Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

16 October 2020

Mencari ketenangan dalam kehidupan - Artikel sumbangan Azad Jasmi

  Ano Nyme       16 October 2020

Saya ingin berkongsi berberapa dapatan dari pembacaan dan ini merupakan satu ilmu yang saya rasa baik untuk dikongsikan.

Bagi yang sudah fasih dan arif, anggaplah ini sebagai satu ulangan namun bagi yang belum tahu, semoga cebisan ini dapat berikan sedikit kebaikan buat anda insyaAllah.

Dalam meniti kehidupan di dunia yang penuh dengan warna, dugaan serta cabaran ini, kadang-kadang mungkin kita terlupa untuk mencari ketenangan diri.

Mesti ramai di antara kita yang pernah merasa hati bagaikan tidak tenteram.

Tekanan di tempat kerja, cabaran kehidupan dalam perhubungan serta persekitaran sekeliling mampu memberi impak kepada ketidak tenteraman hati.

Benar tiada kehidupan yang sempurna kerana lumrah manusia pasti ada compang-campingnya dalam menjalani kehidupan.

Namun apa yang kita perlukan dalam kehidupan adalah keseimbangan hidup.

Bagaimana Mengejar Kebahagiaan Dalam Kehidupan?

Nabi Muhamad SAW dikelaskan sebagai inidvidu yang sentiasa optimistik dan gembira.

Adakah Nabi tidak pernah bersedih?

Tidak.

Banyak kejadian yang menyedihkan Nabi. Kehilangan Siti Khadijah dan orang-orang yang dicintai baginda banyak membuat Rasulullah berasa pilu.

Banyak perkara yang terjadi dalam hidup ini, pada awalnya kita mengganggap pahit, getir, mahupun menyakitkan. Tetapi, pada kemudian hari kita mensyukurinya.

Pasti ada hikmah yang akan menyusul.

Pengalaman hidup akan mengajarkan erti kebahagian yang sebenar

“People never learn anything by being told, they have to find out for themselves.” - Paulo Coelho

Dalam kehidupan ini, perkara yang tak terjangka boleh berlaku bila-bila masa. Sekelip mata kita akan mengalami kehilangan.

Mengejar kebahagiaan adalah berkenaan mengenai mencari makna dalam kehidupan. Mengejar kebahagiaan adalah tidak sama rasa gembira.

Perasaaan gembira hanyalah perasaan yang sementara, yang bergantung kepada keadaan dan waktu sekeliling ketika itu.

Rasa gembira memang menyenangkan dan melegakan, tetapi dengan perasaan ini akan pudar dengan berlalunya masa. Inilah perkara yang kita jarang untuk faham pada mulanya.

Sebagai orang Islam kita percaya kepada dua jenis kebahagiaan, iaitu kebahagiaan yang dalam Syurga dan kebahagiaan di dunia ini.

Syurga adalah kebahagiaan yang kekal abadi, dimana di sana tiada ketakutan dan penyesalan. InsyaAllah setiap apa yang kita buat harus diniatkan dan ditumpukan kearah tersebut, mencari keredhaan Allah dan SyurgaNya.

Tetapi adakah ia bermakna kita tidak perlu mengutamakan kebahagiaan di dunia ini? 

Tidak.

Allah juga mahukan kita bahagia di dunia ini. Mengejar kebahagiaan, adalah perkara yang dilakukan sepanjang hayat.

Ia sukar untuk difahami dan tidak bergantung kepada matlamat tertentu. Apa yang betul-betul dicari adalah sesuatu yang boleh memberi makna dalam kehidupan kita.

“Living a meaningful life.”

Ia selalunya bermula dengan mengapa.

Mengapa kita buat sesuatu perkara itu dalam hidup kita?

Kebahagiaan lebih senang datang apabila kita tahu apa yang sedang kita lakukan, percaya dengan apa yang kita buat, dan suka  apa yang kita buat (dan dengan siapa kita melakukan perkara itu).

Hidup kita mungkin ada turun dan naik, tetapi apabila kita faham setiap pelajaran dan hikmah yang terjadi disepanjang kehidupan kita adalah lebih baik daripada kita hidup untuk sekadar hidup selama berpuluh-puluh tahun.

Ketahuilah bahawa dunia kita adalah dalam minda. Oleh sebab itu, apabila kita sentiasa berpandangan baik terhadap orang lain, maka dengan sendirinya kita akan menjadi seorang yang positif. Maka lahirlah generasi khalifah yang beriman dan bertakwa kepada Allah sekali gus memakmurkan dunia ini dengan mengikut kehendak-Nya.

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram. (Surah Ar-Ra'd [013], ayat 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah SWT.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya.

Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. 

Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar.

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah SWT. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran pencipta-Nya. 

Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Taala. 

Firman Allah SWT yang bermaksud,

Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa. (Surah Yunus [010]: 6)

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. 

Ada orang suka memancing dan usah kata kenapa tunggu ikan berjam-jam sedangkan boleh beli di pasar. Itu cara dia gembira dan cari ketenangan.

Ada orang suka tengok bola dan usah kata kenapa ada 22 orang kejar satu boleh.

Ada orang suka ambil gambar burung dan tunggu berhari-hari dan usah kata kenapa tak pergi muat turun gambar dari Google. Itu minat dia.

Ada orang suka berlumba kereta dan usah kata kena berjam-jam pusing trek yang sama. Itu minat dia.

Ada orang suka kayuh basikal beratus kilometer dan usah kata kenapa tak anbil kereta, itu minat dia.

Ini sekadar contoh. Tuhan jadikan manusia mempunya minat, cara dan kehendak masing-masing. Usah komen dan remehkan kehendak mereka. Inilah kemajmukan hidup manusia. Selagi tidak melanggar hukum Allah, insyAllah teruskan.

Firman Allah SWT yang tafsirnya,

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. (Surah Az-Zumar [039], ayat 23)

Semoga garapan ilmu dan pembacaan terkumpul ini dapat saya kongsikan bersama dengan niat untuk sedikit manfaat buat pembaca insyaAllah.

Yang baik pasti dari Allah dan buruk itu dari saya.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Mencari ketenangan dalam kehidupan - Artikel sumbangan Azad Jasmi

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !