Berapa langkah anda buat dalam sehari?
Soalan itu bermaksud berapa jauh anda berjalan kaki dalam tempoh satu hari. Kalau dulu, sebelum adanya kemudahan teknologi, soalan berapa langkah anda buat dalam masa satu hari mungkin agak pelik.
Pelik sebab untuk dapatkan berapa langkah, perlu terlebih dahulu kira jarak perjalanan. Kemudian dibahagikan pula kepada jarak yang anda ambil untuk buat satu langkah. Baru dapat berapa langkah.
Sekarang, dengan teknologi yang dah dimuat masukkan ke dalam telefon pintar, berapa langkah yang anda buat dikira oleh app tersebut. Asalkan sentiasa bawa telefon pintar itu bersama, jumlah langkah yang anda buat akan sentiasa dikira.
Masa mula-mula pakai smart phone dulu saya gunakan iphone. Masa tu saya dapat tahu pasal adanya apps yang fokus kepada penjagaan aktiviti kesihatan. Lepas tengok review, saya pilih 'Fitbid'. Saya tak fikir panjang untuk bayar dan terus download app tersebut.
Bermula dari situ saya tak perlu lagi nak ambil peduli berapa jauh dan berapa langkah dah berjalan kaki. Semua dikira oleh app secara diam. Malah, ketika bersenam jogging atau jalan kaki, app itu akan bercakap kuat beritahu setiap kali dah capai satu kilometer.
Dia siap beritahu berapa lama masa anda ambil untuk habiskan perjalanan tersebut dan berapa purata masa diambil untuk siapkan satu kilometer. Kalau ada modal sikit, boleh beli jam tangan dan selaraskan dengan telefon pintar anda.
Tak perlu bawa telefon lagi untuk jogging. Pakai jam tangan saja, semua langkah anda dikira. Habis segla jumlah degupan jantung seminit pun boleh dikira.
Teknologi membolehkan semua itu berlaku dengan mudah dan cekap.
Berapa langkah anda perlu berjalan sehari
Kita berbalik kepada tajuk asal artikel ini. Nak bercakap pasal aktiviti berjalan kaki yang sangat mudah, sangat berkesan dalam penjagaan kesihatan dan tidak perlu keluarkan modal.
Banyak kajian dah tunjuk bahawa aktiviti jalan kaki adalah satu senaman yang sangat baik untuk anda. Dengan melakukan senaman jalan kaki secara rutin, anda akan dapat jaga berat badan.
Kalau 'gemuk gedempol', insyaallah akan dapat dikurangkan dengan melakukan senaman jalan kaki ni secara konsisten.
Jalan kaki juga dapat membantu tingkatkan kesihatan jantung anda. Juga dapat turunkan tahap tekanan darah. Malah dapat bantu segarkan fikiran dan seterusnya baiki tahap kesihatan mental anda.
Dan seterusnya jalan kaki dapat perkemaskan keupayaan menyusun dan cekapkan koordinasi mata dengan tangan anda.
Dalam bahasa inggerisnya dipanggil 'hand-eye coordination'. Iaitu bagaimana anda dapat agak melalui deria penglihatan mata dan salurkan tindakan kepada pergerakan tangan anda. Contohnya jika nak tangkap bola tenis dengan tangan apabila ianya dilontar kepada anda.
Dan yang paling hebat sekali berkenaan senaman jalan kaki ni adalah, semua orang yang sempurna tubuh badannya dapat buat. Tak payah nak dapatkan latihan dari seorang jurulatih atau pakar untuk amalkan senaman jalan kaki.
Buka pintu, keluar rumah dan pergi jalan kaki keliling taman tempat anda tinggal. Bila dah cukup 30 minit balik semula ke rumah. Semudah itu saja aktiviti jalan kaki ni.
Kalau nak best lagi, bagi yang baru berkahwin, ajak pasangan keluar jalan-jalan sekeliling taman. Sambil jalan sambil bersembang dan bermesra, seronok kalau dapat buat cam tu. Tambah lagi kalau sedang bercinta, ajak marka jalan kaki takkan terasa dan 3 jam tanpa henti betapa asyiknya.
Jumlah langkah yang perlu dan limitnya
Baik!
Dah panjang cerita pasal semua kebaikan jalan kaki ni. Persoalannya berapa jumlah yang sesuai dan mencukupi untuk mendapat manfaat yang secukupnya dari segi kesihatan dari aktiviti berjalan kaki ni?
Yang biasa kita dengar, jumlah yang diperlukan adalah sebanyak 10 ribu langkah sehari. Itulah yang dianjurkan secara mudah. Kalau tak mahu kira langkah, anda boleh ambil jumlah masa yang dilakukan. Masanya adalah sebanyak 30 minit.
Itu semua jumlah yang diberikan oleh kebanyakan pakar jika anda nak tahu berapa jumlah yang perlu dan nak terus amalkannya.
Satu lagi maklumat, ramai bersetuju bahawa jumlah paling minimum yang anda perlu buat sehari adalah sebanyak 5 ribu langkah sehari. Jangan kurang dari jumlah tersebut untuk jaga kesihatan tubuh badan anda.
Jadi bermula dari sekarang pantau app yang ada pada telefon pintar anda tu dan tengok berapa langkah dah anda buat bila dah habis separuh hari.
Ini supaya anda tahu cukup atau tak cukup untuk hari itu. Kalau dan separuh hari baru 3 ribu langkah, ertinya separuh hari lagi anda perlu cuba banyakkan berjalan kaki dari berkenderaan.
Satu lagi perkara penting adalah tentang jumlah yang boleh dianggap berlebihan.
Walaupun jalan kaki nampak macam tak terasa dan senang sangat, kalau anda asyik jalan kaki tak berhenti banyak sangat akan membuatkan anda keletihan dan habis tenaga juga.
Pakar syorkan agar anda tak payahlah melangkau melebih dari 20 ribu langkah dalam sehari. Itulah limitnya. Simpan untuk esok sama kalah dah ya pun seronok sangat nak jalan kaki.
Jumlah langkah berdasarkan umur
Walaupun jumlah secara umum adalah 10 ribu langkah, sebenarnya jumlah yang anda perlukan ada bergantung kepada umur dan tahap kecergasan anda sama aktifi atau tidak.
Secara dasarnya berikut adalah panduan yang lebih terperinci:
- Umur 4 ke 6 tahun
- Minimum 6 ribu langkah
- Eloknya 10 ribu langkah
- Umur 6 ke 11 tahun
- Min 6 ribu langkah untuk lelaki dan perempuan
- Terbaik adalah 11 ribu langkah untuk perempuan dan 13 ribu untuk lelaki
- Umur 12 ke 19 tahun
- Min adalah 6 ribu langkah dan terbaiknya adalah 10 ribu langkah
- Umur 20 ke atas
- Min adalah 3 ribu langkah dan terbaiknya adalah 7 ribu langkah
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !