Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

01 April 2017

Pertama kali pekena Shell Out di Bukit Tambun, Pulau Pinang

  Ano Nyme       01 April 2017
Dok dengar ramai orang cakap pasal Shell Out sebelum ini, tapi saya tak berapa ambil kisah dan rasa segan nak tanya sebab tak ada idea lansung apa itu Shell Out. Malu jugak nak menyampuk perkara yang kita tak tahu menahu.

Ada niat nak tanya, apa menatang itu shell out, tapi dipendamkan saja dengan cuba cari jawapannya sendiri. Dari perbualan, boleh dapat agak ia berkenaan makanan laut. Sebab ada perkataan shell kat situ, tentu makanan laut.

Oleh sebab perkataan disebut dalam bahasa inggeris, maka saya agak ianya adalah sejenis masakan atau makanan barat yang baru masuk ke Malaysia. Untuk tahu lebih lanjut, maka saya google perkataan shell out tu kat internet.

Makna shell out dalam carian google

Bila saya buka hasil carian muka surat pertama, senarai paling atas yang pertama dari google, ia menceritakan makna perkataan shell itu sendiri. Macam kebanyakan orang yang faham bahasa inggeris, shell itu lebih kurang kulit dalam bahasa melayu.

Kita biasa faham shell itu kulit atau cengkerang hidupan laut. Sebab itu bila sebut shell kita bayangkan kulit kerang dalam kepala. Apatah lagi bila sejak beranak kat Malaysia ni, kita berjumpa dengan station minyak Shell.

Lambang syarikat Shell itu pula ambil rupa kulit kerang. Itu menambahkan lagi pemahaman secara tak sedar bahawa shell itu adalah kerang atau kulit kerang, tak ada lain yang dibayangkan. Mungkin anda lebih hebat dalam penggunaan bahasa inggeris dan tak terperangkap terhadap perkataan shell itu macam saya, budak kampung yang mangkaq bahasa inggeris.

Shell out bukan menu makanan

Penerangan tambahan apabila perkataan shell itu ditambah dengan perkataan out pula memberikan makna yang jauh tersasar. Shell Out diberi maksud secara informal menunjukkan perbuatan bayar duit. Macam orang penang biasa cakap 'fork out', ertinya 'buat keluar'.

Jadi shell out dipakai secara tak formal menunjukkan erti buat keluar duit untuk buat pembayaran. Biasanya diguna pakai untuk menunjukkan buat keluar secara berat, atau terpaksa.

Tak jumpa pula saya penerangan shell out tu diguna pakai dalam ilmu kulinari atau ilmu daput masakan di restoran. Maka tak banyak yang saya belajar hasil carian dalam google akan makna perkataan shell out yang biasa di guna pakai kat negara kita.

Cuma ada artikel dari blog berbahasa inggeris yang menceritakan tentang satu restoran yang bernama Shell Out di Kota Damansara. Anda boleh baca blog tersebut kat sini kalau nak tahu. Blog itu menceritakan pengalamannya makan di Restoran Shell Out Kota Damansara.

 Saya masuk baca blog itu dan memang sah ia berkenaan makanan laut yang berbagai dicampur dengan sos pilihan dan kemudiannya dilambakkan atas meja untuk di makan beramai-ramai.
Yang membuatkan saya telan air liur bukan disebabkan rupa lazat gambar makanan shell out itu.

Tapi dengan jumlah bil yang dikongsikan oleh penulis. Mereka makan 8 orang sampai kenyang. Dan bilnya mencecah RM1000 !. Perghh ! Itu lebih kurang RM125 seorang. Makan kedarah apa namanya itu. Mungkin saya jenis budak kampung yang memang tak boleh sesuaikan diri untuk satu orang makan sampai RM125.

Restoran shell out kat Bukit Tambun

Setakat baca saja untuk dapatkan maklumat tak berapa nak puas hati. Kena alami juga pengalaman makan shell out tu sekali sekurangnya seumur hidup. Jadi bila orang cerita kita boleh menyampuk dan tokok tambah berdasarkan pengalaman sendiri.

Kebetulan abang saya ada pernah tunjukkan satu restoran shell out terperosok kat Bukit Tambun, Pulai Pinang. Maka saya simpan lokasi restoran tu dan rancang nak cuba pekena shell out kat situ satu hari nanti.

Peluang itu muncul bila saya balik Penang satu keluarga. Masa masih banyak, tak makan tengahari pulak dan kami dalam perjalanan nak naik semula ke Lembah Kelang. Sampai kat exit Batu Kawan, saya terus lencong keluar dan pergi cari semula restoran shell out kat Bukit Tambun yang abang tunjuk sebelum ini.

Makan Shell Out kat Restoran Bukit Tambun

Kami sampai dalam lingkungan pukul 5 petang. Restoran tak ada orang, meja kosong. Tapi kelihatan dapur sedang dipanaskan. Ada 3 orang lain yang sedang berdiri termanggu-manggu kat dalam kedai makan itu.

Saya boleh agak mereka sama macam saya, baru pertama kali sampai ke restoran tersebut. Saya tanya samada kedai itu dubuka atau tutup. "Entah !", ringkas saja jawapan yang saya terima dari makcik yang sedang berdiri itu selamba.

Saya pusing pula tanya pada lelaki yang datang dari arah dapur kedai, mungkin dia taukeh atau pekerja kat kedai makan tu. Solan yang sama, "dah buka ka kedai ni ?", soal saya pendek padanya.

" Dah, dah ! " cara jawab standard orang kita untuk menekankan memang dah buka. Lalu saya duduk semula tunggu untuk dia datang ambil tempahan. Tak lama kemudian memang dia terus datang sambil bawa tanda nombor 2 dan diletakkan atas meja saya. Ertinya kami pelanggan kedua mereka hari itu.

Pelanggan pertama ialah mereka yang 3 orang tadi. Lelaki itu datang layan kami dahulu setelah pergi ke meja kumpulan pertama tadi, mereka tak dapat buat keputusan sebab tak tahu nak order apa. Mereka kata nak tunggu seorang lagi kawan yang lebih tahu. Jadi kami dilayan terlebih dahulu.

Shell out black pepper dan 3 rasa

Saya terus buat tahu dan terus order nak 5 set shell out. Saya dan isteri dengan 5 orang anak, kesemuanya 7 orang. Saya andaikan 5 set sahaja tentu dah mencukupi untuk kami anak beranak. Kalau tak cukup boleh tambah nanti.

Lelaki yang ambil order itu tanya pula nak masakan apa ? baru saya sedar ada banyak jenis masakan rupanya. Dia tunjukkan pada dinding kedai ada 5 jenis menu, kalau tak silap saya. Untuk tak buang masa, saya terus bagi tahu nak masakan black pepper 3 set dan 2 set lagi masak 3 rasa.

Kami tambah dengan nasi putih 7 pinggan. Wife tanya pasal kuah, saya terus order pulak Tom Yam seafood 2 mangkuk. Sudahlah kot tu, takut terlebih pulak makanan nanti. Selepas order air, kami menunggu dengan penuh kesabaran.

Longgok shell out atas meja

Tak lama kemudian datang semula lelaki tadi. Kali ini dia bawa plastik putih bersih yang besar dua keping. Saya teka dia nak lapik meja itu. Memang betul, dia bentangkan atas meja kami penuh. Anak-anak tolong lapik helaian plastik itu supaya tak terbang kena pukup angin dari kipas yang kuat.

Apa yang tak berapa sedap kat kedai itu adalah tetamu tak diundang yang terlalu banyak. Sepanjang kami menunggu, lalat terlalu banyak berterbangan kat atas meja. Banyak luar biasa. Kalau orang jenis pembersih tentu tak akan lalu nak makan kat situ.

Saya bayangkan betapa best nya kalau ada pemukul lalat. Sekali hentak kat atas meja itu tentu akan mati 5 ke 10 ekor mudah-mudah. Tapi malangnya ami tak bawa pemukul lalat. Saya suruh anak-anak lawan tangkat lalat siapa yang cekap. Tapi seorangpun tak mampu tangkap termasuk saya, walaupun jumlahnya amat banyak.

Shell out murah dan sedap

Nak diringkaskan cerita, makanan datang satu set demi satu set. Anak-anak dan saya yang menag dah kelaparan hampir kebuluran mula ratah siput lala yang ada dalam longgokkan makanan laut lain. Memang sedap siput lala tu. Rupanya lebih besar dari siput remih, jadi lebih terasa makan.

Ada sotong dua ekor, ada udang beberapa ekor dan ada ketam yang saya tak berapa perasan berapa ekor. Menu 3 rasa sedap juga dan menu black pepper pun sedap. Kami perabih sampai kenyang lepas satu set ke satu set. Akhirnya dah 4 set kami belasah dan rasa macam tak boleh teruskan lagi.

Nasib baik wife cekap. Dia dah pesan awal suruh bungkus untuk tapow saja set yang ke-5. Boleh bawa balik dan makan semula kalau lapas kat perjalanan nanti atau bila dah sampai rumah.

Kos satu set hanya RM15 sahaja. Memang amat murah sekali. Keseluruhan makanan dan air kami 7 beranak tak sampai RM90. Itu amat murah berbanding cerita dari blog yang saya kongsikan tadi kat atas. Murah 10 kali ganda.

Rumusannya, makanan amat sedap dan murah. Tapi perlu pejam mata sahaja dengan ribuan lalat yang menjadi teman sepanjang makan kat restoran tersebut. Teh O limau panas yang saya pesan berjaya juga diterjun masuk oleh lalat seekor walaupun dah puas menjaganya. Nasib kamulah lalat, saya keluarkan lalat tu dan hirup sampai habis teh o limau itu dan bergerak balik.

Nota: Gambar di atas dirakam menggunakan iPhone 6...

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Pertama kali pekena Shell Out di Bukit Tambun, Pulau Pinang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !