Tahun 2020 berlalu dengan pantas akibat dari wabak Covid-19 dan kerajaan terpaksa kenakan PKP di seluruh negara. Itu kejadian pertama sekali berlaku sepanjang hidup sejak dilahirkan sampai dah besar berkeluarga. Itulah pengalaman pertama.
Orang berniaga macam saya terpaksa perah otak untuk hadapi semua cabaran tu.
Segala bajet keluarga terpaksa disusun semula. Sampai bergaduh dengan orang rumah. Sebab terpaksa potong bajet perbelanjaan dan bersikap tangkai jering.
Dalam keadaan pendapatan yang tak pasti, itulah langkah yang terbaik. Dan saya rasa tindakan itu betul untuk dilakukan.
Bukan tak ada duit lansung. Masih ada sedikit duit simpanan.
Tapi semua simpanan yang ada perlu diperuntukkan kepada ke-tidak pastian terhadap perniagaan yang sedang diusahakan. Pekerja yang perlu disara, segala kos sewaan, kos bayaran bulanan pinjaman kenderaan, kos operasi bisnes dan lain-lain lagi.
Kemungkinan besar jumlah duit yang masuk ke dalam akaun syarikat adalah kurang daripada jumlah duit yang keluar untuk sara kesemua kos yang ada.
Entah berapa lama dapat bertahan dalam keadaan macam tu!
Itu belum lagi masuk segala kos peribadi yang perlu ditanggung. Bayaran pinjaman rumahurumah yang ada. Bayaran kenderaan-kenderaan peribadi. Bayaran kos selenggaraan semua rumah dan kenderaan. Kos makan dan minum dan segala kos kesihatan dan perubatan.
Terasa sangat laju duit susut dalam keadaan pendapatan yang terjejas.
"Betullah orang kata. Selaju manapun anda mampu buat duit, laju lagi kemampuan anda habiskan duit!"
Alhamdulillah berkat kedegilan bersikap tebalkan muka dan gelapkan hati, semua itu berjaya juga dihadapi. Masih ada makan dan minum. Dan paling penting perniagaan dapat beroperasi semula walaupun dalam keadaan yang masih mencabar.
Sekali lagi kena harung PKP
Masuk saja tahun 2021, rasa macam ada semangat nak pulun stabilkan dan besarkan perniagaan. Mula susun strategi baru. Perkemaskan jualan dan pemasaran. Ubah struktur pentadbiran. Tukar team pengurusan dan lain-lain.
Tapi, bila tengok kes Covid-19 makin lama makin mencanak naik, mula rasa tak sedap hati.
Tambahan pulak bila sepanjang PKPB, orang ramai macam dah kebal dari kena jangkitan Covid-19. Kedai makan, tempat berkumpul penuh dengan orang ramai macam tak ada apa-apa yang berlaku.
Dalam keadaan jumlah kes yang secara konsisten masuk ke tahap 4 angka, sikap orang ramai nampaknya macam tak ada apa saja.
Dan akhirnya, padan muka!. Sekali lagi kerajaan umumkan PKP. Bermula dari 13 Jan 2021 sampai ke 26 Jan 2021. Jadi biawaklah atas rumah sekali lagi selama 2 minggu.
Bagi yang tak ada gaji tetap, terpaksa perah otak cari idea nak teruskan kehidupan.
Walaupun PKP kali ni bukan berlaku secara total di seluruh negara, tapi tak ada apa bezanya sangat buat saya yang duduk di Selangor. Salah satu negeri yang masuk dalam kawasan zon merah. Negeri yang jadi juara hampir setiap hari dalam membuat rekod jumlah kes Covid-19 baru dikesan.
Sekarang dah tak boleh lintas sempadan negeri atau daerah.
Yang parah adalah, sekali lagi pendapatan perniagaan akan merudum bila sebahagian besar dari pelanggan turut juga kena PKP.
Kebanyakan pelanggan saya adalah premis perniagaan dan organisasi kerajaan atau separa kerajaan. Jika mereka tidak beroperasi, maka semua vendor dan kontraktor juga secara automatik terhenti tak dapat buat kerja.
Dah nak kena kemut sekali lagi.
Bersikap tangkai jering dan perlu hanya utamakan keperluan untuk teruskan hidup saja. Duit yang ada perlu diperuntukkan kepada mempertahankan syarikat dan segala kos tanggungan yang ada.
Kali ni rasa akan jadi lebih teruk lagi sebab tak ada apa pengumuman dari kerajaan untuk bantu masalah kewangan yang syarikat-syarikat kecil macam saya terpaksa hadapi.
2 minggu dari sekarang diharapkan kes dapat dipecahkan rantaian jangkitan semula.
Harap kes akan turun ke tahap satu atau dua angkat saja. Paling penting, dalam tempoh 2 minggu ini, harap kerajaan akan dapat laksanakan suntikan vaksin sebagaimana yang dijanjikan kepada sekurang 70% dari jumlah populasi.
Bila seluruh dunia giatkan pemberian vaksin kepada semua rakyatnya, secara pantas diharap kes Covid-19 akan dapat di atasi dan keadaan kembali pulih. Harap kerancakan ekonomi akan naik semula.
Pengistiharan Darurat sampai 1 Ogos 2021
Satu lagi berita yang gempar tapi dah dijangka berlaku pada negara kita. Agong perkenankan pengistiharan darurat sehingga paling lama sampai 1 Ogos 2021. Kalau semuanya ok, mungkin akan dipendekkan tempoh durasinya.
Semua itu untuk pastikan PM dan juga kerajaan yang ada sekarang dapat bertahan paling lama selama 6 bulan lagi. Itulah yang saya yakin matlamat tersiratnya.
Tak perlu diadakan persidangan parlimen dalam tempoh tersebut. Kerajaan yang ada akan berjalan macam kerajaan peralihan sebelum PRU boleh diadakan semula.
Bila tiada persidangan parlimen, maknanya PM tak akan hadapi undi tak percaya yang kalau dibuat mungkin menggugat kedudukannya. Secara kasar, sekarang, PM ada hanya 110 jumlah sokongan ahli parlimen sahaja. Jumlah yang tak cukup untuk jadi majoriti dan membentuk kerajaan.
PM gunakan keadaan yang ada untuk kukuhkan atau legakan kedudukannya. Dia ambil tanggung jawab untuk cuba selesaikan dulu masalah covid daripada membiarkan berlaku lagi pertukaran kerajaan demi pertukaran.
Secara mudah, saya rasa kes darurat ni hanya akan membuatkan pihak yang tak sokong PM sekarang rasa kepanasan tak puas hati. Tak boleh nak buat apa-apa dengan mudah untuk gulingkan kerajaan yang ada.
Alasan pihak tersebut adalah berlandaskan hak demokrasi yang tercalar bila PM cadangkan kepada Agung untuk istihar darurat. Nampak macam dia secara sorang diri buat suka-suka gunakan kesempatan krisis kesihatan negara untuk pertahankan kedudukannya.
Itu kata pihak pembangkang.
Bagi pihak PM pula, dia berikan alasan kukuh demi keselamatan negara dan tahap kesihatan rakyat yang perlu dipelihara. Itu yang paling utama.
Bagi saya alasan yang lebih waras adalah alasan PM dan dapat diterima dengan bukti yang nyata setiap hari berlaku di depan mata.
Memang alasan yang betul berdasarkan prinsip demokrasi, pembangkang ada hak untuk tidak terima. Tapi prinsip perjuangan demokrasi tak perlulah dipertahankan seandainya ia membawa malapetaka yang lebih besar.
Demokrasi adalah idea manusia. Bila-bila boleh dibahaskan dan diubah kepada prinsip baru yang mungkin lebih baik. Dalam semua ideologi, akan tetap ada kes luar biasa yang perlu dipertimbangkan untuk abaikan saja prisnsip tersebut.
Lagipun, saya tak nampak yang Malaysia sejak dulu sampai sekarang benar-benar mengamalkan prinsip demokrasi yang mutlak. Kalau tak percaya, cuba cakap benda bukan-bukan pasal agama atau pasal bangsa ...
Masalah utama negara kita sekarang adalah masalah krisis kepimpinan yang sangat kronik. Tak ada seorang pun ketua yang dapat yakinkan satu kumpulan yang lebih besar untuk membentuk majoriti. Dalam 222 jumlah kerusi parlimen yang ada, semuanya tak stabil dan kacau bilau.
Dari dulu sampai sekarang, bila ada krisis, yang susahnya adalah rakyat. Apatah lagi dalam keadaan kewujudan satu kerajaan yang lansung tak stabil.
Kerajaan yang tak stabil banyak buruk dari baiknya.
Tambah lagi jika majoriti ahli parlimen yang ada kat atas tu rata-rata kaya raya. Hidup senang dan tak ada apa-apa masalah sangat untuk teruskan hidup mewah makan dan minum serta berkereta besar.
Kesusahan rakyat mereka tak rasa dan tak akan faham. Hanya orang yang susah saja faham keadaan susah.
Orang bila dah ada harta, dia akan pulun untuk jadi gila kuasa. Itulah yang rata-rata pimpinan ahli politik kat atas tu dok ligan selama ini. Sejak dulu sampai sekarang. Makin menjadi-jadi sepanjang pemerintahan Tun M selama 22 tahun.
Isu pendidikan negara yang masih tak selesai, isu ekonomi yang makin lama makin ke belakang dan banyak lagi masalah rakyat yang tak nampak ada kemajuan makin diabaikan tahun demi tahun.
Walaupun rakyat masih dapat hidup, tapi lambat laun negara akan jadi porak peranda bila tahap kemiskinan rakyat makin menggila dan peluang pekerjaan makin tak ada.
Bila peluang pekerjaan makin sukar, penduduk bandar yang paling teruk akan merana.
Tanah tak ada untuk bercucuk tanam macam kat kampung. Duit pulak tak ada nak beli beras dan segala keperluan hidup lain.
Nak balik kampung, tanah dah tak ada. Nanti berebut tanah pusaka yang sekangkang kera tu pula. Mana nak cari makan lagi? Kalau ada motosikal boleh jadi partner food panda. Kalau ada kereta boleh jadi partner Grab.
Bila makin lama makin ramai yang jadi partner food panda, grab dan lain-lain syarikat gig. Sampai ke satu tahap pakai basikal untuk jadi penghantar makanan dan mungkin ke satu tahap lagi jalan kaki .. itu level parah yang boleh dihadapi oleh sesebuah negara.
Untuk tidak panjangkan coretan ini, saya nak tamatkan artikel ni dengan doa agar, dalam tempoh 6 bulan ini, PM dapat nego dengan kebanyakan pemimpin lain yang ada. Dan seterusnya dapat kuasai dan membentuk satu kerajaan yang stabil dan jauh lebih kuat.
Masukkan semua yang ada isu moral dan makan duit rakyat ke dalam pagar besi dan tinggalkan sahaja mereka yang bersih dan boleh dibawa berbincang. Pastikan para pemimpin hanya tinggal dari kalangan mereka yang tidak ada ketakutan untuk menutup kesalahan jenayah yang lalu.
Bila jadi macam itu, mungkin Malaysia lebih aman dan negara dapat dibangunkan semula!
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !