Sentiasa ukur dan perbaiki kewangan bisnes anda kalau nak selamat
Ada beberapa cara yang anda perlu buat untuk perbaiki kedudukan kewangan bisnes dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar sekarang.
Kenapa saya tulis artikel ni?
Sebab saya pun berniaga dan turut sama rasa goyang dengan melihat keadaan sekeliling.
Bisnes yang saya buat adalah bisnes sokongan. Banyak fokus saya adalah terhadap pelanggan yang terdiri dari entiti perniagaan juga, iaitu B2B dan bukan B2C.
Maksudnya bisnes yang wujud hasil daripada adanya bisnes asas seperti industri pembuatan yang melibatkan makanan dan keperluan asas.
Dalam keadaan ekonomi mencabar, pemilik bisnes asas akan tengok mana kos sokongan yang dia boleh cantas terlebih dahulu. Jadi bisnes sokongan macam saya akan kena kesannya lebih awal.
Bila bisnes tersebut goyang, secara automatik, saya juga akan turut goyang. Kalau mereka potong peruntukan, tempiasnya akan terkena pada bisnes saya juga.
Bila semua bisnes asas dan bisnes sokongan goyang. Ramai pekerja turut sama akan terasa tempiasnya. Mungkin ramai yang hilang sumber pendapatan.
Bisnes yang terhasil dari perbelanjaan orang ramai turut sama akan goyang. Pendek kata, semua orang akan rasa kesan puting beliung gawat dari apa yang sedang berlaku.
Dalam keadaan macam ni, kalau nak terus kekal relevan, wajib perhatikan kedudukan kewangan syarikat.
Berikut apa yang saya rana nak kena buat. Saya yakin anda juga boleh lihat dan cuba buat.
#1. Cantas sebanyak mungkin kos
Cara paling panas nak tingkatkan keuntungan bisnes yang anda sedang jalankan adalah dengan lihat mana-mana kos yang anda boleh cantas terus atau kurangkan.
Anda tentu kata tak payah nak bagi tau la benda semua orang tahu macam ni!
Ya betul!
Semua orang tahu. Tapi benda semua orang tahu ni la yang hampir semua orang tak ambil peduli. Perbelanjaan peribadi anda sendiri pun susah nak kawal. Apatah lagi perbelanjaan bisnes yang ada pekerja lebih dari seorang!
Jadi tak payah lah nak rasa macam tak relevan dengan bisnes anda sekarang. Cuba tengok dengan serius dan jadikan agenda wajib anda ntuk dilaksanakan sepanjang menjalankan bisnes.
Semakin tinggi jumlah transaksi dalam bisnes anda, semakin banyak potensi kebocoran duit akan berlaku.
Buka semua laporan transaksi perbelanjaan anda dari awal tahun lalu hingga sekarang dan semak satu persatu.
Cari mana-mana kos yang anda rasa boleh dicantas. Kalau tak pun, kurangkan. Tanya diri samada perlu atau tidak kos itu ditanggung lagi oleh bisnes anda?
Samada kos itu keluar setiap bulan, setiap 3 bulan atau 3 kali setahun semuanya sama saja. Kos tetap kos. Kalau boleh cantas, terus cantas. Atau mungkin anda perlu bincang semula dengan pembekal atau vendor atau paling akhir, cari pilihan lain yang lebih murah.
Panduan asas yang selalu saya amalkan adalah untuk lihat kos yang saya belanjakan untuk kemudahan pelanggan. Tanya samada pelanggan menghargainya atau tidak?
Kalau pelanggan lansung tak hargai, elok cantas segera Buat apa sibuk bayar duit berikan sesuatu kepada orang sedang mereka lansung tak hargai!
Satu lagi yang anda boleh tengok adalah perbelanjaan syarikat untuk anda sebagai taukeh. Maksudnya perbelanjaan peribadi yang anda Tai Chi kepada syarikat. Boleh cantas atau kurangkan tak?
#2. Refinance atau susun pinjaman
Bisnes atau syarikat anda tu ada berhutang ke tidak?
Kalau ada, ini satu lagi perkara yang anda boleh semak semula untuk kurangkan kos. Pergi bincang semula dengan pihak bank atau agensi pinjaman yang anda buat loan tu.
Boleh jadualkan semula ke tak?
Boleh kurangkan interest dengan ubah skim pinjaman ke tak?
Atau kalau tamatkan loan tu, buat full settlement kena denda ke tak?
Kalau anda jenis tak ambil hutang dari bank tapi selalu guna kad kredit, sila fikiskan semula perangai tu. Pakai kad kredit kosnya sangat tinggi. Bukan disediakan khas untuk peniaga macam anda sebenarnya.
Jika anda baki masih banyak yang tak berbayar, sila bincang untuk ubah kepada pinjaman yang rendah kosnya. Bayar bulan-bulan secara konsisten sampai habis.
Dan sudah tentu! jangan lah pi guna lagi kad kredit tu!
Cari alternatif lain yang lebih murah kosnya.
Jika selama ini anda suka buat loan dari bank dan tak pernah cuba dari agensi kewangan kerajaan.
Ini masanya untuk ubah perangai tu. Pergi panjat semua tangga agensi kerajaan yang ada dan mula buat kawan baik dengan mereka. Bermuka-muka demi kesejahteraan semua orang bukanlah satu amalan yang salah pun!
#3. Percepatkan bayaran
Sila pastikan anda dapatkan bayaran terhadap semua jualan secepat mungkin dan sepanjang masa. Ini khas untuk anda yang berikan kemudahan lambat bayar untuk pelanggan.
Kalau bisnes jenis tunai, selamat!
Lihat semula polisi hutang anda selama ini. Ada polisi ke tak ada?
Kalau memang tak ada, segera duduk ambil pen dan rangka polisi hutang yang perlu anda ambil.
Polisi pertama sudah tentu adalah jangan bagi orang berhutang! Jadikan itu moto bisnes anda dengan kadar segera. Untuk laksanakan olisi itu langkah awal adalah tempah banner dan tulis besar-besar ..
Jika tak boleh nak elak dari berikan terma kredit kepada pelanggan sila buat prosedur yang sesuai.
Kenakan syarat yang bersesuaian seperti pelanggan regular saja dan dengan jumlah yang dihadkan sahaja.
Serius dengan tempoh pembayaran yang anda tetapkan.
Tulis semua syarat itu dan berikan kepada setiap pelanggan untuk mereka baca, faham dan turnkan tandatangan!
Keluarkan inbois dan hantar sebaik saja pembelian ditunaikan. Jangan tunggu hujung bulan baru nak terhegeh-hegeh buat dan hantar inbois.
Masukkan semua terma hutang dalam setiap inbois anda tu.
Jika ada pelanggan yang masih tak bayar setelah berakhir tempohnya, segera hentikan penghantaran selagi dia tak bayar. Jangan takut nanti hilang pelanggan.
Lebih baik hilang pelanggan yang jenis tak reti bayar awal daripada merana bisnes kencang tapi duit tak masuk!
Bersikap serius dan tegas dalam aktiviti kutip hutang. Jangan sesekali terima alasan tak ada duit ketika kutip hutang. Bayar sedikit daripada tak bayar lansung.
Duit tetap duit, samada sikit atau banyak. Ia akan berikan kesan kepada bisnes anda jika setiap pelanggan tak bayar RM50 dan semuanya adalah 1000 pelanggan macam tu!
Untuk pelanggan ang lambat bayar, kenakan deposit terhadap setiap pembelian mereka.
#4. Jangan berikan diskaun
Jika anda selalu berharap nak close deal dengan teknik berikan diskaun, segera tamatkan sikap sedemikian. Cari cara lain untuk close deal!
Dengan keadaan sekarang, kekalkan jumlah staff yang ada dan anda cuba nak tingkatkan jualan dengan berikan diskaun, ertinya anda hanya tambahkan kerja dengan hasil keuntungan yang sama sahaja.
Bukan idea yang bijak untuk buat dua kali ganda jumlah kerja dan hasilnya, untung sama saja.
Kecuali …
Jika anda buat strategi berikan diskaun terhadap satu produk. Dengan berbuat begitu, anda tingkatkan jualan satu lagi produk yang untung keras.
Itu barulah bijak namanya. Diskaun macam itu boleh saja diamalkan.
#5. Naikkan harga
Untuk lakukan idea ini anda terlebih dahulu perlu percaya bahawa orang buat keputusan untuk membeli bukan sebab harganya murah.
Orang setuju dengan apa saja harga yang ditawarkan seandainya dia faham faedah yang dia perolehi hasil dari jumlah duit yang dia berikan.
Oleh itu, mantapkan komunikasi dalam aktiviti menjual anda. Biar semua orang faham samada peringkat nenek mahu pun budak sekolah rendah. Jika anda mampu buat begitu, semua orang diantara 2 peringkat itu pasti akan faham jua.
Asas untuk naikkan harga adalah dengan perhatikan bagaimana pesaing anda letakkan harga. Jika servis dan kualiti produk anda sama saja dengan mereka, sila pastikan harga anda juga adalah sama atau lebih tinggi sedikit. Kurang dari mereka adalah tidak bijak.
Rangka produk super premium untuk pelanggan sasaran anda. Memang ada pelanggan yang suka pilih produk macam itu sebab mereka banyak duit dan tak kisah untuk dapatkan super premium punya produk.
Peringatan!
Jangan fikir nak naikkan harga terhadap semua produk atau servis yang anda tawarkan. Memang ‘pelanggan setia’ akan marah dan rasa tidak dihargai.
Pilih beberapa produk dan ubah pakej tawarannya supaya nampak jadi satu produk baru lain yang istimewa. Buat satu persatu sehingga akhirnya anda ubah kesemua produk yang ada selama ini dalam bisnes anda.
Perbaiki tahap kewangan bisnes anda
Saya dah kongsikan 5 cara yang anda boleh buat segera untuk perbaiki tahap kewangan bisnes yang anda lakukan sekarang.
Setakat ni, itu saja yang sempat saya fikirkan. nanti kalau anda idea lain, saya akan tulis lagi.
Saya yakin dengan 5 cara itu sahaja, perubahan insyaallah akan berlaku. Tahap kewangan bisnes anda insyaallah akan berubah dengan menjadi lebih baik secara pantas dan kemas.
Saya doakan bisnes anda berjalan lancar dan selamat serta menguntungkan. Juga semoga bisnes anda bertambah makmur sehingga semua cubaan ini kembali tenang.
Sila doakan juga bisnes saya berjaya. Terima kasih saya dahulukan atas doan anda dan jangan lupa kongsikan artikel ini pada kawan-kawan bisnes yang anda kenal.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !