Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

03 August 2021

Apa berlaku bila anda pergi cucuk Vaksin AstraZeneca untuk kali kedua di WTCKL

  Ano Nyme       03 August 2021


Akhirnya, dapat sudah suntikan vaksin kedua. Rasa lega bila dah selesai proses yang jadi tumpuan utama negara kita. 

Bukan Malaysia saja. Malah seluruh dunia berikan tumpuan utama untuk selesaikan usaha vaksinasi kepada sekurangnya 80% dari rakyat mereka.

Dos pertama saya dapat pada 1 Jun 2021. Ada saya tulis pengalaman tersebut kat sini. Temujanji tu dapat setelah kerajaan buka tawaran untuk sesiapa yang sanggup ambil suntikan vaksin AstraZeneca atau biasa di panggil AZ.

Masa awal hari tu, ramai yang takut ambil AZ. Tersebar laporan bahaya menerima suntikan vaksin tersebut. Ada kes kematian. 

Bahaya vaksin AstraZeneca

Saya buat carian berita kematian akibat suntikan itu dapat berita di Australia. Setakat 22 Julai 2021, di sana ada 6 kematian dari 6.1 juta suntikan. 

Di UK pula takat 4 Jun 2021, ada seramai 49 kematian dari 28.5 juta suntikan yang diberikan kepada rakyatnya.

Laporan awal yang saya baca dulu kemungkinan untuk mati sebab suntikan AZ adalah 4 dalam sejuta.

Secara logiknya, jika main dengan mati ni. Dalam keadaan biasa, saya sendiri tak akan ambil risiko untuk dedahkan diri sekalipun ada kemungkinan hanya 0.0004% kematian.

Tapi, risiko kena covid-19 adalah jauh lebih tinggi. Dan risiko jika berjangkitan tanpa vaksin adalah lebih bahaya lagi. Mungkin tak mati selepas kena covid-19, tapi kesan sampingan dari jankitan itu sudah pasti ada dan teruk jika tak ada vaksin.

Jika dibandingkan dengan kematian akibat kemalangan kat Malaysia, data 2018 menunjukkan 1.1% dari kemalangan melibatkan kematian. Secara purata seramai 23 orang mati kemalangan dari 100,000 populasi rakyat di negara kita. No 3 paling tinggi di Asia

Saya buat rumusan, dapatkan suntikan AZ adalah jauh lebih rendah risikonya berbanding kemalangan dan mati di negara kita. Sebaik saja dibuka, terus saja tempah satu slot dan terus dapat temujanji.

Rupanya, bukan saya saja yang mungkin buat pertimbangan sedemikian, ramai rakyat Malaysia ambil sikap yang sama. Slot yang dibuka sebanyak 268,000 habis ditempah hanya dalam tempoh 3 jam setengah saja!.

Kes darah beku AstraZeneca

Berapa agaknya jumlah kes yang dilaporkan berlaku di negara kita selepas selesai suntikan AstraZeneca dos pertama hari itu?

Saya buat carian berita untuk dapatkan maklumat. Malangnya tak ada lansung berita atau laporan berkenaan kes darah beku selepas kena suntik AZ. Berita kematian juga tak ada dilaporkan.

Saya buat andaian yang kes tak ada. 

Pelik jika ada kes tapi tak ada satu portalpun yang melaporkannya. Melainkan jika kerajaan rahsiakan saja semua maklumat itu. Tak ada sesiapa yang tahu.

Kita bersangka baik saja untuk anggap tak ada kes. 

Sepatutnya, kerajaan wajib umumkan status dan perkembangan tersebut kepada umum. Kalau tak ada kes, umumkan saja tak ada kes. Jika anda tapi tak kritikal, nyatakan saja berapa jumlahnya.

Bila diamkan saja, saya boleh syak memang ada kes tapi tidak di laporkan kepada umum untuk elakkan ketakutan kepada mereka yang ambil suntikan AZ tersebut.

 Mungkin mereka simpan semua maklumat sehingga habis kesemua vaksin AZ supaya bekalannya tidak dibazirkan jika semua orang tolak vaksin itu.

Suntikan dos ke-2 vaksin AstraZeneca

KJ umumkan pada 1 Julai 2021 yang suntikan dos kedua AZ akan dipercepatkan. Sebelum itu, ada tertulis pada status vaksin di MySejahtera tempoh menunggu untuk suntikan ke-2 adalah selama 12 minggu.

Saya lepas juga bila kena tunggu lama sangat untuk selesaikan proses vaksinasi. Orang lain yang dapat suntikan vaksin jenis lain yang pertama, lambat dari saya, dah selesai suntikan dos kedua pula. Saya masih menunggu temujanji.

Tapi akhirnya mereka buat keputusan untuk pendekkan dari 12 minggu kepada hanya 9 minggu. 

Tak lama selepas KJ umumkan, saya dapat temujanji. Suntikan dos AZ kedua pada 3 Ogos 2021. Hari ini saya bergerak menuju ke PWTC awal pagi.

Temujanji pukul 9 pagi. Saya gerak dari rumah pukul 8 pagi. Ikut LDP dari Shah Alam terus keluar Damansara Utama dan ke Jalan Tun Razak untuk ke pusat suntikan.

Sampai sana naik ke atas untuk parkir. Kali ini semua papantanda di pasang dengan jelas dah mudah berbanding kali pertama dulu. Tak payah nak tanya sesiapa lagi. 

Terus ikut arah dan akhirnya saya masuk parkit ke bawah bangunan tu tingkat basement 1. Letak kereta sebelah tiang J11. Kleuar dari kereta dan jalan kaki menuju ke loby pusat suntikan.

Proses lebih lancar dan pantas

Saya tengok semua yang keluar dari kenderaan, terus jalan kaki ikut satu arah. Tak jadi macam rusa masuk kampung pulak. Macam dah tahu-tahu. Macam dah berkali-kali datang untuk ambil suntikan. Agak pelik juga keadaan itu.

Saya juga berlakon macam tahu dengan pasti. Jalan terus ikut jalan yang semua orang ambil dengan yakin. Walaupun tak sesak orang ramai kat situ keluar dari bangunan menuju ke pintu masuk, tapi alirannya tak putus. 

Saya jalan keluar dan kat depan pintu masuk ada polis dan petugas menanti. Mulanya mereka minat semak temujanji kat MySejahtera. Bila dah semak saya disuruh teruksn ikut lorong stesen 3 yang tertulis di pintu depan nak masuk.

Bila masuk sekali lagi disemak samada dos pertama atau kedua. Diarahkan teruskan lagi masuk. Dah sampai kat stesen isu kertas kecil maklumat nama dan IC. Terus masuk ke dalam lagi.

Tunggu sebentar duduk kerusi dalam satu barisan. Sementara tunggu situ tak sampai 5 minit, ada pemuda tanya dengan kuat kat depan tu sama ada yang tak sihat atau mengandung dan sebagainya.

Kemudian terus di arahkan masuk. Sehingga saya tunggu di luar pintu bilik suntikan di lakukan.

Kes suntikan kosong tanpa vaksin

Bila masuk, nurse tunjukkan saya jarum yang dah ada cecair di dalamnya. Ada satu botol AZ yang dah kosong atas meja. Saya andaikan cecair dalam jarum tu diambil dari botol kecil itu.

Dia suruh saya tengok berapa jumlah cecair dalam jarum tu sebagai kepastikan sebelum nak suntik. Saya angguk saja.

Sebelum dia nak cucuk, saya tanya ..

"Macam mana saya nak pastikan yang cecair cerah jernih dalam jarum itu bukan air sejuk?"

Dia tersentak.

Terhenti sebentar. Mungkin tak tahu macam mana nak jawab. Saya tunggu jawapan darinya.

Dia angkat botol kecil tu dan tunjukkan kepada saya. Dia terangkan memang vaksin tu cerah dan jernih macam air sejuk. Ia diambil hanya bila nak lakukan suntikan saja sebab perlu ada prosedur nak simpan.

"Mana saya tahu memang itu vaksin dan bukan air sejuk?" sekali lagi saya tanya.

"Ishhh! memang ini vaksin. Takkan kita nak tipu pulak .." jawabnya lembut dan terus rapatkan jaruk ke lengan saya dan suntik masuk cecair jernih tu.

Samada yang dia suntik itu adalah air sejuk atau vaksin, saya tawakal saja. Memang tak ada cara untuk saya buat kepastian.

Saya anggap ianya adalah AstraZeneca sebab ia vaksin yang paling orang tak mahu. Jadi kalau diseludup keluar dan digantikan dengan air sejuk pun vaksin itu tak berapa nak laku diluar.

Itu saja andaian yang boleh dibuat. Tapi andaian saya itu salah. Tak ada orang nak curi atau seludup keluar vaksin.

Jumlah vaksin bertambah

Sebenarnya jumlah vaksin yang dicucuk kepada rakyat Malaysia berkemungkinan lebih tinggi dari jumlah sebenar vaksin yang kerajaan bekalkan kepada semua pusat suntikan.

Kenapa saya kata begitu?

Sebab projek suntik vaksin yang meriah dan besar-besaran adalah lubuk duit. Sebab itu anda lihat peningkatan jumlah suntikan setiap hari sehingga dah berjaya mencapai lebih dari setengah juta suntikan sehari.

Kerajaan terpaksa outsource semua kerja suntikan itu kepada pihak swasta. Tak ada pekerja hospital dan pegawai kesihatan yang mampu penuhi semua kerja yang tiba-tiba muncul jadi penting itu.

Bila pihak luar buat, bermakna setiap satu suntikan yang mereka daftarkan adalah duit. Sebab itu adanya proses pendaftaran, isi borang, isi nama, pastikan nombor IC dan segala maklumat lengkap itu perlu dilakukan.

Mereka perlu semua maklumat itu sebagai pengesahan untuk buat tuntutan. Itu yang pertama.

Keduanya adalah suapan dari pihak industri terutamanya dari taukeh besar yang terdesak mahukan semua perkerja mereka mendapat suntikan vaksin. Ini memudahkan mereka jalan kilang dan tak putus perniagaan mereka.

Untuk pastikan semua pekerja dapat suntikan, mereka hubungi pula taukeh projek suntikan vaksin untuk lepaskan pekerja mereka masuk secara potong Q. Mereka sanggup bayar duit lagi untuk setiap kepala yang dapat suntikan dari kalangan pekerja kilang mereka.

Itu jadi satu lagi sumber buat duit besar kepada pusat vaksinasi. Taukeh bayar dan kerajaan pun bayar. Berganda-ganda mereka buat duit. Bayangkan jika setiap satu suntikan taukeh bayar RM150. Jika ada 10 ribu jumlah pekerja dari berbagai kilang, mereka ada tambahan RM1.5 juta !

Siapa tak nak duit banyak itu.

Jadi yang penting sekarang bukanlah samada ada vaksin atau tak ada. Perlu sahkan saja anda dah terima suntikan untuk buat tuntutan dari kerajaan. Bila vaksin tak cukup, suntik saja air sejuk.

Dalam bab buat duit, terlalu banyak kes segelintir rakyat negara kita tak ambil pertimbangan halal haram. Tak peduli nyawa manusia. Kes tanam pendatang haram kat hutan di Perlis dalam isu pemerdagangan manusia jadi bukti betapa ganasnya segelintir manusia bernama rakyat Malaysia.

Semua itu membuatkan berlakunya keruntuhan kepercayaan kepada kerajaan. Hilang rasa yakin dengan kecekapan dan ketelusan untuk mastikan semua proses dilakukan dengan penuh integriti. 

Bukan salah saya untuk timbulkan rasa sangsi. Keadaan negara yang makin hilang taring. Makin lemah kecekapan membuatkan saya hilang yakin kepada kerajaan dan sentiasa ada keraguan pada sesiapa saja yang tak dikenali.

Habis suntikan, saya keluar. Duduk di kerusi menunggu sebentar sebelum nama dipanggil. Disuruh semak status MySejahtera untuk lihat sijil tamat dos kedua berwarna kuning dikemas kini kat dalam tu.

Saya dibenarkan balik.

Tangan makin rasa kebas. Tapi sikit saja. Sampai ke rumah, singgah belikan sarapan untuk anak-anak dan isteri. Balik kami duduk makan bersama. 

Selesai makan saya naik ke atas dan rehat sebentar dan tulis artikel ini. Harap semuanya selesai dengan baik.

Dari bacaan, saya tahu yang ianya ambil masa 7 hari untuk vaksin yang disuntk tadi bertindak sepenuhnya. Sementara itu, sistem imun dalam badan agak lemah. jadi perlu lebih berhati-hati jangan terjangkit apa-apa saja penyakit dalam tempoh 7 hari tersebut.

Selepas seminggu nanti, insyaallah saya sudah jadi superman!



logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Apa berlaku bila anda pergi cucuk Vaksin AstraZeneca untuk kali kedua di WTCKL

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !