Bagaimanakah kemungkinan anda untuk mengesyorkan LAZADA kepada rakan atau rakan sekerja?
Soalan itu sebijik sama dengan soalan yang baru saya terima melalui email. Ianya merupakan soalan yang diterjemahkan terus dari soalan Bahasa Inggeris yang kelihatan lebih cantik, begini,
" How likely are you to recommend LAZADA to a friend or colleague? "
Kalau ikutkan bahasa ibunda saya di sebelah utara sana, soalan yang lebih mudah dan tepat untuk diutarakan oleh Lazada dalam Bahasa Utara berbunyi begini,
" Agaknya, hang rekomen LAZADA kat kawan tak? "
Cuba bandingkan antara 3 soalan yang saya berikan kat atas. Soalan terjemahan Bahasa Malaysia, soalan Bahasa Inggeris dan akhir sekali, soalan dalam loghat Bahasa Ibunda saya. Mana satu yang lebih pendek dan padat dengan makna yang nak ditanya?
Tentu soalan loghat Bahasa Ibunda saya lebih pendek dan menceritakan segalanya kan kan? Ternyata loghat kampung saya lebih menarik untuk diketengah dan diserapkan ke dalam Bahasa Malaysia baku.
Rekomen Lazada kat kawan tak
Semua soalan bancian kepuasan pengguna dari Lazada itu saya terima lanjutan dari aktiviti belian saya baru-baru ini dari Lazada. Saya memang dah berikan jawapan sebagaimana yang mereka minta untuk kegunaan dan usaha pembaikan Lazada di masa yang akan datang.Tapi, apa salahnya saya kongsikan juga pengalaman dan pendapat saya terhadap prestasi keseluruhan Lazada. Semua orang yang ada hasrat nak beli melalui Lazada berhak tahu terlebih dahulu apa yang bakal mereka hadapi nanti.
Untuk jawab soalan kat atas itu, kalau diberikan markah 1 sampai 10 dengan 1 amat teruja nak rekomen dan 10 tobat tak akan rekomen, saya dah berikan markah pada Lazada 9. Ertinya satu maklum balas yang sedih buat Lazada.
Kenapa tak rekomen Lazada pada kawan
Kenapa agaknya saya berikan markah 9 yang buruk kepada pengalaman membuat pembelian melalui portal online Lazada?Saya punya alasan tersendiri. Ini bukan berdasarkan pembelian yang sekali sahaja. Komen ini berdasarkan pembelian yang sudah melebihi 3 kali melalui Lazada. Saya akan terangkan secara ringkas apa yang berlaku, terhadap pembelian yang bermasalah saja.
#1. Beli beg pejabat kain kanvas
Oleh sebab saya peminat beg yang diperbuat dari kain kanvas, maka saya mula buat carian tentang beg jenis itu kat portal Lazada. Memang ada banyak pilihan. Yang paling best, ada tawaran beg kain kanvas digabungkan dengan kulit asli.Kalau nak beli beg kain kanvas disulam dengan kulit asli, harganya agak mahal kat kedai beg. Ada satu jenama tempatan yang dijual di dalam KLCC level LG tawarkan beg dari kain kanvas yang menarik dan cantik. Bila saya tanya beg pejabat kain kanvas disulam dengan kulit, harganya lebih dari RM300.
Jadi saya order saja dari Lazada sebab harganya dua ratus lebih saja. Bila sampai kat rumah, pembuatan beg tersebut pada poket kirinya tidak sempurna. Herot petot tidak lurus. Kalau kat kedai tentu saya komplen dan minta yang lain.
Tapi kat Lazada, urusan nak komplen benda macam itu adalah satu risiko yang berkemungkinan akan ditolak dan akan hanya memenatkan saya saja. Jadi saya pejam mata dan pakai saja. Kemudiannya tak sampai 3 bulan butang magnet pada poket beg itu tercabut hilang entah ke mana.
Terpaksa juga telan saja tak boleh nak buat apa-apa lagi sebab saya hanya berurusan beli melalui online. Ia hanya menyusahkan saya saja kalau nak komplen semua perkara sebegitu. Itulah lemahnya beli barang secara online.
#2. Beli teko buat kopi
Ini belian yang saya beli dalam tahun ini, 2017. Mulanya saya hanya mencari Coffee Maker Vietnam. Puas cari kat luar, kat macam-macam kedai barang dapur, tapi tak jumpa. Bila buka Lazada, sekali tekan, memang ada. Jadi saya terus beli dari Lazada.Dalam masa yang sama saya beli sekali French Press Coffee yang ditawarkan oleh Lazada. Dibuat dari steel sepenuhnya sedangkan kat luar banyak yang dibuat dari gabungan plastik dan kaca. Tawaran yang Lazada berikan lebih menarik.
Saya beli dan bila sampai, Coffee Maker Vietnam semuanya dalam keadaan baik. Tapi bila saya buka kotak French Press Coffee, amat malang sekali. Bayangkan pemegang yang dibuat dari steel penuh dan kuat itu boleh senget seperti dihempas pada dinding.
Ertinya berlaku satu hentaman kuat. Barangkali ia dilakukan ketika ajen logistik baut semua kerja pernghantaran. Memang kelihatan mereka seperti kendalikan barang tersebut dalam keadaan marahkan sesuatu. Jadi lepaskan geram pada barang-barang yang mahu dihantar.
Saya tak komplen juga sebab masih boleh pakai walaupun keadaan dan bentuknya amat hodoh macam saya beli barang reject. Kenapa tak komplen? sebab ia hanya akan membuang masa saya saja. Kalau saya beli kat kedai, tentu semua itu tak akan berlaku lansung.
#3. Beli Gitar Yamaha
Ini barang paling terakhir saya dapatkan dari Lazada. Saya lihat ada tawaran menarik pakej Gitar Yamaha. Harganya juga agak menarik dan saya tak payah nak fikir panjang terus beli saja sebab nak tengok pula macam mana mereka handle barang mudah rosak begitu.Memang tidak menghampakan saya. Memang betul ajen logistik Lazada pandai dalam merosakkan apa saja barang yang saya order. Barang sampai kat saya dalam keadaan berlekuk pada badan gitar mahal tersebut. Saya masih terima sebab hanya lekuk walaupun rasa kecewa.
Paling teruk, tempat tune tali gitar itu tercabut terus dan patah tak boleh dibetulkan. Ertinya ada satu hentakan kuat yang membuatkan butang tune itu sampai patah. Bukan senang nak patahkan besi.
Tapi nasib baik penjual itu pandai. Dia masukkan semua butiran kedainya serta nombor pembantu jualan untuk dihubungi jika ada apa-apa masalah. Saya telefon dan kebetulan kedainya di Setapak saja. Dia kata setakat besi tune itu, datang saja padanya dia gantikan seketul untuk saya walaupun kosnya hanya berbelas ringgit.
Kalau saya nak komplen pada Lazada, saya kena masuk online sekali lagi, hantar semula, pada Lazada, dia ganti seketul yang baru atau dia pulangkan semula duit saya. Tapi itu semua adalah satu kerja yang menyusahkan hidup saya sedang tujuan saya beli online adalah untuk memudahkan hidup. Tak kan saya mahu dapatkan kesusahan pulak.
Rumusan beli dari Lazada
Rumusannya adalah saya tak akan rekomen pada kawan-kawan untuk beli dari Lazada. Pilihan utama adalah beli secara biasa kat kedai sahaj walaupun agak mahal sedikit. Sebab anda akan dapat kepuasan jauh lebih besar dan kualiti yang meyakinkan berbanding beli dari Lazada.Masalah handling adalah masalah utama yang Lazada tak dapat selesaikan sekarang sebab syarikat logistik yang dilantik tidak prihatin dengan barang yang mereka kendalikan.
Ia juga bermakna ada ruang untuk ceburkan diri dalam industri penghantaran dengan memberikan jaminan tiada kesulitan akan berlaku 99 kali daripada 100 pengantaran. Itulah cabarannya sekarang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !