Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

18 August 2021

5 perkara tentang bisnes yang saya belajar dari pengalaman sendiri berhempas pulas nak hidup

  Ano Nyme       18 August 2021


Bulan Oktober 2020 yang lepas cukup 10 tahun syarikat Sdn Bhd saya ditubuhkan.

Kalau entiti tu budak dah tentu boleh berlari ke kedai beli serbuk kari untuk emak dia masak.

Masa mula-mula bisnes dulu semua kena buat sendiri.

Keluar buat sales, balik buat sebut harga, jaga akaun, jaga pentadbiran .. Boleh kata semua kerjalah kena buat.

Dari seorang diri buat kerja, tambah seorang pekerja. Dan kemudian, tambah lagi untuk memudahkan lagi operasi bisnes.

Dari jualan 0 ke puluhan ribu, ratus ribu dan sampai lah ke jutaan ringgit.

Saya nampak dan alami sendiri semua proses tersebut berlaku.  Memang seronok berniaga ni.

Boleh jadi ketagih!

Kalau tak pernah buat, memang dengar macam senang saja.

Macam-macam jugak yang saya lalui.

Jualan turun-naik. Dengan pelanggan yang masing masing ada cara tersendiri.

Kos operasi perniagaan yang sentiasa meningkat.

Staf yang mempunyai pelbagai ragam dan karenah.

Tipulah, kalau kata tak penat.

Sepanjang tempoh perjalanan sebagai usahawan ada beberapa perkara tentang bisnes yang saya belajar.

Seseorang usahawan itu seharusnya mempunyai kemahiran tentang bisnes mereka sendiri.

Bagi saya apa yang penting atau fundamental, seseorang usahawan itu harus ada, selain dari kebolehan menjual dan kerja kuat, saya pecahkan kepada 5 perkara pokok di bawah ini.

Saya rasa asas-asas ini akan menjadikan bisnes dan nilai bisnes anda lebih mempunyai ‘daya umph!’.

Saya juga berpendapat sekiranya anda praktikkan 5 perkara dibawah ini dalam hidup, kemungkinan besar kehidupan anda menjadi lebih mudah dan lebih ringkas.

Jom lihat apa 5 perkara tersebut ..

#1. Jujur

Orang kita suka cakap pasal niat. Saya yakin anda juga begitu.

Oleh itu niatlah dalam hati untuk menjadi orang yang jujur dan amanah. Jujur dan amanah ini di suatu hari nanti akan dihargai oleh semua orang.

Ianya juga secara tak langsung membawa kita kepada ‘value proposition’ yang hanya akan membuatkan brand kita lebih bernilai.

Jujurlah kepada diri sendiri, kepada rakan kongsi, kepada pelanggan dan seterusnya jujurlah kepada semua orang.

Dan jadikanlah kejujuran sebagai cara hidup kita. Sekarang orang panggil integriti.

#2. Fokus

Fokus sangat penting kerana ianya merupakan salah satu bentuk mindset bagi diri kita.

Ada orang kata fokus adalah pintu masuk ke pemikiran kita. Memori, persepsi, pembelajaran, kaedah penyelesaian masalah dan cara kita membuat keputusan.

Jika kita tidak dapat fokus dengan baik maka kemungkinan besar kita tidak mampu berfikir dengan baik. Fokuslah terhadap bisnes kita.

#3. Tabah

Untuk mereka yang mencari kejayaan dalam bisnes jadikanlah ketabahan atau ketekunan dalam mengharungi dunia bisnes ini sebahagian dari jati diri kita.

Contohnya kalau hari ni kita mula bisnes jual nasi ayam, tak bolehlah ingat nak jual 200 bungkus terus.

Kalau yang dah viral sekali pun proses dia sebenarnya sudah pun bermula awal. Cuma mungkin dia tak menjual lagi tetapi dia telah positionkan diri dia sebelum itu lagi.

Dengan cara yang betul setiap usahawan akan dapat hasil disuatu hari nanti.

Tiada short cut dalam bisnes.

Laluilah proses-proses dalam perniagaan. Memang macam-macam cabaran dan rintangan yang kita terpaksa hadapi. Tapi semu itu perlu untuk mematangkan diri.

#4. Kreatif

Kita usahawan ni kena carik jalan untuk menyelesaikan masalah pelanggan secara inovatif kerana kita hendaklah mencipta peluang daripada permasalahan pelanggan kita itu tadi.

Kreativiti dalam perniagaan adalah cara berfikir yang memberi inspirasi terhadap bisnes yang kita jalankan.

Inilah penyebab adanya ‘wow’ factor dalam bisnes bisnes yang hebat. Mereka ini membawa idea-idea baru dan kadang kadang luarbiasa.

Oleh itu jadikan lah kreatif dan inovasi sebagai salah satu landasan bagi bisnes kita.

Kreatif dan inovatif dalam perniagaan disini bukan bermaksud produk yang berteknologi tinggi atau produk yang kreatif seperti kraftangan. Tetapi cara menyelesaikan masalah dan cara menguruskan bisnes itu sendiri.

#5. Bijak dalam berkomunikasi

Kemahiran berkomunikasi yang baik dalam perniagaan adalah penting untuk membolehkan pelanggan, partner, team memahami maklumat dengan tepat dan cepat.

Penggunaan apps seperti whatsapp, telegram dan macam-macam memudahkan kita.

Tetapi kadang kadang pemahaman individu berbeza jadi elakkan lah penggunaan bahasa yang mengelirukan.

Penggunaan short form juga mengakibatkan kekeliruan. Belajarlah berkomunikasi dengan cara yang bijak.

Rumusan dari 5 perkara

Kalau kita tengok balik 5 perkara diatas sebenarnya menunjukkan usahawan perlu menjadi manusia yang baik.

Keusahawanan sepatutnya membawa kita ke arah kebaikan.

Jadi dengan usaha kita membina dan memperbesarkan bisnes dan nilai bisnes yang baik disamping menaikkan brand value yang tinggi kita juga seharusnya memupuk nilai-nilai baik ini dalam kehidupan kita sehari-hari.

Sekiranya kita masukkan unsur negatif dalam bisnes, kebarangkalian bisnes nak lingkup itu akan ada!

Semoga bermanfaat untuk anda para pembaca!

Nota: Jika anda berminat baca artikel berkaitan perniagaan sahaja, boleh ikuti blog Bisnes Kecil yang fokus 100% kepada artikel bisnes.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, 5 perkara tentang bisnes yang saya belajar dari pengalaman sendiri berhempas pulas nak hidup

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !