Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

06 December 2020

Sebesar manapun cabarannya, bersabarlah dan terus berusaha kerana hidup adalah ujian yang berterusan

  Ano Nyme       06 December 2020


Setiap hamba Allah yang hidup di muka bumi pasti berhadapan dengan pelbagai dugaan dan rintangan. Ujian yang diturunkan oleh Allah pasti berbeza, tetapi atas sebab yang sama. 

Di saat kesedihan dan hampa dalam menempuhi dugaan itu, sudah pasti kita hampir tewas dan tertanya dengan kesal, mengapa ujian berat itu diturunkan kepada kita?

Bahkan mengapa ujian tersebut begitu berat sekali? Allah SWT mempunyai alasan tersendiri dalam merencanakan hal yang terbaik untuk setiap umatnya. 

Tidaklah Allah jadikan sesuatu kejadian itu dengan sia-sia tanpa apa-apa rahsia tersendiri, hatta hikmah sehelai daun buruk yang luruh dari pohon yang telah mati.

Kadang-kadang kita lupa, Allah sebenarnya rindu kepada rintihan hambanya yang mungkin sudah lama melupaiNya.

Bahkan alpa untuk mengadu masalah dan tempat kita bergantung segala.

“Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang-orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Dalam ayat itu, Allah SWT merakamkan adakah manusia itu menganggap diri mereka orang Islam dan beriman kepada-Nya, namun tidak diuji. Padahal, Allah turut menguji umat-umat terdahulu.

Sebagai hamba Allah yang lagi tidak berupaya, wajar diambil ujian itu dengan hikmah walau sesulit manapun ia.

Allah SWT menjadikan dua perkara kepada manusia dalam hidup ini untuk merapatkan diri kepada-Nya iaitu ujian dan hajat.

Ujian kadang-kadang membolehkan seseorang itu dapat bangun menunaikan solat malam dan berdoa sehingga menitiskan air mata.

Begitu juga dengan hajat, apabila seseorang itu mempunyai harapan dia pasti akan memohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Sebab itu, amat malang sekali bagi manusia apabila ditimpa ujian dan berhajatkan sesuatu, dia semakin jauh daripada Allah SWT.

Contohnya, seorang itu diuji dengan masalah keluarga atau di tempat kerja, namun dia tidak pula menjalankan kewajipannya menunaikan solat sebagai tanda pengabdian dan memohon pertolongan Yang Maha Esa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Setiap ujian yang ditimpakan ke atas manusia itu menyempitkan hati mereka. 

Misalnya, dalam hidup ini ada manusia yang diuji dengan kekurangan harta benda dan wang untuk menyara diri dan keluarga yang sentiasa tidak cukup.

Ada juga diuji sebaliknya iaitu mereka hidup dalam keadaan mewah dan banyak harta tetapi diuji pula dengan kesihatan yang memudaratkan.

Selain itu, ada juga manusia diuji di dunia ini dengan fitnah serta dia dianiaya orang.

Sebab itu, jangan sesekali bandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain kerana nanti kita tidak akan temui kebahagiaan dalam hidup ini.

Walau sebesar mana sekalipun ujian dan masalah yang dihadapi, Allah SWT pasti akan memberi jalan keluar kepada hamba-hamba-Nya dengan syarat mereka benar-benar bertakwa.

Firman Allah yang bermaksud: 

“Kalau kita beriman kepada Allah SWT, maka Allah beri dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaaq, ayat 3)

Tujuan Allah SWT menguji setiap hamba-Nya adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya kerana manusia itu sangat lemah sifatnya.

Sekiranya ada dalam kalangan kita yang berjaya pada hari ini, jangan riyak atau sombong kerana di hadapan Allah, kita tetap hamba-Nya. Manusia juga diuji kerana Allah mahu gantikan perkara yang lebih baik buat mereka yang sabar menghadapinya.

Selain itu, Allah SWT menimpakan ujian buat manusia kerana ingin memberikan pahala.

Banyak pahala yang boleh diperoleh antaranya pahala bersikap sabar dan bersangka baik terhadap Allah.

Mungkin seorang itu kurang pahala dari sudut ibadat, namun Allah SWT mendatangkan pahala daripada jalan bukan ibadat.

Firman Allah dalam surah Az- Zumar, ayat 49 yang bermaksud: 

“Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya): Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah dia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).”

Pada keadaan inilah kita seringkali tewas. Tewas dengan hasutan hawa nafsu dan godaan kesenangan dunia sehingga membuatkan kita lupa dan jauh daripada Dia, seperti yang diterangkan dalam ayat al-Quran di atas.

Sedangkan kita perlu ingat bahawa Allah S.W.T. akan sentiasa menguji hamba-hambaNya untuk melihat sejauh mana keteguhan iman kita.

Disebabkan itulah, ramai daripada kita yang tewas, sombong dengan Allah, kufur dengan nikmat, sehingga menjadi jauh daripadaNya.

Dan sesungguhnya, jika kita ialah orang yang sedemikian, maka kita terdiri dalam kalangan hamba-hambaNya yang rugi.

Jadi, bagaimana untuk memastikan bahawa kita tidak termasuk dalam golongan sedemikian?

Jawapannya, adalah kita hendaklah sentiasa bersabar dan bersyukur dengan setiap ujian, menjaga solat dan memelihara hati daripada perasaan-perasaan yang tidak elok.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 45 yang bermaksud:

“Carilah pertolongan kamu daripada sabar dan solat. Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang khusyuk.” 

Justeru itu, janganlah sesekali kita menganggap ujian itu sebagai satu bentuk seksaan, hukuman mahupun ganjaran yang akan berkekalan.

Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W. dan para anbiya’ yang lain pun diuji dengan pelbagai ujian yang lebih dahsyat, apalah sangat ujian yang menimpa kita, sebagai insan biasa ini.

Jadi, selepas ini, jika kita diuji dengan nikmat atau kesusahan, teruskan bersabar, jaga hubungan kita dengan Allah dan pelihara hati dan jiwa daripada melakukan sesuatu yang menjejaskan keimanan kita.

Semoga semua pembaca terdiri daripada golongan hamba-hambaNya yang bertaqwa dan bersabar.

Saya pohon maaf andai ada kesalahan dari saya dan yang baik itu dari Allah pastinya. Semoga ada manfaat buat semua insyaAllah.

Artikel sumbangan saudara Azad Jasmi l 3 Nov 2020

———————————-

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Sebesar manapun cabarannya, bersabarlah dan terus berusaha kerana hidup adalah ujian yang berterusan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !