Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

09 December 2020

Panduan persediaan menghadapi temuduga untuk anda yang sedang giat mencari peluang pekerjaan

  Ano Nyme       09 December 2020


Bagi anda yang belum pernah kerja dan sedang cari kerja sekarang, temuduga adalah pengalaman yang sangat menyeramkan. Bayangan suasana ketika temuduga sahaja dan mampu membuatkan anda rasa tak sanggup hadapinya.

Bagi yang dah pernah kerja dan pernah hadapi saat-saat temuduga mungkin dah tak berapa nak rasa risau sangat sebab dah ada gambaran bagaimana temuduga berlaku. Tapi masih tetap ada rasa gementar untuk berhadapan dengan sesi temuduga.

Jadi saya kongsikan artikel berkenaan temuduga ini hasl dari artikel sumbangan penulis jemputan yang dah banyak sumbangkan artikel di blog ini.

Tips temuduga ini kalau bagi yang dah ada pengalaman kerja, tak perlu sebab ini hanyalah maklumat asas yang mungkin anda tak perlukan. Tapi bolehlah anda berikan kepada saudara, kenalan atau graduan yang sedang mencari kerja.

Jom ikuti perkongsiannya ..

-----------------------------------

Apabila selesai taklimat  sesi "Corporate Grooming & Interview Tips" dengan peserta, saya terpanggil untuk berkongsi sedikit info.

Rakyat Malaysia memang biasa bertindak sebegini, mereka jarang bertanya didalam kelas tetapi akan mula aktif bertanya selepas tamat kelas. Jadi selepas kelas sahaja baru mereka datang bertanya.

Jadi saya rasa elok saya berkongsi secara ringkas tentang tips temuduga, tetapi saya ingin garapkan berberapa isu ringkas sahaja. Selain tu anda boleh menggunakan Google atau membaca dari pelbagai buku.

Untuk yang baru mula nak cari kerja

Apabila kita dipanggil untuk sesi temuduga, panel sudah memilih dan melihat resume anda. Jadi apabila anda melangkah ke bilik temuduga samada untuk mendapatkan pekerjaan baru, atau memohon sebarang permohonan, anda tidak perlu memfokuskan untuk mengulang semula apa yang anda tulis di dalam resume anda.

Tujuan anda dipanggil ialah untuk panel mengenali sikap anda, cara pertuturan anda, melihat emosi anda serta juga panel akan mengajukan soalan-soalan simulasi sesuatu situasi untuk melihat sejauh manakah anda mampu mengolah atau memantau atau menguasai sesuatu keadaan. 

Ini kerana apabila anda bekerja atau menjalankan sesuatu projek atau tugasan, anda perlu menghalusi semua faktor berdasarkan keadaan semasa dan bukan lah teori semata-mata (bagj pelajar yang baru bergraduat dan tiada pengalaman). 

Untuk yang dah ada pengalaman kerja

Bagi golongan yang sudah bekerja dan dipanggil untuk sesi temuduga, apa yang perlu diceritakan bukanlah berapa lama pengalaman anda dan masalah anda dengan majikan anda. 

Para panel ingin mengetahui tentang "accomplishments" atau kejayaan anda menjalankan projek atau keberkesanan wujudkan anda di syarikat terdahulu. Lebih ceritakan pengalaman yang anda dapati dan sumbangan anda terhadap syarikat anda serta apakah yang mampu anda berikan untuk syarikat yang anda pohon. 

Anda juga dinasihatkan membuat kajian syarikat yang dipohon dengan melihat visi, misi, aktiviti lepas dan semasa serta membuat persediaan dengan cadangan yang baik dari anda berdasarkan kajian yang anda telah lakukan. Ini akan menunjukkan anda begitu perihatin dan mengambil serius jawatan yang anda pohon.

Ahli panel ingin mengetahui sejauh manakah anda mampu menggunakan kekuatan dan skil anda untuk jawatan yang dipohon. Perlu perlihatkan kebijaksanaan memberikan perkara yang boleh meningkatkan prestasi syarikat dengan idea serta hujah anda yang berkesan.

Jangan sesekali menceritakan keburukan tempat kerja lama kerana ahli panel akan berpendapat bahawa jika anda mampu menceritakan tentang keburukan majikan sedia ada atau majikan lama, maka anda juga bakal berbuat demikian kepada mereka kelak dan ini menjelaskan bahawa anda bersikap negatif.

Waspada perangkap temuduga

Ada sesetengah syarikat akan memanggil anda untuk sesi temuduga pada pukul 9 pagi tetapi mereka sengaja lewatkan sehingga 1 atau 2 atau 3 jam. Taktik ini ada digunakan demi melihat sejauh manakah anda bersabar kerana di dalam dunia pekerjaan sebenar masa dan keadan tidak dapat dipastikan dan kadangkala anda akan memaksa menunggu.

Selain itu ada syarikat yang memberikan borang yang tebal untuk anda isi dan jangan sesekali menulis ruang jawapan anda dengan perkataan "Seperti dalam resume". Syarikat berbuat demikian kerana ingin melihat kesabaran anda, corak tulisan anda serta gaya bahasa anda.

Terdapat ramai yang gagal mendapat pekerjaan bukan kerana mereka gagal dari segi penyediaan resume dan pengalaman yang sedikit, tetapi gagal ketika ujian temuduga kerana sikap tidak bertolak ansur, tidak dapat memberijan hujah yang baik bila ditanya perihal keadaan semasa serta hanya memfokuskan bidang anda semata-mata.

Contohnya anda dipanggil interview untuk jawatan Pengurus dan bila sahaja anda melangkah masuk ke bilik temuduga, ada dua soalan dari panel. 

Yang pertama bertanya, apakah pandangan anda tentang keadaan politik negara?

Jangan sesekali bersikap berat sebelah dan bersikap neutral. Jangan membawa masuk ideologi politik ke dalam bilik temuduga. Jangan sesekali memgutuk mana-mana pemimpin, samada kerajaan atau pembangkang. Bersikap rasional dan neutral.

Soalan kedua mungkin bertanya anda tentang "Apakah pandangan anda tentang kes Covid 19?”

Kadang kala anda memohon jawatan Pengurus Pemasaran atau Pengurus IT tetapi soalan sengaja ditanya untuk melihat sejauh manakah anda mengambil tahu soal semasa. Ini kerana di dalam apa-apa perniagaan pun, syarikat perlu mempunyai pekerja yang sentiasa membaca berita terkini.

Jadi sentiasa lengkapkan diri dengan isu semasa didalam industri anda serta juga berita semasa yang lain.

10 soalan lazim ketika temuduga

Saya ingin berikan 10 Contoh Soalan Lazim yang sering di tanya.

#1. Ceritakan Serba Sedikit Tentang Diri Anda

Soalan ini amat penting kerana ia merupakan ‘first impression’ bakal majikan tentang anda. Seeloknya, ceritakan tentang diri anda secara ringkas dan tak perlu ceritakan semula semua perkara yang anda dah tuliskan dalam resume. Janganlah pergi baca alamat rumah atau senaraikan nama sekolah dari darjah 1 sampai universiti semua. Panel tak ada masa nak dengar semua maklumat ni.

Jadi, antara yang panel nak dengar adalah:

  • Pencapaian 
  • Bakat istimewa
  • Keunikan anda

Kaitkan ketiga-tiga perkara ini dengan kriteria yang diinginkan dalam peranan jawatan tersebut contohnya pengalaman anda yang banyak dalam bidang itu atau projek-projek menarik yang anda pernah terlibat sebelum ini.

#2. Kenapa Nak Bekerja Di Sini?

Walaupun nampak ‘simple’, tapi sebenarnya soalan ini agak ‘tricky’. Ia boleh dikatakan antara yang paling mencabar. Jawapan anda mencerminkan pengetahuan anda tentang jawatan yang ditawarkan atau syarikat yang dimohon.

Jadi, kena ambil tahu juga serba sedikit tentang postyang dimohon dan skop kerja yang dijangkakan. Kalau tahu tentang syarikat pun lebih baik, terutamanya jika ia sebuah syarikat besar.

#3. Peranan Di Tempat Kerja Dahulu

Bagi yang pernah bekerja di tempat lain sebelum ini, huraikan tanggungjawab anda dalam jawatan yang lalu dan secara spesifik dan positif. Cuba kaitkannya dengan jawatan yang dimohon sekarang. Dengan cara ini, para panel dapat menilai pengalaman serta kematangan anda. Ia juga akan membuatkan bakal majikan faham setakat mana pendedahan anda terhadap bidang kerja yang telah diceburi.

Kalau ada sesuatu yang penting dan belum anda kuasai, yakinkan mereka bahawa anda bersedia untuk mempelajarinya. Jangan pula pandai-pandai menambah dan mereka cerita sebab nanti kalau diambil kerja tapi tak tahu buat apa yang dikatakan masa temuduga.

#4. Apa Yang Dilakukan Semasa Tidak Bekerja atau Menganggur

Ada yang menganggur sampai berbulan-bulan lamanya dan inilah temuduga pertama yang anda berjaya dapat. Tak mengapa sebab rezeki masing-masing. Cuma jangan biarkan bakal majikan menganggap anda  membuang masa selama tempoh itu.

Anda juga boleh beri alasan yang anda memanfaatkan masa tersebut dengan melakukan aktiviti yang sudah lama anda inginkan seperti travel, tolong urus mak ayah, kerja part time atau melibatkan diri dengan kerja-kerja amal.

#5. Apakah Kelebihan Anda Jika Diberi Jawatan Ini

Soalan ini adalah antara yang kerap ditanya. Panel sebenarnya dah tahu latarbelakang setiap calon berdasarkan resume. Cuma mereka nak uji sama ada anda benar-benar bersungguh-sungguh dan punya ‘sesuatu’ untuk dibuktikan berbanding calon-calon lain.

Maka sekiranya kurang pengalaman, tak perlu ‘gebang’ macam-macam. Cukup dengan meyakinkan panel bahawa anda mahu belajar dan melakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang memegang jawatan tersebut.

#6. Expected Salary

Panel penemu duga biasanya mengharapkan calon temuduga untuk meletakkan nilai gaji walaupun inilah kali pertama anda bekerja. Boleh research dan tengok gaji semasa bagi jawatan yang dipohon. Gaji juga bergantung pada lokasi pejabat.

#7. Cara Menangani Stres

Kadang-kadang majikan nak tahu juga kebolehan seseorang untuk bekerja dalam keadaan yang tertekan atau stres.

#8. Contoh Situasi Kerja Mencabar Dan Cara Menanganinya

Tiada betul atau salah bagi soalan seperti ini. Soalan ini adalah untuk para penemu duga menguji cara anda berhadapan dengan situasi sukar. Ia juga dapat menjelaskan sedikit sebanyak tentang cara anda bertindak dalam keadaan kritikal jika diambil bekerja pada masa hadapan.

Berikan contoh kukuh tentang situasi yang anda pernah hadapi serta cara anda tangani masalah tersebut. Pastikan jawapan tersebut memberikan impak positif kepada diri.

#9. Kenapa Nak Berpindah 

Tempat Kerja (Bagj yang dah pernah kerja dan bagi graduan mungkin tidak relevan)

Soalan ini juga kerap ditanya dan perlu dijawab secara profesional. Jika anda berhenti kerja dahulu atas keinginan sendiri, dipecat mahupun diberhentikan, berikan jawapan yang jujur, namun tukarkan kenyataan supaya ia tidak menunjukkan sebarang ‘dendam’ atau aura negatif.

#10. Perancangan Masa Hadapan

Panel biasanya nak tengok juga sama ada anda punya perancangan masa depan lebih besar yang ingin dicapai dalam bidang kerja.  Jadi cuba kaitkan matlamat masa depan yang dirancang dengan syarikat tersebut. Contohnya anda ingin menduduki peperiksaan profesional atau terlibat dengan projek mega.

Ini menunjukkan bahawa anda berminat untuk membina karier dan mahu berkhidmat lama di syarikat tersebut.

Selamat mencuba bagi graduan yang ingin ke sesi temuduga atau anda yang berkenaan. Semoga ada manfaat bersama dan jika rasa sesuai boleh kongsikan dengan kenalan anda.

Terima kasih.

Artikel berkenaan 'Tips Temuduga' ini adalah hasil dari sumbangan En Azad Jasmi yang dikirim pada 8 Dis 2020

———————————————

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Panduan persediaan menghadapi temuduga untuk anda yang sedang giat mencari peluang pekerjaan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !