Apa strategi yang lebih berkesan untuk menarik undi orang Melayu di kampung?.
Adakah isu ekonomi atau isu Ketuanan Melayu yang patut dijadikan umpan meraih undi orang-orang Melayu terutamanya yang tinggal di kampung-kampng seluruh Malaysia?
Strategi mana satu yang perlu diguna pakai oleh para pemimpin politik tanahair kita sekarang tak kira Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan. Ini bakal menentukan kerajaan yang bakal memerintah selepas PRU ke-14 nanti.
PRU-14 dah semakin hampir. Ramalan bahawa Perdana Menteri akan bubarkan Parlimen dan mula dimainkan oleh semua kaki politik tanahair.
Hari itu mereka kata Parlimen akan dibubarkan pada bulan November 2017, tapi nampaknya kemungkinan itu tak akan berlaku sebab sampai sekarang hujung bulen Oktober 2017, masih tidak ada petanda-petanda yang kuat ianya akan berlaku. Sekarang mereka ramalkan PRU-14 bulan 3 tahun depan pulak. Tak pasti!
UMNO pandai main isu ketuanan Melayu
UMNO yang dah lama memerintah Malaysia, tahu pasal isu ketuanan Melayu ini sejak lama dulu lagi. Sebab itu mereka sentiasa memainkan isu tersebut sejak dulu sampai sekarang ke tahap yang maksimum.Samada orang Melayu memang sukakan umpan ketuanan Melayu atau pemikiran itu memang sengaja dirancang dan diterapkan oleh UMNO saya kurang pasti. Mungkin kedua-duanya sekali betul. Orang mengantuk disorongkan bantal.
UMNO sekadar memberikan apa yang orang melayu mahu. Walaupun para pemimpin yang cerdik-cerdik kat atas itu tahu bahawa sikap berterusan memainkan isu perkauman bakal membawa negara ke belakang, mereka sesungguhnya tak kisah.
Yang ada kat atas sekarang lebih mengutamakan matlamat untuk kekal berkuasa. Itu perlu datang terlebih dahulu, kemudian barulah fikirkan pasal halatuju negara. Jika rakyat nak saling berbunuhan dan salin tidak mempercayai antara satu sama lain, mereka tak ambil kisah.
Begitulah kelebihan menjadi ketua kepada para pengikut yang tak berapa cerdik.
Melayu dan Islam adalah seiring
Bila strategi ketuanan Melayu digunapakai, mahu tak mahu, ia membawa bersama isu agama Islam. Semua orang Melayu pada takrifannya adalah beragama Islam. Jadi ia akan datang dalam satu pakej. Saling kuat menguatkan.Sebab itu tidak mengejutkan jika UMNO amat berselera dengan PAS sebaik saja mereka keluar dari gabungan pembangkang. Malah mungkin keluarnya PAS dari gabungan Pembangkang juga adalah usaha gigih yang dijalankan oleh UMNO yang akhirnya membuahkan hasil sampai PAS berpecah tinggal geng Ustaz dan Pro-Ustaz sahaja di dalamnya.
Samada UMNO akan bergabung dengan PAS tidak penting. Tapi memberikan mesej bahawa UMNO sokong PAS sudah cukup untuk pastikan orang Melayu tidak segan silu untuk berikan undi pada UMNO.
Kalau PAS pergi bertanding di kawasan yang punya populasi berbagai kaum. Kena pulak kerusi BN kat situ meletakkan calon mereka dari kalangan bukan Melayu untuk lawan PH yang juga bukan Melayu. Maka kemungkinan PAS akan menang adalah tinggi. Sebab unfi bukan Melayu akan berpecah manakala undi Melayu akan solid berikan pada PAS.
Jadi strategi PAS nak lawan lebih banyak kerusi di kawasan baru berbagai bangsa adalah strategi yang baik untuk menang.
Melayu risau kuasa jatuh ke Cina
Kawan-kawan kampung yang suka lontarkan isu politik kat Kubang Semang saya lihat memang amat ketara menekankan isu kuasa Melayu dan Islam. Yang berpendidikan tinggi juga tak lepas dengan pemikiran yang sama.Mereka semua risau jika pada DAP terutamanya orang Melayu di Pulau Pinang. Memang bukan semua Melayu yang berfikiran sedemikian, tapi majoritinya memang begitu. Seperti kata CEO kepada IDEAS, Wan Saiful Wan Jan, DAP adalah kod untuk menggantikan perkataan orang Cina.
Kawan-kawan saya orang melayu kat Kampung nampak amat membenci akan DAP. Paling ketara adalah dari kalangan pengikut setia PAS kat sana.
Saya tak pasti apa yang DAP telah lakukan pada mereka sepanjang mereka memerintah di Pulau Pinang. Apakah kesan DAP terhadap kehidupan dan akidah mereka selama ini juga tidak dapat dipastikan. Tapi mereka tetap kekal membenci DAP.
Punca utamanya saya rasa apabila DAP tidak menghormati Ulamak Nombor 2 dunai yang menjadi Pemimpin PAS sekarang. Itu punca paling menonjol yang membuktikan pada orang PAS bawahan yang DAP ini menolak Islam.
Silap DAP kat situ adalah tak faham sentimen orang bawah majoriti PAS yang sejak dari dulu akan tetap taat setia pada ulamak pemimpin mereka dalam apa keadaan sekalipun. DAP tak faham bahawa orang Melayu PAS percaya bahawa Ulamak mereka buat apapun berdasarkan ilmu mereka yang tinggi. Jadi kemungkinan buat silap adalah nipis.
PH perlu guna umpan yang sama
Kalau Pakatan harapan nak menang, mahu tak mahu mereka perlu gunakan umpan yang sama juga. Iaitu memainkan isu ketuanan Melayu dan memartabatkan Islam. DAP perlu pamerkan diri mereka sebagai berada di bawah telunjuk Bersatu dan telunjuk Amanah.Kalau DAP tak mampu berlakon macam itu, jangan harap Pakatan Harapan akan mampu merampas Malaysia dari Barisan Nasional. Walaupun strategi itu kelihatan bodoh dan tidak betul, tapi itulah hakikatnya kalau nak menang.
Biarlah terasa bodoh asalkan umpan yang digunakan untuk memancing orang melayu berkesan. Semua isu perlu diarahkan kepada Ketuanan Melayu dan Islam sebagai agama yang dipelihara baik di malaysia. Kemudian barulah isu ekonomi seperti 1MDB atau seumpamanya dikaitkan.
Sumber gambar kat sini
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !