Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

23 June 2018

Adakah Anwar Ibrahim akan ganti Tun Mahathir sebagaimana yang dirancang

  Ano Nyme       23 June 2018



Sejak akhir-akhir ini, soalan samada Anwar Ibrahim akan ganti Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia kerap muncul dalam benak kepala saya.

Selama ini, ketika Pakatan Harapan atau sebelum itu Pakatan Rakyat masih gagal kuasai Putrajaya, memang tak timbul ada orang lain ang akan jadi PM seandainya BN tumbang.

Malah selepas PRU-13 sehinggalah ke saat Tun Mahathir turut serta dalam pakatan pembangkang melawan kerajaan kleptokrasi, isu siapa akan jadi PM masih kekal berpihak kepada Anwar Ibrahim. Bila Tun Mahathir dengan terpaksa ketuai PH untuk hadapi PRU-14, jawatan PM masih lagi menuju kepada Anwar Ibrahim.

Semua berubah bila PH menang

Sebaik saja Tun Mahathir menggalas tugas sebagai ketua dalam Pakatan Harapan, semua rentak gerak kerja kelihatan mula berbeza.

Sekalipun PAS enggan berikan kerjasama dengan PH, pergerakan PH untuk tumbangkan BN tetap terus kehadapan. Tun Mahathir sendiri nampak macam tak kisah lansung dengan sikap jual mahal PAS.

Pilihan yang Tun M buat untuk tinggalkan PAS dan tak mahu bertolak ansur lagi kelihatan agak berbeza dengan sikap yang akan diambil oleh Anwar Ibrahim jika sekiranya dia menerajui Pakatan Harapan ketika itu.

Saya yakin, jika Anwar Ibrahim jadi ketua pakatan pembangkang, dia akan lebih cenderung untuk pujuk PAS dan cuba berkompromi dengan mereka untuk berikan kerjasama. Itupun yang memberikan kelebihan pada Anwar selama ini dalam merapatkan perbezaan yang ada antara parti-parti pembangkang yang berbeza ideologi.

Hasil dari sikap Tun Mahathir itu, saya sendiri rasakan itu jalan yang bakal membuatkan BN akan kekal memerintah selepas PRU-14. Lagipun kanyak kajian dari agensi kajiselidik politik merumuskan BN akan kekal menang.

Tun Mahathir kekal meredah ke hadapan, tak pandang ke belakang lagi seperti yakin yang dia mampu merobohkan segala kubu pertahanan BN. Dan akhirnya ternyata memang BN kalah.

Udara segar menghembus Malaysia

Saat keputusan PRU-14 kelihatan sahih yang BN kalah, detik masa negara Malaysia terasakan seperti statik tidak bergerak. Rakyat Malaysia terasakan seperti masing-masing sedang menahan nafas tidak percaya. Samada penyokong PH mahupun penyokong BN masing-masing turut sama menahan nafas kebingungan.

Tapi sinar mentari yang muncul dipagi hari Khamis kelihatan amat berbeza. Udara segar terasa berhembus di seluruh pelusuk negara. Langit dirasakan seperti bertukar warna dari biru gelap kepada biru muda.

Dan media sosial terutamanya media Twitter sedang bersorak meriah melaungkan Malaysia Baru! Malaysia Baru!. TV dan akhbar semacam diangkat batasan yang mengekang kebebasan mereka selama ini.

Dan akhirnya Tun Mahathir angkat sumpah jadi Perdana Menteri Malaysia.

Anwar dibebaskan dari kesalahan

Usaha untuk mendapatkan pengampunan Anwar Ibrahim adalah langkah awal yang diusahakan oleh Tun Mahathir. Saya lihat komen dalam twitter dari seorang rakan Tiong Hua berbunyi,

"Tun M bergerak seperti Bruce Lee!"

Ertinya segala gerak kerja Tun Mahathir kelihatan amat pantas teratur dan tersusun. Dia nampak sentiasa tahu apa yang perlu dibuat dan nampak jelas kemana dia mahu bergerak pergi.

Dan Anwarpun dilepaskan dari segala kes mahkamah yang membuatkan dia masuk penjara semula. Anwar diberikan pengampunan dari kes liwat pemuda segak itu. Kes itu dianggap tidak ada dan segala rekod hitam itu dipadam menjadi putih semula.

Apa berlaku kepada pemuda segak itu? Tidak ada siapapun yang ambil tahu...

Mampukah Anwar jadi PM

Hasil dari paparan perkembangan pembentukan kerajaan PH yang dilaporkan setiap saat, seluruh Malaysia dapat melihat satu persatu segala langkah yang Tun Mahathir ambil. Tun M jelas bergerak seperti sudah ada skrip terpahat kemas dalam benak kepalanya.

Bila difikirkan balik, apa nak hairan. Tun M ada pengalaman 22 tahun jadi PM. Itu kerja kacang bagi dia. Mana ada orang lain yang lebih lama pengalaman dari beliau?

Pengalaman itu yang sudah pasti tidak ada pada Anwar Ibrahim. Paling tinggi dia naik hanya setakat Timbalan Perdana Menteri. Dan Tun M juga yang terajang dia jatuh ke lantai paling bawah. Dan sekali lagi Tun M juga yang hulurkan tangan angkat Anwar Ibrahim naik tangga semula.

Dan saya lihat langkah Anwar Ibrahim naik tangga kelihatan kekok. maklumlah lama benar duduk dalam penjara. Hanya bergerak secara tidak formal dan rahsia memberikan arahan dan pendapat dari dalam penjara.

Mula timbul kritikan terhadap Anwar Ibrahim. Antara paling awal yang saya baca adalah kata-kata sinis terhadap Anwar Ibrahim yang suka petik nama orang lain yang popular. Yusuf Qardawi, Erdogan, Al Gore... dan nama-nama seumpama itu terus dipetik setiap kali Anwar Ibrahim keluarkan kenyataan.

Saya sendiri terasa muak dan loya. Apa perlunya petik nama orang. Kalau kawan saya sendiri yang suka petik nama itu dan ini untuk tunjukkan pengaruh dan siapa yang dia kenal, saya rasa meloya. Kenapa Anwar buat perkara yang sama.

Cubaan Anwar untuk pastikan dia masih relevan, untuk pastikan Malaysia sentiasa mendengar petikkan kata-kata hikmatnya, nampaknya mengundang bola tanggung kepada mereka yang selama ini tak pernah sanjung Anwar.

Itu nampaknya memberikan pengaruh kepada orang yang neutral selama ini. Itu menarik perhatian kepada mereka yang mampu berfikir untuk menilai dan membandingkan antara Tun M dengan Anwar. Dan sekarang sudah ada ramalan yang Anwar Ibrahim dirasakan akan kempunan untuk dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Melainkan ada perubahan yang lebih bijaksana dilakukan oleh Anwar, saya rasa ramalan itu akan kekal meningkat naik. Dan mungkin perkara paling bijak yang Anwar perlu buat adalah kurang berbicara dan lebihkan kepada buat kerja dan belajar dari sifunya.

Apa pendapat anda?

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Adakah Anwar Ibrahim akan ganti Tun Mahathir sebagaimana yang dirancang

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Setuju.. anwar dan PKRnya nampak banyak mempunyai ahli2nya yg gelojoh.. begitu juga dengan PPBM

    ReplyDelete
  2. Anuar pejuang sebenar sanggup menjadi lilin utk org lain ..inshaallah bakal PM nnti

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !