Pernah dengar pasal kacamata progressif? Kalau anda dah baca artikel yang lalu pasal masalah rabun jauh dan rabun dekat, tentu anda dah tahu adanya kacamata jenis progrissif ini. Kalau tak baca lagi dan rasa rajin boleh pergi baca kat sini.
Disebabkan saya tak ambil maklumat terlebih dahulu sebelum pergi buat kacamata khas untuk selesaikan masalah rabun jauh dan rabun dekat, maka saya rasa macam buat silap pulak pergi buat kacamata jenis progressif.
Kalau anda juga ada masalah rabun jauh dan rabun dekat. Tapi sehingga sekarang masih kekal dengan kacamata lama ana itu untuk rabun jauh sahaja, ini artikel yang berguna untuk anda. Baca terlebih dahulu sebelum ke kedai kacamata buat spek baru.
Kacamata untuk rabun jauh dan rabun dekat
Ada berbagai pilihan untuk anda fikirkan sebelum buat kacamata baru. Maklumlah kos buat kacamata sekarang bukannya murah. Tak ada RM1 ribu tak payah nak tukar spek baru. Kekalkan saja dengan mana-mana spek yang dah ada tu.Kalau anda ada masalah rabun jauh dan dekat serentak, anda boleh saja buat 3 pilihan ini,
- Pakai kacamata rabun jauh saja - ini dapat selesaikan 80% daripada masalah kehidupan anda sepanjang hari. Cuma ad asedikit masalah bila rabun dekat teruk sangat, anda tak boleh nak baca surat khabar atau baca blog kat internet.
- Pakai kacamata rabun jauh dan rabun dekat berasingan - Tambah lagi satu spek dengan beli kat pasar malam saja kalau nak murah untuk membaca dan layan blog depan komputer atau kat smartphone. Anda selesaikan semua masalah hidup 100% dalam bab melihat menggunakan mata.
- Pakai kacamata yang ada cermin untuk rabun jauh dan dekat sekaligus - Ada dua pilihan untuk kacamata jenis ini. Samada anda buat jenis yang bifokal atau jenis yang progressif. Kat sini saya terjebak dan akan saya ceritakan kat bawah nanti.
Perlu kacamata untuk membaca
Membaca itu penting walaupun umur dah tua. Belajar dan tuntutlah ilmu sampai ke liang lahad. Itu pesan penting dalam agama kita yang wajib diikuti. Jalan belajar yang amat baik selain dari mendengar dan melihat, adalah membaca apa yang orang-orang bjak pandai tuliskan.Dengan rajin membaca, anda mampu membuka minda menjadi lebih cerdik. Dengan banyak membaca juga anda mungkin boleh jadi pemimpin yang baik. Kalau tak jadi pemimpinpun, paling lekeh, anda mampu kenalpasti, memilih dan mengikut seorang pemimpin yang baik.
Masalah orang Melayu majoritinya sekarang sejak dahulu selepas merdeka sehinggalah ke hari ini adalah terlalu kurang membaca. Baca suratkhabar saja, terutamanya bab gossip dan kes rogol tidak banyak membantu. Kena baca buku ilmiah juga.
Umat sejahtera jika rajin membaca
Oleh kerana orang kita malas membaca, maka pemimpin yang janggal sering saja naik jadi ketua. Ramai orang melayu yang ikut pemimpin mereka secara taat membuta tuli sebab masalah minda tak terbuka ini.Ditambah lagi pulak pemimpin negara kita jenis suka larang dan haramkan berbagai buku yang otak mereka tak boleh nak cerna.
Itu jalan mudah yang mereka suka buat. Tak faham, tak dapat nak jawab, maka haramkan saja buku yang tidak sama aliran pemikiran dengan mereka. Habis cerita dan hasilnya semua orang akan ada satu pemikiran yang sama saling tidak membangkang. Senanglah nak kelentong.
Jadi, rumusannya, kena buat kacamata khas untuk membaca supaya anda tak jadi rakyat yang butahuruf walalupun tahu membaca.
Faham kesan pakai kacamata progressif
Masa pergi kedai nak buat spek mata tempoh hari, saya dihidangkan dengan pilihan kacamata jenis progressif. Jurujual itu terangkan semua yang saya patut tahu. Dia memang tak salah dorong saya beli jenis kacamata progressif.Yang salahnya saya sebab tak buat kajian terlebih dahulu. Jadi saya setuju dan rasa macam faham apa yang dia terangkan. Faham melalui penerangan rupa-rupanya tak berapa lengkap. Macam faham api itu panas. Bila pegang api barulah faham secara yakin, macam tu rupanya panas.
Macam itu juga bab spek mata progressif ni. Bila dah siap, saya mula pakai untuk kegiatan harian, barulah teringat semula apa yang jurujual cuba sampaikan. Faham dengan yakin sekarang dan bukan lagi sekadar ilmu.
Ambil masa untuk sesuaikan diri
Cina muda tu terangkan bahawa saya ambil masa mungkin paling cepat 2 minggu baru boleh sesuaikan diri dengan spek mata baru tu. Dia siap tanya berapa umur saya untuk pastikan yang saya boleh sesuaikan diri degan lebih mudah.Kata dia, kalau tua sangat, mungkin agak sukar untuk saya sesuaikan diri.
Saya masih tak dapat tangkap apa yang dia cuba sampaikan. Tapi sekarang ni saya dah faham. Dan saya nak cuba terangkan pada anda juga supaya faham apa yang menanti anda jika ada hasrat nak pakai kaca mata jenis progressif ini.
Lebih banyak kelabu dari terang
Risiko pakai kacamata jenis progressif ini adalah anda akan nampak lebih banyak pemandangan yang kelabu berbanding pemandangan yang terang.Sebab jadi macam itu adalah anda tak boleh lagi nak tengok sesuatu hanya dengan jeling mata sahaja. Kalau buat macam itu dengan spek progressif, sah akan nampak kelabu kabur tak terang.
Anda perlu tolehkan muka menghadap betul-betul secara berdepan barulah terang dan jelas penglihatan. Itulah perbezaannya bila anda pakai kaca mata progressif. Atau mungkin lebih tepat lagi saya katakan satu keburukan kacamata jenis itu.
Bayangkan kalau anda sedang memandu nak tengok cermin tepi kiri atau kanan. Kalau sekarang, anda pakai kacamata biasa satu fokal saja untuk rabun jauh, anda boleh lihat dengan terang cermin kiri atau kanan hanya dengan satu jelingan manja anak mata anda tu.
Banyak pakai otot leher
Tapi kalau pakai kacamata progressif ini, perlu kalih muka menghadap cermin kiri atau kanan itu, barulah akan jelas dan terang apa yang ada kat belakang kenreta yang anda sedang pandu. Untuk cermin belakang kat atas kepala tu tak ada masalah sebab ia duduk depan kepala anda.Begitu juga kalau nak turun tangga. Jeling mata saya memang tak akan nampak anak tangga dengan jelas. Semuanya kelabu sebab bila anda jeling anak mata ke bawah, ia akan melihat pada cermin untuk masalah jarak dekat atau pertengahan. Maka kelabulah hadinya.
Perlu tunduk kelapa barulah boleh nampak anak tangga kat bawah tu.
Ringkasnya, kalau dulu anda banyak main jelingan manja untuk melihat kiri, kanan dan bawah, dengan spek mata progressif, itu semu sudah tak boleh lagi. Kacamata jenis itu memaksa anda lebih banyak melakukan pergerakan leher toleh kiri dan toleh kana serta tunduk kepala ke bawah.
Dari segi senaman leher mungkin amat bagus. Barulah leher anda akan lebih banyak bergerak dan otot pada batang leher akan lebih kuat dan berketul. Kalau anda suka oto leher berketul, memang bagus pakai kacamata progressif.
Bifokal lebih selesa dan mudah
Pada pendapat saya, kalau masih kekal nak pakai hanya satu spek mata untuk selesaikan maslaah rabun jauh dan dekat sekali gus, maka pakai spek jenis bifokal lebih selesa rasanya.Cuma tak nampak cun angat muka anda itu disebabkan akan ada garisan nyata kelihatan yang membezakan antara kaca rabun jauh dengan kaca rabun dekat. nampak sangat tua bangka dan hampir masuk kubur.
Itu sajalah kelemahannya. Mungkin saham anda rendah sikit jika ada impian nak tambah satu lagi pasangan. Tapi anda akan selesa dan dapat jalani kehidupan dengan biasa tanpa perlu sesuakan diri main toleh kanan dan toleh kiri.
Anda juga tak perlu sesuaikan dan biasakan diri untuk banyak melihat pemandangan kabur dari spek mata anda. Itu juga makan masa dan kalau tak sabar akan menyesal dan rugikan duit yang dah banyak dikeluarkan untuk buat spek baru itu.
Harganya mahal sebab mungkin teknologi kaca terbaru yang boleh canai kacamat sampai nampak macam tak ada beza kawasan dekat sederhana dan jauh. Nampak sekata dan cun tak ada masalah. Anda perlu bayar mahal untuk menjadi lebih tidak selesa.
Lebih dari 2 minggu nak sesuaikan diri
Oleh kerana saya dah keluarkan duit, banyak pulak tu dan tak mahu rasa bodoh, maka saya terpaksa juga gagah pakai kacamata progressif yang saya dah buat. Paksa punya paksa, terima saja bahagian pemandangan kelabu, akhirnya berjaya juga sesuaikan diri.Tapi makan masa lebih dari dua minggu. Selepas dah biasakan diri, pening kepala hilang dan dah tak rasa kurang selesa lagi. Boleh kekal pakai kacamata samada nak memandu atau nak turun tangga dan baca buku.
Secara ringkasnya, saya tak cadangkan anda akai kacamata jenis progressif sehinggalah teknologi berjaya selesaikan masalah area yang kabur lebih luas berbanding area jelas dan terang.
Itu saja perkongsian saya. Moga ada manfaatnya untuk semua orang tua yang ada masalah rabun jauh dan rabun dekat serentak.
Teknologi "area jelas dan terang" lebih luas dari "kabur" dah ada sekarang. Tapi harga memang lebih mahal. Dalam rm1200+. Naik tangga pun nampak jelas shj.
ReplyDelete