Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

07 August 2021

Perangai orang Melayu yang suka buat tarian silat apabila marah yang sangat menarik

  Ano Nyme       07 August 2021


Saya perasan perangai orang Melayu yang suka buat tarian silat apabila marah nak pukul orang, adalah sesuatu yang serius, lama dahulu di depan sebuah surau.

Surau itu tumpangkan seorang pelarian UNHCR lelaki menginap dan tidur. Hameed (bukan nama sebenar), tinggal di stor. Dia ambil upah kerja macam-macam untuk sara kehidupannya seorang diri, sebatang kara di Malaysia.

Sebagai balasan dibenarkan menumpang kat surau tu, Hameed berikan khidmat percuma semua urusan pembersihan dan selengaraan surau setiap hari. Dia jadi macam tok siak sepenuh masa.

Hameed sangat pandai dalam pertukangan kayu. Itulah yang membuatkan saya berminat untuk kenali beliau dan rajin berjumpanya bila ada kesempatan. Kebetulan saya juga minta barangan diperbuat dari kayu.

Satu malam, ada benda nak bagi kat Hameed. Jadi saya pergi ke surau tersebut. Kalau tak silap dalam lingkungan pukul 10 malam. Ketika menghampiri surau dengan kereta, saya lihat dari jauh Hameed sedang berdepan dengan 3 orang lelaki di luar pintu pagar surau.

Keadaan agak gelap malam itu. Saya memandu terus ke arah surau. Tapi bukan masuk ke jalan tepi surau. Saya ikut jalan sebelah longkang. Ambil langkah berhati-hati sebab nampak macam ada sesuatu yang tak kena sedang berlaku.

Bila dah dekat, boleh nampak dengan terang dari jauh begitu, saya hentikan kereta dan tunggu di dalam untuk lihat apa yang sedang berlaku. Semua lampu kereta dimatikan.

Kelihatan Hameed berdiri tegak di sebelah basikal yang dia selalu gunakan sebagai kenderaan untuk bergerak. Rasanya dia baru sampai nak balik masuk ke surau. Tapi ditahan oleh 3 lelaki tersebut.

Saya tak tahu apa yang berlaku tapi keadaan nampak tegang. Mereka bertukar sergahan antara satu sama lain. Hameed nampak tertekan tapi dia tidak berganjak.

Tiba-tiba, salah seorang dari 3 lelaki itu, yang paling rendah di antara mereka, mula menjerit dan berikan amaran pada Hameed agar jangan buat dia marah. Dia mula menari ke hulu hilir, pusing ke depan ke belakang sambil mendepakan kedua-dua tangannya.

Di hentak-hentak kaki ke tanah. Sekali sekala dibongkokkan badan ke bawah sambil tangan pula menepuk kuat pada tanah tu. Mulutnya mula berwirid kuat, "hait! hait! hait!"

"Ha mari!, mari .. aku pukul mu, Hameed, aku pukul mu .. !" mantap sekali sergahan lelaki tu. Nampak bergaya dan garang sekalipun dia jauh lebih rendah dari Hameed.

Dari loghat, saya yakin dia orang Kelantan.

Hameed buat relak saja dan tak berganjak. Masih kekal berdiri tegak.

Malas nak libatkan diri dalam keadaan tegang begitu. Dan yakin mereka memang saling kenal mengenali, maka saya buat keputusan beredar saja. Tak nak masuk campur.

Sambil pusingkan kereta, memandu untuk balik ke rumah, saya tertanya-tanya. Apa pasal tak pukul saja dah kata nak pukul. Dok ulang cakap nak pukul sambil menari ke hulu hilir tapi tak pukul-pukul apa hal?

Bersilat bila marah

Dari peristiwa itu, saya mula perasan, memang menari silat setiap kali marah nak pukul orang rupanya memang dah jadi satu amalan biasa kebanyakan orang Melayu yang mungkin pernah belajar silat sebelum ini.

Saya mula nampak dan berjumpa banyak kali peristiwa yang sama. Baru-baru ni kelihatan dalam media sosial seorang lelaki gagah perkasa berdengus seolah-olah telah bertukar menjadi naga sambil dipegang oleh rakan-rakannya. Dia kelihatan seperti 'menurun'. Di masuki pendekar naga yang mahu pukul seorang lelaki Bangla.

Semalam pula saya lihat sekumpulan lelaki yang sedang bertekak dengan seorang perawat tradisional. Tiba-tiba salah seorang mula menari silat tepuk lantai dan hentak kaki sambil merewangkan tangannya ke kiri kanan. Dia ugut nak pukul perawat yang sedang duduk bersila di situ.

Selalunya, macam ada skrip atau babak yang tetap di mana-mana. Bila jadi begitu, maka berebutlah kawan-kawan lain yang ada di situ, akan mula tenangkan lelaki yang sedang bertempik bertepuk manari silat yang kelihatan sangat gagah itu.

Sempatlah juga mangsa dilepuk sikit oleh amukan pesilat itu. Tapi rasanya keletihan menari jauh lebih dasyat dari aksi memukul mangsa. Kesakitan tepuk lantai jauh lebih terasa dari rasa kerasnya kepala mangsa. Sebab memang tak pukul pun.

Selalunya begitulah. Bila marah, maka teruslah tarian silat dibuka dengan amat gagah sekali. Macam silat pertunjukkan di majlis kenduri kahwin tu lah. Sekali lagi saya tertanya. Kenapa tak pukul saja terus?

Turun dari motosikal terus hentak

Ada seorang abang orang kampung saya dulu. Dia seorang yang pendiam. Naik motor vespa ke mana saja. Badannya tegap tapi mukanya memang tak nampak bengispun.

Ada sekali, berlaku kes seorang lelaki bersikap kurang ajar pada seorang tua. Kebetulan abang vespa sedang lalu perlahan dengan motor vespanya di situ.

Ketika lelaki kurang ajar itu memaki hamun dan megancam orang lain yang menegurnya. Abang vespa relak saja hentikan motor, tak jauh dari situ. Ditongkatkan motor itu. Ambil topi keledarnya dan berjalan perlahan menuju ke tempat kejadian.

Orang semua tak berani menghampiri lelaki kurang ajar tadi. Kebanyakannya hanya menjauhkan diri.

Tapi abang vespa selamba rock dia, berjalan, terus kepada lelaki itu. Bila dah hampir, selamba saja dia libaskan topi keledar kena kepala lelaki tu dan terus jatuh. Kemudian abang vespa patah balik, ambil motor dan dengan selamba beredar pergi.

Itu baru betul nak pukul. Tak ada bunga-bunga. Tak ada tarian. Tak ada rengusan suara marah seperti naga. Tak tepuk lantai dan tak hentak kaki ke tanah. Satu pukulan, terus KO.

Kenapa tak buat macam itu dah kalau memang nak pukul. Tak payah lah cakap-cakap saja tapi tak pukul-pukul. Atau mungkin tunggu kawan-kawan datang pegang barulah meronta nak pergi pukul.

Ada beberapa orang kawan yang saya kenal dari zaman sekolah dulu sehingga sekarang, yang memang gagah macam abang vespa tu. Mereka memang jenis tak cakap banyak. Tak buka langkah silat dan tak acah ugut nak pukul ke bagai.

Bila mereka marah, nak pukul, pergi cari terus penumbuk singgah ke muka orang yang nak dipukulnya. Tiada warning. Tak ada suara. Bila orang tu melawan, satu lagi penumbuk akan singgah. Melawan lagi penendang pula sampai.

Jika tak melawan, satu penumbuk yang merebahkan orang itu sudah cukup. Dia akan berhenti di situ.

Ada kalanya memang bertemu buku dengan ruas. Bila jadi begitu, akan berlaku pergaduhan besar. Kawan-kawan saya tu, biasa sangat pecah kepala, patah riuk tulang. Tapi tidak pernah rasa serik. Sikap sama macam tu juga. Kalau marah, pergi cari, jumpa dan belasah tanpa cakap banyak.

Bersilat bila terkejut

Masa kat kampung, orang yang suka buka tarian silat adalah mereka yang memang belajar silat di zaman mudanya. mereka akan terus bangun bersilat bila terkejut.

Itu zaman awal pengenalan saya terhadap budaya bersilat. Saya andaikan semua itu untuk hilangkan rasa takut. Ianya macam aktiviti tahan nafas bila terkejut disentuh atau diterpa sesuatu.

Budaya terkejut lalu bersilat saya yakin adalah satu amalan biasa dan ramai yang biasa saksikannya. Dalam satu filem geng pemuda berambut panjang rock kapak zaman dulu, ada satu babak yang salah seorang dari mereka tengah tidur bangun bersilat bila terkejut. Sangat lucu melihatnya.

Ada juga satu iklan seorang atok bangun bersilat bila terkejut digerakkan bangun dari tidur.

Semua perlakuan tersebut adalah reaksi luar kawalan. Diamalkan sehingga dah tak terkawal lagi. 

Jadi, adakah aksi nak pukul orang, naik marah, terus bersilat tapi tak pukul-pukul itu juga adalah satu tindakan luar kawalan?

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Perangai orang Melayu yang suka buat tarian silat apabila marah yang sangat menarik

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. tari menari tu maksudnya "warning" orang kita dulu-dulu berbudi "bahasa".
    Bukan stail koboi atau gusti, hentak orang suka hati. Orang yang mahir bersilat sebenarnya tak suka cari pasal. Kalau betul dia nak pukul dia akan fikir akibatnya kemudian hari. Kalau kena buku dengan ruas, nahas jadinya.Seeloknya bergaduh tu dielakkan kalau boleh.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menarik! satu amaran mula sebelum benar-benar bertindak. Masih berbahasa sekalipun dalam keadaan marah juga sangat menarik. Terima kasih atas maklumat !

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !