Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

01 June 2021

Ini yang akan berlaku jika anda pergi dapatkan suntikan vaksin AstraZeneca di WTCKL

  Ano Nyme       01 June 2021


Dah daftar untuk dapatkan suntikan vaksin atau belum?

Ramai yang dah daftar sebaik saja kerajaan buka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Bila buka MySejahtera di saat saya menulis ni, paparan kemaskini maklumat program vaksin kerajaan menunjukkan seramai 12,267,350 sudah mendaftar.

Dari situ, yang dah divaksinasikan adalah seramai 2,011,455 orang. Semua maklumat ada kat situ. Jika anda tak buta internet, boleh semak semua status kat dalam aplikasi MySejahtera saja.

Sabah paling kurang daftar

Setakat hari ni, negeri paling rendah pendaftaran adalah Sabah. 

Saya andaikan punca utamanya adalah akses kepada kemudahan online. Bukan faktor antivaksin atau sengaja tak mahu suntikan. Itu semua bukti kelemahan kerajaan sama ada yang dulu atau sekarang. Pakat terima kelemahan tu dan baiki segera.

Negeri kedua yang paling sedikit mendaftar adalah serambi Mekah, itulah yang mereka gelarkan pada negeri Kelantan sana. Setakat hari ni, baru 34.75% saja yang daftar. Samada isu akses tak ada atau, ada, tapi tak tau guna, perlu dibuat siasatan.

Yang dah daftar kemudian tak hadir, merupakan satu lagi masalah yang dihadapi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini.

Bukan sedikit, tapi sangat ramai. Pahang, 10 ribu, Johor lebih 14 ribu, Melaka hampir 4 ribu, Negeri Sembilan lebih 6 ribu, Kelantan lebih 10 ribu dan Perak 9 ribu yang tak hadir.

Isu tak daftar dan tak hadir ni, saya baca laporan, berlaku juga di banyak negara lain terutamanya di Asia. Jadi bukan terhad unik di kalangan rakyat negara kita sahaja. Jadi tak perlu komen dan biar kerajaan siasat dapatkan penyelesaiannya.

Apapun, jika anda belum daftarkan diri atau nak cari maklumat perkembangan program vaksinasi ni boleh terus ke pautan kat sini.

Daftar vaksin AstraZeneca

Saya bukan masuk kategori frontliner. Bukan juga kurang upaya atau warga emas. Tapi mendapat keistimewaan disuntik awal sebab pantas rebut peluang bila kerajaan buka siapa nak ambil suntikan vaksin AstraZeneca.

Dengar kata ramai yang khuatir dengan vaksin tu. Ada kes beku darah selepas suntikan. Saya cari maklumat dan buat kesimpulan itu adalah kes yang amat jarang. Risiko buruk yang mungkin terkena adalah jauh lebih rendah dari manfaat kebaikan yang diberikan oleh vaksin tersebut.

Jadi bila dapat tahu pendaftaran sukarela dibuka, saya terus masuk portal dan tempah satu slot. 

Hasilnya, hari ini, saya disuntik vaksin AstraZeneca di WTCKL dengan selamatnya. Saya kongsikan sikit apa yang berlaku sepanjang dari mula bergerak menuju ke pusat suntikan di KL tu sampailah selamat balik ke rumah.

Proses temujanji suntikan vaksin

Selepas pendaftaran diterima, masa kerajaan buka sebelum ini, maklumat pendaftaran saya, terus dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera, walaupun pendaftaran tu bukan buat kat MySejahtera.

Saya hanya perlu masuk semula dan confirmkan saja pendaftaran tu. Dan semua maklumat seperti tarikh, masa lokasi dan lain-lain diberikan secara terang dalam MySejahtera. 

Bagi yang tak tahu, anda boleh masuk ke aplikasi MySejahtera klik pada Covid-19 Vaccination. Kemudian kat atas sekali ada Vaccine for 'nama anda'

Klik kat situ dan maklumat berkenaan status vaksin diri anda ada semua.

Untuk makluman, sebaik saja dah dapat tarikh temujanji, sila pegang dan ingat tarikh tersebut. Buat reminder kat phone, supaya tak terlepas temujanji tu. MySejahtera tak akan keluar pop-up nak ingatkan temujanji anda dari awal sampai akhir. Sendiri lah pandai untuk penuhi temujanji itu.

Pergi ke pusat vaksin KL

Awal pagi saya dah bertolak pergi ke WTCKL. Tengok waze ambil masa tak sampai 30 minit. Saya cuba elakkan federal highway sebab tahu ada sekatan kat situ takut jem. Hari ni pulak mula PKP seluruh negara.

Perjalanan sangat lancar tak macam selalu jika memandu awal pagi menuju ke KL dari Shah Alam. 

Dalam pukul 8:15 pagi saya sampai. Terus naik ke tempat parkir WTCKL tu. Ada banyak papan tanda tulis 'pusat vaksin'. Oleh kerana saya tersaaaangat jarang ke situ, jadi agak keliru macam mana nak parkir.

Dari jauh nampak seorang lelaki berbaju biru, kurus pakai mask. Saya hampirinya dan nampak tulisan kecil imej parking. Tahulah yang dia jaga parkir kat situ. Buka tingkap dan tanya kat mana nak letak kereta.

Layanannya lansung tak mesra.

Situ la!, tunjukkan dengan isyarat muka saja tanpa angkat tangan yang sibuk layan phone dia. 

Saya tahulah kat situ banyak kosong parkirnya, tapi saya tanya lagi macam mana nak masuk ke situ sebab saya dok ada kat jalan oneway.

"Masuklah sana!", sekali lagi jawab tanpa peduli untuk cuba fahamkan saya.

Rasa macam nak marah dengan sikapnya macam tak mau permudahkan orang macam saya yang baru sekali cuba nak parkir kat situ.

Kalau dia gunakan akal, dan kalau dia tak ada akal pun, tentu pihak imej parkir ada orang yang punya akal, tentu tahu kat situ jadi pusat suntikan vaksin. Akan ada ribuan orang yang pertama kali ke situ. Dia tak boleh anggap semua yang datang adalah orang UMNO yang dah biasa datang persidangan!

Saya terfikir, kenapa tidak ada pesanan untuk pantau dan permudahkan urusan orang yang nak datang bagi duit banyak kat depa. Sekali masuk RM10, bukannya murah. Itu duit buta dalam zaman PKP dan ekonomi mencabar sekarang ni. Berterima kasihlah diberikan keistimewaan kutip duit orang dengan banyak.

Akhirnya saya langgar saja oneway tu lawan arah dan masuk pakai TnG. Angkat tangan minta maaf pada yang saya kacau laluan mereka. Nasib baik semuanya sporting faham.

Harap pengalaman awal nak parkir tu tidak berlarutan disulami dengan pengalaman lain sampai habis. Itulah doa saya ketika turun kenderaan dan cari pintu masuk.

Beratur tunggu giliran

Nampak abang rela beruniform terpacak kat pintu masuk depan parkir. Saya terus pergi tanya kat mana nak masuk temujanji vaksin. Dia suruh turun bawah 2 level melalui jalan parkir tepi tu. Sampai kat bawah, akan ada orang ramai dok beratur. Terangnya dengan jelas dan mudah.

Terima kasih atas persediaannya untuk layan. Macam tulah caranya. Bukan nak buat muka marah setiap kali orang tanya dapatkan maklumat.

Bila turun, nampak ramai berbaris panjang ikut SOP penjarakan. Saya bertanya pada orang berhampiran dan mereka suruh beratur. Kemudian nampak lelaki lengkap pakai jaket keselamatan dengan walkie talkie, saya hampirinya untuk tanya.

Dia tanya temujanji pukul berapa dan saya jawab 9 pagi. 

Dia arahkan beratur kat mana dan terangkan sabar sikit saja sebab pintu masuk akan dibuka. Jam 9 pagi adalah temujanji pertama. Kemudian ada ramai lagi yang datang tanya untuk jam 9:30 pagi dan seterusnya.

Beratur ikut jam masing-masing dan yang jam 9 diberikan keutamaan sebab nak masuk dah. 

Memang betul tak lama, kami mula berjalan masuk ikut barisan. Macam sekolah pulak. Tapi baguslah sebab ramai rela yang bantu lancarkan semua proses dan berikan keterangan untuk buka aps MySejahtera.

Ada seorang petugas yang periksa MySejahtera saya sebelum dibenarkan terus masuk untuk pastikan memang temujanji ada dalam tu.

Sampai kat pintu masuk saya ditanya Station ke berapa. Tengok dalam MySejahtera tertulis kat situ Station 3. Semua berbaris ikut Station masing-masing.

Semuanya lancar bila masuk

Ada beberapa stesen di tempatkan dalam proses nak masuk dapatkan suntikan tu. Setiap stesen tu ada disediakan kerusi duduk dengan jarak ikut SOP. Ada beberapa proses mudah yang anda akan lalui.

  1. Scan maklumat vaksin - dengan pautan dalam MySejahtera, anda buka untuk scan code vaksin yang akan disuntik nanti. Memang mereka pantau setiap orang berdasarkan batch vaksin yang diberikan. Sangat detail.
  2. Isi borang dan tandatangan - Ada 1 borang yang anda perlu baca, dan isikan maklumat dalam 2 salinan. Isi maklumat saja dan jangan tanda tangan lagi.
  3. Konsultasi dengan doktor - Selepas isi borang, anda kena jumpa doktor untuk tujuan konsultasi terlebih dahulu. Sedikit pertanyaan mudah tentang kesihatan dan sejarah perubatan anda. Kemudian tandantangan depan doktor tu dan dia akan tandantangan sebagai saksi. Ia merupakan akuan setuju disuntik dan faham apa yang dibaca.
  4. Suntikan vaksin - Selesai konsultasi, pergi masuk pula stesen untuk ambil suntikan. Setiap proses diminta pengesahan seperti, jumlah cecair vaksin, selepas suntik dia tunjukkan bahawa semuanya dah habis masuk. Petugas dilatih untuk buat semua pengesahan itu sebelum anda bangun ke stesen akhir.
  5. Relak 30 minit - Borang tandatangan tadi dibawa ke stesen akhir, masukkan dalam tray dan duduk depan kaunter sehingga nama anda di panggil. 20 ke 30 minit, saya dipanggil. Diminta klik pengesahan pada MYSejahtera dan di terangkan apa yang perlu dibuat jika ada masalah nanti akibat kena cucuk vaksin tu. Dan dibenarkan pulang.
  6. Ambil gambar kenangan - Kat luar dewan ada banyak booth untuk mereka yang suka selfie ambil gambar 'saya sudah divaksin'. Ramai juga ambil kesempatan tu. tapi saya balik terus saja. 

Apa berlaku selepas suntikan

Masa suntikan, tak rasa apa-apa pun. Tak sakit pun macam mana-mana suntikan yang anda dah pernah lalui.

Kena suntikan ubat bius untuk cabut atau betulkan gigi adalah jauh lebih terasa dari suntikan itu.

Kemudian selepas disuntik, anda akan rasa sedikit kebas pada tempat suntikan itu. Kebas itu kekal dalam tempoh yang agak lama juga. Saya sampai rumah dalam 10:30 pagi, rehat sekejap, masih rasa lagi kebas sikit tu.

Kemudian semuanya hilang terus tak rasa apa-apa lagi.

Saya buka MySejahtera, tercatit kat dalam tu status vaksin saya dikemas kini untuk suntikan pertama, bila pukul berapa nombor siri vaksin, batch no. Ada juga link untuk di klik buat aduan atau laporan jika ada apa-apa masalah selepas divaksin.

Semuanya selesai dan saya tunggu proses vaksin ke-2 pula yang akan diberitahu kelak. Status saya juga sudah diupdate sebagai Low-Risk.

Rasa lega sebab dah berusaha untuk jauhi covid-19, usaha lagi sampai ke dos kedua, insyaallah disertai dengan tawakkal.

Bila masuk magrib, badan mula rasa seram sejuk macam nak demam. Mungkin kesan suntikan vaksin tadi. Badan mula rasa lenguh-lenguh. Saya tidur dalam keadaan rasa tak sihat sampai ke subuh. 

Bangun esok pagi, seluruh badan lenguh. Paling teruk adalah kat tangan yang kena suntik tu. Harap semuanya hanya sementara saja, Insyaallah.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Ini yang akan berlaku jika anda pergi dapatkan suntikan vaksin AstraZeneca di WTCKL

Previous
« Prev Post

6 comments:

  1. Nice sharing bro.Sy akan ambil first dos esok di WTCKL.Risau perihal parking itu sebnanrnya sbb tk biasa kawasan sana

    ReplyDelete
  2. Saya takuttt jarum, kalau boleh tak payah cucuk vaksin ni. Menyusahkan je!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ambil saja. Masa masuk takyah tengok jarum tu ..

      Delete
  3. Saye nak buat vaksin .saye dah buat kat my sejatera tarikh datag untok temu janji tapi dah padam semua .temu janji semua saye taktau dah ..saye dah kemas kini balik alamat semasa sekarg saye tapi dh lame saye tungu tarikh untok vaksin. Tak datang.datang juga dh 6 mingu dah .. tolong lah saye nak vaksin terus je kat mane saye taktau. Datag bagi ic terus vaksin saye nak

    ReplyDelete
    Replies
    1. dah banyak pusat vaksin yg boleh pergi walk-in saja sekarang. Semak saja dalam mysejahtera tu pusat vaksin berhampiran dan pergi walk ini. Bawa IC

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !