Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

02 May 2021

Coretan berkenaan amalan Rasuah yang wajib rakyat Malaysia jauhi - Artikel sumbangan Azad Jasmi

  Ano Nyme       02 May 2021


Amalan rasuah sudah jadi budaya kerja di negara kita. Budaya bermaksud amalan yang sering diulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan dan selamber rock. 

Perkara ini semua orang tahu berlaku dengan amat berleluasa. Tapi disebabkan dah terlalu lama, tahap rasa benci terhadapnya makin lama makin nipis. 

Rasa marah hanya akan berlaku apabila contohnya seorang kontraktor tidak diberikan kerja walaupun harga dan kelayakannya lebih baik dari pesaingnya yang dianugerahkan tender itu. Sebab pesaing itu suap pegawai yang berkuasa mempengaruhi dan seterusnya meluluskan tender.

Dah ramai orang cakap pasal masalah rasuah ni. Tapi ianya masih tetap berlaku. Oleh itu, adalah elok untuk lebih banyakkan lagi kita bercakap menolak rasuah sehingga akhirnya setiap warganegara Malaysia akan turut sama bercakap dia benci rasuah.

Bila jadi begitu, diharapkan timbul rasa malu seandainya dia bercakap pasal rasuah sedangkan diam-diam dia ambil atau suap duit rasuah ketika berurusan dalam hidupnya.

Jom kita dengar apa perkongsian En Azad Jasmi berkenaan rasuah di bawah ni.

___________ *** _____________

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sesungguhnya agama kita menganjurkan kita untuk sentiasa berusaha mencari rezeki yang halal lagi baik. Oleh itu, dalam mencari rezeki kita hendaklah mengikut landasan ajaran agama agar rezeki yang diperolehi itu tidak dicemari dengan perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak, etika dan moral seperti melakukan rasuah. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al- Baqarah ayat 168:

“Wahai manusia! Makanlah makanan daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh nyata bagi kamu.”

Rasuah adalah suatu pembaziran berupa sogokan yang diberikan kepada seseorang dengan sebab tertentu bagi membolehkan perkara yang dihajati dapat diperolehi, diselesaikan, disegerakan dan sebagainya. Ketahuilah, rasuah merupakan perbuatan yang keji dan dilarang dalam agama Islam dan ia boleh terjadi dalam berbagai bentuk, antaranya:

Pertama: Pembaziran rasuah melalui pembaziran wang atau apa jua pembayaran, pinjaman, upah, ganjaran berharga atau harta benda lain atau kepentingan harta benda dalam apa bentuk sama ada wang boleh digerakan atau tidak.

Kedua: Pembayaran rasuah melalui pemberian jawatan, kehormatan, pekerjaan, kontrak atau perkhidmatan atau perjanjian pekerjaan atau khidmat.

Ketiga: Pembayar rasuah melalui pemberian pembayaran, pembebasan, penjelasan atau penyelesaian apa jua pinjaman, tanggungjawab atau tanggungan, sama ada sebahagian atau keseluruhannya.

Keempat: Pembayaran rasuah melalui pulangan berharga, diskaun, komisyen, rebate dan bonus.

Kelima: Pembayaran rasuah melalui pemberian bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh.

Keenam: Pemberian rasuah melalui tawaran, jaminan atau janji untuk memberi apa jua suapan.

Sesungguhnya mereka yang melakukan perbuatan rasuah merupakan orang yang tidak berintegriti, tidak bermoral, tidak jujur dan tidak amanah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam memberi peringatan kepada umatnya bahawa hilangnya sifat amanah dalam masyarakat merupakan antara tanda-tanda kecil berlakunya hari kiamat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Anfal ayat 27:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah mengkhianati Allah dan rasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahunya.”

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala dan rasulNya melaknat pemberi, penerima dan pengantara perbuatan rasuah. Laknat Allah Subhanahu Wata'ala bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan. Seseorang yang dilaknat oleh Allah Subhanahu Wata'ala adalah mereka yang jauh daripada mendapat rahmat dan taufiq daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Apabila tidak mendapat rahmat maka jauhlah dia daripada segala kebaikan dan nikmat Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Maksudnya:

Daripada Abdullah bin Amru, katanya: Telah bersabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassallam: Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Amalan rasuah memberi kesan yang buruk, bukan sahaja kepada individu bahkan juga terhadap masyarakat dan negara. Antara kesan buruk kepada individu ialah seperti kejatuhan moral atau maruah, kehilangan pekerjaan, hilang kepercayaan masyarakat dan sebagainya. 

Manakala antara kesan buruk rasuah terhadap masyarakat dan negara ialah seperti mengakibatkan ketidak adilan disebabkan menafikan hak-hak orang tertentu, melindungi dan menggalakkan jenayah, menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran, menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan, menurunkan mutu dan kualiti kerja dan sebagainya.

Antara punca berlakunya rasuah adalah disebabkan kurangnya keimanan dan ketakwaan. Seseorang itu mengetahui bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga kerana matanya dikaburi oleh harta duniawi, imbuhan dan ganjaran yang banyak. begitu juga tekanan hidup seperti terlalu banyak hutang dan kurang bijak dalam gejala rasuah. 

Faktor kelemahan dalam kepimpinan dan pengurusan sesebuah organisasi juga boleh memberi ruang dan kesempatan kepada pemberi dan penerima rasuah untuk melakukan jenayah. ketahuilah, mereka yang melakukan rasuah didorong oleh sifat tamak untuk hidup mewah, menjana pendapatan lebih dan ingin hidup senang dan mudah.

Sesungguhnya rasuah tidak pernah menjanjikan kesenangan yang sebenar walaupun kita beroleh keuntungan yang sangat besar daripadanya. Ketahuilah, hasil yang diperolehi melalui rasuah adalah haram dan tidak berkat. Sanggupkah kita memberi makan dan minum kepada anak isteri, suami serta keluarga kita dari sumber yang haram? Ingatlah, memakan makanan dari sumber yang haram maka nerakalah lebih utama baginya, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:

Maksudnya:

Daripada Jabir bin Abdullah Radiallahu Anhu, bahawasanya Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidak akan memasuki syurga, daging yang tumbuh daripada yang haram, api neraka lebih utama baginya.

Orang yang melakukan rasuah, ibadah sembahyang dan doa-doanya tidak diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Apabila seseorang itu berdoa tetapi tangan yang ditadahnya itu digunakan untuk menerima dan memberi rasuah, makanan yang masuk melalui mulutnya yang kumat-kamit berdoa itu pula bersumberkan duit rasuah, pakaian yang dipakainya juga daripada hasil rasuah, maka bagaimana doa orang itu hendak dikabulkan dan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala? Orang yang memakan harta secara batil seperti rasuah adalah tergolong sebagai orang yang muflis di akhirat kelak. 

Maksudnya melepas di akhirat itu ialah segala amal kebajikannya diambil dan diberikan kepada orang yang pernah dizaliminya di dunia. Jika amalannya tidak mencukupi untuk menebus dosa-dosanya, maka kejahatan orang yang dizaliminya itu akan dipindahkan kepadanya kemudian dia dimasukkan ke dalam neraka.

Sesungguhnya rasuah tidak sesekali akan berlaku jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran agama, sentiasa memantapkan keimanan dan ketaqwaan serta takut kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala walaupun berpeluang untuk melakukannya. 

Akhirnya, marilah kita berdoa supaya kita dijauhkan daripada melakukan perbuatan keji dan munkar seperti rasuah dengan sentiasa menanamkan sikap amanah, jujur dan ikhlas dalam setiap tugas dan pekerjaan serta sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari berbuat kejahatan. Mudah-mudahan dengan yang demikian kita akan mendapat keredhaan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.


logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Coretan berkenaan amalan Rasuah yang wajib rakyat Malaysia jauhi - Artikel sumbangan Azad Jasmi

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !