Sebut tentang hidup seimbang, orang akan cakap perlu bahagikan masa antara hal kerja dan rehat. Saya juga fikir macam tu sebelum berniaga dulu.
Kalau makan gaji boleh la asingkan antara kerja dan waktu tak kerja. Kalau berniaga macam mana?
Usahawan ni ada dua jenis saja.
Samada dia kerja siang malam cari duit atau, apa pun tak buat.
Yang pertama kita boleh label, usahawan lifestyle. Dia terlibat penuh uruskan perniagaan tersebut. Kalau kedai kat bawah dan tempat tinggal kat atas, usahawan sebegitu kerja siang malam pagi petang!
Nak asing apa dalam keadaan itu?
Yang kedua pulak, usahawan pelabur. Dia letakkan duit pada bisnes yang dirasakan berpotensi. Labur saja tapi tak main peranan buat kerja dalam perniagaan macam usahawan lifestyle di atas tadi.
Jenis pertama macam orang makan gaji saja. Bezanya cuma syarikat itu dia punya.
Jenis yang kedua tak ambil gaji. Dia sasarkan keuntungan setahun sekali. Itu hasil yang dia mahukan dari pelaburan yang dibuat. Boleh juga dia biarkan pelaburan pada syarikat itu dua atau tiga tahun kemudian keluar. Dia jual pegangan sahamnya kepada orang lain untuk buat untung.
Jenis yang kedua tu lebih banyak tak kerja atau lebih tepat lagi memang tak ada kerja. Dia relaks ke sana sini buat PR saja. Sebab duit banyak, pendapatan pasif masuk sentiasa melebihi perbelanjaan, dia tak perlukan gaji. Asingkan kerja dengan tak kerja lansung tak relevan pada usahawan jenis tu.
Panjang terlajak pulak saya goreng ..
Nak bagi tahu bahawa, cara seimbangkan kehidupan dengan asingkan antara kerja dengan tak kerja tak sesuai. Tak lengkap, terutamanya untuk usahawan.
Panduan hidup seimbang
Cara terbaik adalah dengan melihat keseluruhan kehidupan itu sendiri.
Apa yang ada dalam kehidupan anda, dan seimbangkan kesemuanya. Anda boleh kategorikan kehidupan kepada 7 perkara penting yang wajib ada.
Tak kisah samada anda kerja makan gaji, buat bisnes lifestyle atau jadi investor. Yang penting, semua urusan diseimbangkan jangan sampai terlepas pandang. Jika ada satu atau lebih yang diabaikan, kehidupan akan tempang.
Apa dia 7 perkara tersebut?
Saya kongsikan kat bawah. Ini saya punya versi. Anda boleh tambah atau kurangkan ikut kesesuaian dan cara pemikiran sendiri. Saya hanya berikan panduan saja.
#1. Ekonomi – bab cari makan
Ini perkara asas yang perlu ada di zaman bertamadun yang manusia lalui sekarang. Zaman merayau cari rezki yang tersedia dalam Taman Belantara dah lama berhenti.
Nota: Saya sebut Taman Belantara idea dari Yuval Noah Harari, penulis buku Sapiens: A Brief History of Humankind. Dia punya teori adalah kesengsaraan manusia masuk dalam sangkar lumba tikus bermula bila manusia terkeluar dari hidup dalam Eden, Taman Belantara, yang semua sumber makanan tersedia tanpa perlu usaha. Bila manusia mula makan gandum, mereka terperangkap dan tertipu dengan bijirin tersebut yang pantas merebak makin lama makin luas sampai akhir manusia berkampung di kawasan gandum tersebut dan wujudlah zaman tamadun.
Cuma segelintir manusia saja yang masih amalkan cara hidup sebegitu di lokasi terpencil jauh dari pembangunan. Itupun manusia bandar tak pernah jemu cuba pupuskan kewujudan mereka supaya turut sama sengsara di hutan batu.
Semuanya bermula dari aktiviti pertanian, kemudian malas memburu lalu bela binatang ternakan. Lebihan dari hasil, bertukar tangan secara barter. Kemudian wujud aktiviti pembuatan untuk kegunaan pertanian, pembinaan, khidmat dan lain-lain.
Sampailah ke zaman kita, duit jadi medium pertukaran yang boleh digunakan untuk dapatkan semua keperluan hidup. Asasnya hanyalah untuk hidup dan pastikan berlakunya sambungan zuriat turun temurun.
Jika anda faham keperluan paling asas sedemikian, maka tak akan terlajak sehingga peruntukkan masa demi duit, sampai abaikan kesemua perkara lain yang saya senaraikan di bawah.
Soalan mudah yang perlu anda tanya pada diri adalah, dalam seminggu, berapa lama masa, usaha dan tumpuan diperuntukkan kepada aktiviti ini?
#2. Keluarga – ibubapa dan keluarga
Ini perkara kedua yang selalu disebut-sebut. Kalau tak kerja, perkara inilah jadi tumpuan. Bersama dengan ibubapa, anak dan pasangan hidup.
Ada tanggung jawab yang perlu ditunaikan.
Usaha ekonomi kat atas sana pun, sebahagian besar adalah untuk lepaskan tanggung jawab ini. Jaga mak dan ayah yang besarkan anda selama ini. Luangkan masa dengan mereka, pastikan makan, minum dan kesihatan serta kesejahteraan mereka dan lain-lain
Anak-anak pula perlu besarkan, didik mereka sampai mampu berdikari dan jadi manusia.
Selain dari itu, hubungan saudara mara tak boleh diabaikan.
Sama juga soalannya, berapakah masa, usaha, tumpuan di berikan terhadap urusan ini. Biasanya sampai ke bab ini agak ramai yang kecundang. Balik rumah, tapi macam tak ada jiwa, hanya badan saja.
Kalau anak-anak dan pasangan diberikan perhatian, ibu bapa pula diabaikan. Kalau ibu bapa terlupa nak tengok, apatah lagi saudara mara.
#3. Peribadi – Hobi, bersendiri, hiburan
Ada juga orang yang banyak fokus bab #1 di atas tadi, tapi terabai yang #2 sebab banyak berikan tumpuan kepada yang #3 ini.
Ada pula yang selesai yang pertama dan kedua tetapi malangnya diri sendiri terabai. Tak ada masa layan hobi, berhibur atau berikan sedikit ruang untuk bersendirian tanpa gangguan.
Berapakah masa dan usaha yang anda peruntukkan kepada bab ini dalam tempoh seminggu?
#4. Tubuh badan – Kesihatan, kecergasan, kecantikan
Ini juga salah satu dari urusan yang sangat kurang diberikan perhatian oleh manusia moden. Kejar duit, tengok keluarga, layan hobi dan berhibur. Tapi bab tubuh badan tak jaga.
Berat berlebihan, perut boroi sampai tak nampak kaki sendiri bila berdiri. Tidur tak cukup, mata bengkak merah. Nafas laju dan kuat. Naik tangga 7 langkah dan mengah.
Penampilan pula macam mana. Jaga kebersihan tubuh badan dan kecantikan diri. Muka biar terurus. Bau biar tak busuk, pakaian jangan selekeh.
Adakah anda luangkan masa untuk kesemua urusan ini?
#5. Akal pemikiran – Membaca, asah keupayaan intelek
Badan sado, fit, bau wangi, muka bersih, baju kemas, tapi cara berfikir kelaut. Daya intelek sangat rendah mudah sangat percaya fake news dan fanatik pemimpin politik sampai jadi macai badut.
Semua itu berpunca dari kurangnya usaha untuk tingkatkan keupayaan intelek. Tak mahu keluar sikit dari zon selesa untuk paksa akal diperah sedikit dengan berfikit, membaca atau cuba faham pengetahuan yang baru.
Tak mampu berdiskusi perkara berat yang perlukan daya intelektual. Asyik nak melawak bodoh dan sembang politik kedai kopi saja. Bila berhujah, baru 7 patah perkataan kawan cakap dah bangun tepuk meja. Terpelanting habis teh tarik.
Macam mana nak asah daya intelek jika tak mampu dengar hujah orang dalam keadaan tenang?
Apakah usaha dan masa yang diperuntukkan untuk urusan ini?
#6. Perasaan – tentang diri dan keadaan
Manusia ni ada perasaan. Tak boleh nak gambarkan tapi semua tahu perkara itu wujud. Jika anda luangkan masa untuk mendengar dan merasai perasaan diri, keupayaan untuk meguasai perasaan ini akan bertambah kuat.
Jika tidak ada masa diperuntukkan dalam mengenali dan merasai perasaan, maka ia akan menguasai diri anda dan biasanya tak elok pada pengakhirannya.
Hanya anda saja yang dapat selami perasaan diri anda sendiri. Ia ada kaitan dengan tahap kesedaran untuk merasai kewujudan emosi itu.
Apakah kaitan peristiwa terhadap perasaan yang muncul setiap kali ianya berlaku?
Apa perasaan yang timbul bila anda fikirkan tentang diri sendiri?
Atau anda tak pernah terfikir dan tak mampu melihat dari luar, perasaan sendiri?
Berapa lama, apa usaha yang diperuntukkan untuk semua urusan ini?
#7. Rohani – Prinsip, pegangan dan kepercayaan
Selain dari akal dan perasaan d atas tadi, ada satu lagi perkara yang tertanam kemas dalam diri anda.
Kepercayaan.
Samada agama, ideologi, perjuangan, prinsip, kesemua itu terpahat kuat dalam diri semua orang.
Sebenarnya bab kerohanian ini adalah berasingan dari perasaan dan intelektual kat atas tadi. Anda mungkin kata ada prinsip tertentu, contohnya percaya pentingnya jaga kesihatan.
Tapi merokok juga sebab dah terbiasa dan tak dapat kawal sejak terpengaruh dengan kawan-kawan masa sekolah dulu untuk tunjuk macho.
Sebab itu saya kata ianya adalah berasingan.
Anda ada kawan yang percaya kuat pada agama. Pakaian dan perwatakannya memperlihatkan pegangannya itu. Tapi tup-tup anda dapat tahu dia kena tangkap basah dengan isteri orang!
Semua itu berlaku sebab apa yang kita buat bukan saja bergantung kepada pegangan atau kepercayaan. Ia juga ditentukan oleh keadaan semasa, peluang, susah atau senang, tekanan, perasaan dan lain-lain.
Cakap saja percaya, ada prinsip dan sebagainya masih belum kuat selagi tidak diterjemahkan kepada amalan. Ini untuk kuatkan lagi kepercayaan atau pegangan serta ideologi tersebut.
Persoalannya, berapa banyak anda peruntukkan kepada urusan tersebut?
Bagaimana nak seimbangkan 7 perkara asas
Saya dah kongsikan 7 perkara asas yang perlu diberikan perhatian dalam kehidupan jika mahukan kehidupan yang seimbang.
Bagi saya 7 dah mencukupi dan lengkap. Tak pasti pulak jika ada tambahan lagi yang mungkin saya terlepas pandang.
Apa yang anda boleh buat sekarang adalah untuk berikan peratusan kepada semua perkara tersebut supaya jika ditambah kesemuanya jadi 100%.
Saya berikan contoh yang saya buat seperti dalam gambarajah di bawah dengan pakai carta spider web.
Dalam contoh di atas, nampak jelas tidak berlaku keseimbangan berbanding sasaran. Ada urusan yang berlebihan dan ada urusan yang berkurangan.
Jadi Perlu berikan perhatian terhadap mana yang tersasar dan rancang aktiviti yang boleh anda buat untuk betulkan perkara tersebut perlahan-lahan.
Semua usaha ini perlu ambil masa dan paling penting tak payah kelam kabut nak buat perubahan drastik. Contohnya jika anda rasa kurang perhatian terhadap tubuh badan, mulakan dengan perkara baru seperti tambah jarak dan masa anda berjalan kaki setiap hari lebih dari biasa.
Harap artikel ini dapat bantu anda buat perubahan diri dalam menjalani kehidupan. Jika ada soalan, sila komen kat bawah ya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !