis. Dumond kongsikan pada rakannya itu betapa sukarnya nak lihat waktu dari jam poket. Dia terpaksa keluarkan dahulu jam dari poket, buka dan baru boleh tahu pukul berapa. Mendengar masalah itu, Cartierpun mula mereka bentuk sebuah jam yang boleh dipakai pada pergelangan tangan. Rekaan itu khas untuk para juruterbang yang amat perlu jam yang sedemikian. Ia merupakan satu permulaan bagi kaum lelaki memakai jam pada tangan. Sebelum itu hanya kaum wanita sahaja yang pakai jam tangan dan kaum lelaki pakai jam poket. Begitulah sejarahnya dan ia masih lagi terkenal berdasarkan kisah asalnya juga dengan reka bentuknya yang asli.
10. Jam tangan IWC Portuguese
IWC Portuguese ini mendapat namanya melalui satu cerita daripada IWC sendiri. Pada tahun 1930 dahulu, beberapa orang saudagar telah turun dari kapal menemui pembuat jam tangan IWC di Switzerland. Mereka mahukan sebuah jam tangan yang boleh dipercayai dan amat tepat untuk kegunaan mereka ketika berada di atas laut dalam kapal. Sukar untuk mengharapkan jam di atas kapal dan mereka tidak boleh betulkan waktu dengan mudah jika berada di tengah laut. Dari situ lahirlah rekaan IWC Portuguese dan ianya amat terkanal sehinggalah sekarang. Rekabentuk jam itu kekal dengan ciri-ciri peralatan kapal laut sehinggalah sekarang.
Jam tangan berjenama, di Malaysia dulu CASIO amat popular.
ReplyDelete