Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

19 December 2018

Sila ambil perhatian ! jika sumber maklumat utama anda ialah Facebook atau media sosial lain

  Ano Nyme       19 December 2018

Dari mana anda mendapatkan segala maklumat atau berita sekarang?

Mungkin soalan yang sama jadi agak pelik jika ditanya sebelum bermulanya era internet dan media sosial. Zaman sebelum internet dan media sosial, sumber utama maklumat sudah tentu media massa.

Zaman orang tua, Tok Nenek kita dulu, maklumat diambil dari surat khabar, majalah, berita radio, TV, Wayang.

Masa TV dan Radio masih barang mahal, salah satu sumber maklumat ialah Wayang Pacak. Jabatan penerangan akan anjurkan wayang pacak di atas padang atau tempat rata. Dijemput semua orang kampung untuk datang beramai-ramai menyaksikan cerita filem.

Masa siangnya kenderaan jabatan penerangan akan ronda dengan pembesar suara buat pengumuman akan adanya wayang pacak.

Tujuan utama sudah tentu bukan cerita wayang pacak tu sangat. Tapi lebih kepada maklumat penting yang mahu disampaikan oleh pihak kerajaan kepada rakyatnya. Samada berita, fakta atau propaganda yang mahu segera disampaikan pada seramai mungkin orang ramai.

Begitulah susahnya sumber maklumat mahu disebarkan satu masa dahulu.

Pantas mendapat maklumat

Tapi sekarang semua itu hanya tinggal kenangan. Anak-anak saya tentu tak ada memori wayang pacak dalam ingatan mereka. Tak sempat merasa kumpul beramai-ramai satu keluarga anak beranak duduk atas padang makan kacang rebus sambil nonton wayang pacak.

Pengalaman wayang pacak pun hanya sempat saya alami ketika zaman kecil sahaja. Bila dah dewasa, boleh dikatakan semua rumah dah punyai Radio dan TV. Paling lekeh, rumah orang susahpun tentu akan punyai sebuah radio cabuk yang masih jelas untuk didengar.

Surat khabar akan ada kelewatan satu hari. Berita penting yang berlaku hari ini, hanya akan keluar hari esok. Bila Radio dan TV meluas maklumat mula bergerak lebih pantas berbanding surat khabar. Berita penting boleh terus disiarkan tak payah nak tunggu satu hari.

Tapi masih ada masalah juga. Kalau orang tak buka Radio dan TV, maklumat masih tak masuk ke dalam pengetahuannya. Masih ada kelewatan juga.

Masuk zaman sekarang, semuanya bergerak masuk ke dalam pengetahuan manusia dengan amat pantas. Maklumat segera bergerak terus menuju kepada semua orang secara peribadi. Buka saja media sosial terutamanya Facebook, terus dapat maklumat yang dikogsikan.

Hampir semua orag ada akses kepada media sosial. Malah ramai yang sudah masuk ke peringkat ketagihan membuka dan melayari media sosial. Duduk, berdiri, berjalan, makan, nak tidur, melepak, berak dan lain-lain aktiviti lagi akan bersama dengan telefon pintas melayari media sosial.

Media sosial jadi sumber utama maklumat

Media sosial sebenarnya dah jadi sumber utama kebanyakan orang sekarang untuk mendapatkan segala maklumat dan berita.

Tentu masih ada yang nonton TV atau dengar Radio. Juga tentu masih ada yang ambil masa baca surat khabar. Tapi jumlah orang yang bergantung pada TV, Radio dan surat khabar untuk mendapatkan maklumat dan berita sudah semakin pupus.

Kalau masih ada yang menggunakannya sebagai sumber maklumat, ia lebih kepada kebiasaan yang susah nak dibuang. Itu saja puncanya. Dah biasa tengok berita atau buka baca surat khabar dari muda. Biasanya golongan tua saja yang masih ada tabiat sebegitu.

Orang muda dah banyak bergantung pada internet dan media sosial terutamanya.

Itulah masalahnya sekarang.

Semua media sosial seperti Facebook menggunakan algorithm untuk kenal pasti berita apa yang mahu dipaparkan kepada setiap individu yang membukanya.

Kecenderungan individu, siapa kawan-kawannya, siapa yang diikuti selalu dan siapa yang dia berhubungan akan menentukan maklumat atau berita yang terpampang pada paparan skrin telefon pintarnya.

Hasilnya, hanya maklumat yang serasi dengan kecenderungan individu itu sahaja yang akan terpampang pada skrin. Dia akan dihujani dengan maklumat yang berat sebelah yang serasi dengan dirinya dan kecenderungannya sahaja.

Boleh dikatakan dia hanya akan mendapat maklumat yang dia mahu dengar sahaja. Bukan maklumat yang dia tak suka dengar atau sukar untuk terima.

Kalau orang pas yang suka berita pukul lawan dan kutuk lawan, berita keagongan parti dan pemimpinnya, maka berita itu saja yang akan banyak masuk ke dalam paparan media sosialnya.

Jika kaki percaya cerita tahyul dan seumpamanya, maka banyaklah cerita tahyul dan mistik akan masuk ke dalam paparan media sosialnya.

Hasilnya, setiap individu akan menjadi semakin tegar dan fanatik dengan kepercayaan atau kecenderungannya. Ini amat bahaya!

Fikirannya jadi semakin tertutup dari pertimbangan atau sudut pandang yang berlainan. Dia akan semakin berat sebelah dan bebal dengan fahaman yang dianutinya.

Ramai yang semakin fanatik dan tertutup

Cuba lihat sekelilig kita sekarang.

Lihat juga diri anda sendiri.

Sedar atau tidak, anda sudah jadi semakin fanatik dan berfikiran tertutup. Tidak mahu dengar maklumat yang tidak serasi dengan kecenderungan biasa. Mula tapis secara tidak disedari fakta pahit yang menentang apa yang dia mahu percaya.

Kalau tersilap masuk group whatsapp yang berlainan fahaman politik misalnya, akan cepat saja left group. Hanya kekal dengan kumpulan yang sama kecenderungan fahaman dan kepercayaan. Akhirnya jadi peganut mazhab syok sendiri sampai mati.

Kalau ambil masa baca maklumat dari kumpulan yang tak sama fahaman, tujuannya hanya untuk mencari salah yang boleh diserang dan dibedal sekuat mungkin. Bukan untuk membuat pertimbangan secara objektif dan rasional.

Oleh itu, perlu paksa diri untuk mendengar semua pendapat. Bersikap terbuka dan jangan terlalu pantas membuat hukuman dan kesimpulan. Perlu ada objektif yang mahu diterokai. Perbanyakkan sumber maklumat dari berbagai kumpulan untuk membuang ketebalan sikap fanatik yang ada.

Jangan lupa baca buku ilmiah yang boleh membuka minda. Fahami cara akal berfikir. Belajar untuk berfikiran kritis dan berani mencabar pandangan orang dan juga fkiran diri sendiri. Perlu tajam membezakan antara fakta dan emosi. Perlu KIV selagi tidak disertakan dengan bukti.

Dunia semakin mencabar sebenarnya. Dalam zaman sekarang, keupayaan berfikir dalam keadaan sedar adalah satu alat penting untuk selamatkan diri dan hidup aman.

Buku menarik untuk dibaca: The Filter Bubble: How the New Personalized Web Is Changing What We Read and How We Think

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Sila ambil perhatian ! jika sumber maklumat utama anda ialah Facebook atau media sosial lain

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !