"Apa lah nak jadi dengan negara kita sekarang ni. LGBT diperjuangkan dan mahu dihalalkan. Sedangkan 'straw' pula mahu diharamkan!"
Itu antara keluhan seorang kenalan yang saya dengar ketika sedang minum di sebuah kedai makan di tepi jalan.
Straw atau penyedut plastik memang dah jadi alat penting dalam kehidupan seharian kita sejak lama dahulu lagi. Semua orang yang minum air kat kedai makan akan guna straw untuk sedut minuman berais yang dia order.
Kalau beli minuman dalam tin dari kedai, atau bungkus air dari kedai mamak, straw sudah pasti tak akan dilupakan. Bungkus minuman panaspun kebiasaannya akan dikepilkan sekali dengan straw. Kalau tak ada straw memang agak sukar nak minum minuman yang dibeli bungkus dari kedai.
Pakai straw hanya di kedai makan
Kalau difikirkan baik-baik, kalau tak ada straw pun, bukanlah satu masalah yang besar sangat. Jarang kita guna straw kat rumah. Samada minum air panas atau air ais.Kat rumah, bila minum teh ais umpamanya, boleh pula kita minum terus dari gelas tanpa ada straw. Tapi bila pergi kedai makan, jadi satu isu pulak kalau tak ada straw. Ertinya, isu straw jadi penting hanya ketika minum kat kedai.
Kalau beli minuman bungkus, memang tak dapat dinafikan kepentingan straw.
Ketika isu straw ini timbul, kami sedang menikmati Mee Kuah. Antara menu menarik yang kedai mee itu tawarkan adalah Mee Kuah Tulang Gear Box. Kalau order mee kuah tulang tu, straw akan diberikan. Ianya khas untuk digunakan bagi menyedut sum-sum yang ada di dalam tulang lembu tu.
"Kalau straw tak ada macam mana nak sedut sum-sum tu?" soal kawan saya.
Banyak alternatif kepada straw
Sebenarnya kalau straw plastik yang biasa kita pakai tu diharamkan, memang tak ada masalah pun. Boleh saja minum teh ais dari gelas tanpa straw.Kalau nak sedut sum-sum tulang tu pulak. Atau untuk atasi masalah minuman yang dibungkus. Straw yang jenis mesra alam boleh digunakan. Straw kertas pun ada sebenarnya.
Penyedut air yang mahal sikit seperti yang diperbuat dari besi, dari silikon atau dari buluh juga memang ada di pasaran. Penyedut ini biasanya boleh diulang pakai. Hanya perlu simpan baik-baik dan ada usaha lebih sikit untuk sentiasa membasuhnya selepas digunakan.
Kalau dah biasa selit pen kat poket baju tu, selepas ini kenalah biasakan diri pula untuk selitkan satu lagi benda, iaitu straw ulang pakai samada dari silikon atau dari besi atau dari buluh atau lain-lain yang ada di pasaran.
LGBT dihalalkan, straw diharamkan
Berbalik pada isu keluhan kawan saya tadi. Kenapa mahu diharamkan straw yang dilihatnya tak berapa penting sangat berbanding dengan isu LGBT.Sepatutnya LGBT lebih afdal untuk diharamkan dan dipersetujui oleh semua orang Malaysia. Kenapa ada ramai yang bangun pertahankan hak kaum LGBT ni kat negara kita. Malah sekarang suara mereka semakin kuat dan mendapat ramai penyokong terutamanya dari kalangan mereka yang perjuangkan hak asasi kemanusiaan.
Ketika mendengar komen kawan saya itu, saya hanya diamkan diri sahaja dan tidak mahu membantah.
LGBT dan straw adalah dua isu yang amat berbeza. Kedua-dua isu itu perlu dibincangkan secara berasingan. Bukan boleh dibandingkan secara logik mudah macam itu.
Sama juga dengan perbandingan seorang ustaz Pas baru-baru ini dalam bab haramkan sekolah tahfiz di Malaysia. Dia kata kalau disebabkan ada kes cabul kanak-kanak di sekolah tahfiz nak kena tutup sekolah tersebut, maka kalau ada kes cabul di balai polis kenapa tak nak tutup balai polis?
Dengar macam logik.
Tapi logik macam itu hanya layak dibahaskan di kedai kopi hujung kampung terpencil saja. Ianya adalah dua isu yang berbeza sama sekali. Macam kes LGBT dengan straw kat atas tadi.
Tapi hakikatnya itulah tahap pemikiran logik rakyat kita. Terutamanya dari kalangan orang Melayu yang masih berpegang kuat pada amalan agama secara tradisional.
Bagi orang Melayu aliran tradisional, bila berlaku petembungan antara isu kemanusiaan dengan isu agama Islam, maka hukum dan fatwa tradisi agama akan jadi default rujukan dan hukuman. Tak ada kompromi dan tak perlu ada perbincangan lagi.
LGBT, antara kemanusiaan dan agama
Dalam kes LGBT, pertembungan itu benar-benar ketara dan tak akan ada jalan keluar. Ia melibatkan hukuman agama yang mengharamkan LGBT. Bukan saja dalam agama Islam, malah semua agama langit menolak LGBT.Kaum LGBT sekarang dibantu untuk perjuangkan hak mereka dari badan dunia seperti UNDP (United Nations Development Programme). Badan itu memperuntukkan sumber kewangan di seluruh dunia bagi perjuangan kaum LGBT. Semuanya dibuat atas nama hak kemanusiaan.
Bagi aktivis kemanusiaan, LGBT juga ada hak untuk hidup dan menjalani gaya hidup hidup yang mereka pilih. Kecenderungan kelamin sepatutnya adalah hak peribadi mereka dan tak boleh dianggap sebagai kes jenayah sivil.
Aktiviti LGBT terutamanya amalan kelamin mereka hanya salah dari segi larangan dalam agama. Bagi pejuang hak kemanusiaan, itu adalah isu moral keagamaan. Ia tak sama dengan kes jenayah curi atau samun atau pukul orang.
Semua manusia perlu bebas untuk buat amalan yang mereka suka, jadi perompak dan pencuri juga punya hak untuk mencuri dan merompak serta merogol atau memperkosa. Logik sebegini tak boleh pakai sebab isu LGBT dan isu jenayah yang melibatkan kepentingan awam itu adalah dua perkara yang berbeza.
Asingkan agama dalam urusan pemerintahan
Ada pemikir yang berpendapat, selagi agama masuk campur dalam urusan pemerintahan, selagi itulah akan berlaku pertelingkahan.Bagi mereka pengurusan negara perlu berkecuali dan hanya melihat semua perkara dari segi kemanusiaan secara universal. Tak ada perbezaan agama, bangsa atau jantina dalam bab pengurusan negara dan pemerintahan.
Dengan mengamalkan pendekatan sebegitu, semua orang akan diadili dengan saksama tanpa ada pengaruh agama, bangsa atau jantina. Jadi tak akan ada masalah berat sebelah walau semajmuk manapun penduduk sesebuah negara.
Antara hak kemanusiaan yang setiap negara perlu akur adalah hak untuk menganuti apa saja amalan agama atau kepercayaan mereka. Jadi semua orang boleh amalkan agama masing-masing dalam kehidupan peribadi mereka.
Dalam agama lain mungkin cara tersebut boleh diguna pakai. Tapi adalah sukar untuk memujuk umat Islam mengguna pakai pendekatan yang sama. Bagi orang Islam, terutamanya dari kalangan mereka yang beraliran tradisional, undang-undang dan hukuman adalah termasuk dalam amalan kepercayaan mereka yang wajib dilaksanakan.
Sebab itu orang Islam akan timbulkan masalah di mana-mana saja dan di negara manapun mereka berada. Kecuali di negara umat islam yang semua penduduknya adalah islam. Itupun Islam yang dianuti mestilah satu mazhab yang sama. Kalau ada percampuran seperti Sunni dan Syiah, masalah tetap akan timbul juga sebab banyak fatwa yang berbeza wujud antara 2 mazhab tersebut.
Aliran tradisional dan liberal
Masalah akan lebih mudah dirungkaikan jika umat Islam sanggup meninggalkan aliran tradisional dan mula pertimbangkan aliran yang terbuka. Amalan tradisional ambil pendekatan bahawa semuanya sudah lengkap dan statik tidak boleh diubah lagi sehingga kiamat.Semua hukum dan fatwa sudah dilengkapkan oleh ulama terdahulu dan tak ada lagi yang tertinggal. Yang membezakan antara berbagai fahaman tradisi adalah fatwa zaman mana yang sudah statik itu. Ada yang ambil zaman Rasulullah sahaja. Ada yang ambil zaman Sahabat dan pengikut sahabat. Ada yang ambil zaman pengikut kepada pengikut sahabat.
Tapi semuanya lebih kurang sama sahaja prinsipnya, iaitu zaman itu segala hukuman, pendapat, dan fatwa sudah lengkap, sempurna dan tidak boleh diubah lagi.
Bagi orang yang liberal pula, mereka lebih cenderung untuk pergi semula kepada sumber asal Islam iaitu Al-Quran. Bermula dari situ, perlu dikaji semula segala masalah yang timbul dan pendekatan baru yang lebih sesuai dengan zaman di mana manusia berada akan digunakan pakai.
Bagi aliran liberal, pendapat tradisi adalah salah satu dari sumber rujukan dan sumber pilihan sahaja dan ianya tidak muktamad.
Walau bagaimanapun, perbezaan pendapat sudah tentu tetap akan berlaku sampai bila-bila. Negara kita riuh dengan perbahasan dan perbezaan pendapat adalah sesuatu yang baik untuk percambahan ilmu dan meningkatkan tahap pemikiran kita semua.
1.Homosexuality ujud dlm donia binatang.
ReplyDelete2. Puak2 ni adakah natural atau nurtured?
3. Tak perlu iktirah cuma hanya terima keadaan ini seadanya.
4. Sila rujuk AQ 6.38
Tuduhan kerajaan menghalalkan LGBT adalah suatu fitnah yg besar.. kawan anda dah salah fhm atau salah tafsir dan anda terus percaya .. ?
ReplyDelete