Sejak minggu lepas, semua orang teruja dengan cuaca sejuk yang sedang berlaku di negara kita. Macam-macam andaian yang diteka orang ramai yang rasa sedikit pelik dengan apa yang sedang berlaku.
Masa minum dengan kawan-kawan di sebuah kedai kopi di Shah Alam minggu lepas, kakak taukeh kedai itu beritahu yang dia dapat berita kononnya di negeri Pahang ada berlaku salji. Terkejut juga saya dengar maklumatnya.
Bila saya tanya, mana dia baca atau tengok maklumat tersebut. Dia beritahu dari group WhatsApp, ada orang kongsikannya. Siap dengan gambar bagaimana air membeku jadi ais. Fahamlah saya, yang itu hanyalah berita palsu dari mereka yang suka main-main.
Saya pesan padanya supaya ikut prosedur selamat dalam mengikuti segala maklumat dalam media sosial ni. Prosedur paling selamat terhadap berita sosial adalah dengan anggap semua berita yang dikongsikan adalah palsu kecuali dibuktikan atau disahkan benar oleh sumber yang boleh dipertanggung jawabkan.
Ertinya jangan terus percaya dan kongsikan dahulu apa saja berita dari media sosial. Anggap sahaja itu semua hiburan masa lapang dan tak perlu ambil serius sangat. Susah hidup kalau layan semua maklumat dalam keadaan dunia komunikasi tanpa sempadan sekarang ini.
Cuaca paling sejuk di Malaysia
Kalau anda masih ingat, ada berlaku fenomena cuaca sejuk yang luar biasa telah berlaku di negara kita pada tahun 2014 dahulu. Maklumat dari portal berita ada catitkan maklumat tersebut seperti berikut:3 Februari 2014
- Kota Bharu, Kelantan: 17.8°C
- Gong Kedak, Terengganu: 17.6°C
- Kuala Krai, Kelantan: 15.7°C
4 Februari 2014
- Chuping, Perlis: 16.1°C
- Butterworth, P. Pinang: 19.0°C
- Kuala Kangsar, Perak: 17.2°C.
Punca cuaca sejuk sekarang
Sekarang berlaku sekali lagi fenomena cuaca sejuk. Tapi tidaklah sesejuk seperti mana yang berlaku pada tahun 2014 yang lalu. Kali ini, cuaca paling sejuk mencatatkan suhu dalam 21°C sahaja. Tak sejuk sangat.Menurut pakar Klimatologi dan Oseanografi dari UKM, Prof Fredolin Tangang, cuaca sejuk ini adalah disebabkan tiupan angin luluran sejuk yang datang dari utara ke China dan memasuki Laut China Selatan sebelum bergerak ke Malaysia.
Ia berpunca dari pengukuhan sistem tekanan udara tinggi Siberia-Mongolia.
Angin sejuk itu kemudiannya ditokok tambah pula dengan fenomena yang dipanggil sebagai 'Madden-Julian Oscillation (MJO)'.
"Fenomena MJO adalah sebahagian keragaman iklim dalam musim di kawasan tropika yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20/60 hari," kata pakar tersebut kepada Berita Harian di sini.
Semua maklumat yang Prof dari UKM itu berikan menjawab pertanyaan kenapa negara kita bercuaca sejuk sekarang. Yang pentingnya, ada jawapan. Walaupun saya habuk tak faham apa yang dia terangkan. Biar pakar yang kaji dan beritahu pada kita dan tak payahlah nak buat apa-apa andaian kalau bukan dalam bidang kepakaran kita.
Yang pastinya, sekarang terpaksa tarik selimut bila nak tidur. Kalau hujan turun kat luar rumah, lagilah sejuk kaki. Anak-anak seronok sebab dapat pakai baju sejuk yang biasanya diguna pakai hanya bila naik ke Cameron Highland atau Fraser Hill sahaja sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !