Masih ingat lagi lagu Stanza Sekeping hati ?
Bagi mereka yang seangkatan dengan saya, yang hidup dalam era tahun 1980-an, tentu biasa dengan lagu Stanza Sekeping Hati ini. Ia merupakan salah satu dari lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi Ben Nathan. Kalau anda nak dengar lagu tersebut boleh klik kat sini. Ben Nathan hilang menyepi dari dunia seni pada akhir 1990-an.
Ada banyak gossip kedengaran tentang penyanyi tersebut menghilangkan diri dari dunia seni. Gossip yang paling popular adalah dia mengalami masalah tekanan jiwa. Ada yang kata dia gila atau punya masalah mental. Ada yang kata dia ada masalah ketagihan dadah dan arak, dan macam-macam lagi gossip yang berlegar dalam dunia seni. Betul atau tidak, Ben Nathan tentu lebih tahu keadaan dirinya.
Apa yang diketahui ramai, Ben Nathan ini telah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Ben Adam. Cerita bagaimana dia memeluk Islam tidak pula dapat dipastikan. Kononnya dia peluk Islam sebab bercinta dengan gadis beragama Islam.
Tak kisahlah bagaimana seseorang itu memeluk Islam. Itu semua hanyalah sebagai sebab sahaja. Orang yang mendapat hidayah untuk menyerahkan dirinya hanya pada Tuhan yang Esa, masuk dari berbagai cara. Ada yang mendapat hidayah hanya dengan mendengar azan, ada yang dapat hidayah dari kawan-kawan, ada pula yang masuk setelah membaca naskah Tafsiran Al-Quran dan berbagai lagi cara yang semuanya adalah urusan Tuhan untuk membuka hatinya.
myIKUT bertemu Ben Nathan
Baru-baru ini, saya berhubung dengan pengerusi organisasi kebajikan dan dakwah yang menamakan kumpulan mereka sebagai myIKUT. Saya biasa penggil pengerusi organisasi itu sebagai Azley, itu nama yang kawan-kawan lain di Pulau Pinang kenal beliau.
Azley memeluk Islam sejak lama dahulu dan sejak itu dia amat aktif melakukan aktiviti kebajikan membantu mereka yang mengalami kesukaran hidup setelah memeluk Islam. Kalau nak dapatkan perkongsian pengalaman bagaimana keadaan orang yang mendapat hidayah dan peluk Islam, Azley amat mahir memberikan maklumat berdasarkan pengalamannya.
Bukan semua mereka yang peluk Islam, kehidupannya menjadi lebih baik dari sebelumnya. Ramai yang mengalami kesukaran hidup dengan berbagai masalah yang mencabar iman. Terutamanya mereka yang keluarganya kuat berpegang dengan ajaran agama asal mereka sebelum ini. Ditambah pula dengan sikap masyarakat yang tidak berapa prihatin terhadap saudara baru mereka, kehidupan mereka menjadi lebih sukar.
Ada banyak kali juga myIKUT bertemu dengan penyanyi Ben Nathan ini sejak bulan April tahun 2015. Kali pertama mereka bertemu adalah pada 26 April 2015. Azley bawa Ben Nathan balik ke rumahnya di Pulau Pinang dan Ben Nathan tinggal di rumah Azley selama 3 hari 2 malam. my IKUT atau lebih tepat lagi Azley mula merapatkan diri dengan Ben Nathan untuk melihat kalau-kalau ada ruang untuk membantunya.
Selepas itu, pada bulan yang berikutnya, Ben Nathan muncul di Pulau Pinang dan menghubungi Azley dengan menelefonnya. Mereka berjumpa sekali lagi dan merapatkan perhubungan yang sudah terjalin. Dan kali akhir Azley pergi bertemu dengan Ben Nathan adalah pada 12 Julai 2016 selepas raya. Pertemuan ke-3 itu berlaku di Kerinchi.
Hasil dari pertemuan yang 3 kali itu, nampaknya Ben Nathan amat selesa dengan Azley. Malah menurut Azley, Ben Nathan bersedia untuk ikut Azley ke mana saja kalau Azley nak bawa dia. Ertinya Ben Nathan sudah mula menaruh kepercayaan pada Azley yang cuba menyantuninya.
Rancangan myIKUT terhadap Ben Nathan
Ada beberapa fakta yang perlu diberikan pencerahan terhadap masalah Ben Nathan ini. Pertamanya adalah Ben Nathan bukanlah seorang yang tidak siuman atau gila. Dia masih waras sebenarnya dan mudah untuk didekati. Dia juga mampu berkomunikasi dengan baik jika anda bersembang dengannya. Ben Nathan juga bukanlah seorang yang merbahaya yang boleh mencederakan orang.
Ben Nathan juga, menurut Azley bukanlah seorang yang pengotor. Dia sebenarnya tidak busuk walaupun jika sekali lihat, dia nampak berserabut dengan rambut yang panjang dan muka tidak terurus.
Menurut maklumat dari mereka yang kenal Ben Nathan, dia mengalami masalah ketagihan dan pernah masuk ke pusat pemulihan. Tetapi malangnya setelah keluar dari pusat pemulihan, Ben Nathan kembali kepada aktiviti lamanya. Mungkin rawatan pemulihan yang dia dapat tidak berjaya untuk kekangi dirinya dari menghindari ketagihan lamanya.
Bawa Ben Nathan ke Krabi
Jika masalah seebenar Ben Nathan adalah masalah ketagihan, myIKUT ada perancangan untuk membawa penyanyi itu ke Krabi. Di sana, terdapat sebuah pusat pemulihan Islam yang punyai penghuni seramai lebih kurang 900 orang.
Mungkin di sana lebih mujarab untuk Ben Nathan sebab terputus terus dari sebarang pengaruh atau kenangan yang boleh membuatkan dia kembali pada aktiviti biasanya. Tapi itupun bergantung kepada persetujuan tuan punya badan sendiri. myIKUT sedang cuba memahaminya dari Ben Nathan dengan mengekalkan perhubungan mereka.
Masalah besar kalau Ben setuju untuk dipulihkan di Krabi adalah untuk buat passport. Dan terlebih dahulu kena buat kad pengenalan untuk Ben Nathan ini sebab menurut Azley, IC Ben Nathan dah hilang dan dia tak tahu ada kat mana. Untuk bawa Ben Nathan pergi buat IC baru dan kemudiannya pergi buat pasport dan seterusnya membawa dia ke Krabi adalah satu urusan yang amat mencabar sebenarnya.
Sekarang ben Nathan menjadikan kawasan sekitar Kerinchi, Brickfield, Travers Road, Dataran Merdeka, dan Pantai Dalam, sebagai kawasan lazimnya berada. Kadang kala dia akan ke Public Library dekat Dataran Merdeka. Kata orang dia hidup gelandangan sekarang tanpa punya rumah tetap sebagai tempat merehatkan diri.
Usaha bantu Ben Nathan mencabar
Walau bagaimanapun, idea nak bawa Ben Nathan ke Krabi hanyalah sekadar cetusan idea sahaja. Jika ada mana-mana pusat pemulihan dan penjagaan tempatan yang sesuai untuk beliau, sudah tentu itu jauh lebih mudah dan baik untuk ben Nathan.
Azley juga mengesahkan bahawa Ben Nathan memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Atas dasarlah itulah Azley masih tidak putus asa untuk berusaha membantunya sehingga dia berjaya dipulihkan semula. Ben Nathan sekarang dah berumur 55 tahun, masih lagi muda untuk orang zaman sekarang dan perlu diusahakan juga pemulihannya.
Satu lagi cabaran untuk pulihkan Ben Nathan ini adalah sikapnya yang tidak mahu tinggal dengan orang. Dia tak mahu tinggal walaupun dengan saudara maranya sendiri. Nampaknya dia lebih selesa untuk berseorangan. Sikap suka bersendirian ini membuatkan usaha membantunya agak sukar dan hampir tak ada jalan.
Penafian MyIkut Perguna Isu Ben Nathan
Berikutan artikel ini menjadi Viral setelah keluar semula berita mengenai Ben Nathan ini di media sosial, timbul berbagai salah sangka terhadap tujuan sebenar MyIkut. MyIkut dikatakan cuba ambil kesempatan untuk kutip derma dengan menggunakan isu Ben Nathan.
Oleh itu, disertakan penerangan dan penjelasan dari Pengerusi MyIkut di bawah untuk mencerahkan keadaan sebenar.
TIADA TABUNG myIKUT UNTUK BANTU BEN NATHAN
Assalamualaikum !
Artikel ini telah mengundang salahtanggapan terhadap usaha membantu Ben Nathan, baru-baru ini ada pihak beranggapan nama Ben Nathan telah digunakan untuk meraih simpati dan myIKUT telah mengambil kesempatan untuk memohon sumbangan.
Ingin ditegaskan myIKUT sama sekali TIDAK PERNAH atau CUBA mengambil kesempatan terhadap Ben Nathan. Ruangan ini digunakan untuk menyebarkan aktiviti myIKUT secara menyeluruh dan permohonan sumbangan adalah kepada mereka yang cenderung untuk membantu keseluruhan aktiviti myIKUT.
Ingin dimaklumkan myIKUT telah menerima banyak panggilan serta pesanan ringkas dari orang perseorangan yang ingin menghulurkan bantuan untuk membantu Ben Nathan. Tetapi myIKUT mohon agar bantuan dan sumbangan untuk Ben Nathan ditangguhkan dahulu.
Ini disebabkan myIKUT sendiri masih belum jelas bagaimana cara untuk membantu Ben Nathan.
Justeru itu menganggap myIKUT mengambil kesempatan amatlah mendukacitakan setelah ikhlas berusaha untuk membantu Ben Nathan.
MyIKUT sendiri telah memberlanjakan lebih daripada RM2,000 sepanjang perkenalan dengan Ben Nathan tanpa menadah tangan mohon bantuan. Dana tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai atas sokongan pelbagai aktiviti myIKUT.
Namun demikian myIKUT telah memohon maaf kepada keluarga & Yayasan Artis 1Malaysia atas segala kekilafan yang telah berlaku dan bersedia berkerjasama untuk membantu dalam usaha memulihkan Ben Nathan, lnsyaALLAH.
Bantu myIKUT baiki kenderaan mereka
Di kesempatan ini saya ingin war-warkan permohonan myIKUT yang memerlukan dana untuk membaiki kenderaan mereka. Kenderaan ini penting selama ini untuk digunakan untuk segala aktiviti kembara dan kebajikan membantu mereka yang memerlukan.
Azley sebagai Pengerusi myIKUT, ingin mohon jasa baik tuan dan puan untuk menyalurkan sumbangan seadanya agar kenderaan ini boleh terus bergerak menyantuni mereka yang memerlukannya. Juga agar aktiviti dakwah dan kebajikan saudara baru terus subur dan berkekalan.
Untuk maklumat pembaca, dana yang diperlukan adalah bertujuan untuk penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan tersebut. Apa yang bakal dilakukan adalah untuk menukar empat tayar baru, pendingin hawa, power window, central locking, power stering, break pam, alarm system dan lain-lain lagi masalah sampingan yang perlu diambil perhatian Kesemua kos penyelenggaraan dan pembaikan dijangka tidak melebihi RM5,000.
Sekiranya dana yang diterima adalah melebihi RM5,000 maka bakinya akan digunakan untuk kegunaan penyelenggaraan atau pembaikan di masa depan apabila ianya diperlukan.
Anda boleh menyumbang terus kepada:
Nama akaun: Infaq Kebajikan Umah Takaful (IKUT)
No Akaun : 5571 3923 0356
Bank Akaun : Maybank
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Zol di talian 012-48 100 74
Nota: Gambar kat atas tu adalah gambar Ben Nathan ketika bersama Azley.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !