Baru-baru ini ketika berseorangan di pejabat, pintu diketuk berkali-kali dengan kuat. Disebabkan waktu tengahari, saya malas nak layan sangat sebab semua orang keluar cari makan. Ada yang keluar buat kerja di luar. Oleh kerana hari isnin dan saya puasa sunat saya tak makan dan duduk kat pejabat seorang diri.
Pintu masih diketul bertalu-talu dan saya bangun menuju ke arah pintu. Jenguk kat luar dari cermin gelap kelihatan seorang lelaki dalam lingkungan lewat 50-an, berkopiah sedang menunggu respon. Bila dah tengok orang tua, pakai kopiah pulak tu, saya buka pintu.
Serbu masuk pejabat satu keluarga
Sebaik saja pintu dibuka, lelaki itu terus masuk. Selepas dia masuk, muncul pula kanak-kanak perempuan dua orang dalam lingkungan 7 tahun saya agak. Kemudian masuk pula seorang lelaki dewasa bertopi dan ber T-shirt. Entah dari mana datang tak sempat nak saya fikirkan. Mulanya tadi hanya kelihatan lelaki berkopiah tu.Lelaki itu terus bertanya tentang maklumat perkhidmatan yang sayarikat saya jalankan. Maka sayapun jawab, peluang jualan datang, takkan tak nak layan. Lagipun dia berkopiah, lewat 50-an dan berpakaian kemas dengan baju batik hijau gelap. Rupanya mirip kecinaan dengan janggut dan misai yang jarang.
Kanak-kanak perempuan tercegat berdiri di sebelah pintu merenung saya sambil ternganga. Saya tak syak apa-apa yang luar biasa, cuma terdetik juga perasaan pelik kenapa nak serbu masuk satu keluarga. Namun ia padam bila timbul rasa kasihan melihat kanak-kanak comel muka kecinaan itu ternganga. Saya pelawa lelaki berkopiah itu duduk di sofa berhampiran pintu pejabat bila melihat dia seperti mengah keletihan.
Minta nak guna tandas
Selepas orang tua itu duduk, saya juga duduk berhadapannya untuk menjawa segala pertanyaan yang dia lemparkan. Lelaki muda seorang lagi juga terus mencapai sebuah kerusi dan duduk sambil tersenyum-senyum. Saya berikan penerangan terhadap semua soalan lelaki tua itu dengan jelas supaya dia faham.Sedang saya berkan penjelasan, lelaki muda itu bersuara minta nak guna tandas sebentar. "Minta maaf !, boleh tak saya nak guna tandas ? " tanya lelaki muda itu dengan sopan.
Saya pun tunjukkan arah ke belakang pejabat. Ketika pusing memberikan arah, terdetik pula dalam hati, dia akan lalu kawasan meja saya. Terbayang beg kulit yang ada duit dan telefon pintar di dalamnya, terletak atas meja saya. " Takkan dia nak curi kut ! " bisik hati kecil saya.
Lelaki tua itu dengan pantas bertanya pula soalan lain dan semua perhatian saya tertumpu pula padanya. Lelaki muda itu dah bangun menuju ke tandas. Saya tak perasan bila dia bangun dan pergi dan terlupa terus pasalnya bila orang tua itu tanya macam-macam soalan. Saya jawab dan berikan penerangan lagi.
Keluar pantas dan janji akan datang semula
Tak berapa lama orang tua itu bangun dan ucapkan terima kasih. " Nanti kalau saya dah buat keputusan, saya akan datang semula.. ", katanya sambil bangun. Lelaki muda tadi dah keluar dahulu. Mungkin selepas melihat lelaki muda itu dah selesaikan urusannya di tandas dia bangun serentak menamatkan perbualan.Saya tahan lelaki tua itu sebentar untuk berikan bisnes card. Tapi dia kata tak apa, dia tinggal kat sekitar kawasan dekat saja dan mudah untuk datang kembali. Saya kata tunggu, ambil kad lebih mudah. Malangnya kad salesman saya tak ada atas meja pulak. Dan diapun kata tak apa, dan berlalu pergi.
Saya tak pula jenguk mereka datang dengan apa. Saya andaikan mereka mungkin naik kenderaan dan tak terfikirpun untuk mengecam jenis kenderaan apa.
Baru sedar telefon pintar dah hilang
Selaps tutup pintu, saya kembali semula ke meja dan duduk. Teringat pulak nak buat satu panggilan follow-up pada urusan kerja, lalu saya mencari telefon kat atas meja, tapi tak jumpa. Hairan pulak, tadi memang ada kat dalam beg kulit atas meja tu, mana pula perginya ?Hati mula dah rasa tak sedap. " Aku dah kena rasanya nih... ! " terlintas kata hati. Saya ambil telefon satu lagi dalam beg kat bawah meja dan mula dail nombor telefon yang dah tak ada tu. Mungkin jatuh kat mana-mana sekitar meja. Kalau ada tentu berdering dan mudah untuk ditemui.
Malangnya, panggilan yang dibuat terus masuk ke peti suara. Saya mula dah yakin telefon itu dah kena curi. Tak pernah saya tutup telefon tersebut dan bateripun masih penuh. Orang yang curi tu tentu dah mahir sangat dengan kerja mencuri yang biasanya akan terus tutup off telefon supaya tak dapat dikesan.
Saya bergegas keluar dari pejabat, tanya kedai hardware jiran sebelah, mereka tak perasan ada orang masuk pejabat saya tadi. Tanya pula kat gerai kuih tak jauh dari pejabat, mereka juga tak perasan. Tanya pula pekerja nasi wok belakang pejabat, juga tak perasan gambaran satu keluarga yang saya berikan.
Hilang telefon, hilang duit RM150, hilang mood kerja
Timbul rasa geram dan terasa bodoh pada diri sendiri kerana terlalu cuai dan tidak syak waspada. Saya pack beg dan terus tutup pejabat. Ambil kereta dan ronda disekitar kawasan pejabat. Jumpa kawan-kawan kedai lain dan kalau-kalau mereka ada lihat satu keluarga dengan kanak-kanak dan seorang lelaki tua berkopiah dan seorang lelaki juda bertopi ada lalu kat situ.Semua tak perasan ada melihatnya. Saya ceritakan apa yang berlaku dan mohon mereka sebarkan pada kawan-kawan lain disekitar supaya berhati-hati. Saya terus cabut ronda kalau-kalau terserempak bertemu semula dengan keluarga tadi tapi semuanya sia-sia belaka.
Sudah tentu mereka tidak bodoh untuk terus tunggu di sekitar kawasan Shah Alam. Saya yakin mereka terus berdesup menuju ke KL. Dapat Samsung Galaxy sebuah dan 3 not RM50 yang ada sekali dengan phone tersebut dalam purse cluch kulit atas meja saya tadi.
Bukan banyak sangatpun kehilangan. Phone boleh beli semula, duit RM150 bukanlah jumlah yang besar sangat, jauh lebih rendah dari Brim, bisik hati untuk sejukkan diri. Tapi kecuaian dan terasa diri bodoh yang membuatkan jiwa tak tenteram dan rasa geram. Lebih baik balik rehat kat rumah dan tunggu buka puasa bersama keluarga. Moga saya dapatkan lupakan apa yang berlaku dan tenang semula.
Berhati-hati dengan manusia sekarang
Alhamdulillah saya dah tenang semula. Yang dah hilang tetap kan hilang. Belajar dari kesilapan dan berwaspada selepas ini dengan sesiapa saja yang tidak dikenali. Samada berkopiah, tua, satu keluarga, berjubah atau nampak soleh, jangan terus leka sebab orang jahat pandai berlakon pergunakan kelemahan orang ramai untuk diperdaya.Mereka mungkin dah biasa sangat buat kerja sebegitu. Malah saya suspect mereka bukanlah satu keluarga. Entah kanak-kanak mana mereka ambil dalam lakonan tersebut saya tak tahu. Tapi saya yakin satu hari nanti akan terserempak juga lelaki muka cina berkopiah itu. Kalau ada rezki bertemu nanti saya tahu nak buat apa.
Bukannya nak belasah dia, tapi sekadar nak rakamkan gambarnya dan simpan dalam instagram saya sebagai kenang-kenangan. Saya telah berjaya diperbodohkan olehnya !
Phone kat gambar atas tu sekarang dah tinggal kenangan.... !
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !