Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

29 October 2017

Cerita sekolah rendah yang kelabu 37 tahun yang lalu

  Ano Nyme       29 October 2017


Bulan ini jadi satu sejarah buat saya. Setelah 37 tahun meninggalkan sekolah rendah, berpisah dari kawan-kawan sekolah rendah, akhirnya berpeluang bertemu semula.

Kami minum bersama di kedai Mamak NZ depan KLCC. Berborak panjang dari pukul 10 sampai 1.30 pagi. Punyalah panjang dan terasa amat puas bertemu semula rakan-rakan lama. Itu permulaan dan diharapkan lebih ramai lagi kawan-kawan lain dapat saya jumpa selepas ini.

Saya masuk sekolah rendah Stowell di Bukit Mertajam dari tahun 1975 hingga tahun 1980. Masuk saja tingkatan satu, semua kawan-kawan sekolah stowell naik ke Sekolah menengah bukit mertajam sedangkan saya sambung ke tingkatan satu di sekolah menengah Penanti sahaja.

Majoriti besar kawan-kawan sekolah rendah stowell hilang perhubungan dengan saya sejak tahun 1980. Itulah kali akhir saya bertemu dengan kebanyakan dari mereka. Bila di sekolah menengah, masing-masing bawa haluan sendiri dan membuka cerita baru dunia sekolah menengah.

Tiada gambaran jelas zaman sekolah rendah

Saya tak tahu samada semua orang jadi seperti yang saya alami. Terus terang saya katakan, gambaran pengalaman menjalani persekolah dari darjah satu hinggalah ke darjah 6, amat blur dalam kepala saya.

Boleh dikatakan saya rasa kosong terus. Apa yang saya belajar, para guru yang jadi cikgu kelas, rakan-rakan yang ramai, semuanya tidak jelas dalam fkiran.

Ingatan hanya cebisan sedikit di sini dan sedikit di sana. Ia lebih kepada perkara-perkara yang mungkin penting sahaja yang tak boleh dilupakan samada sebab ianya amat memalukan atau ianya amat menyeronokkan.

Kalau ada yang boleh cerita pengalamannya dengan jelas, apa yang dia alami dari darjah 1 ke darjah 6, memang saya angkat topi, hormat pada orang itu. Tahap kesedaran hidupnya tentu berlaku awal. Dan saya pasti dia tentu jadi seorang yang berjaya dan penting di zaman tuanya sekarang.


Ingatan zaman sekolah rendah

Hanya ada beberapa orang cikgu sahaja yang saya tak pernah lupa. Pertama sekali ialah KM Malaka. Tak pasti samada dia masih hidup sekarang. Dia tetap terpahat dalam ingatan sebab banyak kali kena penampar buta di muka dengannya.

Saya duduk jauh dari sekolah, kena naik bas awam, jadi selalu akan hadir lewat. Dia sebagai cikgu disiplin akan tunggu depan pagar. Setiap pelajar yang lewat akan ditanya dalam bahasa inggeris kenapa lewat. Buka saja mulut cakap melayu, penampar bodo terus singgah pipi. Kena jawab dalam bahasa inggeris.

Satu lagi peristiwa yang saya tak akan lupa adalah kena penampar kuat darinya ketika bergaduh dengan rakan sekelas berbangsa India. Rakan kelas itu asyik dok menyanyi lagi tamilnya kat belakang. Saya rasa rimas dan menengkingnya supaya diam.

Tapi dia keras kepala, lalu berlaku bergaduhan. Tiba-tiba KM Malaka masuk. Dia panggil kami berdua ke depan.

"Sebab apa bergaduh?", tanya KM Malaka

Tanpa fikir panjang, saya terus jawab mempertahankan diri,

"Dia ni bisng dok menyanyi lagu Hindu... !" jawab saya pantas sambil mengerling rakan India itu.

Pang!!!

Satu tamparan kuat singgah ke pipi saya. Terasa ini memang tamparan yang lain dari biasa. Bukan mengajar, terdetik dalam hati saya. Ada unsur emosi mungkin.

"Tamil Song!, Hindu is a religion!", KM Malaka betulkan ayat saya dengan amat keras. Matanya yang sentiasa merah menyala terbeliak merenung mata saya. Saya terus diamkan diri dan tidak mahu bercakap apa-apa lagi.

Kawan-kawan kata KM Malaka suka minum, sebab itu mata dia sentiasa merah. Entahlah samada betul atau tidak betul. Tapi saya rasa dia seorang guru Bahasa Inggeris yang tegas dan rasional. Tugasannya untuk mendidik bagi saya telah dilakukannya dengan amat baik.

Cikgu Toran panas baran

Selain dari KM Malaka, sata ingat juga cikgu Toran. Dia panas baran. Saya masih ingat sampai sekarang dia mengamuk dengan selerakkan semua buku latihan atas meja yang sedang disemaknya apabila kami satu kelas bising keterlaluan.

Dihalaunya kami satu kelas turun ke padang dan jangan masuk sehingga cikgu lain datang. Maka beraturlah kami satu kelas tengah panas atas padang depan tempat perhimpunan. Tak malam kemudian KM Malaka kelihatan datang menuju ke arah kami. Dia cikgu kelas.

Sampai saja, dia tak cakap sepatahpun. Di rotannya seorang demi seorang. Selepas kena rotan dia suruh masuk semula dalam kelas. Begitulah satu demi satu sampailah habis semua masuk ke dalam kelas semula.

Seorang lagi cikgu yang saya ingat adalah Ustaz Mat Zain. Itupun saya ingat dia sebab kena pukul juga. Bila saya main lambung-lambung duit siling ketika ketiadaan cikgu. Tengah seronok jadi badut kat depan kelas itu, tiba-tiba dia muncul.

Sekali lagi saya kena pukul. Tapi dia tak main tampar. Dia rotan.

Seorang guru Cina yang baik

Agaknya saya memang nakal. Sebab itu hanya ingatan pada guru-guru yang belasah saya saja melekat dalam kepala. Yang baik yang saya ingat ialah seorang cikgu perempuan berbangsa Cina. Dia suka sangat benarkan saya keluar awal 5 minit dari semua orang lain. Katanya saya yang paling baik setiap kali dia mengajar.

Saya tak ingat siapa namanya, tapi dalah yang berikan ransangan supaya saya masuk pertandingan membaca. Hasil dari kepercayaannya saya beranikan diri untuk ambil buku ke depan kelas dan mula membaca dengan lantang.

Dia tersenyum dan anggukkan kepala saya. Amat bagus pujinya. Saya percaya pada pujiannya. Dan nak jadi cerita, saya terpilih setingkat demi setingkat dari sesama sekolah, naik ke antara sekolah dan akhirnya ke peringkat daerah di mana saya tewas ketika terkedu dan gagap kerana takut beraksi depan orang ramai di atas pentas dewan sri pinang.

Tak ramai sangat yang saya dapat ingat entah kenapa. Terasa amat bersalah sebab lebih ramai yang langsung saya tak ingat berbanding yang dingati.

Apakah semua orang macam itu?

Nota: Gambar di atas adalah gambar rakan-rakan satu umur. Tapi tiasa gambar saya disitu sebab semuanya kelas orang lain. Tapi ada yang saya masih ingat muka mereka sampai sekarang.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Cerita sekolah rendah yang kelabu 37 tahun yang lalu

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !