Bila cakap pasal bergerak selepas selesai makan ni, teringat masa zaman kanak-kanak kat kampung dulu. Orang tua pantang sangat bila nampak anak-anak baringkan diri atau tidur selepas selesai makan.
Terus saja dia akan tegur ..
"Hissssh! bangun, tak baik baring selepas makan!"
Itulah ayat yang saya akan dengar setiap kali ada cubaan nak baringkan diri selepas selesai makan. Bila kerap sangat kena tegur, tapi masih tak masuk dalam kepala, mulalah kena marah pulak. Larangan lebih keras akan keluar dari mulut mak.
Tegursn demi teguran sejak kanak-kanak tu membuatkan tabiat tak baringkan diri selepas selesai makan melekat terus dalam diri. Memang tak akan buat macam tu. Paling lekeh kalau letih sangat, hanya duduk saja bersandar pada kerusi atau sofa.
Kalau ikutkan orang tua, dia akan suruh bangun jalan-jalan sedikit selepas selesai makan. Bagus untuk kesihatan dan penghadaman makanan tu katanya.
Memang ada kawan-kawan kampung yang melekat amalan berjalan kaki selepas selesai makan.
Kat kampung boleh buat macam tu sebab semua rumah ada halaman yang luas di sekelilingnya. Pokok buah-buahan ada banyak sekeliling rumah. Waktu tengahari pun masih redut terlindung dari panas matahari.
Jadi ada kawan-kawan jadikan amalan meronda perlahan dipersekitaran rumah sambil tengok tumbuhan dan pokok kayu yang ada. Semua kawan-kawan yang amalkan perangai jalan kaki selepas makan nampak sentiasa slim dari kecik sampai dewasa.
Apa kelebihan jalan kaki selepas makan
Secara umumnya, bersenam seperti jalan kaki memang sangat baik untuk manusia. Itu ramai dah tahu.
Untuk jawab samada bagus atau tidak bagus jalan kaki selepas selesai makan, jawapannya adalah bagus. Saya cari dan semak dengan maklumat yang ada, menunjukkan ianya adalah satu amalan kesihatan yang digalakkan. malah jadi macam satu trend la pulak sekarang di kalangan mereka yang kemaruk nak amalkan kehidupan yang sihat.
Berikut saya kongsikan beberapa manfaat yang ada jika anda amalkan berjalan kaki selepas selesai makan.
- Perbaiki proses penghadaman makanan - aktiviti jalan kaki selepas makan akan bantu usus dan perut gerakkan perjalanan makanan yang masuk ke dalam dan seterusnya mencernakan makanan tersebut. Rujuk maklumat kat sini dan kat sini
- Perbaiki tahap kandungan gula dalam darah - Kajian menunjukkan pesakit kencing manis yang jalan kaki 10 minit setiap kali lepas makan adalah lebih bagus dari jalan kaki 30 minit dalam waktu selain dari itu. Jalan kaki akan kawal masalah peningkatan tahap gula secara mendadak dalam darah membuatkan jumlah insulin yang diperlukan adalah kurang dari biasa.
- Kurangkan risiko masalah jantung - Panduan kesihatan asas adalah untuk bersenam seperti jalan kaki dalam tempoh 30 minit sehari. Kalau anda jalan kaki 10 minit setiap kali lepas makan, kalau anda makan 3 kali sehari, ertinya dah cukup 30 minit yang dianjurkan tu. Bersenam secara rutin akan bantu kawal tekanan darah dan turunkan tahap kolestrol jahat (LDL) dan seterusnya kurangkan risiko masalah jantung.
- Kurangkan berat badan - Secara umum bersenam akan tingkatkan penggunaan kalori. Rahsia nak kurangkan berat badan adalah dengan pastikan jumlah kalori yang masuk adalah lebih rendah daripada yang dibakar dalam badan. Jadi dengan bersenam, mampu capai matlamat tersebut. Namun secara terperinci kesan jalan kaki selepas makan terhadap pengurangan berat badan perlukan kajian dan maklumat yang lebih banyak.
- Bantu stabilkan tekanan darah - Kajian menunjukkan aktiviti kerap jalan kaki 10 minit dalam tempoh masa yang berbeza adalah lebih baik untuk kawal tekanan darah, daripada bersenam secara berterusan dalam tempoh yang lebih lama. Jadi jalan kaki setiap kali selepas makan mencapai maksud tersebut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !