Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

30 November 2018

20 perkataan Melayu yang amat jarang anda pakai tapi wujud

  Ano Nyme       30 November 2018

Saya ada beli majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pelita Bahasa. Begitulah nama majalah tersebut. Dalam tempoh mungkin lebih 20 tahun, inilah pertama kali saya beli sebuah majalah terbitan DBP.

Mungkin dalam tempoh seumur hidup, hanya 2 atau 3 kali saya ada beli majalah terbitan DBP.

Kenapa tak pernah beli?

Tak pasti apa jawapannya. Mungkin tak berminat. Atau mungkin tak nampak adanya keperluan untuk beli majalah mereka. Rasanya, ia lebih sesuai untuk para pelajar sekolah atau pelajar universiti sahaja.

20 perkataan Melayu jarang guna

Majalah Pelita Bahasa yang saya beli tupun, ambil masa yang agak lama untuk dihabiskan. Artikel yang ada di dalamnya tak berapa memanggil sangat. Tak berapa terpanggil untuk saya baca sebab tidak berjaya menimbulkan daya tarikan yang mencukupi.

Walau bagaimanapun. Pada bahagian akhir majalah tersebut, ada pengisian yang menarik. Ia berkenaan kosa kata yang perlu dipadankan dengan perkataan yang sama, yang biasa kita pakai dalam kehidupan.

Sudah tentu perkataan yang mereka suruh cari padanannya itu, adalah perkataan yang amat jarang kita pakai.

Bila saya baca, memang sah. hampir kesemuanya teramat jarang saya guna. Malah ada yang lansung tak pernah saya dengar. Banyak sebenarnya yang tak saya kenal sebelum ini.

Jadi untuk cuba diingatkan, maka saya tulis dan kongsikan kat sini. Khas untuk anda yang berminat menambah kosa kata Bahasa Melayu. Jom kita lihat perkataan yang ada satu persatu.

1. Sahi

Ertinya tidak hirau akan kerja, tugas dan lain-lain.

"Raja yang lemah ialah raja yang sahi dan tidak mempedulikan masalah yang dihadapi oleh rakyatnya."

2. Langking

Ertinya warna seperti warna arang.

"Bulu keningnya langking dan lebat."

3. Dakar

Ertinya tidak takut atau bukan pengecut

"Ali terkenal sebagai pemimpin yang dakar dan lantang menyuarakan pendapatnya."

4. Pulan

Ertinya berkenaan makanan seperti daging atau ubi rebus yang lembut dan mudah dikunyah.

"Daging yang sudah pulan itu kemudiannya digoreng sehingga garing."

5. Lamur

Ertinya berkenaan penglihatan yang kabur atau kurang jelas.

"Nenek yang telah uzur dan lamur matanya, kelihatan membongkok memegang tiang katil."

6. Embal

Ertinya masih basah atau belum betul-betul kering

"Imah mengelap mukanya dengan tuala yang embal itu."

7. Penahap

Ertinya sudut atau cerukdi dalam bilik, halaman, padang dan lain-lain.

"Amira merenung wajah ibunya yang duduk bertentangan dengannya di kerusi batu di penahap halaman rumahnya."

8. Tabak

Ertinya dulang yang tidak berkaki dan digunakan untuk menyajikan makanan atau minuman.

"Halimah keluar membawa tabak yang berisi secawan kopi dan sepiring pisang goreng untuk dihidangkan kepada suaminya."

9. Endul

Ertinya tempat yang boleh diayun

"Tangan adik menangkap endul yang berayun laju itu, supaya perlahan ayunannya."

10. Tahana

Ertinya taraf kedudukan dalam masyarakat

"Sesungguhnya kedudukan dan tahana seseorang pada kaca mata Islam bukan terletak pada harta, nama atau kediamannya."

11. Derji

Ertinya orang yang pekerjaannya mengambil upah dengan menjahit.

"Sudah hampir 10 tahun Nik Rahimah menjadi derji untuk keluarga diraja Kelantan."

12. Lagam

Ertinya cara atau olah berbuat sesuatu.

"Penyusun sejarah Melayu juga berikhtiar mencipta dan menyusun lagam menulisannya sendiri."

13. Saki

Ertinya sahabat atau teman dalam pergaulan sehari-hari.

"Dalam pertemuan itu, dia menghina saya di depan saki karib saya sendiri."

14. Dabir

Ertinya orang yang pekerjaannya menulis atau mencatat.

"Carita itupun dikarang semula dan diseragamkan gaya bahasanya oleh dabir dari istana Bukit Berapit."

15. Gusar

Ertinya berasa panas hati kerana dihina, ditipu dan lain-lain.

"Dia menjadi gusar apabila mengetahui orang tidak menggemari karya sasteranya."

16. Tabela

Ertinya peti untuk meletakkan mayat.

"Tabela itu dibawa ke gereja untuk upacara doa sebelum dihantar ke tempat perkuburan."

17. Gabah

Ertinya padi yang kulitnya belum terkupas

"Nenek menampi-nampi beras itu beberapa kali untuk mengasingkan gabah daripada beras."

18. Sewal

Ertinya orang atau sesuatu yang mendatangkan kecelakaan atau yang tidak mendatangkan keuntungan, kebaikan dan lain-lain.

"Ahli nujum itu memdakwa bahawa Wira akan membawa sewal atau bencana kepada negara."

19. Nihil

Ertinya tidak mempunyai sesuatu atau mengetahui apa-apa pun.

"Pengetahuannya tentang bahasa daerah adalah amat sedikit, malah boleh dikatakan nihil."

20. Satwa

Ertinya makhluk yang bernyawa dan tidak berakal seperti kuda, anjing dan lain-lain.

"Setelah seharian berjalan di rimba belantara itu, tiada juga dia bertemu dengan seekor satwa."

Demikianlah 20 perkataan yang teramat jarang kita pakai tapi wujud dalam Bahasa Melayu. Moga ada manfaatnya dalam meluaskan jumlah perkataan yang boleh kita gunakan dalam percakapan seharian.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, 20 perkataan Melayu yang amat jarang anda pakai tapi wujud

Previous
« Prev Post

6 comments:

  1. saya rasa gusar masih mudah dijumpai berbanding perkataan lain...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selama ini saya ingat gusar bermaksud risau

      Delete
    2. Tuan, gusar membawa 2 makna marah/berang atau seangkatan dengannya dan juga bimbang/risau atau seangkatan dengannya...dalam bahasa indonesia gusar = marah...

      boleh rujuk ekamus dbp...

      Delete
    3. Terima kasih sudi kongsikan maklumat Anon 9:54 !

      Delete
  2. Tabela=tabala masih digunakan dalam bahasa Banjar menbawa maksud kerandan mayat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Owh ! Bahasa Banjar ada perkataan tu rupanya. Terima kasih sudi berikan maklumat

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !