Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

30 May 2021

Adakah sebahagian dari Babi sama dengan seekor Babi - Perbandingan Babi dengan Manusia

  Ano Nyme       30 May 2021

Soalan ini tiba-tiba melintas masuk dalam pemikiran bila terbaca laporan mengejutkan tentang kandungan vaksin AstraZeneca ada babi. Laporan itu jadi viral dikongsikan oleh kawan-kawan dalam grup wasap, macam biasa, sangat sensitif dalam perkara halal dan haram.

Isu ada babi itu panas di bincangkan di negera jiran, Indonesia, sejak bulan March 2021 yang lalu. Baru sekarang masuk dalam saluran media sosial Malaysia lalu timbulkan sedikit kecoh.

Sebelum ribut babi di Indonesia, ribut lebih kurang sama berlaku lebih awal di barat sana. Tapi bukan isu ada babi dalam AstraZeneca. Sebaliknya ada dakwaan vaksin itu mengandungi sel manusia di dalamnya.

Vaksin itu juga didakwa ada virus yang diambil dari Chimpanzees.

Berikutan dakwaan itu, ada yang menolak dari mendapat suntikan vaksin AstraZeneca atas faktor pegangan agama. Bukan orang Islam sahaja. Orang Kristian juga turut sama menjauhkan diri dari vaksin itu.

Saya semak isu tersebut dan dapat penjelasan duduk sebenar perkaranya. Memang asalnya virus-virus untuk dijadikan vektor pembaca kod genetik yang mahu disuntik ke dalam badan manusia diambil dari Chimpanzees.

Sel manusia yang diambil dari janin juga ada digunakan pada peringkat awal kajian dulu pada tahun 1970. Kemudian bahan dari sel itu di klon banyak-banyak dan sejak dari itu kajian saintifik terus menggunakan bahan klon tersebut dan bukan lagi diambil secara terus dari janin. 

Kaji babi cari solusi masalah manusia


Saya pun tak faham sangat secara detail. Tapi boleh agak bagaimana para saintis selama ini buat kajian demi kajian untuk selesaikan masalah manusia dalam menghadapi penyakit. Banyak kajian ditemui hasil dari mengkaji perbezaan antara manusia dengan haiwan sampai ke peringkat genetik.

Tak hairanlah jika vaksin atau bahan-bahan yang dikilangkan kemudiannya akan ada berbagai unsur, peringkat sel atau protein, yang sama didapati dari haiwan. Paling banyak dah tentu dari babi sebab maklumat yang saya cari menunjukkan genetik babi banyak persamaan nya dengan manusia.

Bila saya google soalan perbezaan antara babi dengan manusia, keluar banyak maklumat berkenaan perkara tersebut. Bukan dari penulisan kampung macam blog saya ni. Malah dari portal universiti dan institusi penyelidikan.

Dah lama penyelidik bandingkan babi dengan manusia. Kalau anda berdiri sebelah babi memang nampak sangat berbeza boleh kenal mana satu babi mana satu manusia. Tapi jika diuraikan satu persatu bedah, pisahkan, organ, sehinggalah ke peringkat sel dan genetik, tak ada banyak perbezaan sebagai mana rupa yang anda lihat antara babi dengan manusia berdiri bersebelahan tadi.

Salah satu post yang anda boleh baca ada pada pautan ini. Cuba pergi baca. Banyak lagi maklumat berkenaan beza dan persamaan antara babi dengan manusia boleh anda baca. Klik kat sini untuk lihat senarai yang google tawarkan.

Tak ada babi dalam AsraZeneca - KKM


Khairy Jamaludin nafikan berita kononnya ada babi dalam AstraZeneca seperti mana dilaporkan kat sini. Menteri Kesihatan juga sebut perkara sama dalam menjelaskan isu tersebut. Google saja untuk tengok semua laporan berkenaan isu yang sama.

Tapi macam biasa, rakyat tak suka dan tak percaya apa saja yang menteri kat negara kita sebutkan. Krisis tak percaya dah berpahat kuat sejak sekian lama. Bukan salah rakyat bila jadi begitu. Memang banyak kenyataan pemimpin yang tak boleh dipercayai pun. Terutamanya dalam bab penafian.

Satu video berkenaan pemimpin yang baru dibuang kerja dari jawatan besarnya yang berikan amaran jangan probok probok tu saya lihat bergegar ceramahnya pertahankan pemimpin melayu isele dari cina dap. 

Katanya dengan yakin cina dap kaki penipu dan nak hancurkan melayu. Tapi ternyata paling banyak kes tipu melayu, tipu kerajaan melayu, tipu duit rakyat adalah pemimpin melayu tu sendiri dan mungkin termasuk dia sekali yang bakal dibuktikan oleh MACC nanti.

Balik semula pasal penafian, tak ada babi dalam AstraZeneca secara terus memang betul dan tepat sekali. Proses pembentukan virus masa awal saja ada kaitan sikit dengan enzim babi. Itupun untuk cultivate virus tu saja.

Kemudian dipisahkan virus yang dah dimodifikasikan itu untuk proses seterusnya untuk dijadikan vaksin. Virus tu kena dibela atau dihasilkan untuk disuntik masuk dalam badan kita. Bila badan baca kod yang ada pada virus tersebut, dia akan mula bertindak untuk bina pertahanan baru buat hadapi virus covid 19. Macam itulah lebih kurang apa yang berlaku secara fahaman bodoh ala orang kampung macam saya ni.

Majlis ulama Indonesia memang dah fatwakan vaksin tu haram. Itu jelas berdasarkan disiplin menentukan hukum hakam dalam agama Islam yang mereka pegang. Betul lah tu, kita yang jahil ni pun boleh faham kalau buat jeruk mangga rendam dalam wine atau todi, kemudian keluarkan jeruk tu, jemur tengah panas. 

Kemudian bungkuskan jeruk dalam plastik jual RM3 sebungkus pada orang ramai, haram dan tak boleh makan geruk tu. Sebab dalam proses buat jeruk tu ada bersentuhan dengan benda haram, maka jeruk tu jadi haram lah.

Tapi majlis ulama Indonesia juga kata, walaupun haram, boleh diambil atas faktor keperluan yang membutuhkan. Tengok dokumennya pada pautan ini.

Sebahagian dari babi adakah sama dengan babi


Panjang saya kona untuk nak balik semula ke tajuk asal artikel ini. Itulah persoalan sebenarnya yang tengah saya fikirkan.

Saya teringat persoalan sama diutarakan ketika belajar bab fekah dulu. Ianya berkenaan mayat manusia. Bila saya anda yang baca mati, wajib diuruskan mayat kita secara yang suruh oleh agama. 

Mandikan, kapankan, solatkan dan kebumikan. Itu kes mati secara biasalah. Semua orang tahu perkara tu.

Masa belajar saya tanya tok guru kalau kaki pengidap kencing manis kena potong macam mana pulak?

Adakah dia dianggap sebagai mayat manusia. Jika ya, ertinya kena buat perkara sama, iaitu mandikan, kapankan, solatkan dan kebumikan.

Tapi tok guru jawab tidak! 

Ambil tanam saja macam biasa tak jadi masalah.

Maka saya rumuskan yang sebahagian dari manusia adalah bukan manusia. Sebahagian dari mayat manusia adalah bukan mayat manusia. Proses kendaliannya tak sama. Tapi tetap juga kita panggil kaki manusia.

Adakah kaki manusia najis bila dah dipotong?

Bila saya tanya soalan itu, tok guru jawab berbalik kepada asal manusia. Maksudnya, asal manusia itu bila mati adalah suci. Oleh itu jika ada anggota yang terputus darinya, anggota itu sama macam asal iaitu, suci.

Dalam bab ini pula, boleh difahami yang sebahagian dari manusia adalah sama macam manusia itu sendiri.

Dalam bab binatang, tok guru berikan pendekatan sama juga. Untuk tahu samada anggota binatang yang dipotong adalah najis atau tidak, berbalik juga kepada asal binatang itu. Maksudnya, jika anda jumpa ayam mati, ianya adalah najis.

Makanya apa saja anggota ayam tu terputus sedangkan ayamnya masih hidup, anggota itu adalah najis sebab bangkai ayam bila mati tanpa sembelih adalah najis.

Sama juga jika anda jumpa sebungkus kepak ayam yang dah dibersihkan tepi jalan. Boleh makan ke tak?

Adakah kepak ayam tu halal atau najis?

Nak buang sayang ler pulak. Bersih kemas dan segar lagi tu !

Untuk jawab, mudah juga. berbalik kepada soalan tadi jika anda jumpa bangkai ayam najis atau tidak? Jawabnya najis. Jadi apa saja anggota yang anda jumpa tak tahu samada sembelih ke tak, adalah najis ler juga. jadi jangan pi makan.

Sama juga jangan buat pandai kerat peha lembu sebelah dan biarkan hidup dengan 3 kaki lagi. Anda lapah kaki yang dikerat tu, ambil isi dan tulangnya. Sebahagian buat kari tulang dan daging pula buat masak kicap .. 

Boleh ke tak?

Dah tentu tak boleh sebab asal bangkai lembu adalah najis. Maka apa saja anggota yang diceraikan darinya akan jadi najis.

Unsur babi adakah sama macam babi


Itu bab anggota. Apa pula hukumnya bila dihalusi lagi sampai ke peringkat sel. Pecahkan lagi ambil kod genetik atau rantaian DNA babi saja. Adakah ia perlu dianggap sebagai babi juga.

Protein yang ada dalam bangkai babi, terurai sebelah pokok kacang bendi kat kebun sayur. Diserap masuk dalam tanah, kemudian akar pokok serap jadikan zat bajanya. Ada pertalian zat babi pada buah kacang bendi tu. Adakah ianya boleh dianggap sebagai haram juga sebab ada kaitan dengan bahan babi.

Tak silap saya Yusuf Qardawi dah jawab perkara tiu bila meletup kes coklat yang ada bahan babi dulu. Katanya bila dah terurai masuk keluar makmal kemudian masuk dalam makanan uraian tu, ianya tak sama dengan babi lagi.

Saya malas nak cari fatwa berkenaan isu tu, kalau anda rajin cari fatwa Yusuf Qardawi tu. Dia berikan penjelasan dalam perkara saintifik terurai macam tu dah tak sama dengan isu semudah makan daging babi.

Bila difikirkan secara logik falsafah, semuanya jadi berbeza pula. Saya berikan contohnya begini.

Katakan satu benda adalah gabungan dari berbagai benda. Kemudian boleh dipecahkan lagi ke bawah lebih kecil dan lebih kecil ke peringkat paling kecil. Katakan peringkat paling kecilnya adalah atom.

Jika atom itu dianggap suci, maka gabungan semua atom yang suci digabungkan jadi Babi sudah tentu adalah suci juga. Mana boleh gabungan semua benda suci jadinya 'tak suci'?

Jika ambil dari pendekatan fiqah yang saya terangkan di atas tadi. Untuk kenal pasti samada pecahan dari sesuatu itu suci atau tidak, cukup hanya dengan melihat asalnya. Maksudnya, babi asalnya tak suci, lalu membawa kepada semua pecahan dari babi adalah tak suci.

Kita pecahkan sehingga ke peringkat atom, atau benda yang lebih kecil lagi dari itu, membawa kepada semuanya adalah tidak suci. Barulah selari dengan hukum asal bahawa gabungan kesemua benda tak suci menjadikan gabungan atom sampai jadi babi adalah tak suci.

Antara 'matter' dengan 'conscious'


Tapi rumusan itu bawa kepada satu lagi masalah pula. Apa saja benda paling kecil yang ada pada babi ada juga pada manusia. Sampai ke peringkat genetik semuanya menghampiri manusia. Cuma struktur atau susunannya sahaja yang berbeza, yang membawa kepada bentuk manusia.

Rujuk balik kepada atom babi tak suci di atas tadi, gabungan benda yang sama juga disusun sehingga menjadi manusia. Gabungan benda tak suci untuk dijadikan manusia membawa kepada rumusan yang manusia itu tidak suci. Tapi ia bertentangan dengan hukum fiqah yang menakrifkan manusia adalah suci.

Secara ringkas, logik dari segi kebendaan, ada masalah yang bertentangan kat situ. Kejap suci kejap tak suci pada perkara yang sama. Cara tersebut tak dapat selesaikan masalah dengan konsisten.

Perlu lihat dari sudut lain pula.

Ada satu lagi benda yang ada pada manusia atau babi. Kehidupan. Atau kita boleh panggil sedar (consciousness). Tahap kesedaran antara manusia dan babi boleh dilihat sangat berbeza.

Setakat ini, boleh dikatakan tahap kesedaran manusia adalah pada tahap yang jauh lebih tinggi dari babi. Adakah bermakna yang tidak suci itu bukanlah benda (matter). Sebaliknya adalah kesedaran itu. 

Ertinya kesedaran yang ada pada babi itulah yang tidak suci. Manakala kesedaran yang ada pada manusia itulah yang membuatkannya jadi suci. Maksudnya yang suci atau tidak adalah kesedaran dan bukannya kebendaan.

Kesedaran ada pada semua bendakah?


Ini membawa pula kepada persoalan baru. Adakah semua benda itu sedar?

Najis manusia contohnya, umum tahu tidak punya apa-apa kesedaran setakat ini. tapi masih diklasifikasikan kepada najis. Maksudnya ia bukanlah berdasarkan tahap kesedaran yang ada pada najis itu.

Air juga tak ada kesedaran. Tapi dianggap suci. Nampak kat situ samada sedar atau tidak sedar, boleh saja untuk jadi suci atau tidak suci.

Cuba asingkan antara benda dan kesedara lalu berikan takrifan suci atau tidak berdasarkan tahap sedar nampaknya tidak konsisten juga. Perlu cari pendekatan lain lagi.

Suci atau tidak hanya terhadap manusia


Satu lagi sudut yang boleh dilihat adalah, suci atau tidak hanya timbul apabila ianya mahu dikaitkan kepada manusia. Ertinya bila manusia nak gunakan sesuatu, barulah timbul persoalan suci ke tak suci.

Ia tidak ada kena mengena dengan benda itu sendiri.

Babi untuk dirinya sendiri tak ada isu samada suci atau tidak. Ia hanyalah seekor babi. Sebaik saja manusia nak berurusan dengan babi dan apa saja kaitan yang bersangkutan dengan babi baru timbul isu suci atau tidak.

Ia menjurus kepada yang menentukan suci atau tidak adalah manfaat atau kesannya terhadap kegunaan manusia itu sendiri untuk manusia.

Jika mendatangkan manfaat pada manusia, maka ianya adalah suci. Jika membawa mudarat, maka ianya jatuh tak suci. 

Jika rumusan itu yang diguna pakai, barulah selari dan konsisten kepada penentuan hukum suci, halal atau haram. Ia bergantung kepada faedah kegunaan dan tiada kaitan dengan benda itu sendiri. 

Ia juga akan berubah-ubah bergantung kepada pengetahuan manusia itu sendiri yang berkembang makin lama makin jauh. Makin banyak yang ditemui dan makin banyak yang manusia dapat kuasai.

Panjang lagi boleh dikembangkan pertanyaan demi pertanyaan dan perbandingan demi perbandingan yang tak akan habis .. Terima kasih sebab sudi membaca sampai sini!
logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Adakah sebahagian dari Babi sama dengan seekor Babi - Perbandingan Babi dengan Manusia

Previous
« Prev Post

2 comments:

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !