Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

13 May 2017

Jangan tinggal mak seorang diri kat kampung

  Ano Nyme       13 May 2017
Baru-baru ini saya tengok satu iklan dalam TV kisah emak dan anak lelakinya. Iklan apa, saya tak pasti sebab jarang tengok TV. Mungkin juga disebabkan tumpuan saya pada gambar ibu yang sedang makan seorang diri atas meja kayu yang sederhana membuatkan saya terbayangkan keadaan yang sama pada emak kat kampung.

Saya rasa iklan itu ada kaitan dengan sambutan hari ibu yang sedang berlansung sekarang. Tapi mesejnya cukup jelas untuk kita semua ambil iktibar.

Dalam kisah pendek itu, yang anak lelaki dari keluarga berbangsa Cina, amat sibuk cari makan dan penuhi keinginan hidup. Dia ada masa makan dengan kawan-kawan, ada masa makan dengan boss, teman sekerja, pelanggan, ada masa dengan kesemua orang lain kat dunia ini, kecuali dengan ibunya sendiri.

Ibu kat rumah saban hari masak sendiri dan duduk makan seorang diri tanpa berteman. Dalam kisah itu mungkin bapa mereka sudah tiada dan tinggalah ibu seorang diri apabla semua anak-anak dah besar dan membawa haluan masing-masing.

Ibu tinggal seorang diri kat rumah

Bapak saya meninggal pada tahun 1982. Saya masih bersekolah menengah ketika itu di tingkatan dua. Sejak itu, mak keseorangan menjadi ibu tunggal membela serta membesarkan kami 3 orang adik beradik yang masih bersekolah. Abang yang dua orang lagi dah kerja.

Abang yang sulong dah mula kerja sebaik saja tamat tingkatan 5. Dialah yang menjadi tunggak kami sekeluarga apabila bapak sering tak sihat dan akhirnya meninggal dunia. Abang kedua pulak kalau tak silap saya masuk pulapol untuk jadi polis.

Tanpa bapak kat rumah, emak masih bertemankan kami seramai 3 orang. Abang nombor tiga, sekolah menengah dan adik saya sekolah rendah. Rasanya ketika itu mak lebih banyak menahan cabaran dan sabar melayan kerenah kami bertiga daripada sedih teringatkan bapak.

Begitulah kehidupan diteruskan sehingga kami semua membesar dan mula tinggalkan rumah seorang demi seorang. Akhir sekali mak tinggal seorang diri apabila adik saya yang bongsu berkahwin dan berpindah ke Langkawi.

Tinggal ibubapa kejar dunia

Kisah emak makan seorang diri dalam iklan yang saya cerita kat atas tu membayangkan keadaan emak kat kampung dulu. Berbelas tahun dia berada dalam keadaan yang sama. Tak pernah terlintas ketika itu betapa mak kesunyian saban hari siang dan malam masak sendiri dan makan seorang diri.

Tak hairanlah jika waktu hari-hari perayaan mak seronok bukan main. Dia masak tak berhenti bertungkus lumus terutamanya 3 hari sebelum raya. Dia buat kerja tak henti sehinggalah lewat malam ketika malam hari raya.

Dia tak merungut sedikitpun kepenatan. Kami ketika itu masih tak sedar diri dan masih tak dapat bayangkan nikmat punya mak yang macam itu yang tak pernah lekang kasih sayangnya pada kesemua anak-anaknya.

Walaupun dia marah, merajuk, membebel, mengata dan sebagainya pada anak-anaknya termasuklah pada menantunya semua sekali, itu bukan disebabkan kebencian. Sudah pasti hanya disebabkan apa yang dia jangkakan dari anak-anaknya, berbeza daripada apa yang dia lihat dan terima. Itu sahaja. Bukankah itu juga tanda kasih sayangnya ?

Yang dia paling sedih, adalah jika ada di antara anak-anaknya yang tak balik raya. Dia muram dan teringatkan anaknya yang tak balik itu. Walaupun seorang saja tak balik, itu sudah cukup untuk menurunkan tahap keceriaannya.

Apatah lagi jika anak yang tak balik itu disebabkan merajuk dan entah apa lagi. Bertambahlah pilu hati mak terkenangkan anaknya. Tak boleh kah buang sebentar rasa rajuk itu ke tepi dan balik layan mak sebentar yang sepanjang tahun duduk seorang diri dan makan seorang diri? tapi rasanya seorangpun tak sedar, sebab lebih melayan perasaan pentingkan diri sendiri berbanding emaknya yang dah tua.

Ukuran ekonomi hancurkan dunia

Kami semua hanyut dengan dunia masing-masing mengejar kehidupan sebagaimana yang ditakrifkan oleh masyarakat zaman ini. Zaman sekarang semua orang kejar status peningkatan tahap ekonomi. Pendapatan mesti sentiasa cukup dan ditingkatkan.

Sebabnya adalah kerana kerajaan juga mengejar peningkatan ekonomi. Saban tahun kita mengukur tahap perkembangan ekonomi negara. Jika peratusan kenaikan ekonomi meningkat, semua orang tepuk tangan. Jika menurun, semua cari jalan untuk lebih berkerja kuat lagi.

Sikap gila naikkan status ekonomi merebak turun ke bawah hingga menghanyutkan kesemua rakyat jelata. Kerja mesti direbut, tinggalkan keluarga, berkorban masa dan segalanya demi mengecapi nikmat kesenangan di hari depan.

Tapi semua orang tahu. Tidak pernah ada satupun masa manusia yang mengejar status ekonomi dengan harapan akan senang satu hari nanti rasa aman dan puas hati dengan pencapaiannya. Ya, dia kaya, masa tua, dia ada rumah besar, tapi semua orang yang dia sayang terutamannya ibu bapa diabaikannya bertahun-tahun seorang diri.

Bila dia dah pencen nak mula jaga ibu atau bapa kat kampung, semuanya dah terlewat. Anak-anak pula buat macam mana dia buat kat ibu bapanya dan akhirnya dia keseorangan kat rumah. Kalau kedua pasangan masih ada taklah sunyi sangat. Tapi kalau salah seorang dah pergi, tentu amat sunyi sekali terasa.

Untuk tingkatkan tahap ekonomi, tahap produktiviti mesti sentiasa bertambah. Kalau kena jaga ibu kat kampung dan tinggal kat kampung saja, akan rugilah produktiviti negara. Apa salahnya cari Indon seorang dan biarkan dia jaga ibu dengan bayaran RM700 sebulan dan anak pergi ke bandar kerja besar. Kat bagus untuk peningkatan ekonomi negara ?, tapi kosnya adalah dengan menghancurkan hubungan keluarga.

Itulah yang saya dan keluarga dapat dan itulah yang ibu terpaksa terima.

Mak mula sakit dan hilang ingatan

Saya dah cerita bab ini masa mak mula dikesan hilang ingatan satu hari. Masa tu kami mula kelam kabut dan berusaha untuk pulihkan semula ingatan mak. Alhamdulillah mak sedar semula dan ingat seperti biasa.

Tapi dia tak boleh simpan memori baru dalam masa yang lama. Dia mudah lupa. Cerita lama masih segar dalam ingatannya. Tapi cerita baru dia sering lupa. Tapi tak apa sebab yang pentingnya dia dah ingat semula dan perlukan perhatian dari anak-anaknya.

Semuanya berubah sekarang. Mak dah tak macam dulu lagi. Tak boleh ingat nak masak masakan kegemaran anak-anaknya macam dulu dan tak boleh berdikari macam dulu lagi. Walalupun saya kerap juga balik masa mak masih ingat memasak sebelum itu, tapi rasa tak puas dan bertanya kenapa saya tak balik lebih kerap lagi masa itu. Masih tetap ada penyesalan dan masih rasa bersalah biarkan mak makan seorang diri masa itu hampir setiap hari.

Sekarang nak tinggal kat Langkawi dan hari-hari inginkan agar dia dapat balik tinggal kat rumahnya kat kampung semula. Tapi nak buat macam mana. Kami masih terikat dengan tuntutan dunia moden. Hanya boleh balik sekali sekala. Saya hanya mampu balik sebulan sekali ke Langkawiuntuk makan bersamanya dan duduk melayan perbualannya.

Dalam pada itu, masih ada juga yang tak ambil kisah peluang yang masih ada untuk bersama mak. Yang tak balik langsungpun ada kerana melayan rasa rajuknya. Dia hanya pikirkan dirinya sendiri dan bukan kepada perasaan ibunya.

Pada anda yang masih ada mak kat kampung, sila tonton cerita emak yang makan seorang diri tu. Dan ambillah peluang untuk elakkan mak dari makan seorang diri kat kampung. Buatlah sedaya mungkin supaya tidak menyesal kemudian hari.

Kalau boleh bagi yang ada peluang, hidupkan semula budaya tinggal ramai-ramai satu keluarga besar sekeliling kampung macam orang tua dulu-dulu. Persetankan ukuran budaya ekonomi mesti naik saban tahun seperti semua orang sedang buat sekarang ini di seluruh dunia. Walaun saya sendiri tak mampu lakukannya...


logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Jangan tinggal mak seorang diri kat kampung

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !