Hari ini, laporan dari Transparency International's (TI) Corruption Perception Index (CPI) 2018 menunjukkan negara tercinta kita Malaysia meningkat naik tahap kurang rasuahnya, satu anak tangga ke kedudukan 61 dari 170 negara di dunia.
Tahun 2017 kita duduk di tangga ke-62.
Itu berita baik!
Tapi yang tak berapa baiknya adalah score kita sebanyak 47 mata dari keseluruhan 100 mata nampaknya kekal macam tahun yang sudah juga. Tak ada apa-apa perubahan dari segi pencapaian mata tersebut.
Boleh dikatakan tak ada apa-apa perubahan dari segi mata yang kita dapat.
Dalam maksud yang sama, menunjukkan kedudukan kita naik satu anak tangga hanya disebabkan ada negara lain yang jatuh lebih teruk dari negara kita. Naik atas kelemahan negara lain tidak menunjukkan negara kita telah berjaya memulihkan persepsi kuat rasuah di mata pembuat kajian.
Negara tanpa rasuah satu idaman
Hari ini juga Perdana Menteri kita lancarkan satu usaha besar dalam perancangan untuk membenteras rasuah dari berleluasa di negara kita.Satu cita-cita besar yang disasarkan dalam tempoh 5 tahun untuk menjadikan negara kita sebuah negara yang bebas rasuah. Bebas dalam erti kata menjadi sebuah negara yang paling kurang amalan rasuah.
Tempoh 5 tahun untuk mencapai matlamat tersebut adalah satu cita-cita yang sangat besar dan nampak macam terlalu sukar untuk dilakukan. Tapi tak apalah. Kita doakan agar para pemimpin kita tetapkan pendirian dan tekad untuk melaksanakannya.
Tak ada pengalaman negara tanpa rasuah
Secara jujurnya, sejak saya kecik sampai besar sekarang, tak pernah dapat bayangkan bagaimana agaknya duduk kat sebuah negara yang bebas rasuah.Maksudnya, sejak kecil sampai besar, cerita orang makan rasuah, orang amalkan rasuah dah jadi cerita basi yang terlalu biasa sangat saya dengar dari kecik sampai besar.
Masa zaman sekolah menengah dulu saya dah biasa sangat dengar polis contohnya ambil duit kopi dari pengguna jalan raya yang mahu elakkan kena saman. Zaman budak sekolah menengah naik motosikal dulu dah lalui pengalaman dengan cerita sedemikian.
Polis boleh ambil walaupun RM5 dari budak sekolah yang naik motosikal lakukan kesalahan jalanraya.
Sampai sekarang, persepsi masih ada bila melihat adanya sekatan jalan raya dilakukan oleh pihak polis. terutamanya di kawasan luar bandar tepi jalan biasa. Kalau ada polis dok tunggu nak cari salah pemandu di jalanraya, persepsi polis nak cari duit kopi masih melekat segar dalam kepala tak boleh nak buang.
Itu gambaran betapa kuatnya amalan rasuah berlaku di negara kita.
Rasuah dalam dunia perniagaan
Bila dah besar dan hidup sebagai orang yang buat perniagaan sendiri, lagi banyak terdedah kepada cerita amalan rasuah. Baik di dalam urusan untuk mendapatkan kerja dari pihak swasta, mahupun dalam kerajaan.Kerj-kerja besar kerajaan memang perlu ambil tender. Dalam proses tender itupun, biasa sangat dengan tawaran dapat kerja dengan cara rasuah. Dari pegawai rendah sampai pegawai tinggi ada saja cerita amalan rasuah.
Baru minggu lepas saya dapat berita satu tender yang bari keluar tawaran dapat kerja dengan berbayar. Saya dengar dari mulut kawan tawaran pegawai rendah minta 20% dari hasil claim perlu diberikan kalau nakkan tender tersebut.
Saya harap itu cerita yang tak benar. Dan harap tak ada kontraktor bodoh yang ambil tawaran tersebut sebab memang satu kerja bodoh.
Pegawai tu boleh janjikan pada 100 kontraktor untuk tolong dia dapatkan kerja tersebut. Kalau dalam seratus kontraktor tu seorangpun tak dapat, pegawai tu tak akan rugi apa-apa. Tapi kalau salah seorang dari kontraktor tu dapat, dia dengan bodoh terpaksa tunaikan janjinya kena bagi 20% dari claim setiap kerja yang dilakukan.
Sudah pasti kalau tak bagi, kontraktor itu akan mendapat susah. Dia kena berurusan dengan pegawai itu juga dalam urusan kerjanya. Pegawai tiu akan buat hal yang menyusahkan kontraktor tersebut. Sedangkan terang dan nyata, pegawai itu tak ada sebarang kuasa untuk tentukan siapa yang akan dapat tender.
Yang pandainya pegawai itu. Yang bodohnya kontraktor yang layan dan percaya dengan janji palsu tersebut.
Perkara yang sama lebih mudah berlaku dalam kerja-kerja syarikat besar swasta. Kalau anda baik dengan pegawai yang berkuasa, anda boleh dapat kerja dengan memberikan duit rasuah padanya.
Syarikat swasta tak main tender. Mereka akan panggil beberapa syarikat untuk berikan sebut harga. Biasanya hanya sekadar wayang untuk lengkapkan prosedur saja.
Bila nak jadi jujur dan amanah?
Awal tahun ini banyak tender juga yang dah saya masuk. Oleh sebab saya tahu kerja amat rare sekarang dan persaingan amat sengit, maka saya terpaksa berikan harga yang cukup makan semata-mata untuk pastikan syarikat terus mampu hidup.Dah lama dalam industri yang saya ceburi, jadi saya boleh agak harga yang diberikan oleh kebanyakan pesaing yang ada dalam pasaran. Jadi saya cuba test pasaran dengan berikan harga cukup makan.
Memang berkesan. Syarikat saya dapat harga nombor 1 paling rendah. Rendah tapi masih dalam harga yang munasabah berbanding semua kontrak tor yang lain.
Tapi malangnya yang dapat adalah kontraktor yang sama yang dah buat kerja kat jabatan kerajaan itu sejak bertahun-tahun yang lalu. Alasan kenapa tawaran tender saya ditolak adalah kerana tak cukup domumen.
Itu perkara yang memang tak akan berlaku sebab bukan setahun dua saya dan semua kumpulan pekerja saya buat kerja itu. Semua dah disemak berkali-kali. Dipastikan segala permintaan diberikan dan semua dokumen di sertakan.
Kemungkinan yang boleh berlaku adalah ada dokumen yang dikoyak buang dari sampul dokumen tender yang telah saya berikan. Siapa boleh pastikan tak akan jadi macam itu?
Hanya kejujuran pegawai yang cari makan secara halal saja yang boleh pastikan semua urusan memproses tender dijalankan dengan cara yang betul jujur dan telus. Tapi hakikatnya dengan kedudukan markah 47 yang negara kita dapat, saya ragu-ragu dengan kewujudan ramai pegawai yang jujur dan ambil berat dengan rezki yang mereka cari.
Bukan tak ada, memang tak dinafikan adanya manusia jujur. Tapi berapa kerat sangat?
Bayangkan jika negara yang kita duduk ini tinggi budayanya dalam membenci amalan rasuah. Tumpuan lebih banyak dapat diberikan ke arah pertingkatkan kualiti dan daya saing syarikat yang kita usahakan. Bukannya habiskan duit dengan melayan membina kabel-kabel yang banyak.
Bila agaknya kita boleh capai status negara paling kurang amalkan rasuah macam negara Denmark. Negara itu dapat markah 88. Negara yang sentiasa mendapat markah tinggi dan sentiasa duduk di tangga teratas berbanding 170 negara lain di dunia ini.
Denmark bukan saja maju kurang rasuah. Negara itu juga terkenal dengan mendapat markah tertinggi sebagai negara yang rakyatnya paling bahagia menjalani kehidupan.
Begitu juga dengan negara-negara lain yang kurang rasuah seperti New Zealand dengan 87 mata, Finland, Norway dan Switzerland dengan 85 mata. Semua negara itu bukanlah sebah negara yang mengaku depa Islam. Malah kita akan gelar mereka sebagai sebuah negara Kapiaq!
Kapiaq tapi Islamik sebenarnya ... pahit tapi itulah hakikatnya !
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !