Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

27 January 2021

Bagaimana anak anda jalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan tahun 2021

  Ano Nyme       27 January 2021


 "Ayah!, tolong print semua gambar ni ya! Nak pakai untuk buat kerja sekolah"

Itu mesej yang saya terima minggu lepas dari anak yang baru masuk darjah 4 tahun ni. Dia antara pelajar sekolah di seluruh negara yang memulakan sesi persekolahan tahun 2021 dalam keadaan negara masih hadapi masalah wabak Covid-19.

Mesej itu juga jadi pencetus timbulnya perasaan nak tahu lebih lanjut berkenaan PdPR yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan di seluruh negara.

Selama ini, ibu mereka yang 100% uruskan bab persekolahan dan pembelajaran anak-anak. Saya sekadar bantu dari jauh untuk semua urusan berkenaan kewangan, pembelian bahan pembelajaran dan persekolahan.

Bila masuk bab nak kena cetak semua bahan pembelajaran, saya akan uruskan semua itu. Anak atau ibu mereka sendiri yang akan wasap semua bahan yang perlu dicetak untuk saya bawa balik ke rumah bila siap nanti.

Selama ini, itu sajalah yang saya bantu. Bagi tahu apa yang tak cukup, saya akan sediakan. bab nak pantau dan disiplinkan anak-anak, ibu mereka lebih cekap dan sesuai.

Bukan saya tak mahu ambil tugasan tu. Tapi saya jenis yang tak detail dan tak cerewet. Jadi jangkaan saya terhadap prestasi anak-anak adalah tidak demanding sangat. Bila ibunya yang lebih cerewet buat kerja pantau tu, dengan keupayaan mulutnya yang ringan bersyarah, ianya sangat sesuai untuk kerja betulkan disiplin anak-anak.

Kalau tak jalan dengan leteran, cukup sekadar ibu mereka gertak nanti nak beritahu ayah. Maka segeralah anak-anak akan ikut. Itu sekadar gertakan saja. Sikap jarang menegur itu membuatkan anak-anak cuba mengelak dari berhadapan dengan ayah mereka.

Saya rasa itu jalan terbaik untuk adakan level keseriusan supaya lebih mudah mengawal disiplin anak-anak.

Perkara serius jika perlu saya masuk campur biasanya akan dijalankan secara semuka antara anak dengan saya. Selalunya saya hanya buat sesi penyiasatan. Tanya dan korek sedalam mungkin satu persatu apa yang terjadi pada anak-anak saya.

Dengan bertanya semua soalan penyiasatan itu saja mereka terpaksa fikir panjang untuk jawab. Kalau berlaku jujur, lebih mudah jawab. kalau cuba selindung sesuatu, memang susah nak jawab soalan supaya seiring. Biarlah mereka perah otak untuk muhasabah diri sendiri masa sesi saya bertanya tu.

Tak pernahpun menghukum. Sesi soal jawab tanya itu saja dah cukup untuk saya betulkan keadaan. Fokus saya biasanya hanya untuk faham apa yang sebenarnya berlaku. Apa punca dan apa yang tak kena untuk pemahaman saya saja. Bukan nak cari siapa salah. Juga nak faham pemikiran anak saya sendiri.

Mana yang lemah dan perlu dibaiki, saya akan lakukan sebaik mungkin. Mana yang perlu ditegur, saya berikan pendapat dan cadangan untuk hadapinya.

Macam itulah amalan kami sekeluarga selama ini. Setakat ni tak ada masalah besar yang berlaku.

Sesi persekolahan belajar dari rumah

Berbalik kepada wasap kat atas tadi.

Apa yang membuatkan saya mula ambil tahu dan buat pencarian untuk fahami keadaan adalah dokumen yang perlu saya cetak itu agak pelik.

Saya dapati, cikgu berikan gambar yang dia snap menggunakan telefon pintarnya, imej yang tertera pada skrin komputer.

Timbul soalan kenapa cikgu tak berikan saja pautan web gambar yang perlu dicetak tersebut. Elok lah sikit dokumen yang akan saya cetak nanti.

Lalu saya suruh ibu mereka minta cikgu berikan saja linknya untuk saya buka dan cetak terus dari komputer.

Malangnya cikgu tak layan sampai ke sudah.

Saya akur dan cetak saja imej blur yang cikgu snap dari skrin komputer itu.

Saya mula syak yang cikgu mungkin tak reti buat kerja yang lebih mudah dan berkesan dalam menggunakan teknologi IT yang ada sekarang.

Timbul pertanyaan samada latihan dan panduan terperinci diberikan oleh sekolah untuk para cikgu berfungsi dengan lebih cekap dalam penggunaan teknologi.

Untuk tahu lebih lanjut, saya mula tanya kawan-kawan dari kalangan para cikgu dan kawan-kawan yang kenal para cikgu. Saya dapat tahu maklumat yang sedikit menyedihkan. Ramai juga cikgu yang hampir buta IT.

Pengunaan zoom, google meet dan lain-lain seumpamanya adalah sangat asas. Malah ada yang lansung tak ambil tahu.

Mungkin kalau diluar bandar yang majoriti pelajar tiada akses internet masih boleh diterima. Teknik PdPR di sana adalah lebih sesuai dengan pendekatan lain selain dari teknologi. Tapi kalau dibandar, saya rasa ianya diperlukan.

Atau mungkin saya salah?

Bandar juga punya keluarga yang tiada kemampuan sekalipun untuk adakan telefon pintar. Jadi para cikgu terpaksa fikirkan cara yang sesuai untuk semua. 

Tapi adakah para cikgu membuat survey terlebih dahulu pada awal sesi persekolahan. Atau paling tidak sebaik saja kerajaan arahkan penutupan sekolah pada 16 Januari 2021 lalu bila kes covid naik semula.

Jurang komunikasi antara ibubapa dan guru

Seperti yang saya sebut tadi. Pertanyaan wasap yang diutarakan pada cikgu terus diabaikan begitu saja membuatkan saya terfikir bagaimana ibu bapa nak bantu kelancaran PdPR jika bersikap begitu.

Untuk fikir positif, saya andaikan yang cikgu sibuk dan tak ada masa nak layan pertanyaan ibu bapa. Mungkin ada lagi 30 ke 40 pertanyaan yang masuk bertubi-tubi pada wasap cikgu. Sampai dia tak terlayan untuk tangani semua itu.

Mana nak layan kerenah anak-anaknya sendiri, juga pelajar yang dia kena ajar dibelakang komputer atau smart phone, yang duduk di rumah mereka masing-masing.

Ok! Boleh diterima.

Tapi apa jalan penyelesaian terhadap komunikasi antara ibubapa dan guru?

Takkan nak abaikan saja sedangkan ianya sangat penting untuk lancarkan keberkesanan PdPR tersebut. 

Memang ada ibubapa yang buta teknologi. Tak ada phone lansung sebab tak mampu. Jadi macam mana nak tangani keperluan itu.

Apa jalan untuk tangani jurang komunikasi tersebut. Boleh tak pakai surat atau berhubung dengan ibubapa sedemikian supaya pergi ke sekolah di satu kaunter khas umpamanya.

Saya blur dan tak tahu apa perkembangannya. Apa yang sedang diusahakan oleh pihak sekolah dan pihak kementerian pendidikan.

Sekolah rendah lebih advance

Saya bandingkan cara pembelajaran antara anak saya yang sekolah rendah dengan sekolah menengah. Nampaknya sekolah rendah punya ckgu lebih advance. Dia gunakan google meet. Sampai anak saya yang darjah 4 itu cekap pakai aplikasi tersebut.

Tahniah pada cikgunya!

Tapi saya lihat anak saya di sekolah menengah hanya pakai wasap saja. Cikgu hantar kerja melalui wasap. Mereka buat sendiri sampai habis dan begitulah saja sesi pembelajaran mereka. Bila semua dah siap, mereka akan habiskan masa melayan game.

Bila saya tanya tak ada ke kelas secara online?

Mereka gelengkan kepala! hanya ada kerja dari wasap yang cikgu suruh buat sahaja!

Apa yang anak-anak saya akan belajar dari situ?

Saya rujuk panduan PdPR, mereka ikut panduan dari WHO. Untuk jumlah jam sesi sekolah redah adalah antara 1 jam ke 2 jam. Dan sesi menengah adalah antara 2 jam ke 4 jam.Tapi saya tak rasa lama itu anak-anak saya belajar. Khasnya sekolah menengah

Macam mana saya nak rujuk pada cikgu. Kat mana nak saya suarakan semua itu?

Sekali lagi ada satu jurang besar komunikasi antara ibubapa dan guru.

Cabaran besar pendidikan

Semua ini satu cabaran besar pada anak-anak dan ibubapa. Bagi saya, paling besar adalah ilmu sosial yang terencat bakal dihadapi oleh anak-anak saya nanti.

Kurikulum dan matapelajaran pendidikan hanya sebahagian kecil saja ilmu yang perlu dikuasai oleh anak-anak. Semua urusan selain dari akademik yang mereka tempuhi dalam sekolah adalah satu sesi pembelajaran yang jauh lebih besar. Itu ilmu sosial yang sangat penting.

Berkawan, berkumpulan, berkomunikasi, tawar menawar, bersaing, berkelahi, menerima arahan dan menghormati guru, membeli dan berurusan dengan penjual di kantin, berhadapan dengan pelajar lebih tua atau lebih muda. Menghadapi cabaran kelemahan diri dan lain-lain lagi. Semua tidak ada dalam buku teks.

Semua itu tak ada bila anak-anak hanya duduk dan belajar dari rumah. Keupayaan berinteraksi dan bersosial mereka akan terencat.

Atau mungkinkah dunia sudah tak perlukan kemahiran bersosial secara semuka lagi selepas ini. Hanya kemahiran bersosial secara talian saja yang lebih penting?

Artikel ini hanya penuh dengan tanda tanya sahaja tanpa jawapan. Semua maklumat lanjut kalau nak tahu, saya terpaksa google cari laporan media. Itupun hanya dipenuhi oleh kritikan dan juga cadangan dari ahli akedemik dan politik.

Apa pengalaman dan komen anda terhadap suasana pendidikan sekarang agaknya?


logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Bagaimana anak anda jalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan tahun 2021

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !