Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

13 May 2021

Raya Puasa 2021 - Pengalaman tahun ke-2 raya dalam suasana PKP tak balik kampung

  Ano Nyme       13 May 2021


Hari ni, 13 May 2021 bersamaan 1 Syawal 1442, tahun ke-2 berturut-turut menyambut hari raya puasa dalam suasana PKP 3.0.

Saya cuba ingat semula kali akhir raya dalam keadaan biasa, sebelum munculnya perkataan 'norma baharu', bermula tahun lepas. Nasib baik ada galeri gambar dalam telefon. Bila buka, nampak foto satu keluarga kat rumah mak di kampung.

Tema baju raya tahun 2019 masa tu adalah warna unggu. Bila tengok semua gambar tu, baru dapat imbau balik keadaan raya ketika suasana biasa tanpa ada ancaman Covid-19. Masa tu balik awal sebelum raya.

Sempat berpuasa kat kampung bersama dengan mak dan keluarga adik, yang jaga mak. Sempat juga pergi bazar ramadan sebelah petang beli kuih dan juadah buka puasa lain yang sangat menggoda duit setiap kali lalu semua gerai sepanjang Ban Busuk Kubang Semang tu. Sempat serempak kawan lama kampung ketika meronda gerai.

Sehari sebelum itu juga, bergerak dari rumah ke Kuala Nerang. Pergi ziarah abang no 2 yang tak berapa sihat tahun tu. Masa kat situ, borong banyak kuih tradisional, dodol, ala maskat, baulu, kuih bakaq, serondeng juga biskut serta kek yang murah ada kat sana.

Pendek kata, suana raya balik kampung dan meronda sana sini tanpa ada masalah berlaku kali akhirnya pada tahun 2019 saja. Masa tu tak terlintas lansung akan adanya keadaan wabak macam sekarang yang merubah 360 darjah gaya kehidupan kita.

Kali ke-2 solat sunat raya kat rumah

Tahun ni, tidak seketat macam tahun lepas. Masih boleh solat tarawih dan solat sunat hari raya di masjid dan surau dalam bilangan yang dihadkan. Hanya beberapa kali saja saya pergi berjemaah solat tarawih kat surau, lepas tu tak pergi lagi sampai habis ramadan.

Saya pergi berjemaah sunat tarawih masa awal ramadan saja. Bawa sejadah, pakai pelitup mulut dan hidung. Masa kat surau semua SOP dipatuhi. Amalan jarakkan saf satu meter sebenarnya membuatkan rasa selesa. 

Dalam keadaan biasa, solat tarawih rapat-rapat memang terasa bahang dan berpeluh badan. Tambah pulak jika duduk kat luar yang tak ada pendingin hawa. Nah! sekarang kena duduk jarang. Terus rasa janggal pulak. Macam tak ada ikatan ukhwah rasanya sesama makmum.

Apa yang paling tidak selesa bagi saya adalah terpaksa bersolat dalam keadaan pakai pelitup muka. Hidung jenis sensitif, mudah bersin. Bila pelitup tu ada berbuu sedikit, dah rasa gatal. Pakai kaca mata, kembang kempis hidung, cermin jadi berwap. Keadaan itu merimaskan jiwa yang nakkan ketenangan ketika solat. 

Akhirnya saya hanya solat kat rumah saja yang secara keseluruhannya rasa lebih tenteram dan selesa. Solat dua rakaat dan buka apps Al-Quran, baca ayat dan baca tafsiran. Buka lebih dari 5 tafsiran untuk setiap ayat yang dibaca. Semak setiap makna perkataan satu persatu untuk cuba fahamkan betul-betul maksud yang lebih luas dari setiap ayat.

Pukul 8.30 pagi tadi, setelah semua siap bersedia, saya imamkan solat sunat hari raya kat ruang tamu rumah saja. Sama macam tahun lepas juga kami anak beranak buat kat rumah tak pergi masjid atau surau.

Habis selesai solat dan bersalaman, kami duduk kat meja makan ramai-ramai segala juadah yang isteri sediakan sejak kelmarin. Nasi himpit, rendang, ayam dan daging, kuit dan biskut raya semuanya ada. 

Itu saja yang dapat membezakan antara hari biasa dengan hari raya. Walaupun isteri dan anak sibuk kirim suruh beli macam-macam bahan nak buat kuih dan memasak sebelum ni dalam hati rasa macam tak payah. Tapi bila pagi raya baru sedar kerja bersusah payah mereka itu sebenarnya nak memberikan makna terhadap sambutan beraya.

Sama juga anak-anak dan isteri kalut sebelum ni nak beli baju raya. Dalam hati memang tertanya awat depa ni tak fikirkan keadaan Covid-19 yang meningkat semula berikan isyarat raya dah tak macam biasa lagi. 

Tapi layan dan belikan juga. Pagi tadi, dalam keadaan masa yang singkat itu dapat rasakan adanya raya, sambutan kemenangan sebulan berpuasa dengan berpakaian raya macam itu. Tapi memang lebih bagus jika recycle saja bahan tahun lepas. jimatlah sikit duit dalam akaun bank tu. Nak luahkan idea tu takut isteri buat muka pulak .. tak apa lah. Duit habis nanti, pandai-pandai lah selesaikannya. Raya dulu bila dah ada.

Solat Raya 3 shif di Pulau Pinang

Petang semalam, tengok kat twitter orang share kat Singapura umat Islam akan tunaikan solat sunat hari raya di masjid secara 3 shif. Saya terus google cari maklumat lanjut bagaimana Singapura uruskan perkara tersebut.

Dari google saya dapat tahu rupanya maklumat tu dah diwar-warkan sejak Jumaat lalu. Majlis Agama Islam Singapura yang susun kemudahan tersebut untuk dilakukan oleh semua masjid di sana.

Mereka juga gunakan apps supaya orang Islam di sana boleh mula tempah tempat untuk mengisi kekosongan ruang yang ada di masjid. Tempahan dibuka pada hari selasa pukul 10 lagi, iaitu semalam.

Memang sangat cekap pengurusan mereka nampaknya. Tapi saya tak pasti adakah perkara sama di lakukan di mana-mana negeri di negara kita.

Tak lama selepas itu, saya tengok Pulau Pinang pula umumkan pada malam raya semalam untuk diadakan solat sunat raya sebanyak 3 shift. 

Ada kawan share kat grup taman di Selangor tempat saya tinggal. Berkenaan Penang buat perkara tersebut dan kawan tu puji Penang sambil tanya kenapa Selangor tak buat perkara sama. Terus tengok seorang wak mencarut Perkongsian dan pujian itu.

Saya rasa dia marah sebab benci pada DAP. Negeri Pulau Pinang tu diperintah oleh parti DAP yang dia benci tu. Apapun, bagi saya itu sikap yang tidak rasional lansung!. Samada kerajaan DAP atau UMNO yang memerintah Penang, ia masih di bawah satu negara Malaysia. Manakal hal ehwal umat Islam di Penang pula adalah di bawah Agong secara terus. Jadi pakailah otak sikit kalau nak bendi kat DAP pun.

Berikutan dibenarkan solat raya 3 shift tu, kawan-kawan kat grup kampung di sana terus tukar status grup wasap anak kariah Kubang Semang kepada admin saja boleh komen. Untuk susun dan berikan maklumat tentang penganjuran 3 shif solat raya.

Kebetulan kat Kubang Semang ada satu lagi Masjid Lama, maka mereka susun agar kedua-dua masjid, lama dan baru digunakan untuk tujuan solat sunat raya. Ertinya akan ada 6 batch orang kampung yang dapat tunaikan solat raya.

Setiap satu batch masuk 50 jemaah. Mereka susun gerak kerja bersama dengan petugas melalui grup wasap anak khariah. Semua komunikasi digunakan wasap tu. Dan saya tengok semuanya sempurna dapat dijalankan.

Kubang Semang tak ada masaah nak buat semua tu sebab ramai yang boleh jadi imam .. Tahniah kepada kawan-kawan yang cekap susun semua itu berjalan dengan lancar.

Zoom ganti ziarah saudara

Ziarah menziarah tak dibenarkan tahun ni. Dengar kata pihak berkuasa akan adakan spot check secara rawak untuk pastikan orang ramai taat arahan itu.

Sepanjang jalan kat luar, nampak semua orang akur. Masing-masing kekal kat rmah saja. Saudara rapat yang duduk satu kawasan adalah yang curi-curi datang juga. Datang makan-makan dan sembang sedikit sebanyak untuk merasa juga suanana beraya.

Pukul 12 tengahari, saya masuk zoom untuk sesi raya online dengan adik beradik. Ada kat Langkawi, ada di Kuala Nerang, Ada di Kuala Lumpur, ada di Selangor, ada di Kepala Batas, Pulau Pinang. 

Nasib baik ada benda Zoom tu. Macam tahun lepas kami buat cara yang sama untuk kumpulkan semua adik beradik. Sembang dan melawak sebentar. Boleh dengar suara dan nampak muka masing-masing kat skrin komputer tu sekalipun tak berapa lancar sebab line tak kuat.

Nampak kelemahan infra teknologi perhubungan negara yang masih ketinggalan berbanding negara seperti Singapura. Bukan semua tempat signalnya kuat dan lancar. Jadi sesi online macam itu tidak lancar dan agak mengecewakan. Bila agaknya semua itu akan dibuat penambah baikan entahlah.

Sesi zoom semua adik beradik itu jadi kemuncak sambutan raya tahun ni. Selepas selesai, terus bertukar pakaian yang lebih longgar dan nipis. Tak tahan dengan bahang panas pakai baju melayu lengkap duduk dalam rumah lama-lama.

Dan jadi sejarah juga sebab boleh menulis dan posting artikel ni pada hari raya pertama. Selesai bab raya tahun ni. Esok sambung puasa 6 hari syawal pulak sampai habis, insyaallah!

Selamat hari raya aidilfitri semua yang sudi kunjungi blog ini .. maaf seandainya tersalah bahasa terkasar kata. Jika ada yang tak betul, betulkan dan tegurlah. Terima kasih!

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Raya Puasa 2021 - Pengalaman tahun ke-2 raya dalam suasana PKP tak balik kampung

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !