Perjalanan jauh paling akhir saya buat sebelum Covid-19, di mana kerajaan buat keputusan untuk kenakan Perintah Kawalan Pergerakan, adalah perjalanan ke negeri Cek Mek Molek Kelantan.
Sebelum itu saya baru selesaikan satu program kursus 3 hari di sebuah Hotel kat Shah Alam. Selesai program tu, balik ke Sepang. Duduk sehari dua kat rumah di Sepang tu. Sabtu malamnya pula, gerak ke KLIA 2.
Esok awal pagi nak ke Kelantan.
Oleh sebab semua tiket lewat pagi habis, saya diberikan tiket awal pagi. Pukul 6 lebih dah boarding. Maksudnya kena ada di KLIA 2 dalam pukul 6 pagi.
Kalau tidur kat rumah malam tu, kena bangun sebelum pukul 4 pagi, gerak ke Stesen ERL untuk parkir kereta dan naik ERL ke KLIA 2. Saya tak mahu ambil risiko keletihan untuk tidur kat rumah.
Sebab program mula hari Ahad di Kelantan pukul 12. Dan saya kena berdiri dan bercakap sampai malam. Kemudian sambung pula pagi isnin sampai tengahari. Kalau tak dapat tidur dan rehat secukupnya sabtu malam tu, memang boleh pitam letih kat Kelantan nanti.
Bermalam di Capsule Transit KLIA 2
Hari sabtu, malam itu, saya sewa dan bermalam kat Capsule Transit KLIA 2.Hotel atau capsule transit tu jenis kongsi ramai-ramai semua pengembara. Mereka yang hanya mahu buat transit sahaja di KLIA 2. Bilik kecil, sangat kecil dan sempit. Hanya muat untuk tidur saja dengan satu tilam dan tak boleh berdiripun dalam ruang tidur tu. Hanya boleh duduk sahaja dan tidur.
Punyalah sempoi ringkasnya.
Kiri kanan atas bawah semua ada ruang tidur untuk penyewa lain pula. Tandas dan bilik air semuanya kongsi dengan orang lain. Bayangkan!.
Kalau masa tu rasa tak selamat Covid-19 macam sekarang, tobat tak kan tidur di Capsule Transit sempit dengan berkongsi bersama semua pengembara lain dari serata tempat dalam dan luar negara macam tu.
Terkejut dengan keadaan Capsule Transit yang macam tu, saya pusing kanan dan pusing kiri dari malam sampai pukul 5 pagi tak boleh tidur. Akhirnya bangun pergi mandi dan bersiap terus untuk pergi check in.
Nasib badan. Kita hanya boleh merancang. Tapi Tuhan yang tentukan apa yang akan berlaku sebenarnya. Semua perancangan saya tak menjadi. Akhirnya jadi sama saja macam tidur kat rumah.
Mungkin kat rumah, boleh tidur dengan lebih selesa daripada lansung tak dapat lelapkan mata sampai ke pagi kat Capsule Transit tu.
Kelantan, menginap di Crown Garden Hotel
Saya naik AirAsia dari KLIA 2 terus ke Kota Bharu pagitu. Semuanya berjalan lancar tak ada delay. Sampai pagi kat sana dan ambil kereta sewa terus pergi sarapan kat satu kedai yang ramai orang.Punyalah ramai sampai kena tunggu meja kosong baru boleh duduk.
Saya makan nasi putih separuh dengan gulai ayam kampung. Minta telur separuh masak dan secawan nescafe panas.
Selepas selesai sarapan terus ke Bachok sebentar singgah rumah kawan. Nak check in hotel masih awal lagi. Kena tunggu pukul 1 paling awal baru boleh. Jadi kena habiskan masa dengan aktiviti lain dulu.
Tengahari baru patah balik ke Crown Garden Hotel. Terletak di Pekan Cina hotel tu. Orang juga tak berapa ramai. Masa tu kes Covid-19 dah mula terasa hangat. Saya minta pihak hotel sediakan hand sanitiser yang mencukupi demi amalan kebersihan cuci tangan yang perlu diberikan perhatian.
Balik Sepang dan Kerajaan umum PKP
Semua urusan kat Kelantan selesai dan saya terus ke Airport Kota Bharu sekitar pukul 1.30 petang. Kerisauan terhadap Covid-19 dah mula terasa masa keseorangan melilau sepanjang Airport tu.Orang dah tak berapa ramai. Suasana lenggang saja.
Bila ada beberapa anak gadis comel minta saya tanda tangan kempen pulihara binatang pupus, saya tolak sebab tak mahu banyak buat sentuhan, alasan saya hari itu. Kecantikan anak-anak gadis Kelantan itu tidak cukup untuk membuatkan saya lupa pasal Covid-19 yang semakin panas.
Hampir semua orang dah mula pakai topeng muka. Saya masih mengelak lagi sebab dah banyak kali rujuk kepada maklumat kesihatan, mengatakan topeng muka hanya perlu dipakai oleh mereka yang ada masalah kesihatan.
Untuk elakkan kalau yang dah kena Covid-19 dari jangkitkan pada orag lain pula.
Jadi saya masih tak mahu pakai sebab rimas tak selesa. Saya pakai kacamata. Bila pakai mask, waktu bernafas, wap pernafasan akan masuk ke spek mata tu dan akan kelabukan penglihatan. Sebab itu saya tak suka pakai mask.
Walaupun rasa tak selesa dengan menyentuh merata tempat dah mula terasa, tapi masih tidak berapa tinggi rasa takutnya. Hanya rasa ingin berhati-hati saja.
PKP bermula pada 18 March 2020
Saya akhirnya sampai ke KLIA 2, naik ERL terus ke Stesen B. B. Salak Tinggi, ambil kereta dan terus balik ke rumah kat Sepang. Rehatkan diri tunggu magrib nak buka puasa sunat hari isnin.Selesai buka puasa, saya layan buku dan buka radio sebab tahu ada pengumuman penting oleh PM malam tu.
Dan ternyata Covid-19 dah sampai ke tahap yang perlu dipandang serius. Tepat pukul 10 malam, PM umumkan perlaksanaan PKP berkuat kuasa bermula pada 18 March 2020.
Esoknya adalah 17 March. Saya ada masa sehari saja lagi untuk fikir dan buat persediaan yang patut.
Malam tu juga saya WhatsApp semua staff suruh bersedia untuk mula buat kerja dari rumah saja. Mereka perlu berhubung dengan semua pelanggan dan bincang untuk atur semua kerja yang tertangguh.
Kehidupan sudah tidak seperti biasa lagi
Bermula dari hari itu segalanya sudah mula berubah. Semakin hari, perasaan risau terhadap PKP semakin meningkat. Dari tak suka pakai mask, saya dah sentiasa pakai mask bila keluar. Basuh tangan memang sangat kerap.Setiap kali keluar, pantang ada cecair disinfeksi, saya akan basuh tangan tu. Bila sentuh apa saja barang, akan diikuti oleh basuh tangan takut ada virus melekat pada bungkusan barang tu.
Sebelum itu ada juga perasaan nak percaya kononnya Covid-19 ni hanya satu bala khas untuk negara China. Ada yang war-warkan idea tu saya tengok dalam media sosial. Kononnya balasan sebab China buat honar pada umat Islam di sana.
Ada juga perasaan percaya yang Covid-19 hanya kena pada bukan muslim.
Itu juga ada di war-warkan dalam media sosial. Ada satu ceramah Tabligh saya tengok seorang karkun dengan yakin sebut Coronavirus takut pada orang tabligh. Bagi tau saja di mana ada coronaviru, mereka nak pergi untuk jauhkan virus merbahaya tu.
Ada seorang habib juga nampaknya sangat marah bila orang ramai risau dan takut pada virus itu. Dia serius menggesa agar hanya takut pada Allah.
Semua itu berikan sedikit kepercayaan bahawa orang Islam kebal dari Covid-19. Rasa istimewa. Rasa lega jika benar macam itu.
Kawan ada forward rakaman seorang pendeta Yahudi. Dia juga bagi pesanan yang sama. Tapi khas untuk penganut agama Yahudi. Katanya covid-19 tak serang orang Yahudi, jangan risau. Ada pendeta Hindu yang suap air hikmat pada pengikutnya untuk kebal covid-19.
Mula nampak rupa-rupanya semua agama mula harapkan yang Tuhan buktikan mereka benar dengan berikan kekebalan terhadap covid-19. Bila jadi macam tu, fikiran mula kembali ke dunia nyata.
Ternyata semuanya terang-terang nampak sangat salah. Covid-19 tak pilih bulu. Dia serang siapa saja tak kira bangsa, agama dan jantina serta umur.
Perjalanan rasa tidak lagi selamat
Satu demi satu negara mula tutup semua sempadan mereka. Perjalanan merentas sempadan samada keluar atau masuk sudah tidak dibenarkan lagi. Semuanya hampir terhenti secara total.Sekarang, hampir 90% daripada penduduk dunia tinggal di negara di mana perjalanan merentas sempadan adalah tidak dibenarkan sama sekali. Dan akibat dari itu, industri yang paling teruk kena kesan Covid-19 adalah industri kembara perjalanan dan pelancongan.
Bayangkan semua syarikat yang terlibat dalam industri pengangkutan penerbangan sekarang. Ada seramai 25 juta berada dalam masalah dilema hilang pekerjaan.
Bayangkan juga kepada semua yang terlibat dalam industri kembara dan pelancongan. Semuanya ada dalam 100 juta pekerja di seluruh dunia berada dalam masaah hilang sumber pendapatan.
Semua orang samada berani atau tidak terpaksa akur dengan suasana baru Covid-19. Selagi tak ada vaksin yang terbukti berkesan, selagi itu semua keadaan ini akan terlanjutan. Orang akan sentiasa rasa tidak selamat dalam perjalanan dalam keadaan sekarang.
Golongan asymptomatic yang bahaya
Untuk mereka yang dah dipastikan ada Covid-19 mungkin tak kacau orang sebab mereka tentu sedang dirawat atau kena kuarantin. Tapi masalah paling besar adalah golongan yang kena Covid-19 tapi tidak menunjukkan sebarang gejala.Mereka akan tetap merayau sentuh di sana dan sini sedang virus tu ada pada mereka. Oleh sebab mereka tak ada tunjukkan sebarang gejala, maka tak akan ada siapa yang paksa mereka untuk pergi periksa kesihatan tentukan samada ada Covid-19 atau tidak.
Itulah golongan yang sangat merbahaya. Dan golongan itu ada ramai sebenarnya. Dalam kajian, jumlah itu ada seramai 17.9%. Rujuk kat sini.
Maksudnya dalam 100 orang, akan ada lebih kurang 18 orang yang kita tak tahu mereka ada covid-19 atau tidak melainkan kena buat testing terlebih dahulu. Kalau setakat tengok gejala sahaja, memang mereka akan terlepas.
Mereka akan bebas melilau ke sana sini dan sebarkan virus tu pada orang lain yang berisiko tinggi. Mereka yang punya risiko tinggi untuk teruk kena Covid-19 adalah seperti dalam artikel ini.
Jika semua sempadan dibuka semula, siapa boleh jamin golongan ini tidak akan buat kacau semula pada semua orang lain?
Yakinkan manusia untuk berjalan semula
Sebab itu semua orang sepatutnya rasa tidak selamat dalam sebarang perjalanan yang anda buat walau di mana saja anda berada. Perlu ada satu tindakan yang sangat konkrit untuk atasi semua masalah itu. Untuk yakin semula pada semua orang bahawa perjalanan mereka dapat dijamin selamat.Itu persoalan besar sekarang. Macam mana nak yakinkan orang ramai bahawa perjalanan adalah selamat?
Macam mana nak pastikan boleh masuk ke negara destinasi tanpa masalah. Siapa boleh jamin kalau saya dah diluluskan semua pas perjalanan nak masuk ke UK tapi bila sampai ke Airport sana dah tak boleh masuk? tak ke naya kalau macam tu?
Prosedur dan langkah keselamatan dan kesihatan baru perlu ada di seluruh dunia yang mana sekarang, masih tak wujud lagi. Semua kerajaan dunia perlu duduk dan mula bincang macam mana nak susun semula perkara ini.
Kerajaan perlu mula guna digital identity dan sistem teknologi biometrik untuk bina keyakinan. Untuk itu kerajaan perlu selesaikan kekangan dari sudut keselamatan maklumat peribadi pengguna jika idintiti digital mula di pakai secara meluas.
Paling penting, semua aktiviti wajiblah diubah secara drastik dengan mengadaptasikan konsep 'tanpa sentuhan'. Naik turun hotel tanpa sentuh apa-apa dengan tangan. Check in masuk kenderaan atau airport tanpa perlu sentuh apa-apa.
Untuk semak pengenalan hanya perlu tengok anak mata sahaja umpamanya. Atau alat yang boleh kesan chop ibu jari tanpa perlu sentuh apa-apa. Lalu saja dia boleh baca. Semua tu dah ada sebenarnya. Cuma masih tak guna secara meluas saja.
Kali ini semua terpaksa buat samada bersedia atau tidak nampaknya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !