Antara nikmat yang baru terasa hebat dan sepatutnya sentiasa disyukuri bila dah tua, adalah nikmat diberikan Tuhan gigi yang lengkap dan sihat.
Masa muda terlepas pandang nikmat gigi lengkap dan sihat ni. Maklumlah semuanya masih baru segar dan kuat. Sumbat masuk apa saja ke dalam mulut, keras atau rangup, akan dipepak dengan selamba.
Kalau sedap makanan tu, semua kredit akan diberikan kepada makanan itu sendiri. Kalau kenal tukang masaknya pulak, pujian sampai juga pada tukang masak itu. Gigi yang banyak memainkan peranan memecahkan makanan untuk dirasa dengan lebih mudah oleh lidah tidak diberikan perhatian.
Bukan saja tak teringat pada peranan gigi tu. Malah dibiarkan serpihan makanan lekat di celahan gigi. Gigi terpaksa terima saja keadaan tak mampu nak buat apa-apa sebab tuannya sendiri tak ambil peduli.
Bila tua baru nak menyesal tak jaga gigi
Bayangkan saban hari siang dan malam serpihan makanan membusuk di celahan gigi yang asalnya kuat dan sihat itu. Kuman membiak bermaharajalela di celahan gigi. Keluarlah segala asid dan bahan hakisan melemahkan lapisan gigi yang ada.Akibatnya, ramai yang umur panjang tapi gigi hilang. Makin lama makin tak ada gigi dan akhirnya mulut hanya tinggal gusi.
Masa tu mata terkebil-kebil tengok biji petai di masak sambal tumis dengan udang. Sekadar boleh bayangkan saja simpanan memori yang masih ada. Pejam mata cuba ingat semula macam mana rangup dan meyelerakan patai itu di pepak satu ketika dahulu.
Sungguh terasa nikmat yang telah didustakan ketika masih ada.
Jaga gigi baik-baik selagi masih ada
Sebagai orang tua yang dah lalui penangan terasa kehilangan nikmat gigi yang kuat dan sihat, saya nak ingatkan pada adik-adik dan anak-anak.Juga pada kawan-kawan yang lebih muda dan masih ada lagi gigi yang mencukupi untuk digunakan buat kunyahan.
Gigi yang ada masih banyak yang boleh pakai. Makan masih sedap. Terima kasih pada nurse dan cikgu ketika zaman sekolah rendah dulu. tak jemu ajar cara jaga gigi. Terima kasih pada mak yang tak pernah bosan ingatkan kumur dan gogok gigi sebelum tidur.
Hasil semua orang kat atas tu, alhamdulillah masih boleh pakai lagi banyak gigi. Walaupun geraham dah banyak yang rosak berlubang dan ditampal berkali-kali. Sekurang-kurangnya masih boleh pakai untuk makan.
Tapi tetap terasa menyesal sebab sepatutnya boleh buat lebih baik lagi masa zaman gigi masih kuat dan sihat sempurna lagi dulu. Jadi saya nak berikan petua mudah dan mujarab kat bawah ni untuk diamalkan.
11 amalan mudah dan mujarab untuk gigi sihat
Amalan jaga gigi ni bukan boleh sekejap buat sekejap tak buat. Masa rajin beramal dan masa malas buat tak tau.Amalan jaga gigi ni perlu jadi amalan tetap sepanjang hidup. Macam mana anda berak dan kencing setiap hari, tak boleh miss, macam tu jugak amalan jaga gigi supaya kekal sihat. Anda perlu buat 11 amalan mudah di bawah untuk pastikan gigi kekal sihat.
- Gosok gigi sebelum tidur - Ini suruhan semua orang yang tahu kepentingan jaga gigi sejak dari kecil. Tapi masih ada yang tak ambil peduli. Sebelum tidur ni paling penting sebab banyak aktiviti bakteria boleh berlaku dalam mulut celahan gigi di waktu tidur kalau ada sisa makanan kat celah tu. Ibu bapa perlu paksa anak-anak gosok gigi sebelum tidur.
- Gosok dengan betul - Ini amalan yang saya terlepas pandang dan tak ambil peduli sangat masa kecil. Salah cara gosok gigi sama macam tak gosok gigi. Ambil masa untuk bersihkan gigi. Jangan tonyoh kuat kiri kanan sampai rosak gusi. Gosok untuk buat plak yang melekat pada gigi supaya gusi dan gigi sihat.
- Gosok lidah - Plak juga boleh melekat pada lidah. Ini akan busukkan mulut bila bakteria membiak. Bleh bawa kesan kesihatan yang lain juga. Jadi jangan lupa gosok lidah supaya bersih sebelum tidur.
- Pilih ubat gigi sesuai - Pastikan ubat gigi ada fluoride yang terbukti berkesan jaga gigi daripada mereput. Memang ada pendapat yang kata ada masalah dengan fluoride pada ubat gigi ni. Tapi setakat ini, ia masih tetap berkesan dan terbukti membantu gigi tak mereput.
- Pastikan anda floss gigi - Jangan jadikan floss hanya satu pilihan. Wajibkan floss sama macam berus gigi juga. Buang segala yang melekat celah gigi tu. Buat dan anda pasti tak akan menyesal ambil masa untuk floss celahan gigi semua. Floss sekali setiap hari sebelum tidur dah mencukupi.
- Cari alternatif floss jika sukar - Kalau rasa nak floss tu susah, jangan terus tak buat. Cari juga alternatif supaya buat juga amalan tu. Pergi farmasi dapatkan gantian floss yang dipasang siapa yang memudahkan pengguna. Ada banyak kat farmasi tu.
- Cuba pakai cecair kumur mulut - Pertimbangkan dengan serius untuk guna cecair kumur mulut ni. Ianya amat baik untuk seimbangkan semula keadaan dalam mulut tu. Dapat juga bantu bersihkan area yang berus dan floss tak boleh sampai.
- Minum banyak air kosong - Pastikan anda minum air kosong setiap kali lepas makan. Antara sebabnya adalah untuk basuh mulut dan hilangkan acid kat dalam mulut tu. Minum banyak lebih baik.
- Makan buah dan sayur ranggup - Pastikan sayur dan buat yang ranggup jadi pilihan wajib anda. Ia latihan baik untuk mulut dan juga baik untuk aktiviti ketahanan gigi.
- Kurangkan gula dan makana berasid - Makan gula dan makanan asid macam biasa, tapi pastikan jangan berlebihan. Gula dan asid percepatkan gigi rosak.
- Jumpa doktor gigi 6 bulan sekali - Ini juga saya tak ambil berat dulu. Bila dah bermasalah baru nak pi jumpa doktor gigi. Bagi yang masih sihat giginya, jadikan amalan ini satu kewajiban. Supaya potensi masalah dapat dikesan lebih awal.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !