Siapa yang tak kenal radio?
Rasanya memang sangat luar biasa jika masih ada orang yang tak tahu apa itu radio. Antara alat yang paling lama masih wujud dari dulu sampai sekarang. Masih kekal digunakan di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.
Radio antara alat paling awal yang saya kenal sejak dilahirkan dulu. Celik saja mata benda ni dah ada. Miskin macam mana pun, masa kat kampung dulu, paling lekeh dia tetap akan ada radio juga.
Segala maklumat, hiburan, propaganda kerajaan dan lain-lain lagi, semuanya anda boleh dapat dari benda ajaib tu.
Sejarah permulaan radio
Radio secara umumnya bermula dari tahun 1838 dimana bermulanya Kod Morse. Ideanya adalah menghantar maklumat dalam bentuk dots dan dashes (titik dan sengkang kalau diubah ke dalam BM).
Ia direka oleh Samuel F.B. Morse yang mendakwa dirinya sebagai pencipta Telegraph. Kemudian dia bersama kawannya Alfred Vail melancarkan kod morse.
Morse dapat idea untuk hantar isyarat menggunakan elektrik telegraph pada tahun 1832. Idea sebegitu sebenarnya dah diperkenalkan sejak tahun 1753 lagi dan sudah dilakukan pada tahun 1774 di mana isyarat pendek berjaya dihantar dengan menggunakan telegraph eletrik.
Pada bulan March tahun 1876, Alexander Graham Bell disahkan sebagai pemegang paten penciptaan telefon. Dia secara tak sengaja jumpa cara macam mana nak hantar suara melalui wayar eletrik.
Dari semua rentetan penciptaan tersebut di atas akhirnya membawa kepada radio.
Radio yang saya maksudkan kat sini adalah yang berkaitan dengan teknologi penyiaran.
Keupayaan manusia mencipta satu alat komunikasi suara melalui satu stesen penyiaran yang boleh menyampaikan maklumat dan hiburan kepada pendengar yang mempunyai alat penerima siaran tersebut.
Hanya satu stesen saja diperlukan untuk membolehkan semua berita dan juga musik di dengari oleh jutaan pendengar secara serentak! Hebat bukan. Boleh dengar semua itu dari jarak jauh di mana saja anda berada yang gelombang radio itu boleh sampai.
Pengalaman macam itu tak dapat dirasai oleh mereka yang hidup sebelum era tahun 1920. Kewujudan radio ketika itu menjadi satu lagi medium komunikasi selain dari akhbar dan majalah yang lebih awal wujud.
Dengan radio, pendengar terpaksa menggunakan keupayaan imaginasi mereka untuk menggambarkan segala maklumat yang disampaikan. Perbualan dan penceritaan yang digabungkan pula dengan latar belakang musik dapat mempengaruhi pendengar dengan amat baik.
Bunyi suara dan musik yang dihantar melalui gelombang radio didengari buat pertama kali pada Disember 1906 di Brant Rock, Massachusetts. Ia di lakukan oleh seorang pereka berasal dari Kanada, Reginald Aubrey Fessenden.
Dia merupakan orang pertama yang mula menyiarkan musik dan suara dari jarak jauh. Baca maklumat berkenaan jurutera dari Kanada itu pada pautan yang saya berikan kat atas tu. Dia bersiaran selama satu jam untuk program percubaan pertamanya itu.
Selepas itu beberapa lagi percubaan one-off siran radio dilakukan oleh beberapa orang lain. Tapi masih belum wujud satu siaran radio yang berjadual tetap dilakukan secara konsisten sehinggalah pada tahun 1908 oleh Charles Herrold. Itu merupakan permulaan radio bersiaran secara berjadual dan berterusan yang pertama di dunia.
Minat terhadap radio ketika itu masih lagi dalam peringkat hobi sahaja. Bukan semua orang ada radio macam yang kita ada sekarang. Lagipun pengeluaran alat menerima gelombang radio masih belum dibuat secara besar-besaran. Hanya mereka yang minat terhadap peralatan tu sahaja yang akan membuat penerima signal radio sendiri mereka untuk mencari dan menerima mana-mana siran radio yang ada.
Charles Herold yang saya sebut kat atas tadi berterusan melakukan siran radionya sehinggalah pada tahun 1917. Kerajaan mengarahkan semua itu dihentikan akibat dari perang dunia pertama dan sejak itu perkembangan radio sebagai satu bentuk siaran terhenti sebentar.
Selepas habis perang minat terhadap radio disambung semula. Tapi masa itu masih tidak ada kebenaran kerajaan atau keperluan lesen untuk mengadakan siaran radio. Bermula pada tahun 1920 barulah kerajaan Amerika ketika itu mengenakan syarat lesen untuk siaran radio.
Bila peminat radio mula kembangkan dan gunakan teknologi itu secara tidak terkawal, banyak kekacauan dan gangguan berlaku terhadap gelombang komunikasi kerajaan dan tentera. Sebab itulah akhirnya lesen diperlukan kalau nak bersiaran.
Dari situ mula berkembang stesen radio yang bergerak secara amatur di banyak lagi bandar di Amerika. Tapi banyak yang buka dan tutup sebab tak mampu sara kos. Tak ada konsep pendapatan dari iklan radio lagi ketika itu.
Ia mula merebak ke negara industri lain seperti Paris dan Moscow pada tahun 1922 mula mengadakan siaran radio mereka. Di Shanghai, Belgium, Czechoslovakia, Jerman, dan Sepanyol pula pada tahun 1923.
Kemudian perkembangan penyiaran radio menjadi makin laju bila Itali memulakan siaran radinay pada tahun 1924. Diikuti oleh Jepun, Mexico, Norway, dan Poland pada 1925. Perkembangan menjadi pesat sehinggalah ke tahun 1945 di mana datang lagi satu teknologi siaran baru iaitu television pulak.
Bila radio mula kat negara kita?
Sejarah awal siaran radio kat Malaysia dimulakan secara persendirian oleh peminat radio. Ia dimulakan pada tahun 1921 oleh A.L Birch, seorang jurutera eletrik negeri Johor ketika itu. Kemudiannya pada tahun 1923 dia tubuhkan Johore Wireless Society membuatkan aktiviti penyiaran radio ini berkembang dengan lebih pesat lagi.
Saya jumpa artikel menarik yang kongsikan sejarah pasal radio kat blog ni. Anda boleh pergi baca kat situ kalau nak tahu lebih lanjut.
Menurut arkib, RTM memulakan penyiarannya pada 1 April 1946 di Singapura dan kemudiannya berpindah ke KL pada tahun 1950.
Ada 2 stesen ketika itu. Radio Malaya dalam BM dan The Blue Network dalam BI.
Pada tahun 1960 iklan perniagaan di benarkan dan kerajaan mendapat satu sumber pendapatan dari situ. Pada 16 Sept 1963 Radio Malaya diubah menjadi Radio Malaysia dan bermula dari situ munculnya ayat popular 'inilah Radio Malaysia'.
Maklumat menarik tentang sejarah perkembangan radio di negara kita boleh anda lihat pada pautan kat sini.
Radio dalam kehidupan
Masa kecik dulu, radio lah penghibur dan sumber maklumat saya terutamanya mak yang selalu buat kerja kat dapur sambil memasak dan buat kerja dapur.
Awal pagi lagi, bangun subuh, itu benda awal yang akan kedengaran. Mak suka pasang agak kuat untuk pastikan anak-anak dia bangun tidur, pergi solat subuh dan bersiap untuk ke sekolah.
Mungkin dek terlalu lama terbiasa dengan keadaan itu, setiap kali saya dengar radio, badan akan terasa segar sejuk dan nyaman seperti suasana di waktu pagi ketika membesar kat kampung dulu.
Waktu malam pula, saya paling suka dengar drama radio dengan kisah klasik melayu bersiri yang dilakonkan oleh juruhebah radio ketika itu. Kalau hari cuti, drama kisah kehidupan juga tak pernah lepas untuk didengari.
Uniknya radio adalah seperti yang saya cakap kat atas tadi. Bila dengar lakonan dari corong radio, anda akan menggunakan daya imaginasi sendiri untuk menggambarkan cerita dan suasana dalam lakonan radio tu.
Masa zaman awal dulu, radio saja yang ada. Tak ada lagi yang dilengkapi dengan pemain kaset. Saya tak ingat bila, tapi masa dah darjah 5 atau 6 baru saya nampak ada radio yang berserta dengan pemain kaset.
Abang saya ada satu kaset kumpulan Bee Gees yang dia suka dengar. Radio tu juga boleh buat rakaman. Satu lagi perkara ajaib buat saya ketika itu.
Bila dia tak ada, saya cuba gunakan perakam kaset itu dengan buat suara lakonan macam kat dalam radio dan putarkan semula untuk dengar macam mana rakaman suara saya tu. Memang sangat teruja boleh buat macam tu.
Tapi saya kena marah selepas itu sebab kaset lagu Bee Gees dia tu habis hilang lagu digantikan dengan rakaman cerita Anggun Cik Tunggal saya ! haha!. Sejak itu saya diharamkan untuk sentuh radio tu lagi.
Minat pada radio
Bila masuk sekolah menengah, abang semua dah keluar dari rumah, saya mula dapat berkuasa dengan penggunaan radio. Mak masih kekal suka buka radio awal pagi dan kekal dibuka selagi dia ada kat dapur dan tak keluar rumah.
Saya mula obses dengan bunyi radio bila seorang kawan tunjukkan mini kompo yang dibeli abangnya. Saya pergi ke rumahnya dan dia buka lagu. Saya terpegun dengan bunyi dentuman base dan gemersik treble bila dia pasangkan mini kompo tu.
Bermula dari situ saya sering fikirkan macam mana nak jadikan radio lama kat rumah tu berkuasa hebat macam mini kompo kawan saya tu. Nak beli memang jauh panggang dari api. Jadi macam-macam cara saya reka dan cuba.
Setiap kali saya terjumpa orang buang speaker kat kawasan sampah, saya akan bawa balik dan korek apa rahsia di dalam kotak speaker tu. Dari situ saya nampak yang setiap kotak speaker pasti ada fiber glass di sadurkan pada dinding kotak tersebut.
Saya beranggapan tentu benda tu yang menyumbangkan hasil pada bunyi yang sedap tu. Saya pernah ambil tin milo yang besar, salutkan di dalam pada dinding tin itu fibre glass dan pasang speaker pada penutup tin dan tutup rapat rapat tin itu semula untuk dengar hasilnya.
Boleh la ! sedap juga ..
Sampai sekarang saya masih minat dengan bunyian sedap yang dihasilkan oleh radio.
Suka radio berbanding TV
Kalau nak dibanding antara radio dengan TV, memang saya lebih suka dengar radio. Suka dengar celoteh juruhebah yang sangat petah bercakap tak henti-henti. Saya selalu terbayangkan kalau saya duduk kat studio radio tu untuk jadi juruhebah. Mhu kejang mulut tak tau nak cakap apa.
Tapi juruhebah sentiasa ada saja benda nak cakap. Saya tak pasti samada mereka sediakan dahulu skrip nak cakap apa atau main cakap tanpa skrip saja. Tapi saya rasa memang tak ada skrip pun. Memang mereka jenis banyak dan pandai cakap apa saja tanpa henti.
Bila belajar at luar negara dulu, saya beli Hi-Fi Kenwood. Bunyinya sangat luar biasa sedap. Tapi walaupun lengkap dengan pemain kaset dan piring hitam, saya tak beli kaset pun hanya da satu dua kaset rakaman lagu rosk yang saya ambil dari kawan-kawan.
Kebanyakan masa saya lebih suka dengar radio saja. Bagi saya dengar kaset atau sekarang CD atau apa saja pemain lagu atau musik tak seindah dengar radio yang ada juruhebah. Rasa lebih hidup dan segar bila dengar celoteh mereka.
Sampai sekarang perangai suka dengar radio tu masih melekat dalam diri. Dalam kenderaan, dalam rumah atau di mana saja mesti kena ada radio. tak ada tv tak apa lagi, saya tak kisah. tapi kalau tak ada radio memang terasa satu kekurangan yang sangat besar.
Entah sampai bila radio akan terus wujud saya tak pasti. Tapi nampaknya radio tetap akan kekal dalam tempoh masa yang agak lama lagi rasanya. Selagi kerajaan masih ada, selagi itulah radio diperlukan sebagai medium yang paling meluas dapat menghubungkan rakyat dengan kerajaan.
Selamat Hari Radio Sedunia!
Nota: Sumber gambar dari sini. (Reginald Fessenden (right) and coworkers in their radio station at Brant Rock, Massachusetts, c. 1906. Courtesy of the North Carolina Office of Archives and History, Raleigh, North Carolina)
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !