Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

16 February 2021

Sila waspada dengan perniagaan yang mengambil kesempatan dari masalah kesihatan orang

  Ano Nyme       16 February 2021


Banyak perkara yang tak dapat dibuat bila wabak covid-19 melanda. Terhalang dari melakukan perkara tak baik, adalah satu rahmat untuk semua orang yang dah terjebak sebelum ini. 

Kalau selama ini asyik melekat kat pusat hiburan dang-dut umpamanya, sampai lupa anak bini, bila semua pusat tersebut terpaksa ditutup, maka selamatlah mereka yang sering ulang alik ke sana dari teruskan amalan itu.

Terhalang dari melakukan perkara yang baik pula adalah satu cabaran yang berat. Mungkin juga satu bala. Hilang nikmat mengamalkan perkara baik yang dah jadi rutin sebelum ini.

Macam amalan solat berjemaah berserta dengan semua amalan berkaitan dengan solat jemaah di surau atau masjid.

Bayangkan, masuk saja waktu magrib, semua dah berkumpul di surau taman tempat anda tinggal. Berwuduk, solat sunat, kemudiannya berjemaah beramai-ramai sambil rapatkan saf. Selesai solat dan berdoa, salam dengan kawan di kiri dan kanan.

Kalau tak ada kuliah lepas magrib, berborak sebentar di balai surau. Bertanya khabar, bertukar cerita dan bergurau senda, sambil menunggu masuknya waktu solat insya. Ada yang secara sukarela bancuh air kopi, ada yang pemurah bawah biskut dan jajan buat mengunyah .. semua itu memberikan kepuasan dan kenikmatan.

Semua amalan baik itu memberikan makna yang besar dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Tiba-tiba kesemua nikmat itu ditarik balik. Bukan sekejap. Tapi dah lama. Sejak awal tahun lepas. Sekarang bersambung-sambung sekali lagi.

Berhubung dengan telefon saja

Satu lagi amalan baik yang terhalang adalah ziarah ibu bapa di kampung, saudara mara, kawan dan kenalan. Semua itu turut terhalang akibat covid-19. Selagi ada virus tu berlegar dalam masyarakat, amalan ziarah ini menjadi sukar.

Bila ada urusan kerja, balik kampung, saya masih tak pergi juga ke rumah emak atau bapa saudara yang dah berumur. Biarlah mereka nak kata apapun. Saya kekal tak singgah. 

Dalam hati teringin nak singgah. Tapi siapa tahu samada saya bebas sepenuhnya dari virus tu. Masa bergerak ke sana sini buat kerja, jumpa orang dan singgah kedai tadi, siapa tahu kat sana bebas dari virus covid atau tidak.

Jadi elakkan terus dari bertemu adalah lebih baik.

Supaya tertunai tanggung jawab merapatkan silaturrahim, maka sekali sekala, telefon saja mereka. Saya setkan reminder seminggu sekali untuk telefon mak di Langkawi. 

Setiap kali telefon dia akan tanya ..

"Awat hang tak mai lama sangat dah ni?" 

Soalan biasa yang mak tanya setiap kali bersembang dengannya di telefon. Lockdown adalah perkara baru yang dia sekejap faham sekejap tak faham.

Biasanya selama ini saya akan tinggalkan semua kerja dan bergerak ke Langkawi dua atau tiga hari untuk bersama dengannya. Tapi sejak tahun lepas, rutin  bulanan itu tersekat-sekat. Kesian kat mak yang sentiasa merindui kelibat anak-anak nya saban hari.

Telefon abang saudara tak sihat

Dari tahun lepas saya dengar berita abang saudara yang makin tak berapa sihat. Tapi tertangguh-tangguh niat nak pergi ziarah dia di rumah. Bukannya jauh sangat. Di Jalan Kebun, Klang saja. Tapi tak dapat juga pergi dengan berbagai cabaran ditambah pula dengan covid makin mengganas.

Memang sekadar ziarah tak dapat merawat masalah kesihatan yang dia hadapi. Tapi menghadirkan diri untuk bertanya khabar sahaja, dah dapat memberikan sokongan moral untuk dirinya. Moga dengan ziarah itu dapat berikan sedikit suntikan semangat untuk kekuatan jiwanya.

Bila tak dapat ziarah, telefon juga dah memadai. Itulah yang saya buat bila saya telefon dia bertanyakan khabar. Kami berborak panjang dalam perbualan telefon itu. Dia ada banyak perkara yang mahu diceritakan.

Saya sabar mendengar semua ceritanya. Itu tandanya dia rasa lega, gembira seronok dapat berbicara dengan adik saudaranya. Saya tumpang rasa gembira juga.

Ditimpa masalah parkinson

Abang saudara saya itu baru masuk awal 60-an. Tapi dia diberikan cubaan masalah parkinson dalam umur yang masih agak awal. Pusat rawatan yang dia pergi secara berkala juga cakap perkara yang sama. Dia antara pesakit parkinson yang paling muda.

Dari segi perkembangan perubatan, anda pun tahu yang masalah parkinson ni masih tak ada apa-apa ubat yang mampu meyembuhkannya. Sekali anda terkena parkinson, ianya akan kekal begitu tak boleh nak buat apa-apa.

Apa yang doktor buat adalah sekadar merawat simtom yang dihasilkan oleh sakit parkinson itu.

Ambil kesempatan dari masalah kesihatan

Selain dari parkinson, ada banyak lagi masalah kesihatan lain yang tidak mempunyai ubat untuk menyembuhkannya. Kencing manis contohnya. Sekali anda kena kencing manis, ia akan terus kekal melekat macam itu.

Itulah dilema mereka yang hadapi masalah kesihatan di mana tiada rawatan yang dapat menyembuhkannya. Mereka berada dalam keadaan yang sangat lemah dan sentiasa mengharap akan berlaku sesuatu keajaiban.

Kelemahan itu lah yang sering diguna pakai oleh peniaga yang tak bertanggung jawab. Paling ramai yang suka buat kerja macam itu adalah mereka yang galak promosikan bahan suplemen kesihatan.

Itu berlaku kepada abang saudara saya.

Dah berpuluh ribu duit simpanannya habis. Duit sendiri habis, tambah lagi dengan duit anak-anak dan isteri pula. Untuk mencuba bermacam-macam suplemen yang kononnya dapat menyembuhkan parkinson. 

Dia bukannya kaya raya. Hidupnya sederhana saja. Tambah pula ada masalah kesihatan dalam umur yang masih awal, duitnya lebih pantas habis dari biasa.

Baru-baru ini dia di berikan satu lagi suplemen yang kononnya sangat hebat. Penjualnya desak untuk dia ambil pakej premium supaya kadar kesembuhan jadi express. Oleh kerana dah banyak kali kena, dia berhati-hati.

Dia ambil pakej biasa saja. Ambil juga sebab takut manalah tahu mujarab. 

Itulah yang saya kata tadi. Mereka dalam keadaan lemah dan harapan mereka terhadap keajaiban sangat tinggi. Mudah sangat peniaga begitu ambil kesempatan untuk belasah duit mereka.

Semua bisnes begitu amalkan konsep MLM berkomisyen tinggi. Itulah yang penjualnya kejar. Ditampalkan testimoni mereka yang kononnya sembuh. Entah betul entah tidak. kalau betulpun berapa kah peratusan yang berjaya. Adakah tinggi atau sangat tidak konsisten. Itu semua perlu ditanya ..

Walaupun abang saudara saya tahu dan sedar semua itu, dia masih lemah tidak dapat kawal rasa ingin mencuba agar kesihatannya kembali seperti sedia kala. Dan terkena juga sekali lagi. 

Walaupun pakej biasa, harganya dalam RM2,500 juga. Bukan murah tu. Sebulan gaji punya duit habis ke situ. Selepas beli, dia mula makan ubat tu, dan ajennya mula telefon setiap hari. Teruja nak tahu perkembangan ubat suplemen ajaibnya.

Malangnya abang saudara saya jadi lebih teruk dari biasa. Tangannya selama ini masih dapat bergerak walaupun lambat, sekarang jadi kebas terus tak dapat nak rasa. Bila ditanya, jawapan pantas yang dia dapat adalah .. 

"Itu proses healing .. !"

Masuk seminggu, dua minggu, makin teruk .. "Deiii! berapa lama punya proses healing da?"

Selepas itu penjual dah tak telefon lagi. Mungkin dia sedar ubat yang dia percaya selama ini hanya jadi alat ambil duit orang yang lemah sahaja tanpa membantu mereka sihat semula.

Akhirnya abang saudara hentikan saja. Pergi jumpa doktor dan setelah dirawat, diberikan ubat yang lebih sikit untuk mengawal simptom dan dia lebih lega dan terkawal.

Belanja pada yang asas dan terbukti saja

Tapi macam itulah yang berlaku pada ramai lagi mereka yang hadapi masalah kesihatan yang serupa. Sakit yang tiada ubat lagi secara perubatan moden.

Akan muncul penjual ramuan luar biasa yang mendakwa mereka ada jalan penyelesaian yang dicemburui oleh para doktor moden.

Anda yang lemah akhirnya tewas habis duit simpanan dalam tempayan. Dan mereka gembira agihkan perkongsian laba dari upline turun ke downline. Lepas itu ambil gambar selfie kejayaan bisnesnya di depan kereta mewah Merz yang baru dibeli.

Apa yang saya belajar dari semua kejadian itu adalah, untuk habiskan duit yang ada bukan dengan membeli segala ubatan suplemen yang masih tiada bukti untuk diyakini.

Sebaiknya, habiskan saja duit dengan membeli makanan asas yang berkualiti tinggi tanpa ada pencemaran teknologi buatan moden. Sayur organik umpamanya.

Keluarkan duit untuk pastikan minuman yang masuk ke kerongkong anda itu adalah bebas dari segala bahan campuran klorin dan pencemaran lain. Pastikan air itu tinggi kandungan oksigennya dan banyak bahan mineralnya. 

Keluarkan duit juga untuk makan hanya sayuran dan buahan organik yang bebas dari bahan kimia dan bahan cemar lain. Banyakkan makan sayur dan buah macam itu sebab di dalamnya ada seribu satu macam kebaikan untuk kesihatan tubuh badan anda.

Keluarkan duit untuk membolehkan anda bergerak dan bersenam supaya tubuh badan lebih fleksibel dan berfungsi dengan baik.

Keluarkan juga duit untuk adakan suasana rumah yang bersih, aman damai dan banyak tumbuhan untuk tenangkan jiwa agar anda mudah tidur dan minda lebih sehat.

Keluarkan duit untuk kerap pergi masuk ke taman hijau atau pusat rekseasi hutan atau sungai atau laut, yang memboleh akan disentuh oleh alam semula jadi. Ini akan sihatkan jiwa dan minda anda.

Takkan habis banyak pun duit kalau buat semua itu. Jauh berkali ganda lebih murah dari kena tipu dengan peniaga suplemen atau ubat ajaib yang tidak konsisten kesannya.

Usaha begitu adalah terbukti sangat berkesan secara perlahan-lahan. Kerana anda sebenarnya sedang memulihkan tubuh badan luar dan dalaman anda sendiri supaya kembali berfungsi dengan lebih baik. 

Perawat yang paling hebat untuk apa saja masalah kesihatan anda adalah tubuh badan anda sendiri.

Jadi laburkan duit, habiskan duit untuk buat benda asas saja agar badan anda berfungsi secara maksimum.

Formulanya, jaga air dan minuman, jaga makanan, jaga rehat dan jaga tidur .. insyaallah sangat mujarab.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Sila waspada dengan perniagaan yang mengambil kesempatan dari masalah kesihatan orang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !