Petua bagaimana nak melembutkan daging lembu atau daging kambing pasti jadi ayat carian yang paling popular bila masuk musim raya korban.
Kalau zaman tak ada internet dahulu, nak dapatkan petua bagaimana melembutkan segala jenis daging ini kena mengadap tukang masak kat kampung terlebih dahulu baru boleh dapatkan ilmunya.
Tapi sekarang tukang masak kampung dah tak boleh nak kedekut dan sombong ilmu lagi. Kalau mereka kedekut dan sombong tak nak perturunkan ilmu, semua orang boleh terus rujuk pada Google sahaja.
Buat soalan carian, tekan, dan Google akan berikan senarai jawapan dari semua kandungan portal yang ada kat seluruh dunia. Ilmu ada dihujung jari anda sahaja sekarang.
Waspada petua melembutkan daging internet
Cuma perlu berhati-hati dan punyai kebijaksanaan dalam menilai segala petua yang diperturunkan dalam portal maklumat kat internet tu. Orang boleh tulis dan kongsikan apa saja petua kat internet, kesan akibatnya, anda sendiri perlu tanggung jika sesuatu tak elok berlaku.Oleh itu, akal rasional yang logik dengan sandaran ilmu kat dada amat penting sebelum nak rujuk maklumat dalam internet. Anda perlu banyak membaca dan belajar dari sumber yang sahih terpebih dahulu sebelum nak belasah ambil segala maklumat dari internet.
Sebagai contoh, bila saya buat carian dalam internet ada 2 petua melembutkan daging yang menimbulkan pertanyaan dalam fikiran saya:
- Masukkan sudu besi dalam periuk. Dikatakan sudu besi ini akan menyerap lebih haba masuk ke dalamnya. Jadi daging akan dapat lebih haba.
- Masukkan panadol ketika masak. Tak ada penerangan kenapa panadol ini boleh lembutkan daging bila dicampur dalam masakan. Tapi kononnya tukang masak kampung akan guna teknik ini bila masak daging kenduri secara besar-besaran.
Kenapa sudu lembutkan daging
Persoalan yang timbul dalam fikiran saya, untuk bab sudu tu adalah, bukankah periuk tu sendiri dah besi atau steel. Samalah juga kalau letak atau tidak letak sudu steel dalam masakan itu. Mungkin ada beza jika dapat dipastikan sudu duduk kat tengah-tengah daging. Tapi biasanya sudu akan jatuh kat bawah pungkoq periuk, jadi apa fungsinya?
Kalau nak naikkan haba lebih tinggi dalam masakan, cara yang terbukti adalah masukkan garam ke dalam masakan. Garam akan naikkan paras haba lebih tinggi dari biasa berbanding masakan tanpa garam.
Kesan panadol pada badan manusia
Untuk bab masukkan panadol pula, isi kandungan dalam panadol itu adalah Paracetamol. Ia berfungsi sebagai penahan kesakitan yang kita alami. Jika telan panadol masuk dalam periuk, ia akan rendahkan kandungan Prostaglandin.
Prostaglandin ini dikeluarkan oleh badan bila kita sakit atau kena penyakit tertentu. Ini akan membuatkan saraf menjadi lebih tinggi sensitivitinya. Dari situ tinbulnya rasa sakit yang lebih dari biasa. Jadi panadol akan buat kita rasa tak berapa sakit.
Bayangkan bila kita campur panadol dalam masakan. Apa sebenarnya yang berlaku. Adakah kandungan paracetamol yang dipanaskan akan bertukar menjadi bahan lain atau kekal dalam bentuk asalnya. Apa pula kesan akibatnya pada badan manusia dan macam-macam lagi pertanyaan timbul.
Jadi saya tak akan amalkan petua macam tu selagi tak ada orang boleh cerahkan kedudukan isunya.
Petua lawak lembutkan daging lembu
Baru-baru ini saya dapat perkongsian dalam group whatsapp. Ia merupakan petua bagaimana nak melembutkan daging lembu sempena datangnya musim raya korban sekarang.
Maka saya bacalah. Mana tahu kalau-kalau ia satu ptua baru yang lebih mudah. Boleh diamalkan jika menarik dan berkesan daripada petua yang saya dah tahu.
Ternyata petuanya amat mudah dan menarik serta cukup lawak.
Petunya adalah dengan tambahkan sahaja huruf "T" pada hujung perkataan lembu.
Bila perkataan LEMBU di tambah hurut T, maka akan jadilah LEMBUT. Maka daging lembu akan bertukat menjadi daging lembut dengan penambahan huruf T.
Punyalah bengap lawak tetapi tak boleh nak marah sebab jawapannya masih tetap betul walaupun tak praktikal untuk kerja masak memasak.
Petua melembutkan daging yang beku
Ini pula saya jumpa dalam internet dikongsikan oleh banyak portal termasuk ERA. Petua bagaimana nak cepat lembutkan ketulan daging yang keras setelah dikeluarkan dari dalam peti sejuk.
Petuanya mudah hanya dengan menggunakan dua periuk besar diperbuat dari steel.
Telingkupkan periuk supaya punggung yang satu menghala ke atas. Letakkan ketulan daging yang beku itu atas punggung periuk tersebut.
Kemudian ambil satu lagi periuk himpitkan pula dengan meletakkannya atas daging tadi. Daging dikatakan akan cepat lembut dan bersedia untuk dihiris dalam bentuk ketulan supaya senang untuk dibuat masakan.
Petua melembutkan daging dalam masakan
Sekarang kita tengok pula bagaimana nak lembutkan daging dalam masakan. Apa yang boleh anda campurkan dalam masakan anda itu supaya lauk daging dalamnya akan lembut dan mudah empuk. Begini caranya:
- Guna tangkai daun betik - Campurkan masakan anda dengan tangkai daun betik. Ini akan melembutkan daging.
- Guna buah betik muda - Kupas dan buang biji buah betik muda. Potong dan masukkan bersama masakan anda itu.
- Carik daun pisang - Ada yang kata kena pakai daun pisang Abu. Mungkin daun pisang apapun boleh. Carik-carikkan daun pisang dan campurkan ke dalam masakan.
- Buah keras tumbuk lumat - Ambil buah keras atau kita panggil manjakani. Tumbuk sampai lumat dan campurkan bersama masakan anda.
- Kepingan tempe - Ini juga amat mudah. Ambil satu keping tempe, campakkan sekali ke dalam masakan.
- Daun nangka - Kalau anda ada pokok nangka kat belakang rumah, ambil beberapa helai dan campurkan sekali ke dalam masakan.
- Batang ubi kayu - Jika ada pokok ubi kayu, anda boleh potong, bersihkan dan masukkan ke dalam masakan yang sudah mendidih. Biarkan dalam 10 ke 15 minit angkat periuk dan keluarkan batang ubi kayu tu.
- Biji pinang - Ambil buah pinang tua yang luruh belakang rumah anda tu, kupas keluarkan biji ulasnya dan masukkan ke dalam masakan. Kalau pening bagi tau kat saya supaya saya boleh keluarkan petua ini dari senarai.
- Batang tebu - Kalau anda ada tanam tebu kat tepi longkang rumah, pergi ambil sebatang, kupas kulit, potong kecil dan masukkan bersama masakan.
Petua melembutkan daging sebelum masak
Ada lagi petua untuk melembutkan daging yang anda boleh lakukan sebelum memasak. Gunakan petua ini dan ia akan menambahkan lagi keenakkan masakan anda selepas itu. Masakan apa saja boleh guna petua ini.
- Perap dengan cuka makan - Potong daging dan perapkan dengan cuka makan untuk 15 minit. Lepas itu keringkan dan daging anda bersedia untuk dimasak apa saja. Masakan anda akan jadi lebih enak dan daging juga akan lembut.
- Perap dengan Lemon atau limau nipis - Ini kena perap lama sikit. Dalam 2 ke 24 jam. Campurkan lemon atau limau nipis ke dalam potongan daging anda dan biarkan selama 2 jam atau lebih.
- Perap dengan Halia - Sama juga tempoh masanya, 2 ke 24 jam. Potong halia banyak sikit dan perapkan bersama potongan daging.
- Perap dengan nenas atau buah kiwi - Kalau nak pakai buah nenas atau anda banyak duit untuk beli buah Kiwi, boleh potong buah tersebut dan perapkan bersama potongan daging selama 2 ke 24 jam.
Melembutkan daging dengan mengetuknya
ini juga saya pernah dengar tapi tak pernah lagi buat. Dari segi logiknya memang boleh pakai sebab jika daging diketuk, teksturnya akan menjadi terungkai dan menjadi lebih lembut. Anda boleh cuba sendiri.
Ia perlu dilakukan sebelum masak. Ambil daging yang dah dipotong keping. Ambil senduk atau bahan keras lain yang bersih, ketuk perlahan-lahan keseluruhan daging tersebut. Jika bahagian yang keras kat daging tu anda boleh belasah ketuk kuat sikit.
Selepas itu barulah hiris kecil untuk dibuat masakan.
Jika anda nak buat satay, ada juga petua yang menarik. Selepas anda campur kesemua ramuan dengan daging satay tu, bungkuskan bersama daun betik untuk perap campuran ramuan dan satay tersebut. Ini akan melembutkan daging satay anda.
Saya rasa dah cover kesemua petua bagaimana nak melembutkan daging sempena hari raya korban ini. Anda boleh mencuba mana satu yang berkenan di hati dan mudah untuk dilakukan. Jika ada apa-apa maklum balas, sila komen kat bawah ini untuk saya buat pembetulan mana-mana yang tak boleh pakai.
SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN DAN HARI RAYA KORBAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !