Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

31 March 2020

Sejarah pasal basuh tangan dalam dunia perubatan yang mungkin anda tak terfikir

  Ano Nyme       31 March 2020

"Jangan pandang remeh terhadap kepentingan basuh tangan untuk jaga kesihatan tubuh badan anda"

Peringatan di atas tu lebih mudah untuk difahami dalam suasana dunia dilanda wabak Covid-19 sekarang. 

Tambah pulak Covid-19 ni satu penyakit baru untuk manusia. Sampai hari ni, masih tak ada lagi vaksin untuk atasi masalah virus baru ni. Walaupun virus jenis corona ni sebenarnya dah lama ditemui, tapi untuk kes Covid-19 ni ia jelmaan baru.

Sedikit maklumat pasal virus corona

Saya ambil beberapa maklumat pasal virus jenis Korona ni dari carian di Google, untuk tambah sedikit pengetahuan umum.

Asal nama corona tu datang dari perkataan Latin yang bermaksud Crown / Mahkota. Ini disebabkan adanya unjuran dari permukaan virus tersebut yang berbentuk seperti mahkota. 

Coronavirus ni pada awalnya ditemui dalam era tahun 1930. Ia menyerang teruk saluran pernafasan ternakan ayam ketika itu. Kemudian, dalam era tahun 1940 an, dua lagi jenis coronavirus ditemui. Juga menyerang haiwan saja.

Coronavirus yang serang manusia ditemui pada era tahun 1960 an ada pada pesakit yang mendapat jangkitan selsema. Ia diberi nama coronavirus 229E dan coronavirus OC43.

Sejak itu beberapa lagi virus sejenis dengannya di temui antaranya termasuklah SARS-CoV pada tahun 2003, HCoV NL63 pada tahun 2004, HKU1 pada tahun 2005, MERS-CoV pada tahun 2012, dan seterusnya SARS-CoV-2 pada tahun 2019.

Hampir ksemuanya meyebabkan masalah teruk pada sistem pernafasan manusia. Yang terakhir iaitu, SARS-CoV-2 adalah virus yang mendatangkan masalah Covid-19. Virus tu pada mulanya diberikan nama novel coronavirus 2019 (2019-nCoV)

Virus tu ada persamaan genetik dengan coronavirus yang ada pada kelawar dan tenggiling. Kebetulan ia mula muncul di Wuhan China, maka nama popular awalnya adalah Virus Wuhan. Presiden Amerika Syarikat terus menggelarkannya dengan nama Virus China.

Satu-satunya cara untuk jauhi Covid-19 dengan mudah sekarang adalah dengan mengamalkan budaya basuh tangan dengan sabun sekerap mungkin. Sabun dapat hapuskan virus tu jika ada pada tangan anda.

Ini akan elakkan virus masuk dalam sel saluran pernafasan badan anda bila tangan yang terkena virus tu, tak dibasuh, lalu anda gosok mulut, hidung atau mata.

Hasilnya, cecair sanitiser atau cecair disinfectant terus laku keras dan naik harga melambung-lambung sekarang.

Untuk yang pandai, yang tahu bahawa sabun biasa adalah jauh lebih mujarab, akan dapat jimatkan wang dengan basuh tangan dengan sabun saja.

Sejarah pasal basuh tangan

Amalan basuh tangan ni satu amalan mulia.

Amalan basuh tangan juga dah jadi amalan keagamaan sejak ribuan tahun dahulu lagi. Ia amalan orang Yahudi sejak ribuan tahun dulu juga. Begitu juga dengan agama lama yang lain.

Bagi anda yang beragama Islam, paling kurang akan basuh tangan 5 kali sehari.

Orang Islam wajib ambil wuduk sebelum nak tunaikan solat. Di kebanyakan surau dan masjid sekarang, ada tersedia sabun di setiap tempat ambil wuduk.

Walaupun tujuan asal disediakan sabun tu adalah untuk uraikan minyak pada tangan supaya air dapat lalu. Tapi hakikatnya secara tidak disedari, ia menghapuskan sekali bakteria dan virus dari tangan anda.

Amalan basuh tangan yang berkaitan dengan masalah kesihatan sebenarnya agak baru. Ia hanya diamalkan sejak 130 tahun yang lalu saja.

Lagipun teori Kuman atau Germs menjadi penyebab penyakit hanya diterima dalam dunia sains perubatan pada era tahun 1850 saja. Hasil dari gerak kerja Louis Pasteur. Selepas itu barulah dunia perubatan nampak kepentingan basuh tangan untuk hapuskan kuman pada tangan ni.

Kalau dalam dunia timur tengah di kalangan orang Islam, teori pasal kuman ni lagi awal telah diketengahkan oleh Ibnu Sina dan Ibnu Khatima sejak tahun 1025 lagi. Tapi semua kajian ini diabaikan saja oleh orang Eropah sehinggalah ke era 1850 dan selepasnya.

Selama ini, sebelum teori pasal kuman di terima pakai, orang Eropah percaya peyakit adalah bawaan pencemaran udara. Bau yang dikeluarkan atau dicemarkan oleh bangkai mereput atau bahan organik yang membusuk.

Ia diberikan nama teori Miasma. Satu perkataan yang berasal dari Bahasa Greek bermaksud pencemaran. Orang Eropah percaya bahawa udara tercemar yang biasanya berbau busuk itulah yang menyebabkan segala penyakit seperti kolera / taun berlaku.

Sebab itu bila ada idea untuk para doktor basuh tangan untuk jaga kebersihan, agar dapat elak penyakit kena kepada pesakit yang doktor sedang rawat, ditolak mentah-mentah di Eropah ketika itu.

Mereka tak terima lagi teori bahawa kuman merupakan penyebab penyakit.

Orang yang mula berikan idea basuh tangan

Saranan untuk para doktor basuh tangan setiap kali nak rawat pesakit diperkenalkan oleh seorang doktor dari Hungary bernama Ignaz Semmelweis. Dia bekerja di Hospital Awam di Vienna di era 1840 an.

Sebagai seorang doktor dia perhatikan ada masalah dengan prestasi hospital itu dalam urusan kerja menyambut kelahiran bayi di hospitalnya. Jumlah ibu yang meninggal dunia sebab kena demam melahirkan anak di hospital sangat tinggi berbanding di klinik bidan biasa yang diuruskan oleh bidan wanita.

Apa masalah yang ada pada para doktor yang tak ada pada para bidan itu?

Dia berusaha mencari jawapan.

Satu hari, seorang doktor jatuh sakit dan meninggal dunia sebab demam yang sama macam ibu bersalin. Sebelum itu doktor tersebut terpotong dan luka pada tangannya terkena pisau bedah.

Dari kejadian itu, Ignaz Semmelweis berandaian bahawa penyakit yang terkena adalah datang dari sentuhan para doktor terhadap mayat yang mereka bedah siasat. Dah jadi amalan biasa ketika itu para doktor, pergi uruskan bedah siasat mayat dan kemudiannya datang sambut kelahiran bayi tanpa basuh tangan mereka terlebih dahulu.

Bila Ignaz Semmelweis syorkan amalan basuh tangan setiap kali nak sambut kelahiran bayi, jumlah ibu yang meninggal dunia turun kepada hanya 1% sahaja berbanding 18% sebelum ini. Memang betullah tekaannya. Perlu basuh tangan terlebih dahulu.

Lalu dia syorkan untuk jadikan amalan basuh tangan itu satu prosedur wajib yang semua doktor perlu amalkan.

Tapi malang bagi Ignaz Semmelweis, syornya itu ditolak mentah-mentah oleh para doktor. Dia pulak gagal untuk buktikan teorinya secara saintifik kenapa basuh tangan dapat atasi kematian pesakit yang doktor rawat atau bedah.

Masa zaman itu, para doktor adalah dari kalangan orang kaya dan terhormat. Bila disuruh basuh tangan, mereka anggap ianya satu penghinaan. Ia macam nak tuduh para doktor itu pengotor. Maka syor Ignaz Semmelweis ditolak mentah-mentah.

Malah Ignaz Semmelweis ditekan sehingga masuk pusat sakit jiwa dan kemudiannya meninggal dunia dalam usia yang muda 47 tahun.

Panjang lagi sejarah basuh tangan ni sehingga menjadi penerimaan satu dunia sebagai amalan terbaik untuk kesihatan manusia. Tapi cukuplah setakat itu untuk kita kenal siapa doktor malang yang perkenalkannya satu ketika dahulu tapi ditolak begitu saja.

Itu adalah sejarah catitan eropah atau barat. Mungkin ada sejarah lain yang lebih menarik dari timur tengah yang saya masih tak baca lagi pasal basuh tangan ni dan kaitannya dengan kesihatan. Nanti jumpa kita kongsikan lagi.

Bacaan rujukan, 1, 2, 3, 4
logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Sejarah pasal basuh tangan dalam dunia perubatan yang mungkin anda tak terfikir

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !