Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

16 November 2017

Ramai percaya punca Pulau Pinang banjir teruk sebab anjur pesta arak

  Ano Nyme       16 November 2017


Ramai juga orang kita yang percaya dan yakin bahawa Pulau Pinang banjir teruk baru-baru ini sebab negeri yang diperintah oleh DAP itu, degil juga untuk anjurkan Pesta Arak kat sana.

Walaupun negeri lain menolak penganjuran pesta arak atas berbagai alasan seperti keselamatan dan bantahan oleh segolongan pejuang agama yang mahu jadikan Malaysia sebuah negara yang tulin Islamnya.

Kerajaan DAP tetap dengan pendirian mereka. Pulau Pinang tidak akan jadi sebuah negeri yang dikawal oleh Taliban. Lebih kurang macam itu kata Ketua Menteri Pulau Pinang. Dan akhirnya Pesta Beer Pulau Pinang berjalan juga pada bulan Oktober.

Pesta Beer Pulau Pinang dah 45 tahun

Sebenarnya pesta beer yang dijalankan pada bulan oktober yang lalu merupakan penganjuran yang ke-45 dah. Ertinya sudah 45 tahun pesta Beer itu dijalankan tanpa ada sebarang liputan menonjol dari mana-mana pihakpun.

Pesta beer Pulau Pinang anjur dan dikendalikan oleh MGS (Malaysian-Germany Society). Orang-oramng Jerman yang duduk kat Pulau Pinang dah lama amalkan pesta beer. Mereka ikut seperti mana amalan biasa di Jerman yang sudah 120 tahun anjurkan aktiviti yang sama.

Bagi orang Jerman, ia bukan sekadar tunggang arak, malah lebih dari itu. Ia merupakan pesta perjumpaan dan keriangan sesama ahli masyarakat. Pesta untuk menggalakkan aktiviti kebudayaan bangsa Jerman. Itulah kata mereka.


Balik basuh rumah kena banjir

Baru-baru ini saya balik ke rumah kat kampung sebab nak kena basuh rumah tersebut. Selepas seminggu air naik dan dah surutpun, baru ada kesempatan untuk balik basuh rumah.

Bila buka saja pintu rumah, kelihatan tong gas terbalik terselit di celah tandas dan satu lagi tong terselit sebelah peti ais. Nasib baik peti ais dan mesin basuh baju tidak turut sama terbalik. Tak pasti lagi samada kedua-dua mesin itu masih boleh pakai atau tidak sebab tak berani nak buka lagi.

Biarlah semua kering betul-betul, baru nak cuba tengok samada masih boleh pakai.

Walaupun kerja basuh rumah bukan kerja mudah dan meyeronokkan buat saya, tapi berlainan pula buat anak-anak. Itu kali pertama mereka lihat cabaran banjir melanda rumah kampung dan bagaimana rupa rumah selepas kena banjir.

Dari selepas zohor sampai petang, semua anak-anak bukan main seronok basih dan bersihkan seluruh rumah sambil main air paip. Akhirnya seluruh bahagian bawah rumah yang tenggelam itu dah selamat dibersihkan.

Bantuan buang barang rosak unit amal

Jumlah kerosakan lain jangan nak tanyalah. Memang habis semua rosak sebab tak ada orang dalam rumah itu ketika kejadian banjir berlaku. Tak ada orang yang nak selamatkan bawa naik barang ke rumah bahagian atas.

Tilam kekabu kesayangan terpaksa di buang. Semuan tikar kat bawah rumah yang tutup lantai selama ini juga terpaksa habis dibuang. Almari kabinet habis kesmeuanya kembang. Pakaian kat dalam almari baju dalam kedua-dua bilik habis kotor dan elok dibuang saja.

Paling lega sekali bila dapat buang semua kain buruk satu tong yang dah terbalik dan terburai atas lantai. Mak simpan kesemua kain buruk pakaian lama keluarga kat dalam tu dah berpuluh tahun. Sayang nak buang katanya. Akhinya semua kain buruk itu terpaksa dibuang juga.

Semua akviti angkut dan buang segala tilam, sampah, pakaian, kabinet pecah dan lain-lain lagi dibantu oleh unit amal Pas kat Kubang Semang yang berjasa banyak pada orang kampung. Mereka sediakan dua buah lori dan ronda keliling kampung untuk bantu buang barang rosak.

Banjir sebab pesta beer

Selepas selesai angkut dan buang semua pakaian, kami ambil masa sebentar untuk duduk bersembang. Sambil balut rokok daun kami berbual status keadaan masyarakat dan kacau bilau keadaan politik sekarang ini.

Parti saling bercakaran semakin sulit. BN dan PH. Di dalam itu pula pecah lagi antara PAS yang berdendam pada Amanah. Tuduhan semua parti lain jadi anjing ikutan kepada DAP, serangan pada Tun Mahathir yang sekarang dah jadi kawan kepada pembangkang dan macam -macam lagi.

Mesej dari kawan-kawan Pas tegar kat kampung nampaknya sama saja. Mereka rasa Amanah dan PKR terlalu sanjung LGE. Semua parti lain selain PAS dan BN kat Pulau Pinang terlalu mengagongkan DAP dan LGE sehingga beliau degil nak anjurkan juga pesta beer pun, mereka tak kisah.

"Akhirnya apa jadi?", tanya kawan saya, seorang aktivis Pas.

Bala dah Allah turunkan pada semua orang di Pulau Pinang sebab degil terhadap benda haram keras itu. Semua orang perlu lihat dan muhasabahkan diri dengan apa yang berlaku.

Muhasabah selepas banjir

Saya mendengar apa yang kawan-kawan kata sambil angukkan kepala. Menarik pendapat mereka yang sangat konsisten. Saya faham itu semua adalah respon spontan semua pejuang agama setiap kali adanya kejadian buruk atau malapetaka.

Semua bala dan bencana ada kaitan dengan maksiat seperti pergaulan bebas, pesta arak, hina ulama, kecam kerajaan Pas kelantan sebagai Tapiban dan lain-lain, yang penduduk sesebuah tempat lakukan. Sorang kawan fanatik Pas kat dalam whatsapp group kampung sampai sekarang dok ulang bala pada mereka yang kecam dan kritik Haji Hadi, seorang Ulama besar tahap wali baginya.

Jadi adalah amat logik sekali bila banjir besar berlaku di Pulau Pinang ada kaitan dengan semua maksiat yang saya contohkan kat atas itu. Paling nyata dan dekat adalah Pesta Arak. Selepas mereka semua balik, saya berfikir...

Selama 45 tahun pesta arak dah berjalan, banjir besar berlaku selepas masuk 45 tahun. Bolehkah ianya dikaitkan dengan pesta arak?

Selama berpuluh tahun juga negeri Kelantan kena bencana banjir, paling teruk ketika banjir besar yang sampai sekarang masih ada penduduk yang tak ada rumah di sana. Apakah Kelantan anjurkan pesta arak setiap tahun..?

Apa salahnya cari punca

Walau apapun teorinya, yang saya pasti adalah cara mempengaruhi dan meyakinkan diri yang sama di amalkan oleh orang agama. Kaitkan Bala dari Tuhan dengan apa yang pesaing mereka buat supaya ia menjadi tanda bahawa pesaing mereka ditolak oleh Tuhan.

Apabila Tuhan yang tunjuk, maka siapa lagi boleh tolak? Macam raja-raja dahulu yang paksa rakyatnya taat dengan alasan bahawa dia adalah wakil dari Tuhan.

Jika lihat orang yang liberal pulak mereka akan kaji punca berdasarkan sikap mereka yang percaya tidak berlaku sesuatu perkara melainkan ada sebab yang boleh dijelaskan.

Kenapa banjir, sebab hujan lebat, kenaa air naik cepat, sebab longkang sumbat, kenapa sumbat sebab banyak sampah dan pasir, kenapa,,, sebab korek tanah cantas pokok, kenapa... dan begitulah seterusnya sampai sesuatu dapat dipelajari tentang bagaimana alam bertindak.

Saya pula yakin dan percaya semua yang puak Liberal itu tanya dan cari jawapan sampai jumpa sebab dan punca yang berangkai itu sudah pasti tak akan berlaku tanpa keizinan dan kekuasaan Tuhan. Itu adalah pasti dan tak perlu dipersoalkan lagi.

Ada perkara yang kita perlu terima sebagai fakta dan tak perlu nak korek lagi kenapa dan kenapa. Ada perkara yang kita perlu tidak berpuas hati dan perlu korek mencari punca dengan kenapa dan kenapa sampai jumpa.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Ramai percaya punca Pulau Pinang banjir teruk sebab anjur pesta arak

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. nanti bila kelantan, trengganu, pahang dan johor banjir, nak kata anjur apa pula...? Beberapa bulan dulu melaka dan n9 pun banjir juga...jadi sebab apa pula?

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !